Sutung Umar RS atau nama sebenarnya, Wan Omar Ahamed berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Penulisan Kreatif dan Diskriptif di Universiti Malaya (UM).
Beliau pernah berkhidmat sebagai guru dan editor buku di Penerbitan Adabi, sebelum berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai Pembantu Penyelidik dan Editor Dewan Sastera (DS) yang dianggap sebagai majalah sastera berautoriti di Malaysia, sebelum akhirnya bersara awal sebagai Ketua Bahagian Majalah DBP.
Pengalaman dalam penerbitan majalah khususnya DS di DBP, dimanfaatkan dalam dunia akhbar apabila berkhidmat sebagai Ketua Unit Pengembangan Sastera, Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) sehingga bersara pada 2003.
Bagaimanapun, beliau tidak berehat, sebaliknya menjadi Editor Majalah Masa yang diterbitkan pada awal 2005 dan Ketua Editor, Majalah Pentas terbitan Istana Budaya, bermula 2006 hingga 2008, sebelum menyerahkannya kepada Rahimidin Zahari (Allahyarham).
Sebagai penggiat sastera, Sutung Umar RS bersama-sama Che Shamsudin Othman atau lebih dikenali Dinsman, menubuhkan Teater Elit yang mempelopori Baca Puisi di Hotel Century Abad Kuala Lumpur dan Malam Puisi Tanah Air, selain pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Genre penulisannya meliputi puisi, cerpen, esei dan novel tetapi beliau tidak banyak menerbitkan karya dalam bentuk buku secara persendirian ketika berkhidmat di DBP dan BH selain tiga kumpulan puisi, iaitu dua kumpulan sajak kanak-kanak, Kampung Halaman dan Wau Bulan terbitan Fajar Bakti Sdn Bhd, serta Taburkan Bunga (DBP).
Bagaimanapun dalam tempoh mutakhir ini, Sutung Umar RS menghasilkan novel, kumpulan cerpen dan puisi dengan lebih aktif yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) serta DBP.