KALAULAH Raihani Mohd Saaid sedikit sabar, beliau pasti menangguhkan dulu penerbitan Badrul Bambi sehingga mengumpulkan cerpennya yang paling diramu baik.
Pembacaan kumpulan cerpen Badrul Bambi ini, seolah-olah bermula pada cerpen kelimanya, Pentas Kirana kerana empat cerpen yang sebelumnya seolah-olah terlontar jauh ke alam remajanya - ketika Raihani masih bersemangat untuk memuatkan apa saja yang diketahuinya dalam setiap cerpen sepanjang kira-kira 2,000 patah perkataan itu.
Selepas Pentas Kirana, kita mula menyusur kematangan Raihani di sebalik latar pentas teater dan dramanya sehingga pada satu ketika, kita bertemu sedikit pengaruh Hizairi Othman pada cerpen Seniman Rajemee.
Bagaimanapun, sedikit persamaan itu tidak menghilangkan jati diri Raihani sendiri - malah sangat mengejutkan apabila teknik penulisan skrip itu diramu baik dengan pandanghidupnya terhadap nafas dan semangatyang seharusnya dilepaskan oleh filem tanah air.
Apatah lagi dengan gaya realisme magis yang dilontarkan di tengah-tengah (meski ada sedikit gangguan apabila watak utamanya tiba-tiba terlontar jauh ke masa silam), Raihani berjaya memanfaatkan idea "butterfly effect" yang sering digunakan dalam karya berbentuk "kembali ke zaman silam".
Dan Raihani juga mengesahkan kehadirannya sebagai pengarang yang akrab dengan sejarah (seperti yang sering dilakukannya dalam puisi) lewat cerpen Jauhari Si Jebat sehingga memberikan tafsiran baru terhadap fragmen penting dalam Sejarah Melayu dengan memberikan suara kepada watak wanita yang biasanya dibisukan.
Badrul Bambi yang menjadi judul kumpulan cerpen ini, sebenarnya membuka dan menutupnya juga. Kalau sequel filem Melayu selalunya sangat mengecewakan (seperti Ali Setan, errr atau Maria Mariana? - entah saya tak pernah tontonnya), sequel Badrul Bambi II lebih menyeronokkan dengan elemen romantis-naifnya.
Kita seolah-olah membaca Raihani yang mahu kembali ke zaman remajanya! Barangkali kerana rindu kembali ke zaman anak daranya, Raihani tidak sabar-sabar menghasilkan kumpulan cerpen yang lebih molek ditangguhkan dulu ini!