Remaja Mulia membawa kelainan apabila memunculkan watak kanak-kanak berusia 12 tahun yang jauh lebih matang daripada usianya. Hilal dalam laman blognya menulis, beliau mahu memanjakan pembaca kanak-kanak "dengankarakter- karakter tarbawi, karakter-karakter baik yang mereka bolehcontohi. Agar mereka membesar dengan karakter-karakter ini."
"...saya reka cerita pelajar darjah enam yang mempunyai kematangan yang baik, akhlak yang soleh dan peribadi yang mulia. Tidak cukup setakatitu, karakter itu memberikan kesan pula pada sahabat-sahabatnya. "
Novel Remaja Muliamembawa kisah Irfan Hakimi, yang bergelar yatim piatu dalam usia 12tahun. Kanak-kanak yang matang ini bercita-cita tinggi mahu hidup berbakti tanpa menyedari adanya halangan yang menyebabkan satu sekolah memulaukannya dan dia hampir-hampir kecewa. Kalaulah Tuhan tidak bantu dia …
MUHAMMAD HILAL ASYRAF atau lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf, merupakan graduan Yarmouk University(2012), Jordan dalam bidang Usuluddin.
Beliau telah memulakan karier sebagai seorang penulis semenjak April 2009 dengan karya sulung, Novel VT dan Buku Motivasi Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita.
Semenjak itu, beliau aktif mengarang karya-karya fiksyen dan non-fiksyen. Kini telah menghasilkan lebih 40 judul karya.
Beliau juga merupakan pengasas kepada web LangitIlahi.Com, dan semenjak penghujung 2016, beliau telah menubuhkan perniagaan penerbitan beliau sendiri - Hilal Asyraf Resources, dan mula menerbitkan sendiri karya-karya beliau.
Buku ini adalah di bawah kategori Novel Awal Remaja. Nampak sahaja nipis tetapi tebal dengan hikmah dan pengajaran. Subhanallah. Saya amat mengesyorkan para ibu bapa dan guru-guru yang ingin menggalakkan anak-anak membaca supaya membaca buku ini.
Ceritanya diolah menarik dan pembaca akan mendapati penulis pandai menyusun cerita dan nasihat disampaikan secara langsung dan tersirat.
Remaja mulia mengisahkan tentang Irfan Hakimi yang sedari kecil sering diuji oleh Allah tetapi dia merupakan seorang anak yang soleh, taat kepada kedua ibu bapa, sentiasa bersabar dan belajar bersungguh-sungguh.
Dia sudah kematian ibu sejak dia dilahirkan. Maka Irfan Hakimi tinggal bersama dengan ayahnya, Pak Mahmud. Pak Mahmud bertugas sebagai Imam 1 di kampung mereka. Kerjanya bercucuk tanam bagi menyara kehidupan mereka dua beranak.
Pada satu hari, selepas selesai mengerjakan kebun sayur, Irfan Hakimi dan ayahnya bersiap-siap untuk pulang. Irfan mengambil sayur-sayuran untuk dibuat lauk pada hari itu ketika terdengar sesuatu bunyi dibelakangnya. Rupa-rupanya ayahnya jatuh. Siapa sangka Pak Mahmud dipatuk ular tedung yang berbisa.
Irfan Hakimi berasa sangat sedih dan tidak tahu sama ada ingin mencari pertolongan ataupun berada di sisi ayahnya yang kelihatan hampir menemui ajal. Kebun mereka itu jauh sedikit dari tempat orang ramai. Kata-kata terakhir ayahnya disemat di dalam hati. "Ayah tinggalkan kamu dengan Allah…" Subhanallah.
Saya perhatikan Pak Mahmud memanggil anaknya dengan nama penuh. Bukankah elok begitu? J Irfan Hakimi dididik oleh ayahnya sejak kecil lagi akan ketauhidan kepada Allah. Maka anak ini mencerap semua ilmu dan nasihat dari ayahnya lalu menjadikannya seorang yang sangat yakin dengan Allah. Memang beginilah cara yang sepatutnya kita didik anak-anak kita dari kecil.
Kesusahan hidup yang dialaminya tidak begitu dirasai kerana kebergantungannya kepada Allah menjadikan dia seorang yang sabar dan tenang. Malah tingkah laku Irfan Hakimi ini banyak mempengaruhi orang di sekelilingnya.
Selepas kematian ayahnya, dia tinggal bersama Haji Makruf, Imam 2 di kampung itu. Hidupnya diuji dengan kelakuan nakal 3 sekawan ; Hafiz, Jaafar, dan Toriq yang sering menghina dan menabur fitnah ke atas dirinya. Dua cubaan fitnah yang pernah dilakukan ialah menghilangkan buku Irfan Hakimi dan mengambil duit derma kilat yang dipungut oleh Irfan Hakimi serta memasukkan batu ke dalam tabung tersebut.
Irfan Hakimi juga banyak belajar dari Haji Makruf terutama ketika dia mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan semasa percubaan UPSR. Saya terkesan dengan nasihat Haji Makruf kepada Irfan Hakimi. "Irfan, dalam soal usaha, cukup itu tidak dikira dengan angka." (m.s 77) "Kita perlu yakin yang Allah akan bantu kita. Tapi kita tidak boleh menganggap bahawa persediaan kita itulah membuatkan kita berjaya…" "Sebab kamu rasa kamu sudah cukup meminta kepada Allah. Kamu tidak boleh rasa begitu. Dengan Allah, kita tidak boleh rasa cukup. Kita kena terus meminta, meminta, dan meminta. Itu tanda kerendahan hati kita kepada-Nya."(m.s 81)
Buku yang bagi saya wajar ada di rak buku anak-anak remaja. Suka baca bila penulis share ayat2 AlQuran untuk setiap situasi yang watak utama alami. Dengan adanya ayat2 alquran boleh bantu anak muda lebih memahami konsep hidup bertuhan. Konsep setiap apa yang kita buat atas bumi ni kerana Allah. Konsep di mana kita belajar pun kerana Allah..
Novel ini santai tetapi sampai. Isinya tidak terlalu berat dan mudah difahami. Penulis ada mengaitkan sesuatu perkara dengan Al Quran atau Hadis.
Saya sangat kagum dengan watak Irfan dalam novel ini. Tidak ramai kanak-kanak berumur 12 tahun yang sematang Irfan. Dia memahami agama, berakhlak mulia, berfikiran matang, tidak seperti orang lain yang seusia dengannya. Di saat orang lain yang menikmati zaman remaja dengan mencuba pelbagai perkara baru, Irfan tidak begitu. Dia bukan hanya berjaya dalam akademik sekolah sahaja tetapi turut belajar agama yang tidak ada dalam silibus pelajaran. Masa remajanya tidak dilalui dengan sia-sia.
Irfan menyedarkan saya bahawa seorang pendosa itu tidak patut disisihkan atau dihukum dengan neraca manusia. Tugas kita adalah menyampaikan dakwah, menunjukkan teladan yang baik, dan mencintai saudara seIslam seperti kita mencintai diri sendiri.
Semua orang berhak diberi peluang kedua. Semua orang berhak berubah. Sangat penting untuk kita mendekati seorang pendosa untuk memahami apa yang mereka alami. Bukannya terus menghukum seolah-olah kita suci dari dosa.
Dan seorang Mukmin itu pasti akan diuji. Walau kita sudah menjaga hubungan dengan Allah, menyayangi manusia, menunjukkan akhlak yang baik. Kita akan tetap diuji. Kerana ujian itu menguatkan, mendidik dan mematangkan kita. Yang lebih utama, ujian itu membuktikan sama ada kita seorang yang beriman atau tidak.
Buku santai untuk para remaja di luar sana untuk menjadi seorang manusia yang lebih baik. Banyak pengajaran yang boleh diambil untuk remaja dan juga belia. Kerana ia bukan sekadar menyentuh perihal kehidupan remaja di sekolah, dalam kehidupan seharian, tapi menyentuh hal kedewasaan, ilmu agama serta hubungan dengan Tuhan, ibubapa, guru dan juga rakan2. Sangat menyentuh hati dan memberi kesedaran kepada siapa yang lalai dan masih mencari 'hidayah Tuhan'. Paling penting, novel yang nipis untuk menarik minat pelajar untuk mula membaca.
Walaupun begitu, terdapat lubang plot perihal beg sekolah. Dan terlalu banyak 'peach'. Mungkin novel ini pendek jadi terlalu ketara dan kerap nampak 'dakwahnya'. Seakan tidak neutral. Apapun, tahniah kepada penulis. Sangat rekemenkan kepada semua orang tak kira remaja, belia mahupun dewasa.
Baru tahu adanya buku Remaja Mulia karya Tuan Hilal ini. Novel Awal Remaja ini memang patut ada di rak di perpustakaan sekolah & di rumah. Kerana bagi saya buku ini memberi banyak input dan aura positif kepada si pembaca. Tambahan pula, diselitkan dengan nasihat-nasihat dari petikan ayat Al Quran membuatkan kita akan merenung kembali setiap bait dan butir-butir pengisian yang disampaikan.
Meskipun, watak Irfan Hakimi ini berumur 12 tahun. Seorang anak yang sangat baik, patuh dan menjaga akhlaknya. Pemikirannya juga matang. Mungkin pengalaman dan perjalanan kehidupan Irfan tidak seperti orang lain. Matang sebelum usia. Kehilangan ayahnya telah membuatkan Irfan jatuh terduduk. Namun dia bangkit dengan kehadiran Haji Makruf yang sudi menjaganya.
Kita akan menyelusuri cerita Irfan di sekolah. Diganggu oleh budak-budak nakal, berkenalan dengan anak orang kaya yang tiada hala tuju, cinta monyet, pecah amanah, dan lain-lain. Di sekolah Irfan memang dikenali sebagai seorang pelajar yang sangat baik. Jadi, bayangkan di usia yang begitu muda. Ada orang yang dengki dengan kebaikan tersebut dan sanggup melakukan bermacam-macam perkara yang menguji Irfan.
• Suka dengan persahabatan antara Irfan Hakimi & Rasyid. Walaupun berbeza perwatakan dan pendapat. Irfan tidak pernah berkata buruk pasal Rasyid. Malahan, dia cuba memahami keadaan Rasyid dan itu sangat memberi erti kepada Rasyid yang sememangnya hilang arah tuju. Dan sebenarnya rasa lega juga sebab kedua-dua mereka berkawan. Sebab saling melengkapi dan penulis berjaya membuatkan pembaca rasa perasaan indahnya persahabatan.
• Penulis juga selitkan part tuan kedai gunting rambut & Robert yang di sekolah. Kedua-dua manusia ini mengutarakan soalan-soalan yang boleh membuatkan terpesongnya akidah. Sudahlah soalan itu ditanya kepada pelajar sekolah rendah. Mungkin jika tiada pemantauan. Akan rosak akidah. Nak tahu soalan apa kenapa baca 👀 dll
Remaja Mulia ini tidak berat dan penuh dengan pengajaran. Tuan Hilal bukan lagi satu nama asing. Sehingga sekarang Tuan Hilal sudah mengeluarkan karya-karya yang berunsurkan islamik. Yang halus namun tetap memberi ilmu buat pembacanya.
Remaja Mulia adalah karya pertama yang aku baca dari Hilal Asyraf. Sedari aku, waktu umur 10 tahun mungkin, yang pasti di awal terbitan buku ini. Aku dah tak ingat secara terperinci apa plotnya, jalan ceritanya, wataknya, dialog emasnya, tapi yang aku ingat, perasaan aku waktu itu;
Ini adalah novel remaja terbaik dari konteks penciptaan latar dan watak. Rasa puas, gembira, sedih, gelora emosi muda, semangat yang berkobar-kobar, dan membina karakter aku sebagai anak 10 tahun.
Waktu itu aku sangat aktif membaca, karya awal remajalah, dunia sekolah rendah. Mahu triple buku nilam sekolah aku isi setiap tahun. Dan ini adalah antara buku awal remaja dulu yang paling aku ingat sehingga harini perasaan dan emosi ketika & selepas membaca - dari segelintir dalam senarai.
p/s: ulasan anak 10 tahun mungkin kadang dipandang enteng kalau dijadikan rujukan, tapi lihatlah sekarang! Hilal Asyraf dah berjaya mencipta nama sebagai penulis fiksyen dan pencerita tanah air yang prolifik.
Novel awal remaja yang mengandungi unsur pendidikan Islam, sesuai untuk kanak-kanak yang masih mencari identiti dirinya. Pemahaman yang mudah untuk dihadam.