Khalida Atikah, jiwanya bening putih mengalir kalau berbicara tentang roh Islam. Dia mungkin tidak punya cinta tetapi tetap punya cita2. Impiannya cuma satu. Biar apa jua keadaannya, Islam tetap nur di jiwa. Dia juga ada ketika terkeliru dan celaru. Dunia surat khabar ada ketika memaksanya jadi zalim. Mampukah dia.
Azrul Rasyid, dia lelaki keras, kasar lagi lantang. kata2nya penuh luka, bibirnya penuh duri. Cintanya hanya pada diri, tulisannya penuh menyakitkan hati.
Nureen, gadis seksi penuh misteri, angkuh, tamak lagi haloba. Cita-cita dan nafsu dipacu menjadi satu. Sihir bobrok mainan bibir, amalan harian. Setinggi mana mampu mereka menongkat langit. Sejauh manakah cinta mampu bertahan antara Nureen dan Azrul Rasyid seandainya di antara mereka ada wajah hitam yg menguasai.
Cinta Tuhan tidak perlu ditunggu. Cinta Tuhan tidak perlu dinanti. Kasih sayang dan manis rindu pd Tuhan seharusnya menjadi nafas kita setiap saat. Di antara Khalida Atikah, Azrul Rashid dan Nureen siapa yg lebih luhur lagi putih utk disapa cinta Penciptanya?
“Tanpa kasih umi, aku umpama pepohon yang hilang rimbun hijaunya. Tanpa restu abah, aku bagaikan labah-labah yang lelah menganyam jaring. Ya, tanpa mereka, sebenarnya aku adalah jantung tanpa degup. Sukarnya segala-gala!”-Azrul Rasyid-
Novel ini merupakan sambungan daripada novel Menunggu Cinta Tuhan yang mengisahkan tentang kehidupan Azrul Rasyid selepas kejadian tanah runtuh yang telah meragut nyawa kekasih hatinya, Nureen. Selepas kejadian tersebut tersingkaplah kisah silam Azrul Rasyid yang dia sendiri tidak pernah mengetahuinya dan telah memberi impak yang sangat besar kepada kerjayanya sebagai seorang wartawan artis yang digeruni dan kehidupan Azrul Rasyid yang semakin renggang dengan ibu yang paling dia sayangi. Pada ketika itu barulah dia sedar langit itu tinggi atau rendah apabila semua orang berkata buruk tentangnya seperti yang dia pernah lakukan terhadap artis-artis yang menjadi mangsa gosipnya.
Bahasa yang digunakan di dalam novel ini sangat indah dan puitis. Cuma pada bahagian dialog, emosi watak semasa bercakap dia menjadi turun naik. Sekejap marah, sekejap baik dalam satu dialog yang sama. Kadang-kadang saya menjadi keliru dia sedang marah atau tidak. Tema novel ini sangat menarik dan berat iaitu tentang dendam, ibu bapa, mangsa rogol, hubungan seks bebas dan sebagainya.
sekuel dari Menunggu Cinta Tuhan... bacalah... banyak pelajari sikap-sikat manusia yang tidak dijangka ada dalam realiti... dan ia boleh menerbitkan rasa keinsafan dalam diri tatkala membacanya...
Karya yang sungguh luarbiasa dan mampu menjentik pelbagai rasa dan buat pembaca insafi diri akan dosa-dosa yang telah kita lakukan sepanjang usia kita ini...Percayalah Tuhan Masih Mencintaiku dan kamu !
Ini merupakan sambungan dari Novel menunggu Cinta Tuhan. kali ini kesannya lebih besar di mana Azrul Rasyid berhijrah ke arah lebih baik. Di mana beliau lebih bermuhasabah diri meskipun terganggu dengan asal usul dirinya dan ugutan manusia.
Azrul Rasyid berkhidmat di Unit Prihatin untuk membawa dirinya memahami manusia hatta masyarakat yang sudah dan memerlukan.
Novel ini mengajar erti kemanusiaan, nilai sosial selain mencari dan mencintai tuhan
Azrul Rashid Hakim seorang editor tersohor ruangan hiburan Akhbar Dinamik beralih arah ke meja Prihatin. Rupanya membuat kerja-kerja kebajikan tidak semudah yang disangka. Mereka susah mendapat penaja. Akhirnya memaksa beliau turun ke lapangan melihat sendiri satu-persatu kisah masyarakat yang menyayat hati. Walaupun fiksyen, saya percaya kisah itu tetap wujud alam realiti. Mengajar kita erti bersyukur dan terima segala ketentuan seadanya.
Setelah terselamat dari runtuhan kondominium, beliau berubah 360 darjah, beliau cuba melakukan hijrah. Dalam kerjaya dan juga sikap. ditambah dengan kemelut diri sebagai anak tak sah taraf, segalanya dirasa begitu menghimpit dan terhimpit. Penawarnya mendekati Allah. Di situ punca segala ketenangan.
Khalida Atikah, wartawan muda yang sentiasa menerima maki-hamun seorang ketua menjadi pendengar setia setiap keluh kesah Azrul Rasyid. Beliau yang digambarkan selurus lebuhraya Utara Selatan banyak memainkan peranan dalam proses penghijrahan Azrul Rasyid.
Kerana dendam dan hasad manusia sanggup melakukan apa saja waima menduakan Allah. Kerana hasad, manusia tidak senang melihat kebahagiaan orang lain. Itulah yang berlaku.
Latifah tidak dapat menerima ketentuan takdir, bahawa ajal maut ketentuan tuhan. Kematian Nureen dan penutupan kedai makannya menyebabkan beliau kehilangan arah. Juga makin jauh dari Tuhan. Beliau bersekongkol dengan Azie yang juga bekas teman serumah Khalida Atikah untuk menjerat Azrul Rashid. Namun, seperti salah satu hadis Rasulullah' "seandainya seseorang dan seluruh makhluk berkumpul untuk memberi kebaikan untukmu tetapi tanpa izin Allah, maka ia tak berlaku. Dan seandainya seseorang dan semua isi alam bersatu untuk memberi kejahatan padamu, tanpa izin Allah, nescaya ia tak mampu memudharatkan mu." Itulah yang berlaku, ketentuanNya, Azrul rashid sentiasa terselamat.
Dalam pencarian diri, beliau bertemu insan-insan berhati emas. Mengajar erti sebuah ketabahan dan keberadaan seorang makhluk kerana Tuhan itu sentiasa mencintai MakhlukNya.