Goodreads Malaysia discussion
Arkib (Maraton Membaca 2017)
>
Sasaran 25 Buah Buku untuk 2017!
date
newest »
newest »
Buku #1HAMKA – Tuan Direktur
Tuan Direktur ialah novel pertama daripada Buya HAMKA yang telah saya berjaya mengakhiri pembacaannya. Penulisan Buya HAMKA memang sangat halus dan penuh dengan nasihat yang tulus.
Novel ini sangat memberi saya pengajaran akan hakikat kekayaan hidup yang sebenarnya. Nyata, kekayaan sebenar bukanlah kekayaan wang ringgit seperti yang selalu difikirkan oleh orang kebanyakan, tetapi kekayaan budi itulah kekayaan hakiki. Tidak salah untuk kita mencari pekerjaan dan mengejar kekayaan kerana manusia itu sendiri dituntut untuk bekerja mencari rezeki. Namun, yang salahnya ialah apabila cita-cita asli (bekerja bagi membantu penghidupan diri dan masyarakat) ditenggelami oleh cita-cita mengejar wang dan kekayaan yang bersifat sementara.
Insya-Allah, saya bakal membelek siri-siri novel daripada Buya HAMKA yang seterusnya.
Sama!Saya sudah ada hampir semua koleksi karya beliau. Tinggal untuk saya membaca dan mentelaah sahaja karya-karya tersebut :)
Buku #2HAMKA – Di Bawah Lindungan Ka'bah
Alhamdulillah, berjaya menghabisi pembacaan karya Buya HAMKA buat kali kedua.
Walaupun saya telah mendapat tahu bahawa novel ini telah diangkat ke persada pawagam, namun sejujurnya saya belum pernah lagi menonton filem tersebut. Rupa-rupanya, novel ini juga menukilkan perihal kisah cinta yang tragis sepertimana “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck” yang hangat diperkatakan oleh orang kebanyakan.
Sebak. Hanya perkataan itu sahaja yang layak diperkatakan usai mengakhiri pembacaan novel ini. Hamid sanggup memendam perasaan cintanya terhadap Zainab atas dasar hormat dan faktor perbezaan darjat. Zainab pula sanggup menahan rindu dan tetap setia meskipun Hamid berangkat pergi dan berjauhan untuk beberapa ketika.
Walaupun pada akhirnya kedua-duanya berjaya meluahkan perasaan mereka yang terpendam buat sekian lama melalui mata pena, namun mereka tidak sempat bertentang mata buat kali terakhir kerana masing-masing dijemput Ilahi pada musim haji yang mulia.
Mungkin peleraian kisah ini tampak tragis dan menyayat hati, namun novel ini membuktikan bahawa ketulusan dan kesucian cinta, jika dipelihara sebaik mungkin di dalam lingkungan adat, budi, dan agama, hal itu lebih baik berbanding cinta yang tidak dipagari dengan iman dan hanya berlatarkan nafsu semata-mata.
Insya-Allah, nanti saya cuba tonton filemnya pula. Mungkin saya kena sediakan tisu dulu sebelum menonton, hehe.
Buku #3HAMKA – Merantau ke Deli
Tidak saya sangka sama sekali. Walaupun sibuk dengan latihan Kor Sukarelawan Siswa Polis (SUKSIS) Universiti Malaya, namun sempat juga saya menyelesaikan pembacaan novel ini dalam masa kurang seminggu. Tahniah untuk diri sendiri!
Berikut ialah beberapa pengajaran penting hasil daripada pembacaan saya terhadap novel ini:1. Tidak semestinya manusia yang mempunyai masa lalu yang kelam bakal menghadapi masa depan yang suram juga. Begitu jua, tidak semestinya manusia yang mempunyai masa lalu yang gagah akan terus berkekalan menikmati masa depan yang cerah jua. Apa yang penting adalah bagaimana usaha dan ikhtiar kita pada masa ini untuk memastikan keberuntungan kita pada masa akan datang sentiasa subur dan terjamin.
2. Adat resam sesuatu masyarakat itu adakalanya masih sesuai untuk diikuti dan adakalanya merugikan pula untuk dituruti. Terpulang ke atas kita bagi membuat penilaian yang bijak berdasarkan pertimbangan akal yang waras dan bukan menjadikan hawa nafsu sebagai penasihat.
3. Alam perkahwinan itu bukan semuanya indah dan lazat seperti yang selalu dikisahkan oleh cerita-cerita fantasi. Ada bukit yang perlu didaki. Ada lurah yang perlu dituruni. Ada lautan yang perlu diredahi. Apabila kesemua itu sama-sama dapat ditempuhi oleh pasangan suami isteri dengan penuh cekal dan tabah, sebetulnya hal itu yang menjadi erti kemanisan perkahwinan yang sebenarnya, bukan hanya tertakluk pada kemanisan ketika berbulan madu atau fasa-fasa awal pernikahan dan percintaan semata-mata.
4. Pada saat kita sering menyangka bahawa kesusahan itu ialah ujian dalam kehidupan, kita sering terlupa bahawa kesenangan itu adalah satu bentuk ujian kehidupan juga. Sedihnya, banyak manusia yang tertewas atau karam dalam melayari gelombang kesenangan berbanding menongkah arus kesusahan.
5. Tiada guna bagi kita untuk terus menyimpan perasaan dendam terhadap orang yang telah melakukan kesalahan kepada kita. Walau seberat mana pun kesalahan yang telah ditimpakan ke atas diri kita, namun sikap pemaaf itulah yang akan terus menjadi kayu ukur dan bahan bukti akan ketinggian budi, keluhuran pekerti, dan kesucian peribadi seseorang.
Lima bintang untuk “Merantau ke Deli”!
Buku #4Khairul Abdullah – Mentaliti Jamban
Saya memilih untuk membaca buku ini selepas saya pulang dari program pertukaran pelajar selama satu semester di Korea Selatan. Apa yang boleh saya katakan melalui penulisannya yang santai ialah, saya sangat bersetuju dengan segala butir katanya kerana saya juga memendam perasaan yang serupa terhadap segelintir sikap atau perbuatan rakyat Malaysia yang agak buruk dan masih memiliki mentaliti 'jamban.' Penulisnya, saudara Khairul Abdullah yang telah menetap di Jerman selama empat tahun serta telah mengembara ke beberapa bandar utama dunia berjaya membawa beberapa contoh yang baik dan berguna daripada masyarakat luar negara agar dapat dijadikan pengajaran dan tauladan untuk kita sebagai rakyat Malaysia.
Walaupun hakikatnya, ada juga sebahagian daripada sikap rakyat negara luar yang kurang baik, namun tidak salah bukan untuk kita mengambil contoh yang baik-baik sahaja seterusnya mengamalkannya dalam segenap sudut kehidupan? Bukankah Tuhan itu Maha Indah dan suka akan keindahan? Pepatah Melayu juga ada mengatakan, “buang yang keruh, ambil yang jernih.” Jadi, jika kalian tercari-cari bagaimana ingin memperbaik beberapa kelemahan dan mengubah mentaliti kita sebagai rakyat Malaysia ke arah yang lebih maju dan bertamadun, bacalah buku ini. Insya-Allah, bak kata penulis, kalian pasti akan dapat membuang air dengan lebih lawas dan puas usai menghabiskan pembacaan naskhah ringan ini.
Buku #5Halian Azurin – I'm a Backpackers: Korea
Kenapalah saya baru terjumpa buku ini selepas saya pulang dari program pertukaran pelajar selama satu semester di Korea Selatan? Terlalu banyak info yang menarik dan berguna berkaitan Korea Selatan hanya dalam senaskhah buku.
Bermula dari sejarah ringkas Korea, budaya dan masyarakat Korea, info empat musim, ikhtiar-ikhtiar hidup, kawasan pelancongan menarik, dan banyak lagi. Ringkas namun cukup padat bagi sesiapa saja yang mahu berkelana ke Bumi Sonata tersebut. Paling penting, segala butiran adalah dalam bahasa Melayu!
Saya kira, pembacaan saya terhadap buku ini lebih kepada mengenang segala memori indah saya kepada Bumi bertuah tersebut saat saya berada di sana selama lebih kurang empat bulan. Wahai Tuhan, sesungguhnya saya amat merindui Bumi Kimchi itu!
Terima kasih kepada saudara pengarang dan pihak penerbit I'm a Backpackers: Korea atas naskhah yang sangat kompak ini :)
message 16:
by
Najibah, Penterjemah yang mencintai kata-kata
(last edited Feb 10, 2017 02:39AM)
(new)
Tema dan plot buku2 HAMKA sebenarnya tidak jauh beza dengan buku-buku cinta yang lain, tapi cara beliau mengolahnya yang menjadikan kisah-kisah itu istimewa.
Kalau dari segi budaya membaca di Korea, macam mana ya?
Kalau dari segi budaya membaca di Korea, macam mana ya?
Ya, betul tu kak Najibah.Kalau dari sudut budaya membaca buku dalam kalangan masyarakat Korea, saya tidak berapa nampak budaya membaca mereka serancak atau semantap budaya membaca masyarakat Jepun. Kalau masyarakat Jepun, kita mudah mendapati mereka membaca buku di tempat-tempat awam seperti di dalam gerabak kereta api, di atas bas, di dalam kafe, dan sebagainya, tetapi tidak di Korea. Tetapi saya pernah terjumpa rak yang berisi buku di tempat awam seperti di perhentian bas.
Pernah terdengar juga daripada seorang kakak senior di sana mengenai sebuah kafe buku besar yang berada di ibu kota Seoul yang menjadi 'syurga' bagi para pencinta buku di sekitar Seoul. Sayangnya, saya tidak berkesempatan pula untuk ke sana. Mungkin pada lain masa :)
Buku #6Komuniti Jejak Tarbiah – Revolusi Tanpa Budi Tidak Pernah Menang
“Revolusi Tanpa Budi Tidak Pernah Menang.”
Itulah judul penuh makna yang telah dinamakan terhadap naskhah bersaiz sederhana ini. Mengandungi himpunan penulisan daripada 16 orang pengarang dengan kata pengantar dinukilkan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi sendiri, buku ini telah diterbitkan oleh Komuniti Jejak Tarbiah asbab terinspirasi daripada seorang pemikir unggul Melayu yang lahir pada zaman prakemerdekaan Tanah Melayu, Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih dikenali dengan gelaran “Pendeta Za‘ba.”
Apa yang saya dapati daripada setiap orang penulis yang bercerita mengenai Pendeta Za‘ba dalam naskhah ini, masing-masing telah menyumbangkan karya mereka melalui gaya penulisan yang tersendiri. Ada yang menulis berdasarkan pengalaman, ada yang mengarang puisi, ada yang menulis rencana, malah ada juga yang menulis sambil menghubungkaitkan bidang psikologi. Sangat menarik untuk ditelaah satu persatu.
Tambahan pula, hampir kesemua penulis yang terlibat, jika menyertakan rujukan daripada Pendeta Za‘ba dalam setiap penulisan mereka, pasti akan menyebut nama salah sebuah magnum opus karangan Pendeta Za‘ba sendiri, iaitu “Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri.” Saya kira, karya agung tersebut pasti memberikan kesan yang sangat besar kepada setiap pembaca yang pernah mentelaahnya. Tidak lengkap untuk kita mengenali susuk tubuh berpengaruh ini tanpa membelek naskhah itu terlebih dahulu.
Walaupun ada sesetengah bait atau isi dalam penulisan yang mungkin saya kurang bersetuju dengannya, namun tidak salah rasanya untuk saya tetap meneruskan pembacaan kerana setiap penulisan yang dihasilkan pun tercetus daripada sudut pandang penulisnya juga. Pada akhirnya, semuanya berbalik kepada pembaca untuk menilai setiap patah kata karangan tersebut.
Tahniah kepada Komuniti Jejak Tarbiah atas usaha memperkenalkan Pendeta Za‘ba, khususnya kepada masyarakat Melayu dengan penerbitan naskhah yang santai dan ringan ini!
Buku #7Matluthfi – Kisah 25 Filsuf Barat
Saya tidak pasti sejak bila saya mula meminati bidang falsafah dan tergerak hati untuk membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan falsafah. Mungkin disebabkan saya ada mengikuti beberapa kelas di kampus saya yang berkaitan dengan akidah dan falsafah Islam (ilmu Kalam), jadi hal tersebut secara tidak langsung mendorong saya untuk mengambil tahu serba sedikit juga berkaitan fasafah Barat.
Buku ini seperti yang diberitahu oleh saudara Matluthfi pada bahagian pendahuluan hanyalah terjemahan daripada video-video dan tulisan-tulisan ‘The School of Life (TSoL)’, sebuah projek pendidikan pop oleh Alain de Botton, seorang filsuf kontemporari dan penulis British, namun diolah dengan gaya dan laras bahasa yang sesuai dan santai mengikut konteks masyarakat Malaysia zaman ini.
25 orang filsuf Barat yang dipilih oleh saudara pengarang untuk dimuatkan dalam naskhah ini bermula dari seawal zaman Tamadun Yunani hingga abad ke-20 masihi. Mungkin disebabkan kita biasa dengan bilangan 25 orang Rasul yang wajib diketahui, maka Matluthfi juga mengambil angka 25 orang filsuf sebagai pengenalan terhadap beberapa buah falsafah yang dibawa oleh mereka.
Karya ini sangat sesuai untuk orang seperti saya yang mahu berjinak-jinak dengan dunia falsafah Barat. Bahasanya juga mudah, santai, dan tidak terlalu berat. Bahkan, adakalanya terlalu santai juga hinggakan nota kaki pun dibuat secara berseloroh dan tidak berilmiah, haha.
Namun, walau buku ini telah cuba dikarang sesantai mungkin, terdapat juga beberapa bahagian tokoh tertentu yang memerlukan anda untuk duduk dan diam sebentar bagi menghadam lumat-lumat apa sebenarnya yang hendak dimaksudkan melalui kata-katanya. Jadi, pastikan anda mempunyai ruang dan masa yang betul-betul lapang bagi menikmati pembacaan buku ini sebaik mungkin. Kalau tidak, mungkin kepala anda juga boleh terasa bagai hendak pecah.
Tahniah saudara Matluthfi atas usaha ini! Tak sabar hendak membaca karya saudara yang seterusnya pula: ‘Alegori Rumah Api’
Buku #8Ahmad Naqiuddin – Gagasan Pemikiran Syeikh Abdullah bin Bayyah (Terjemahan Artikel Pilihan)
Mula mengenali Syeikh Abdullah bin Bayyah melalui sahabat baik di Universiti Malaya yang sentiasa berkongsi pemikiran dan mutiara hikmah beliau melalui halaman Facebook ‘Pencinta Abdullah bin Bayyah – Malaysia’.
Saya juga berhasil memperoleh buku ini setelah sahabat tadi juga menjemput penterjemah naskhah ini yang juga merupakan senior beliau sewaktu di sekolah dahulu untuk suatu program bedah buku.
Naskhah ini sangat disyorkan untuk dimiliki oleh sesiapa saja yang ingin mengetahui dan mendalami buah fikir Syeikh Abdullah, terutamanya yang berkaitan dengan hal-hal keamanan dan keharmonian dalam dunia Islam.
Buku #9Syeikh Burhanuddin Az-Zarnuji – Pelita Penuntut Ilmu (Ta‘lim al-Muta‘allim)
Selalu kita dengar ungkapan “adab sebelum ilmu”, bukan? Buku ini adalah salah satu karya wajib yang perlu dihadam oleh setiap orang yang bergelar penuntut ilmu bagi merealisasikan ungkapan tadi.
Sekadar membaca secara bersendirian sahaja adalah tidak mencukupi. Perlu juga untuk kita berusaha mencari guru yang berkelayakan untuk kita belajar dan menuntut secara berhadapan (bertalaqi) dengannya agar keberkatan dan kepuasan belajar itu lebih dapat dirasai.
Sebetulnya, setelah menelusuri helaian demi helaian naskhah ini, terlalu banyak perkara yang kadang-kadang kita terlepas pandang atau secara tidak sedar, kita telah melakukan sesuatu yang melanggar adab selaku penuntut ilmu. Sebab itu tidak pelik kalau kita lihat pada zaman ini, manusia semakin pandai, namun adab dan kesopanan pula semakin hilang entah ke mana. Itulah bahana mencari ilmu tanpa mempelajari adab terlebih dahulu.
Jom sama-sama menggali keberkatan ilmu melalui penghayatan magnum opus ini!
Buku #10Za‘ba – Perangai Bergantung pada Diri Sendiri
Sebelum ini, saya telah membuat ulasan terhadap naskhah ‘Revolusi Tanpa Budi Tidak Pernah Menang’ terbitan Komuniti Jejak Tarbiah. Penulisan buku tersebut ialah hasil daripada pembacaan para penulisnya terhadap karya agung Pendeta Za‘ba yang satu ini.
Benarlah sepertimana judul buku ini, Za‘ba sangat mengharapkan anak bangsanya agar sentiasa berdiri di atas kaki sendiri (berdikari) dan tidak terlalu mengharapkan orang lain dalam mencapai kemajuan hidup. Sikap terlalu bergantung harap pada orang lain tentunya akan melahirkan generasi yang pasif, tidak kreatif dalam menyelesaikan masalah, serta perasaan rendah diri yang melampau.
Yang dimaksudkan dengan ‘bergantung pada diri sendiri’ juga ialah, kita hendaklah sentiasa mengakui kelemahan diri sendiri apabila berlaku suatu kesilapan dan berhenti daripada asyik menyalahkan orang lain. Sikap sering menuding jari hanya akan melahirkan insan yang hilang rasa tanggungjawab terhadap diri masing-masing. Bukankah setiap amalan yang kita lakukan adalah bergantung pada diri sendiri jua?
Bacalah, wahai anak bangsaku! Sama-sama kita perbetul dan perbaiki diri demi kemajuan anak bangsa yang diimpikan pada masa akan datang!





Kiriman ini sebenarnya ialah kiriman kali pertama daripada saya di dalam Goodreads walaupun telah lama saya menjadi ahli Goodreads lebih kurang tiga tahun yang lalu. Harapan saya ialah, semoga sasaran saya kali ini benar-benar serius dan tercapai dengan jayanya, Insya-Allah.
Mohon doa selalu ~