Goodreads Malaysia discussion
Arkib (Maraton Membaca 2017)
>
Eksplorasi buku 2017-Zawani Syafiqah
date
newest »
newest »
1.
oleh Ahmat AdamTAMAT BACA : 11 Januari 2017
RATING : A
GENRE : Akademik/Sejarah
ULASAN :
Suatu kajian ilmiah yang sangat menarik dan kontroversi daripada Prof Ahmat Adam. Dalam proses pembuktian sesuatu sejarah, metodologi dan bahan yang dikaji sangat memainkan peranan yang penting. Sejarah seharusnya bersifat objektiviti dan tidak memihak kepada sesiapa serta perlu dibuktikan dengan bukti yang sahih dan meyakinkan. Mitos dan lagenda pula perlu dibezakan dan tidak wajar dicampuradukkan bersama sejarah.
Di dalam buku ini, Prof Ahmat Adam cuba mempertikaikan beberapa kenyataan yang dikatakan sebagai 'sejarah' tentang Tanah Melayu; kewujudan Hang Tuah dan sahabatnya. Metod yang digunakan oleh Prof Ahmat Adam lebih kepada metod filologi (ilmu yang mempelajari bahasa dalam sumber-sumber sejarah) dan sumber utama yang dikaji adalah tulisan Sulalatus Salatin (juga disebut sebagai Sejarah Melayu) naskah Krusenstern yang tersimpan di Arkib Institut Manuskrip Oriental, Saint-Petersburg Rusia. Naskah Krusenstern ini juga turut dibuat perbandingan bersama naskah yang lebih popular; naskah Raffles No.18, naskah Shallebear dan Abdullah Munsyi.
Antara yang mengejutkan, bukan sahaja kewujudan Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya sahaja yang diragui malah penulis asal kepada Sulalatus Salatin (dalam kes ini merujuk pada Tun Seri Lanang) juga turut dipertikaikan. Menurut Prof Ahmat Adam, kesilapan-kesilapan besar dalam transliterasi karya Sulalatus Salatin ke dalam Bahasa Melayu moden (peralihan daripada huruf jawi ke rumi umpamanya) telah menyebabkan banyak istilah dan nama yang tersasar daripada makna sebenar. Hal ini kerana banyak perkataan di dalam Sulalatus Salatin yang berasal daripada Jawa Kuno (Kawi). Ini menunjukkan betapa pentingnya penguasaan bahasa lama untuk mendalami dan mengkaji sejarah.
Beliau juga turut mengkritik sesetengah pihak yang menipu penemuan kononnya makam Hang Tuah di Tanjung Keling yang sebenarnya tidak pernah pun dibuktikan dengan kajian terperinci seperti kajian arkeologi (tulang) mahupun DNA. Prof Ahmat Adam juga mengingatkan bahawa tidak wajar Sulalatus Salatin dianggap sebagai kitab sejarah kerana kewujudan banyak mitos seperti peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang, kedatangan Puteri Hang Li Po ke Melaka (puteri ini tidak pernah wujud dalam sejarah China), kisah Wan Empu dan Wan Malini dan banyak lagi. Sebaliknya karya Sualatus Salatin perlu dilihat sebagai karya sastera klasik dan bukannya kitab sejarah.
Buku ini saya kira antara buku wajib baca sekurangnya pada mereka yang ingin mengkaji lebih lanjut tentang kebenaran lagenda Melayu Hang Tuah supaya tidak senang-senang menanggapi mitos sebagai sejarah.
2.
oleh Kua BusanTAMAT BACA : 18 Januari 2017
RATING : C+
GENRE : Sejarah/Akademik
ULASAN :
Pada mulanya saya fikir tulisan ini bertumpu pada proses penentangan penjajahan British oleh Kesatuan Guru (di dalam kajian ini merujuk pada Singapore Teachers’ Union (STU) dan Malayan Teachers’ Union(MTU)) ke arah kemerdekaan di Tanah Melayu. Rupa-rupanya, kajian ini lebih memfokuskan pada isu-isu yang lebih mendasar dalam social guru seputar kadar gaji, isu kenaikan pangkat guru yang tidak adil oleh penjajah, isu perkauman dan diskriminasi terhadap guru tempatan (rakyat British diberi keutamaan untuk mengisi jawatan guru dan jawatan yang lebih tinggi berbanding rakyat tempatan).
Prof Syed Hussein Alatas ada mengingatkan bahawa kaum intelektual sangat memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat. Tidak hairanlah dalam proses ke arah kemerdekaan, rata-rata sejarah menunjukkan penglibatan yang sangat ketara daripada kaum intelektual. Guru sebenarnya boleh dikategorikan sebagai salah satu golongan intelektual kerana mereka yang mendidik anak bangsa sejak daripada bangku sekolah.
Namun mungkin sisi ini tidak disentuh secara mendalam oleh penulis. Hampir 80% isi buku ini berkisarkan isu berkaitan guru sahaja dan hanya di bahagian akhir baru penulis ada menyelitkan isu silibus pembelajaran yang menjadi salah satu agenda perjuangan STU dan MTU. STU dan MTU mahukan silibus pembelajaran yang lebih bersifat lokal serta mempunyai nilai ilmu (ilmu hisab, ilmu alam, etc) dan tidak mahu mengikuti silibus daripada British yang lebih kepada silibus berkenaan hal-hal pentadbiran (perkeranian, pengkelasan data, etc). Perjuangan MTU dan STU walaubagaimanapun berakhir pada tahun 1949 dan diishtiharkan sebagai pertubuhan yang haram oleh pihak Biritish.
3.
oleh Syed Syeikh Ahmad al-HadiTAMAT BACA : 19 Januari 2017
RATING : A
GENRE : Sastera klasik (Romantis)
ULASAN :
Faridah Hanom atau naskah asalnya yang bertajuk ‘Setia Asyik Kepada Masyuknya’ atau ‘Shafik Afandi Dengan Faridah Hanom’ adalah sebuah karya klasik oleh pelopor Kaum Muda di Tanah Melayu sebelum merdeka yang kurang dikenali dan diangkat hari ini iaitu Syed Sheikh Syed Ahmad Al-Hadi. Karya klasik yang bersifat romantis ini bukan semata-mata berkisarkan percintaan Faridah Hanom dan kekasihnya Shafik Afandi tetapi juga turut diselitkan isu emansipasi wanita (proses pembebasan wanita dalam agama atau ekonomi untuk mendapatkan hak yang sama rata dengan lelaki) dalam pergelutan adat dan agama.
Di dalam karya ini, Faridah Hanom ditonjolkan sebagai watak seorang perempuan berbangsa Arab (Mesir) yang bukan sahaja cantik rupa parasnya malah juga beradab dan berpendidikan tinggi ; fasih Bahasa Perancis dan tinggi ilmu agamanya (kebolehan membaca kitab-kitab ulama). Dia juga mempunyai cita-cita yang tinggi dan mulia yakni ingin membebaskan wanita-wanita di Mesir daripada belenggu patriarki yang bukan sahaja mencengkam budaya dan adat Mesir malah turut mempengaruhi pemahaman agama Islam terhadap wanita. Ini dibuktikan melalui kata-katanya (semasa berbual bersama Shafik Afandi) yang mengkritik agamawan (dalam karya ini merujuk pada pak-pak lebai beserban besar) yang wewenang menegah perempuan daripada mempelajari ilmu agama dan dunia dengan menggunakan dalil bahawa wanita itu kurang satu tingkat daripada lelaki.
Faridah Hanom juga turut mengkritik pemikiran bangsanya yang patriarki (wanita dilihat sebagai objek; di dalam karya merujuk pada adat kebiasaan wanita di Mesir hanyalah sebagai ‘kuda tunggangan’ suaminya) dan membandingkan kemajuan bangsanya dan bangsa Inggeris; bahawa bangsa Inggeris itu berjaya kerana lelaki dan wanitanya diberi peluang yang sama rata terutama dalam proses menuntut ilmu, bahawa orang yang bodoh diperintah oleh orang yang pandai. Turut juga diselitkan isu kesusahan seorang wanita dalam penuntutan penceraian (Faridah Hanom terhadap bekas suaminya Badaruddin Afandi) dan kepentingan ketua keluarga yang perlu berbincang dahulu dengan ahli keluarga sebelum membuat keputusan yang besar (ayah Faridah Hanom yang menyetujui peminangan Badaruddin Afandi tanpa meminta persetujuan Faridah Hanom).
Di akhir cerita juga turut dinyatakan kelebihan perempuan di dalam agama Islam serta sebab mengapa pembahagian harta pusaka melebihkan lelaki dan bukan wanita dan lagi menarik bilamana Faridah Hanom sendiri yang memahami hikmah ini dan menyetujuinya dan menyerahkan kesemua hartanya untuk dibelanjakan keatas wanita-wanita di Mesir untuk menuntut ilmu (agak kontradik kerana kebiasaan wanita yang inginkan kebebasan dan hak sama rata dilihat turut juga mengkritik proses pembahagian harta pusaka di dalam Islam).
Namun rasanya isu emansipasi wanita di dalam karya ini hanyalah 1/7 daripada keseluruhan cerita dan selebihnya banyak manis-manis percintaan di antara Faridah Hanom dan Shafik Afandi sehinggakan saya rasa jika diletakkan buku ini di dapur barangkali akan dihurungi semut yang keliru mana satu gula dan mana satu buku. Hahaha. Mungkin juga penulis sengaja merangka karyanya seperti ini bersesuaian dengan pemikiran masyarakat zaman buku ini diterbitkan (1925).
4.
oleh
TAMAT BACA : 6 Februari 2017
RATING : A
GENRE : Sastera/Sejarah
ULASAN :
Jujurnya ini karya sastera pertama daripada Faizal Tehrani yang pernah saya baca. Ternyata, karya FT sangat mengagumkan. Surat-surat Perempuan Johor sarat dengan fakta sejarah Johor terutama daripada segi perundangan. Mengungkit kembali sejarah perundangan Johor suatu ketika dahulu yang berasaskan undang-undang Islam; Majalah Ahkam Johor. Turut dimuatkan juga dalam karya ini kepelbagaian pengunaan bahasa seperti Bahasa Arab, Bahasa Turki, Bahasa Jawa dan Bahasa Melayu Lama selain keindahan penggunaan sastera Melayu seperti syair dan pantun. Setiap ayat juga mempunyai lenggok tersendiri, menampilkan sisi FT yang kaya dengan penggunaan bahasa Melayu. Tentunya banyak kajian perlu dilakukan untuk melengkapkan karya ini.
Cumanya idea Kerajaan Islam dan Undang-undang Islam yang cuba dicanang dan diangkat oleh watak utama untuk masa kini mungkin memerlukan banyak kupasan dan perbincangan. Pandangan saya agak kontra sedikit dengan idea watak utama dalam karya ini sehingga membuatkan bacaan saya agak tersekat-sekat kerana membuat nota-nota tepi.hoho. Dan saya percaya, pandangan FT sendiri tentang Kerajaan Islam dan Undang-undang Islam sudah sedikit berubah.
Apapun, 5 bintang untuk karya yang hebat ini! Agak cemburu juga dengan perempuan yang berketurunan Johor, punyai karya yang mengangkat martabat mereka. Bilalah pula agaknya ada yang sudi menulis Surat-surat Perempuan Perak? Hehe..
5.
oleh
Dr. Azhar IbrahimTAMAT BACA : 14 Mac 2017
RATING : A
GENRE : Akademik/Bahasa
ULASAN :
Makalah yang sarat dengan kajian terperinci mengenai kepentingan bahasa Melayu dalam perkembangan intelektualisme di Nusantara khususnya di Singapura. Pada bahagian awal penulisan Dr. Azhar banyak menerangkan tentang bagaimana berpengaruhnya Bahasa Melayu yang suatu ketika dahulu pernah menjadi lingua franca di Nusantara dan membantu perkembangan intelektual masyarakat serantau melalui pembudayaan sastera-sastera Melayu umpamya. Dr. Azhar juga turut mengkritik sifat feudalisme yang mendominasi pembudayaan ilmu yang sedikit sebanyak telah membataskan perkembangan intelektualisme dalam kalangan rakyat biasa; budaya ilmu dan sastera hanya berlegar di istana bersama anak-anak raja dan bangsawan semata. Turut juga dikritik pemikiran masyarakat kini (Singapura) yang seringkali suka menegur secara terbuka setiap kesalahan-kesalahan kecil seperti tatabahasa contohnya pada anak muda yang baru berjinak-jinak dengan Bahasa Melayu.
Selebihnya esei-esei di dalam makalah ini memfokuskan bagaimana proses pemantapan pendidikan Bahasa Melayu boleh dilaksanakan di Singapura. Antara idea yang menarik daripada penulis termasuklah cadangan idealisme Arif Budiman dalam pendidikan Bahasa Melayu di Singapura. Idealisme Arif Budiman ini merupakan batu lonjak kepada cita-cita Cita Warisan oleh Prof Syed Hussein Alatas. Terdapat sepuluh ciri-ciri Arif Budiman yang digarikan oleh Dr. Azhar; seseorang itu haruslah akur dengan haknya sebagai individu, setelah menyedari akan hak individu tersebut beerti tanggungjawab individu terhadap kemanusiaan sejagat, dasar pemikiran diteguhkan oleh akal, bersifat progresif kritis dan kreatif, berbudaya dan membumi dengan budaya lokal, boleh menerima pelbagai dimensi pemikiran dan budaya, teguh meyakini ajaran agma/moral/etika, berani memperbetul kesalahan masyarakat, menolak sikap prejudis, tidak menolak penafian sejarah.
6.
oleh
Zharif ZainuddinTAMAT BACA : 24 Mac 2017
RATING : A
GENRE : Sastera/Politik
ULASAN :
Nipis sedikit berbanding novelnya yang sebelum ini (Tuhan Bukan Manusia), namun masih berbisa daripada penulis. Surat-surat Untuk Annelies ini lebih kepada coretan memori tentang isu-isu panas dan peristiwa penting sepanjang tahun 2015 di bumi Malaysia. Cumanya cara penyampaian oleh penulis lebih menarik kerana dicoretkan berbentuk surat. Namun siapakah Annelies? Sampai ke akhir surat tidak diberitahu akan siapa watak bernama Annelies ini. Barangkali bakal anak atau cucu kepada penulis agaknya. Haha.
7.
oleh
Faisal TehraniTAMAT BACA : 30 Mac 2017
RATING : A
GENRE : Sastera/Politik
ULASAN :
Novel sulung FT yang mengetengahkan cerita masyarakat yang ditindas oleh penguasa politik dan pemaju yang merampas tanah atas nama 'pembanggunan'. Pelacur dan ahli politik itu sama sahaja, dua-dua melacurkan diri demi mencapai sesuatu malah politikus itu lebih teruk. Jika pelacur melacur diri untuk mendapatkan wang, ahli politik pula melacur diri untuk jawatan, kuasa malah wang juga!
Karya kedua daripada FT yang berjaya saya baca. Agak tebal juga novel ini namun saya dapat juga habiskan lebih kurang satu hari setengah kerana jalan ceritanya yang sangat mengagumkan! Berbanding Surat-surat Perempuan Johor, saya lebih sukakan karya ini. Lebih kena dan menepati selera saya barangkali, yang menyentuh permasalahan masyarakat yang ditindas oleh projek-projek 'pembangunan' dan isu politikus yang berebutkan kuasa dan jawatan. Di dalam karya ini FT berjaya menggambarkan betapa rakusnya ahli politik yang mabukkan kuasa dan pemaju yang dikaburi wang. Kritikan ke atas pengamalan politik yang kotor di Malaysia (tabur wang, rasuah, penguasaan media, etc) sangat ditonjolkan di dalam novel ini.
Apa yang menarik mengenai novel ini ialah unsur realisme yang kuat mempamerkan isu semasa berlatar belakangkan dekad 90-an di Malaysia (Novel ini ditulis pada 1994-1997). Karya sastera adalah cerminan kepada kehidupan sosial masyarakat kerana ia lahir di tengah-tengah masyarakat sebagai hasil imajinasi pengarang serta refleksi terhadap gejala-gejala sosial di sekitarnya. Dan saya rasa pandangan ini telah berjaya dibuktikan FT melalui novel sulungnya ini.
Najibah wrote: "Annelies, bukankah watak utama dalam Tetralogi Buru Pramoedya?Inspired by the story eh?"
Haha, mungkin. Sama ada terinspirasi dengan karya Pram itu kena tanya penulis sendiri. Tapi penulis ada beritahu di blognya mengapa memilih nama Annelies Sofea. Saya kongsikan di sini:
"Semasa di New Delhi, saya mengalami krisis mempercayai kewujudan diri dan Tuhan. Waktu itu saya fikir bahawa Tuhan telah membiarkan saya sendirian, di celah-celah jutaan umat manusia yang hidup di sana.
Rupanya Tuhan masih ingat kepada saya dan menemukan saya dengan diri sendiri setelah sebulan berkelana di bumi asing.
Ilham dan pengalaman itu saya kutip dan susun dalam sebuah catatan bernama Ekstasi Rumi (sebelum ditukar kepada Tuhan Bukan Manusia).
Sebelas bulan yang lalu, kejadian sama berlaku. Bahkan kali ini tidak wajar saya namakan ia sebagai krisis kerana waktu itu, keadaannya lebih akrab dengan aksara bernama depresi.
Kitaran tidur terganggu. Makan juga entah ke mana.Sisa-sisa waktu yang bergulir saya habisi dengan tidur dan mendengar suara ‘ghaib’ yang seakan-akan mengejek, mencela malah mengutuk diri ini kerana telah gagal dalam kehidupan.
Waktu itu hanya dua jalan yang terbentang di hadapan mata:membuat kerja yang saya telah berjanji untuk tidak melakukannya atau….ah kalian tahu apa jalan yang satu lagi itu.
Benarlah kata-kata ahli psikologi terkenal Viktor Frankl dalam bukunya Man’s Search for Meaning:-
”being jobless was equated with being useless, and being useless was equated with having a meaningless life.”
Sebelas bulan yang lalu, saya baru sahaja kehilangan kerja dan terdampar di rumah sewa tidak bertujuan. Melihat rakan-rakan serumah pergi dan pulang bekerja menambahkan lagi keraguan akan makna tujuan hidup ini.
Kalau dahulu, saya bisa mengembara untuk mengakhiri keadaan semacam ini tetapi sekarang saya tidak mampu pergi ke mana-mana ( duit pula hanya cukup untuk makan dan minum selama sebulan sahaja).
Akhirnya saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah keluarga sambil meminjam buku ”The diary of a young girl”. Di sana, saya habiskan masa dengan membaca diari tersebut sehinggalah sampai ke muka surat terakhir.
Detik itu, suara ‘ghaib’ itu muncul kembali dan berbisik. Anehnya kali ini ia tidak mengejek, jauh sekali menghukum lelaki yang tidak bekerja ini. Sebaliknya ia berbisik:-
”Tulislah sesuatu.”
”Tulis apa?”
”Kalau Anne Frank tidak menulis diari itu, pasti engkau tak tahu apa yang dirasai oleh mereka yang hidup di zaman Perang Dunia Kedua.”
” Tahun ini tak ada perang. Nak tulis apa kalau begitu?”
” Tentang negara ini. Apa yang berlaku di sini, pada tahun ini, adalah sesuatu yang layak untuk diabadikan dengan tulisan.”
”Untuk siapa? Siapa yang nak baca?”
”Aku.”
Bermula dari situ, tidak henti-henti saya menulis dan mencurahkan apa sahaja yang terpendam dalam jiwa. Setiap kali suara ‘ghaib’ itu minta bicara, setiap kali itu saya menulis tak kenal siang atau malam. Jari-jemari saya menari penuh saksama menuruti rentak ilham yang terbentang dalam bicara kami berdua.
Tidak ada basa-basi dan ayat ‘cheesy’ yang meleleh, tidak juga kata-kata pedoman mahupun punchline yang menarik perhatian. Saya hanya menulis dengan keberanian; keberanian untuk menceritakan tentang kehidupan negara ini sepanjang tahun 2015.
Lama-kelamaan, depresi yang membumbui hidup saya perlahan-lahan mengundurkan diri. Akhirnya, kami mengucapkan salam perpisahan tatkala penulisan itu sampai ke noktah terakhirnya. Depresi sudah hilang; kitaran tidur, makan dan minum kembali normal. Saya kembali bekerja.
Surat-Surat Untuk Annelies adalah antidot dalam memerangi depresi dan self-destruction. Sampai sekarang, saya tidak tahu dari mana datangnya suara ‘ghaib’ itu- yang meminta saya untuk berbicara dengannya melalui penulisan seterusnya memimpin saya keluar daripada bencana depresi yang maha bahaya itu.
Lantas, saya gayakan tulisan ini dalam bentuk surat-surat kerana ia ditulis dan ditujukan kepada suara ‘ghaib’ itu. Saya namakan ia dengan nama Annelies. Annelies Sofea. Kerana jika saya punya anak perempuan satu hari nanti, maka nama itulah yang akan saya hadiahkan kepadanya.
Kerana Annelies Sofea adalah satu simbol keberanian dan kekuatan harapan untuk saya menulis apa yang tidak mungkin mahu ditulis oleh orang lain tentang negara ini.
Dan Annelies Sofea telah menyelamatkan Zharif Zainuddin daripada menghancurkan dirinya sendiri dalam timbunan kegelapan angkara bernama depresi."
Link asal:
https://penulisbukanmoralis.wordpress...
8.
oleh
HamkaTAMAT BACA : 12 April 2017
RATING : B
GENRE : Sastera
ULASAN :
Karya kritik sosial yang baik daripada Hamka. Berbezanya karya ini dengan yang lain kerana temanya; berkisarkan kehidupan seharian seorang direktur (usahawan) zaman penjajahan Belanda di Indonesia.
Di dalam karya ini, Hamka memilih untuk mengkritik karakter tamak haloba seorang direktur yang hanya mengejar kekayaan wang tetapi miskin budi. Ini dibezakan dengan watak Pak Yassin, seorang tua yang tidak mempuyai harta yang banyak melainkan sebidang tanah tempat dia mengajar membaca dan menulis kepada rakan-rakan dan penduduk setempat. Tuan Direktur yang mahukan tanah Pak Yassin akhirnya turut ditangkap bersama Pak Yassin akibat fitnah yang dilemparkan; Pak Yassin dikatakan cuba merekrut penduduk melawan pemerintah Belanda. Semasa meringkuk di dalam penjara, Tuan Direktur menerima banyak nasihat, pesanan dan pedoman daripada Pak Yassin. Namun setelah keluar, dia masih tidak berubah. Berbeza nasib Tuan Direktur dengan Pak Yassin, perniagaan Tuan Direktur makin hari dipenuhi dengan orang-orang yang bekerja hanya untuk mencari sesuap nasi dan rakan-rakannya pula ramai yang meninggalkannya. Dia adalah manusia yang kurang keinsafan, kosong hati dan budinya. Pak Yassin pula dilihat sebagai pemaju bangsa dan makin dihormati dan disegani oleh segenap masyarakat.
Cumanya jalan cerita tidak begitu berkembang dengan baik bagi saya. Kurang capai klimaks mungkin, berbanding karyanya yang lain.
9.
oleh
Rashid MaidinTAMAT BACA : 19 April 2017
RATING : A-
GENRE : Sejarah
ULASAN :
Rashid Maidin merupakan satu nama yang tidak asing lagi bagi pengkaji dan peminat sejarah kemerdekaan Tanah Melayu dan PKM. Membaca memoir daripada Pak Rashid ini seolah-olah membawa diri ini betul-betul berada pada zaman pra kemerdekaan Tanah Melayu.
Memoir ini memberikan suatu sisi lain penceritaan sejarah yang mana ianya sangatlah sedikit dicatatkan dalam buku-buku teks sejarah; berkenaan peranan PKM yang membantu mengusir British dari Tanah Melayu. Agak kontradik dengan fakta sejarah yang dihidangkan di dalam buku teks sekolah, PKM digambarkan sebagai sebuah parti komunis yang gila perang dan tidak berperikemanusiaan, hanya ingin menguasai Tanah Melayu dan bukan memerdekakan. Walhal PKM banyak berjasa dalam proses kemerdekaan Tanah Melayu. Mereka berperanan sebagai sayap kiri parti-parti di Tanah Melayu (UMNO) sebagai gerakan perang di dalam hutan terutama semasa pendudukan Jepun.
Banyak juga sisi lain yang cuba digambarkan Pak Rashid berkenaan imej PKM contohnya semasa rundingan Baling, PKM ada menuntut supaya mereka dibenarkan untuk menubuhkan parti secara rasmi (boleh bertanding pilihanraya) dan akan mengangkat senjata serta tidak mahu campur tangan British. UMNO ketika itu yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman hanyalah bertindak sebagai boneka British, dia terpaksa menurut kata-kata pihak British yang mahukan PKM menyerah diri dan dihapuskan. Walaubagaimanapun, Tunku juga tidak senang dengan tindakan British dan akhirnya berpakat dengan PKM untuk menghalau Britih dari Tanah Melayu. Ini dikuatkan dengan kata-kata Tunku pada pihak British semasa mewakili Tanah Melayu di delegasi kemerdekaan, 'This time we are the boss. Di dalam pun ada, di luar pun ada'. Yang dimaksudkan 'si dalam' adalah merujuk pada PKM yang menguasai hutan dan 'di luar' pula merujuk pada parti UMNO.
Namun, hasrat PKM untuk mendaftar secara rasmi selepas kemerdekaan Tanah Melayu 1957 juga masih terbantut kerana Malaysia ketika itu masih dikawal secara ekonomi dan politik oleh pihak British. Hanya semasa pemerintahan Tun Dr. Mahathir, barulah wakil PKM, Pak Rashid berpeluang datang ke Malaysia dan berdialog. Akan tetapi, selagi mana ISA masih digunapakai, Pak Rashid dan rakan-rakannya masih tidak berani untuk bermaustatin di Malaysia kerana tidak mahu dilihat menggadaikan prinsip dan maruah.
Sejarah sepatutnya bersifat neutral dan tidak memihak. Sejarah adalah rakaman masa silam yang membentuk pemikiran, budaya dan tamadun masyarakat hari ini. Oleh sebab itu saya kira sejarah pejuang kiri perlu juga dibukukan dan diiktiraf kerana ianya adalah fakta.
10.
oleh Maria Eriksson BazzTAMAT BACA : 21 April 2017
RATING : B
GENRE : Akademik
ULASAN :
Kritikan tajam dan pedas berkenaan proses pembangunan sosial dan ekonomi pasca kolonial di Tanzania, sebuah negara di benua Afrika daripada Maria Erikson Baaz, seorang pengkaji sejarah kolonial di negara-negara membangun. Tanzania yang pernah dijajah oleh tiga bangsa Eropah, Swedish (Orang Sweden), British (Orang Britain) dan Danes (Orang Denmark) sejak 1880-an sehingga 1961 kini masih bergelar negara membangun. Dan proses pembangunan di Tanzania kini masih bertulang-belakangkan sumber dana daripada ketiga-tiga negara penjajah tersebut yang kini bertopengkan imej NGO dan bukannya imej penjajah.
Dari sudut sosial di mana-mana negara yang pernah diduduki penjajah Eropah, masyarakatnya seringkali memandang tinggi akan bangsa yang berkulit putih ini. Ini termasuklah masyarakat Tanzania, yang menggelar penjajah Eropah sebagai ‘mzungu’, dan ‘mzungu’ ini diangkat-angkat oleh masyarakat bahawa mereka lebih pandai, lebih hebat dan lebih ‘superior’. Walhal, sikap dan watak manusia itu sama sahaja tanpa mengira bangsa dan kaum, mungkin sahaja masyarakat Tanzania tidak pernah melihat keburukan kelakuan orang Eropah seperti mabuk, bodoh, mementingkan diri sendiri dan sebagainya.
Namun perkara ini sangat mempengaruhi cara berfikir masyarakat Tanzania yang akhirnya diterjemahkan dalam bentuk menunduk pada kehendak-kehendak orang Eropah yang mengeksploit sumber tempatan melalui hubungan dua hala yang kononnya berbentuk ‘partnership’ pada pasca kolonial. Perkara ini sangat mempengaruhi perkembangan ekonomi di Tanzania yang kini sangat berkibalatkan ekonomi Eropah (Eurocentrism). Tanzania menjadi tidak mandiri dan hilang keupayaan untuk membangun ekonomi sendiri sehinggakan segala polisi ekonominya perlu dirujuk kepada Eropah. Hasil daripada ‘partnership’ ini Eropah yang mengaut untung, Tanzanian yang mengerah kudrat penat dan lelah.
Turut juga dibincangkan perihal perbezaan budaya antara budaya Eropah dan budaya Afrika yang mana kemasukan orang Eropah ke Tanzania sedikit sebanyak merubah budaya sedia ada di Afrika. Ini yang menjadi kunci utama kepada kajian Baaz, berkenaan identiti Tanzania yang semakin hari semakin samar hilang ditelan dan digantikan dengan budaya Eropah . Masyarakatnya berlumba-lumba mahu menjadi seperti Eropah; berkot, memakai tali leher, berkemeja. Dan proses penyingkiran budaya ini turut juga menimpa aliran sastera Tanzania. Sastera klasik Tanzania yang diajarkan di sekolah-sekolah beralih arah kepada sastera Eropah yang kebanyakannya meninggikan kehormatan orang Eropah.
Sebagai kesimpulannya, Baaz menyatakan bahawa wujud satu unsur ‘patern’ baru penjajahan pasca kolonial berbentuk ‘partnership’ di Tanzania. Jujurnya saya mengambil masa yang sangat lama untuk menghabiskan buku ini, sekitar tiga bulan. Kemungkinan kerana buku ini berat dengan fakta dan kajian terperinci, membuatkan saya mahu menghadaminya secara berperingkat tanpa meninggalkan mana-mana halaman. Bahasa Inggeris yang digunakan juga tidaklah terlalu tinggi untuk difahami dan yang tinggi hanyalah sekadar beberapa terma sosiologi dan ekonomi. Karya kajian akademik ini sangat saya sarankan bagi mereka yang ingin mengkaji tentang perkembangan pasca kolonial di Afrika.
11.
oleh Kassim AhmadTAMAT BACA : 4 Mei 2017
RATING : A
GENRE : Akademik/Sastera
ULASAN :
'Perlu diingatkan, sastera bukan seorang dewi yang ditugaskan Brahma untuk menghiburkan manusia terkutuk di dunia ini, tetapi sebuah kandil yang menenangkan fikiran, hati dan jiwa makhluk yang berbahagia.'
Polemik dan kemelut di dalam dunia sastera pasca kemerdekaan Tanah Melayu sehingga awal 70-an diulas dengan kemas oleh Pak Kassim. Kritikannya sangat tajam, namun membina. Pak Kassim mempersoalkan tentang tujuan sastera dalam masyarakat, apakah sekadar hiburan dan eskapisme atau membuat masyarakat berfikir mencari jalan keluar permasalahan harian. Ternyata, Pak Kassim cenderung akan teori sastera merujuk seni untuk masyarakat, bukan sekadar seni untuk seni. Apalah gunanya sastera jika sekadar indah sudut bahasanya namun tidak menyentuh hal mustahak masyarakat terbanyak.
Pun begitu akan lebih menarik jika disertakan pandangan terkini Pak Kassim berkenaan perkembangan terkini sastera di Malaysia. Barangkali lebih banyak yang mahu dikritiknya, atau punyai pandangan positif, siapa tahu?
12.
oleh THE_LIBYAMANTAMAT BACA : 15 Mei 2017
RATING : B-
GENRE : Memoir
ULASAN :
Blues Orang Jelebu adalah catatan berupa diari ataupun sebuah memoir sang penulis (The Libyaman) mengenai kehidupannya bermula di Daerah Jelebu Johor tempat dia dilahirkan dan dibesarkan sehinggalah berkelana jauh di tanah arab Jordan dan Libya menuntut ilmu dan bekerja. Membaca Blues Orang Jelebu banyak memberi perspektif baru kepada saya mengenai sifat buruk bangsa Arab terutama bangsa arab dari Libya. Tentang sifat mereka yang pengotor (suka kencing tepi jalan) dan panas baran (mudah melenting dan suka bergaduh sehingga bertumbuk dan mencederakan) selain agak berpuak-puak. Libya yang pernah dikuasai oleh satu sosok revolusioner sosialis, Muammar Gadhafi, sememangnya kaya dengan hasil minyak. Ini yang membolehkan negara tersebut mengamalkan sistem sosialis menghampiri komunis.
Sungguhpun begitu, walaupun dengan banyak kesenangan yang diberikan oleh Gadhafi kepada rakyatnya (elaun untuk penganggur, pendidikan percuma, khidmat bantuan kesihatan percuma, etc), Libya sebenarnya diperintah oleh dikatator;Gadhafi. Gadhafi tidak pernah turun daripada pemerintahan sejak dia menang dalam revolusi. Inilah antara sebab yang menjadi racun selain sikap zalimnya yang disebarkan oleh pihak yang ingin menjatuhkan Gadhafi kepada rakyat Libya.Dan disini timbul satu persoalan yang menarik untuk dibincangkan sebenarnya, manakah yang lebih baik; pemimpin dikatator yang menjaga kebajikan rakyat atau kebebasan politik? Apakah dictator yang bertanggunggjawab itu lebih baik daripada demokrasi yang penuh korupsi? Inilah antara persoalan yang sengaja ditimbulkan oleh penulis kepada pembaca.
13.
TAMAT BACA : 31 Mei 2017
RATING : B-
GENRE : Falsafah (Feminisme)
ULASAN :
Projek V saya kira adalah antara inisiatif yang menarik yang mengumpulkan esei dan beberapa karya seni tulisan daripada golongan feminis dan pro-feminis. Kadang-kadang isu yang berat sebenarnya lebih dapat dijiwai masyarakat jika dipersembahkan dalam bentuk cereka dan cerita kerana wujud elemen emosi yang membantu memahamkan masyarakat mengenai isu yang diperjuangkan.
Dan ramai yang salah faham akan hala tuju feminis itu sendiri akibat tindakan beberapa feminis yang dilihat agak radikal pendekatannya belakangan ini. Namun perkara ini tidak wajar mematahkan semangat feminis yang lain untuk terus memperjuangkan hak wanita yang ditindas.
Saya kira buku ini adalah permulaan bacaan yang baik bagi yang mahu meneroka idea perjuangan feminis. Teruslah berjuang wahai feminis sekalian untuk melawan dunia patriarki.
14.
oleh Mohd. Affandi Hassan Mohd. Affandi HassanTAMAT BACA : 10 Jun 2017
GENRE : Satira/Sastera
RATING : B
ULASAN :
Sindiran dan kritikan tajam Pak Affandi mengenai suasana politik tanah air (Malaysia) pasca tahun 2000 dilihat agak menyengat melalui karyanya ini. Era Islam Hadhari (zaman Pak Lah) menjadi asas latar cerita hikayat ini ditulis. Namun saya rasa kritikan dan cara Pak Affandi menghuraikan skandal politik dan sifat-sifat buruk sang politikus sebagai klimaks hikayat ini, tidak secara berlapik atau berkias sebaliknya secara terang-terangan dimuntahkan. Dan disebabkan ini, saya sebagai pembaca menjadi kurang teruja semasa sedang membaca kerana jalan cerita tiba-tiba menjadi muntahan fakta.
Namun watak utama hikayat ini sebenarnya membawa nilai yang tinggi; Buyung Lurus yang 'lurus' sifatnya, tidak reti bermain rasuah, tidak reti mengipas orang berkepentingan, punyai jiwa yang halus, mahu memperjuangkan nasib penduduk kampungnya sehingga sanggup masuk pilihan raya sebanyak 5 kali sungguhpun tidak pernah menang. Malah dia juga adalah orang tua yang punya hikmah. Ketika ditanya oleh Prof Adi mengapa dia tetap masuk pilihan raya meskipun kalah, jawapan bersahaja 'kerana suka-suka' menyentak pemikiran ahli akademik itu, seolah memomokkan bahawa pilihan raya hanyalah pesta suka-suka sang politikus menunjuk-nunjuk kelebihan dan kebaikan masing-masing tetapi hilang selepas menang.
Pemikiran masyarakat kampungnya juga tidak jauh beza dengan pandangan masyarakat hari ini terhadap ahli politik. Sungguhpun mereka tahu Buyung Lurus itu bagus, mereka tetap memilih orang lain sebagai YB mereka kerana YB yang ini punyai duit yang boleh ditaburkan. Ini mungkin persoalan paling utama yang Pak Affandi mahu tonjolkan terhadap pembaca. Kegeraman terhadap pemikiran masyarakat yang masih mahu mengangkat pemimpin yang korup, sungguhpun sudah diberi pencerahan. Masyarakat yang hanya mengangguk-angguk bersetuju korupsi adalah barah dan perlu dihapuskan akan tetapi tidak menterjemahkannya di kertas undi.
Pengakhiran hikayat ini menimbulkan tanda tanya, apakah Buyung Lurus yang digelar YB itu yang sudah dipenjarakan, perjuangannya hanya terhenti di jeriji besi atau semangatnya diteruskan oleh penduduk kampung? Dan sekali lagi seperti penulis yang lain yang agak klise, Pak Affandi hanya menimbulkan persoalan tanpa solusi.
15.
oleh A. Samad SaidTAMAT BACA : 9 Julai 2017
GENRE : Sastera
RATING : A
ULASAN :
Langit Petang adalah kisah senja tiga manusia, yang mengharungi kehidupan ini dengan berbagai dugaan dan cabaran. Kisah senja ini adalah berkisar tentang senjanya pengalaman dan bukanlah diukur atas senjanya usia mereka. Karya ini sebenarnya mengandungi falsafah yang amat berat; tentang makna kehidupan itu sendiri. Sesungguhnya kehidupan ini adalah singkat, hanya mereka yang benar-benar menggunakan setiap detik saat dengan sebaiknya adalah manusia yang beruntung.
Langit Petang dengan watak Hafiz seperti ingin mengingatkan saya bahawa kerja mengembara bukanlah semata-mata berjalan melata di atas dunia melihat keindahan alam sambil menghabiskan wang ringgit, sebaliknya alam itu perlu dicermati, diamati dan diteladani. Alam ini sungguh rumit, namun mempunyai aturan yang tersendiri. Maka beruntunglah manusia yang dapat mencari hikmah menggunakan akal fikiran disebalik aturan alam yang diciptakan Tuhan itu.
Pak Arif pula yang meniti senja usianya, kaya dengan pengalaman dalam perjuangan. Dia banyak menyoal dirinya sendiri tentang apakah usianya yang lanjut itu telah diisi dengan sebaiknya dan apakah yang telah diperoleh dengan perjuangannya selama ini? Sudahkah dia merasa hasil dari perjuangannya itu? Dan persoalan-persoalan ini mengingatkan saya pada puisi Masuri S.N.;
‘apakah jasa dan dosa yang telah kurasai
dalam bernafas berlari dan berhenti
di daerah bakti?’
Watak Zakiah pula seperti memberi semangat dan harapan, bahawa kisah silam yang jijik dan hina mampu menjadi motivasi buat menempuh cabaran yang mendatang. Dan pengajaran terpenting pada watak ini adalah; menaruh dan membalas dendam tidak akan sesekali memuaskan hati sebaliknya ianya hanya menukar sang mangsa menjadi pemangsa. Begitulah jika kejahatan dibalas dengan kejahatan, selamanya tidak akan berkesudahan.
Pun begitu, karya ini mungkin tidak akan digemari oleh mereka yang lebih sukakan perkembangan watak dan plot cerita kerana karya ini lebih berkisar akan hal-hal tentang pemikiran pada kehidupan. Sungguhpun begitu, inilah kelebihan Pak Samad, yang membangkitkan soal falsafah dalam karya seni tanpa perlu menghamburkan kata-kata mana-mana filusuf!
Najibah wrote: "Ulasan Langit Petang sangat menarik."Terima kasih. Menarik mungkin sebab banyak terinspirasi dengan tulisan Pak Samad. Hehe. :-)
16.
oleh Michael F. PattonTAMAT BACA: 8 Ogos 2017
GENRE : Falsafah
RATING : A
ULASAN:
Bacaan santai yang tak berapa nak santai. Haha.
Cara penceritaan sejarah dan serba sedikit idea falsafah barat yang digarap di dalam komik ini agak menarik. Pembaca dibawa oleh Heraclitus mengembara sungai panjang falsafah yang merangkumi enam bahagian; logik, persepsi, fikiran (minds), kehendak diri (free will), ketuhanan dan etika. Ketika berhenti di setiap perhentian, pembaca diperkenalkan dengan ahli falsafah barat serta sedikit idea dan maha karya mereka. Selain itu, diselitkan juga beberapa argumentasi beberapa ahli falsafah barat berkenaan premis yang sama.
Carta masa sejarah falsafah barat juga turut disertakan bermula daripada pra-sejarah falsafah barat-Thales sehinggalah abad ke-19-Nietzsche dan ini memudahkan pembaca untuk mengkoordinat tahap pembacaan. Akan tetapi, idea falsafah yang dilakar di dalam komik ini hanyalah bersifat atas air semata. Dan sudah pasti pembacaan lanjut karya-karya yang lain diperlukan untuk lebih memahami falsafah.
Menurut Heraclitus, falsafah adalah proses mengejar hikmah (pursuit of wisdom) dan untuk mempelajari falsafah tidak cukup hanya dengan membaca karya falsafah sebaliknya perlu keluar dan melihat dunia, menjawab persoalan tentang kehidupan serta melihat pandangan orang lain tentang falsafah. Di dalam falsafah terangkum semua ilmu tentang dunia termasuk sains, dan selalunya falsafah itu menjelaskan hal-hal keduniaan secara metafora dan analogi (natural). Dan 'kebenaran' di dalam falsafah sentiasa berubah-ubah mengikut premis dan hujah.
'Upon those who step into the same rivers, different and again different waters flow' -Heraclitus
Sesiapa sahaja yang menelusuri sungai yang sama, sudah pasti tidak akan merasai aliran air yang sama.
Books mentioned in this topic
The Cartoon Introduction to Philosophy (other topics)Langit Petang (other topics)
Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu (other topics)
The V (other topics)
Blues Orang Jelebu (other topics)
More...
Authors mentioned in this topic
Michael F. Patton (other topics)A. Samad Said (other topics)
Mohd. Affandi Hassan (other topics)
Rashid Maidin (other topics)
Hamka (other topics)
More...



Repost,
Pendatang baru dalam group Goodreads Malaysia. :D
Tahun ini saya sasarkan paling kurang 36 buah buku. Harapnya dapat dicapai sasaran beserta ulasan bagi setiap buku yang dibaca.