Goodreads Malaysia discussion
Arkib Maraton Membaca 2022
>
Buku 2
date
newest »
newest »
Buku 3Solusi Islam Buat Para Pemuda.
Pada awalnya apabila saya membelek isi kandungan buku ini saya berasa agak hairan kerana terdapat 2 kali prakata daripada As-Syahid Sheikh Dr Muhammad Said Ramadan al- Buthi.
Namun, alangkah terkejutnya apabila meneruskan pada bacaan prakata kedua beliau menyatakan buku ini telah habis dengan jumlah yang sangat banyak iaitu 4 RIBU buah pada cetakan pada pertama dalam tempoh 4 MINGGU. Ini sangat luat biasa.
Ingin saya kemukakan antara tujuan karya ini dikarang adalah ini:
- Beliau tidak berkesempatan berjumpa dengan para pemuda di luar sana bagi memberikan nasihat. Akan tetapi, beliau menjadikan medium penulisan bagi menzahirkan kebimbangannya terhadap pelbagai permasalahan yang dihadapai oleh para pemuda.
- Bimbang kepada para belia yang dijadikan target oleh musuh-musuh Islam yang ingin menghancurkan peradaban Islam melalui peranan intelektual dan idealisme mereka.
Sheikh juga menyatakan kelebihan usia muda ini bahawa:
- Golongan pemuda adalah punya semangat tinggi, cita-cita yang luhur, daya upaya yang cergas. Maka, jika digunakan kearah kebaikan, seluruh umat Islam gah dek kerana kekuatan mereka.
- Kelebihan terhadap sikap pemuda yang bertaqwa iaitu patuh kepada perintah Allah SWT dan menjauhi laranganNya. Ini bersandarkan petunjuk Nabi Muhammad SAW iaitu terdapat 7 golongan akan berada di bawah naungan Arasy pada hari kiamat kelak. Golongan Pemuda berada di tempat kedua selepas pemimpin yang adil.
Akan tetapi, beliau menegur terdapat kelompok yang mengadakan pelbagai seminar berkaitan kepemudaan tanpa melihat pada keadaan semasa.
Pada masa yang sama, beliau juga mendoakan berdoa agar pandangan beliau meleset, dan berharap agar terdapat teguran yang diberikan kepadanya.
Antara kandungan yang lain juga, beliau jelaskan punca-punca dan jenis-jenis permasalahan yanh dihadapai oleh para belia. Kaedah mengatasi masalah tersebut dan pesanan kepada ibu bapa dalam mentarbiyah anak-anak di akhir bab.
Pada pandangan saya , ketebalan buku ini mempunyai agak nipis menyebabkan para pembaca dapat menghabiskan dalam waktu yang agak singkat.
Menariknya muka depan buku ini meletakkan wajah beliau sewaktu muda. Telahan saya, bukan sahaja beliau mengalami zaman tersebut malah memahami masalah yang dihadapi pemuda.
Saya sangat sarankan supaya para muda belia dan ibu bapa di luar sana dapatkan senaskhah kerana apabila kita membacanya beliau cuba menasihati kita sebagai seorang ayah, kawan yang mampu membimbing dengan ilmu yang hidup. Bukan sekadar teori.
Buku 4Pada bahagian awal buku ini, Syeikh Dr Said Ramadan al-Buthi menghuraikan definisi wanita beriman, cabaran semasa dan impaknya kepada sejagat. Serta langkah menangani permasalahan.
Karya ini juga memuatkan permasalahan had aurat wanita antara muka dan tapak tangan, keberadaan wanita apabila pergi bekerja dan belajar, soal perkahwinan dan sebagainya. Semua perkara tersebut dibincangkan menurut hukum hakam Islam.
Selain itu, beliau juga membongkarkan sesetengah kelompok yang menjelaskan secara tidak tepat berkaitan berkaitan isu-isu kawanitaan seperti interaksi sosial dalam majlis yang terdapat percampuran antara lelaki dan perempuan. Kebebasan seksual, ciri-ciri tokoh wanita. Akhirnya, syeikh membidas kembali segala penyelewengan itu secara tuntas.
Tertarik pada muka depan buku kerana simbolik kepada sifat kewanitaan iaitu visual bunga ros yang mekar berwarna merah. Membawa maksud subur dengan kecintaan, tinggi cita-cita dan semangat. Bahagian isi dalam muka surat pula keseluruhannya berwarna dan mempunyai bunga ros setiap helaian muka surat. Jadi, pembaca tidak mudah jemu apabila membacanya.
Buku yang nipis setebal 90 muka surat boleh dihabiskan dalam masa yang singkat. Sesuai dibaca pada semua peringkat terutama para beliawanis.
Buku 5Ilmu Ketatanegaraan Melayu Raja Ali Haji.
Apabila disebut ilmu ketatanegaraan, ringkasnya ini berkenaan ilmu politik atau pun ilmu pentadbiran. Buku ini bukan semata-mata nak mengajar ilmu politik dari teori sahaja, malah pengalamannya di Alam Melayu. Ini sesuatu yang menarik sebab kita sudah ada panduan yang boleh dipraktikkan, bukan bermula dari kosong (vacuum). Tinggal lagi nak aplikasi mengikut konteks semasa.
Dr Khalif turut memuatkan orientasi dan kaedah kaedah dokumentasi ilmu politik di Alam Melayu. Ini kerana, Alam Melayu juga mempunyai sejarah dan tradisi yang kukuh dalam menerapkan kefahaman pendidikan politik kepada masyarakat pada ketika itu. Dan kita tidak bermula dengan penjajah, tetapi kita mempunyai acuan yang tersendiri dalam mentadbir negara. Nak faham lebih lagi boleh baca bab 1 dan bab 2.
Silsilah kehidupan Raja Ali Haji dihuraikan bagi menjawab persoalan asal usul keturunan beliau. Susun galur keturunan kekeluargaan beliau diterjemahkan dalam bentuk garis masa memudahkan lagi para pembaca untuk memahami.
Menariknya, Dr Khalif mendedahkan 7 tema utama pemikiran politik Raja Ali Haji yang perlu kita hadam dan struktur pentadbiran kerajaan Riau-Lingga pada ketika itu.Sistem hierarki pentadbiran negara yang diterjemahkan bentuk gambar rajah memudahkan lagi para pembaca dalam menghayati cara pengurusan negara pada ketika itu.
Apa 7 tema tu? Itu saya tak dapat nak bagi tahu, kawan-kawan kena beli lah.
Sebenarnya saya teruja untuk pilih baca buku ni sebab tajuk buku lebih kurang sama dengan tesis PhD pensyarah saya di UM. Kaji pasal Raja Ali Haji juga. Jadi, rasa nak tahu juga apa isi perbincangan yang dibahaskan dalam buku ini. 'Ter'baca, tiba-tiba habis pula. Alhamdulillah.
Buku 6. Asas Teologi dan Falsafah Politik Muslim.Buku yang berjudul ‘Asas Teologi dan Falsafah Politik Muslim’ ini dikarang oleh Prof. Madya Dr. Makmor Tumin, pensyarah di Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya. Menurut beliau, buku ini dibuat bagi mengukuhkan pengetahuan mengenai idea beberapa orang sarjana Muslim berkaitan falsafah politik.
Antara tokoh Muslim yang dimuatkan dalam buku ini terdiri daripada al-Farabi (339H), Ibnu Sina (428H), Imam al-Mawardi(450H), Imam al-Ghazali (505H), Ibnu Rusyd (595H), Nasirudin al-Tusi (672H), Imam Ibnu Taimiyyah (726H), Ibnu Khaldun (808H), Al-Majlisi (1110H), Syah Waliullah atau nama sebenar Syed Qutubudin (1176H), Khairudin al-Tunisi (1307H), dan Sheikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fathani (1326H).
Buku yang bertajuk Asas Teologi dan Falsafah Politik Muslim ini memberikan pendedahan kepada pembaca tentang aspek teologi (akidah), falsafah, dan politik yang ada pada tokoh-tokoh tersebut. Dengan pegangan akidah dan falsafah tersebut, mereka berjaya mempengaruhi sistem politik pada ketika itu. Selain itu, para pembaca juga akan mengetahui perkembangan idea politik Barat yang terkait dengan pemikir Muslim yang tertentu seperti al-Farabi, Ibnu Sina, dan Ibnu Rusyd serta segelintir ilmuwan Muslim daripada kelompok Syiah iaitu Nasirudin al-Tusi (672H) dan al-Majlisi (1110H).
Penulis memulai karangan buku ini dengan memberikan penjelasan secara umum berkaitan sejarah dan perkembangan sistem politik Islam secara umum, bermula daripada zaman Nabi Muhammad SAW sehinggalah berakhirnya sistem pemerintahan khilafah dibawah pimpinan Mustafa Ataturk. Melalui buku ini juga, pembaca akan mengenali biodata ringkas berkaitan tokoh-tokoh seperti yang telah dinyatakan, sistem pemerintahan, dan cabaran yang telah dihadapi pada ketika itu. Seterusnya, falsafah politik yang menjadi teras kepada setiap tokoh berkenaan.
Antara kelebihan yang dapat saya temui ialah pada bab terakhir, penulis menyatakan idea-idea utama falsafah politik dan magnum opus bagi setiap tokoh berkenaan dalam bentuk jadual yang mudah difahami. Jadual tersebut membantu para membaca merumuskan tema utama berkaitan pemikiran politik oleh tokoh-tokoh tersebut.
Prof. Madya Dr. Makmor Tumin mencadangkan agar para pembaca buku telah terdedah dengan tema idea-idea Barat dalam bidang sains sosial kerana penulis sendiri telah terdidik mengenai pengetahuan dalam bidang sosial menurut kerangka Barat serta penggunaan istilahnya seperti teologi.
Tambahan daripada saya, pembaca yang ingin membaca buku ini mestilah sedikit sebanyak didedahkan dengan pengetahuan sejarah ketamadunan, falsafah politik, ilmu akidah, serta sistem pentadbiran politik baik daripada Barat mahupun Islam. Hal ini demikian kerana, pengetahuan yang sedia ada membolehkan kita melakukan perbandingan mengenai idea-idea politik Barat dan Islam.
Buku 7Kumpulan Puisi Lestari: Keilmuwan, Kelestarian, Kekudusan
Karya ini merupakan buah fikir Dato' Seri Ir. Dr Zaini Ujang berkisarkan tema keilmuwan seperti mahasiswa, falsafah pengajian di universiti, petua dalam belajar. Kesemua ini mampu memberi peringatan dan muhasabah kepada diri dan orang lain.
Selain itu, beliau juga menyuarakan pandangan beliau berkaitan alam semula jadi. Contohnya perihal sungai, hutan, tujuannya menyedarkan khalayak berkaitan kelestarian alam yang kian musnah akibat pembangunan yang menghancurkan dan tiada kesudahan
Akhir sekali, saya berasa beliau menyatakan pengalaman beliau sendiri sebagai seorang insan biasa yang mempunyai sahabat, hamba Allah SWT, pengalaman dalam berorganisasi sebagai ahli akademik dan penjawat awam. Tidak lupa juga sebagai rakyat Malaysia yang mengharapkan negara Malaysia kian pulih contohnya melalui mengundi wakil rakyat semasa pilhanraya.
Perkara yang menarik ialah segala idea-idea beliau diterjemahkan dalam bentuk puisi. Hal ini kerana melalui gaya puisi kita kurang pasti samada meluahkan rasa marah, sedih atau pun sindiran penulis kepada pihak tertentu. Hanya penulis yang tahu perasaan tersebut. Walaupun puisi beliau pendek tapi penuh makna yang memerlukan pelabagai takwilan bagi memahaminya.
Buku ini juga dicetak dalam bentuk kulit keras(hardcover), nipis tidak banyak muka surat. Namun menyebabkan harganya agak sedikit mahal.
Pada setiap halaman mula surat terdapat visual yang tersendiri menyebabkan penulis telah memberi tahu tajuk yang akan disampaikan. Contohnya pada bab ‘Kata-Kata’ terdapat gambar bibir. Tajuk Hari Bumi terdapat lukisan bumi yang pesat sedang pembangunan
Warna hijau pada kulit buku menunjukkan gagasan kelestarian Dato' Seri Ir. Dr Zaini Ujang kian mendarah daging dalam kehidupannya
Pada saya karya sastera ini boleh dibaca dalam pelbagai peringkat umur sebab tidaklah terlalu puitis. Mudah faham, nipis, dan sesuai dibaca dalam keadaan yang tenang.
Kesimpulannya buku ini sesuai dibaca pada mahasiswa, pentadbir universiti, pencinta ilmu, aktivis alam sekitar, aktivis masyarakat dan pemimpin. Boleh dibeli di website Institut Terjemahan Buku Malaysia ( ITBM).
Buku 8Ikhtisar Pemikiran Politik Islam
1. . Dalam buku ini juga menjelaskan berkenaan perkembangan pemikiran politik Islam. Tokoh-tokoh yang penting untuk diketahui dan rujukan politik Islam klasik.
2. Bab seterusnya cerita berkenaan 2 tokoh klasik dalam tradisi politik Islam iaitu Ibnu Sina dan Al-Farab. Penulis membuat satu khulasah berkenaan gagasan dan kepentingan ilmu politik mereka.
3. Saya membayangkan mungkin ada sebahagian pemikiran tokoh politik Islam yang lain untuk para pembaca telusuri. Akan tetapi hanya Ibnu Sina dan Farabi sahaja.
4. Untuk mengetahui kepentingan ilmu politik Islam secara umum perlu untuk tambah bacaan lain. Begitu juga kalau ada yang berminat nak mendalami tokoh pemikiran politik Islam yang lain. Sebab Kebanyakan dalam buku ini tertumpu pada pemikiran tokoh Ibnu Sina dan al-Farabi.
Buku 9Membaca: Motivasi Dan Kaedah
1. Buku ini telah diulang cetak sebanyak 3 kali. Cetakan pertama pada tahun 1993, cetakan kedua pada tahun 1994. Akhir sekali, cetakan yang ketiga iaitu pada tahun 2019.
2. Apa yang menarik pada buku ini ialah pengarang iaitu Dato' Seri Ir. Dr Zaini Ujang menjelaskan pada bahagian pendahuluan dengan sangat berisi dengan inti yang bakal dikatakan dalam buku Membaca: Motivasi dan Kaedah.
3. Antara input yang saya dapati pada bahagian tersebut adalah tujuan kepada aktiviti pembacaan. Dato' Seri Ir. Dr Zaini Ujang menyatakan dengan membaca seseorang itu akan memahami ilmu, bantu dalam berfikir, mendekatkan dengan kebenaran. Boleh juga mengkhayalkan dan menghiburkan, membahagiakan juga memberi ketenangan.
4. Selain itu, beliau mengatakan membaca mampu menjelaskan pelbagai persoalan dalam kehidupan. Berfungsi mencapai hakikat insan. Bukan semata-mata pada habuan dunia. Membaca dapat membebaskan masa kita daripada kerja sekarang. Membebaskan minda daripada kejumudan. Membaca juga membuatkan minda menjadi lebih segar.
5. Dato' Seri Ir. Dr Zaini Ujang juga menyatakan cara-cara memilih bahan bacaan yang sepatutnya. Contohnya perlu mengetahui kewibawaan pengarang. Beliau juga menggalakan setiap rumah mempunyai perpustakaan peribadi, secara tak langsung tabiat untuk membeli buku akan dipupuk sedikit demi sedikit.
6. Dato' Seri Ir. Dr Zaini Ujang juga menceritakan berkaitan pengalaman beliau menganjurkan pesta buku semasa zaman mahasiswa lagi.Contohnya semasa mengetuai Persatuan Mahasiswa UTM beliau menganjurkan Pesta Buku UTM pada tahun 1986.
7. Dato' Seri Ir. Dr Zaini Ujang juga berkongsi berkaitan nama-nama penulis yang boleh kita contohi seperti A. Samad Said, A. Samad Ismail dan lain-lain. Jika penulis luar negara pula ialah Haruki Murakami, Yoko Ogawa dan sebagainya. Yang menariknya beliau menceritakan aspek-aspek penting yang telah mempengaruhi hidup beliau berdasarkan tokoh-tokoh berkenaan.
8. Penjelasan pada bab pendahuluan menyebabkan saya membaca buku ini sehingga habis. Buku ini terdapat latihan gerakan mata bagi mengatasi masalah lambat membaca. Bab 10 merupakan penambahan bab daripada cetakan yang sebelumnya menjadikan buku ini lebih menarik dengan maklumat yang lain.
9. Sebagai seorang yang malas membaca seperti saya, buku Membaca: Motivasi dan Kaedah berjaya memberi kesedaran untuk menggunakan setiap masa bagi aktiviti yang bermanfaat khususnya pembacaan.
10. Saya berharap buku ini perlu dimiliki dan diletakkan pada setiap rak buku peribadi masing-masing.
Buku 10Dosa Tersembunyi: Bahaya Terbesar Dalam Kehidupan Kaum Muslimin
Syeikh Dr said Ramadan al-Buti menyatakan punca utama permasalahan umat Islam yang semakin berpecah adalah masalah hati. Hati orang-orang Islam tidak bersatu dan ikhlas dalam memperjuangkan Islam.
Masalah hati yang kian membarah. Rasa sombong, iri hati, dengki. Pokoknya cinta pada dunia merupakan masalah yang utama.
Selain itu, pendakwah yang menyeru atas nama Islam tetapi sebenarnya mempunyai unsur materialistik. Nak kepada harta.
Terdapat juga orang yang khusus pada penyucian jiwa sahaja, tidak bercampur sesama masyarakat. Hanya bergaul dalam kalangan mereka.
Syeikh Dr Said Ramadan al-Buti juga menjelaskan penawar dan cara mengamalkannya. Antaranya sebagai seorang insan perlu ada kesedaran, jujur pada Allah, berdoa dan minta pada Allah sahaja. Caranya jihad lawan nafsu.
Menurut beliau cara dalam melawan nafsu ada 4 iaitu:
1. Fikirkan tentang diri dan nasib dirinya di akhirat.
2. Berzikir dan baca wirid secara konsisten. Paling utama Al-Quran . tasbih dan istighfar.
3. Banyak berdoa, merayu dan merintih pada Allah.
4. Jauhi makanan haram begitu syubhah.
Buku 11Budaya Ilmu: Makna dan Manifestasi dalam Sejarah dan Masa Kini
Buku ini sebenarnya isi yang sama terhadap Penjelasan Budaya Ilmu terbitan DBP 1991. Namun, ada beberapa tambahan isi oleh penulis sendiri iaitu Prof Wan Mohd Nor Wan Daud. Akan dinyatakan pada perenggan akan datang.
Prof Wan menjelaskan pada bahagian pengenalan buku ini dihasilkan atas beberapa faktor:
Terdapat pemimpin negara yang cakna terhadap budaya membaca seperti Tun Dr Mahathir. Contohnya pada tahun 1988 diisytiharkan sebagai "Tahun Pembaca".
Menyatakan masalah dasar kepada sesuatu permasalahan seperti ekonomi , perpaduan , politik itu ialah ilmu. Kenyataan ini dibuktikan melalui Prof Paul Kennedy dari Universiti Yale, Amerika Syarikat.
Menghuraikan konsep budaya ilmu, kriteria serta manifestasi dari aspek tamadun hingga zaman moden sekarang. Misalnya mengenal pasti falsafah budaya ilmu Islam dan budaya ilmu tamadun yang lain seperti Yunani, Yahudi, Cina dan India dan sebagainya.
Menjelaskan golongan sekular dalam proses menjejaskan budaya Ilmu.
Cabaran budaya ilmu masa kini. Maksudnya budaya ilmu yang tidak memberi manfaat pada diri dan masyarakat. Kerana ada kepentingan pada diri dan orang lain
Pada edisi yang terbaru ini, terdapat penambahan pada isi pada bahagian kedua. Antaranya Iklim Kehidupan Intelektual di Andalusia, Kerangka Komprehensif Pemikiran Melayu Abad ke-17 Masihi, Budaya Ilmu Perpaduan dan Kesejahteraan Negara. Akhir sekali, Budaya Ilmu CASIS.
Pada saya buku ini akan sentiasa malar segar dalam menjadikan panduan kepada pembudayaan Ilmu terutama di peringkat pengajian tinggi. Akan ada iktibar yang masih boleh diambil dan harus dilaksanakan pada zaman kini.
Buku 12Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation
1. Buku ini dikarang oleh Prof Emeritus Dr M.Kamal Hassan ( Pengerusi Institusi Kefahaman Islam Malaysia). Diterbitkan oleh EMIR Research pada tahun 2022.
2 . Pada awal bab Prof memberi latar belakang dan senario berkenaan ahli politik Melayu dalam aspek budaya rasuah dan suka bermuka-muka di hadapan rakyat.
3. Prof juga menyatakan terdapat salah faham dalam kalangan orang politik Melayu itu sendiri dalam memahami agama Islam tu sendiri. Mereka hanya menumpukan kepada ibadah khusus iaitu lima rukun Islam yang wajib sahaja.
4. Korupsi yang dimaksudkan dalam buku ni terarah kepada unsur kronisme nepotisme kolusi (pakatan sulit), realisme.
5. Kemunafikan politik dengan maksud amalan bercakap bohong, double-standard dalam tingkahlaku politik seperti membuat kenyataan yang tidak mampu memenuhi keperluan masyarakat, tidak menepati janji.
6. Buku ini juga menegaskan kepentingan tauhid dan ibadah dalam Islam termasuklah dalam melaksanakan pemerintahan. Arena politik dan pentadbiran sebagai arena pengabdian mereka kepada Allah.
7. Selain itu, peranan tasawuf dan juga tarbiyah dalam mengelakkan tingkahlaku ahli politik yang ingin inginkan jawatan dan juga cinta akan dunia dan harta. Prof menggunakan istilah kerohanian-moral -etika dalam menjalinkan hubungan kepentingan pandangan alam tauhid bermula dan pembersihan jiwa bermula dengan seorang pemimpin Melayu.
8. Akhir sekali, bab 10, 11 dan 12 beliau menjelaskan satu harapan dan juga cadangan kepada bakal pemimpin negara berkenaan program pengisian ilmu berkenaan keimanan dan penyucian jiwa dalam memberi satu kesedaran sebagai seorang hamba dan jauh dari sifat yang cintakan dunia.
9. Saya sebenarnya menyangka Prof akan mendedahkan entiti-entiti tertentu yang sering menjalankan budaya korupsi dalam politik. Namun beliau menyatakan secara umum berdasarkan data-data yang dari Transperancy International (TI) Corruption Perceptions Index, akhbar, ahli akademik, beberapa pandangan tokoh terkemuka seperti Dato' Hussamuddin (Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf).
10. Buku ini dicetak 2 naskhah yang berasingan dalam bentuk dwibahasa. Naskhah asal adalah Bahasa Inggeris dan telah diterjemahkan dalam Bahasa Melayu.
11. Buku sesuai sebagai permulaan dalam membangkitkan kesedaran dalam mengislahkan arena politik di Malaysia.
Buku 13Ancaman Bahaya Sekularisme
Buku dikarang oleh Ustaz Zulkifli Ismail Muhammad. Diterbitkan sebanyak tiga kali. Pertama pada tahun 1988 di Mesir oleh Markas Pengumpulan Kajian dan Hasil Penyelidikan PMRAM. Terbitan kedua pula apda tahun 2022 di Malaysia. Dan akhir sekali diterbitkan pada tahun 2014 di Malaysia.
Saya dapat simpulkan bahawa buku dikarang dengan 3 tujuan utama:
1. Menolak pandangan buku Kassim Ahmad iaitu Hadis Satu Penilaian Semula pada tahun 1986.
2. Menjelaskan kesan buruk falsafah kepada aspek pemikiran. Bahkan mendedahkan juga kepada sistem masyarakat seperti sosial, ekonomi, politik, nilai-nilai murni dalam kehidupan.
3. Kepentingan menuntut ilmu secara seimbang meliputi segala asepk kehidupan dalam menyediakan para pendakwah bagi menghadapi golongan intelektual sekular.
Apa yang menarik buku ini cuba menyatakan definisi ulama terbahagi kepada 2 bahagian. Ulama dengan makna umum dan khusus. Ulama dengan makna umum iaitu Muslim yang mahir dalam apa jua bidang ilmu sehingga mereka berjaya sampai kepada peringkat mampu mengetahui hakikat sebenar iaitu kebergantungan bahawa alam ini hanya kepada Allah. Pengertian ulama secara khusus adalah golongan beriman yang menguasai dan memahami bidang ilmu agama secara luas dan mendalam.
Pentingnya untuk diketahui kerana ingin mengelakkan aspek dualisme. Iaitu pemisahan ilmu dunia dan akhirat. Ini kerana peranan kedua-dua ini penting dalam memanfaatkan apa jua dapatan dan kajian bahawa kesimpulan akhir adalah demi mengangungkan Allah dan memperolehi kebahagiaan di akhirat. Para agamawan dan saintis membuat sebarang ijtihad atau mengeluarkan pendapat pada sumber, juga metodologi bidang ilmu mereka.
Para agamawan menggunakan al-Quran dan al-Hadith sebagai panduan manakala saintis menggunakan pengalaman dan kaedah empirikal untuk menerokai bidang kajian mereka. Objektifnya mereka menjadikan ilmu-ilmu tersebut sebagi wasilah mengagungkan Allah. Asasnya mereka juga perlu ada suatu kesedaran dan pandangan alam yang benar tentang alam dan juga Tuhan.
Seterusnya, pada bab 6: “Doktrin Sekularisme di Bidang Politik” pengarang menyatakan negara Malaysia merupakan negara sekular berdasarkan perlembagaan dan pengamalannya. Saya fikir perbahasan Malaysia adalah negara Islam atau tidak akan sentiasa berkembang dai masa ke masa.
Buku ini juga telah pun banyak diwacanakan di pelabagai peringkat terutama di institut pengajian tinggi seperti di UM, USIM, UnisZA dan sebagainya.
Penambahbaikan seperti jenis kertas perlu diber perhatian juga. Ini kerana kertas buku yang ada sekarang cepat menguning menyebabkan sedikit gangguan kepada para pembaca apabila membacanya. Isi buku juga kurang cantik apabila membukanya. Bagi sesiapa yang ingin mengetahui sejarah falsafah barat secara terperinci perlu kepada bahan pembacaan yang lain juga.
Sesuai dibaca bagi para pendakwah Islam, anak muda dan mahasiswa, aktivis masyarakat, dan sebagainya. Semoga karya ini diterbitkan kembali pada masa akan datang dan dimanfaatkan oleh pelbagai masyarakat.
Buku 14Toolkit Ahli Politik Junior
1. Buku ini dikarang oleh Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Shah Alam. Buku ini juga mengandungi 2 bahagian; teori umum berkaitan sains politik Islam, bahagian 2 berkaitan isu semasa perihal politik dan pentadbiran menurut sudut pandang beliau.
2. Terma-terma sains politk Islam seperti qanun, khilafah, imamah, wilayah, siyasah, wizarah akan banyak digunakan dalam penulisan buku ni. Pada bahagian 1 ini dimuatkan berkaitan sejarah politik Islam bermula dengan zaman Nabi Muhammad SAW. Tujuan utama dalam mempelajari sains politik Islam. Pelopor utama dan bahan rujukan dalam sains politik Islam. Tradisi ulama dari segi kaedah penulisan dalam ilmu politik Islam.
3. Pada bahagian 2 pula, saya berpandangan penulis cuba mengemukan penyelesaian atau praktik kepada isu-isu politik yang sering melanda. Contohnya pemimpin yang dilantik dalam kalangan non-Muslim, kerjasama parti-parti politik, tanggungjawab sebagai seorang pemimpin dan banyak lagi.
4. Apa yang menarik adalah pada bahagian kedua penulis menghuraikan berkenaan aspiriasi beliau kepada merealisasikan sistem politik Islam di Malaysia. Beliau menegaskan bahawa politik tidak terpisah daripada Islam seperti yang didakwan oleh Ali Abdul Raziq. Penulis menyatakan hujah daripada Imam Ghazali berkenaan agama dan politik berfungsi secara simbiotik. Contohnya pendekatan yang digunakan oleh Khalifah Umar Abd Aziz menumpukan kepada kebajikan rakyat, menyatukan semula umat Islam, meningkat kelancaran sistem pendidikan dan sistem kewangan.
6. Beliau juga menyatakan sistem politik moden pada zaman ini perlu diraikan kerana apa yang penting adalah pada pelaksanaannya bukan pengistilahan semata-mata. Demokrasi Berparlimen perlu dijadikan ruang dalam melakukan islamisasi terhadap sistem politik Malaysia.
7. Bagi sesiapa yang ingin mengetahui teori politik Islam secara umum, buku ini sesuai untuk ditelaah.Juga sesuai untuk dijadikan sesi ulangkaji kepada pelajar sains politik Islam.
Buku 15Projek Bibliofil: Melawan Mitos Bangsa Malas Membaca.Dikarang oleh Zahra Yunos.
Apa yang menarik ialah penulis memulakan persoalan sebahagian individu yang malas membaca – sekatan pembaca (reader’s block )puncanya terlalu penat atau sibuk bekerja, lama berpisah dengan buku, dan bab-bab yang seterusnya penulis memberi suatu suntikan motivasi siapa kita sebagai pembaca dan peranannya untuk menjadi pembaca yang aktif.
Selain itu, turut juga dimuatkan panduan yang mudah dan praktikal dalam memilih buku, dan cara membeli buku. Asasnya adalah utamakan kualiti kerana sebuah buku yang dibeli untuk dibaca, lebih baik daripada membeli banyak buku tetapi tak dibaca.
Tabiat MALAS akan hadir tanpa diundang dan diduga. Cara untuk mengatasi tabiat tersebut adalah dengan mencipta rutin membaca di peringkat individu dengan merangka jadual pembacaan. Dalam jadual tersebut diletakkan beberapa butiran seperti tajuk buku, kategori, masa membaca. Malahan, seorang pembaca hendaklah ambil kira masa membaca juga, kerana otak kita juga berfungsi secara efektif pada waktu-waktu dalam menghadam dan menganalisis maklumat.
Akhir sekali, buku juga boleh dijadikan sebagai rawatan disamping menggunakan ubat-ubatan, senaman dan lain-lain. Hal ini disebut sebagai biblioterapi.Digunakan pada tahun 1912 oleh Samuel Crothers; buku sebegai rawatan walaupun sebenarnya telah digunakan sejak awal dari itu. Perincian berkenaan biblioterapi dimuatkan dalam bab 8 untuk tahu dengan lebih jelas.
Saya sarankan buku ini dibeli dan dibaca bagi individu yang sedar diri akan kekangan dalam membaca dan ingin menyelesaikan secara praktikal dan mudah untuk dilaksanakan segera. Kerana disediakan tugasan secara langsung bagi memastikan kefahaman dalam membaca buku ini jelas dengan catatan.
Buku 16Pemikiran Politik Islam Dalam Sejarah Persuratan Melayu
Dikarang oleh Dr Auni Haji Abdullah diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaya pada tahun 2015. Genre ilmiah dan berformatkan akademik.
Secara umumnya buku ini menghuraikan orientasi ulama dalam penulisan politik khusus di Alam Melayu. Menurut beliau terdapat 2 kelompok ulama yang terlibat dalam memberi pandangan kepada pemerintah iaitu ulama yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara, ada ulama yang tak terlibat dalam pentadbiran negara.
Bab yang seterusnya sehinggalah akhir bab diceritakan mengenai biografi ulama, idea-idea politik mereka, sumbangan mereka di Alam Melayu antaranya Bukhari Al-Jauhari, Sheikh Nuruddin Al-Raniri, Sheikh Faqih Jalaluddin Al-Asyi, Abdullah bin Muhammad Al-Misri, Raja Ali Haji, Tok Syeikh Duyong dan Sheikh Wan Ahmad Zain al-Fathani. Ditutup dengan menyimpulkan kembali idea-idea utama daripada kesemua tokoh-tokoh berkenaan.
Buku ini menyatakan bahawa tanggungjawab ulama ini sebenarnya tiada beza pun antara dua golongan tersebut kerana tanggungjawab mereka membawa umat kepada kehidupan bersyariat dalam segenap kehidupan. Ini kerana ulama adalah pewaris nabi dan menyambung dalam menyampaikan risalah Islam. Tanggungjawab dalam memberi pencerahan dengan menjadi penyuluh dan bintang pada zaman masing-masing memerlukan kepakaran ilmu diluar bidang agama juga.
Kelebihan ulama di bidang pentadbiran pula membantu pemerintah secara langsung dalam mengurus negara, dan merangka polisi bagi pentadbiran negara. Ini penting agar negara yang ditadbir itu melaksanakan ajaran Islam yang sebenar. Selain itu, mereka juga mampu menegur pemerintah secara langsung jika tersasar daripada landasan agama atau berlaku penyelewengan.
Contohnya Sultan al-Ulama Izz Abdul Salam semasa memegang jawatan (qadi al-qudat) menentang pelantikan beberapa hamba sebagai putera raja semasa zaman Sultan Najmuddin Ayub. Menurut beliau, pelantikan ini tidak sah kerana mereka belum merdeka dan pandangan ini mencetuskan kemarahan pada sultan. Namun ketegasan beliau menyebabkan hamba tersebut dilelong dan hasilnya dimasukkan dalam Baitulmal.
Namun para ulama yang bergerak di luar pemerintah mempunyai tanggungjawab yang tidak kurang pentingnya. Kerana mereka bergerak sebagai pendakwah, penulis kitab, pendidik masyarakat. Bahkan, fungsi mereka amat penting dalam memastikan pemerintahan Islam dalam dilaksanakan dalam pelbagai sudut.
Oleh sebab itu, mereka juga perlu mempunyai pengetahuan mengenai politik Islam, malahan perlu lebih daripada itu. Mereka juga bertanggungajwab dalam melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar, memberi kesedaran dalam kehidupan beragama. Maka, aktiviti ini secara tidak langsung akan membantu pemerintah dalam menjaga kemaslahatan rakyat dari sudut pengamalan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
Kesimpulannya, tanggungjawab sebagai ulama/ilmuwan/cendikiawan adalah sama berat dan penting sama ada membantu pemerintah secara lansung dalam pentadbiran negara atau tidak langsung dalam apa jua kedudukan. Umat Islam zaman kini perlu mengetahui sejarah perjuangan para ulama berkaitan pentadbiran negara. Penuntut ilmu juga perlu didedahkan dengan ilmu sains poltik Islam dan juga ilmu-ilmu di luar bidang agama. Berani dalam menyatakan kebenaran dalam apa juga situasi.
Buku 17Terjemahan daripada kitab Bahasa arab iaitu قيمة الزمن عند العلماء. Dikarang oleh Syeikh al-Muhaddith Abdul Fattah Abu Ghuddah Ulama di bidang hadith dan feqah. Diterjemahkan oleh Dr Shuhadak Mahmud dan Ustaz Muhammad Khushairi Hamthan.
Terdapat dua bahagian iaitu teori berkenaan masa. Bab ini menafsirkan ayat al-Quran dan beberapa potong hadith yang menunjukkan kepentingan masa dalam kehidupan khususnya dalam menuntut ilmu agama. Bahagian kedua mengenai kisah-kisah daripada pelbagai para ulamak dalam memanfaatkan masa secara praktikal.
Buku ini sangat menarik kerana cuba membangkitkan semula semangat para pemuda dalam menuntut ilmu. Sekadar memetik satu syair yang bermaksud: Sesungguhnya masa muda merupakan masa menikmati keagungan dan kemuliaan, Kita merasakan kenikmatannya ketika itu, tetapi tidak lagi dirasakan ketika tua. Menunjukkan masa muda adalah zaman keemasan dalam bersemangat untuk melakukan banyak perkara, namun masa tua zaman yang penuh halangan dengan kelemahan dan kepayahan seperti datangnya penyakit, lemahnya kudrat dalam membuat sesuatu.
Berkenaan dengan sifat malas dan suka mencari alasan. Sikap penuntut ilmu dan mahasiswa yang semakin malas dalam mengasah pemikiran mereka. Berasa seronok dengan aktivit keseronokan, bersuka ria berbanding bekerja keras untuk ilmu.
Oleh itu, syair ini dibuat oleh Imam Ahmad bin Faris al-Razi al-Lughawi (w.395H) yang berbunyi: “Apabila engkau merasa tidak selesa dengan panasnya musim kemarau, Dengan keringnya musim gugur serta dinginnya musim sejuk, Dan engkau terleka dengan indahnya musim bunga, Maka katakana kepadaku Bila lagi engkau akan menuntut ilmu?”
Bahagian kedua yang mendominasi terlalu banyak memuatkan kisah-kisah para ulama, dan nasihat yang berguna untuk dijadikan pedoman sebagai penuntut ilmu. Bahkan kisah-kisah mereka mampu menjentik hati nurani kita supaya menginsafi diri sebagai Muslim supaya sentiasa mencari ilmu. Kitab ini sesuai untuk dibaca pada semua peringkat.
Buku 18. Dr. Yusuf al-QaradhawiDikarang oleh 3 orang penulis iatu Dr Mohamad Kamil Abdul Majid, Dr Mohamad Zaidi Abdul Rahman dan Mat Zain Ab Ghani.
Buku ini menjelaskan biodata Al-Qaradhawi dengan agak terperinci. Banyak manfaat yang boleh diambil terutama dalam perkara menuntut ilmu dan menggerakkan idealisme perjuangan Islam semasa terlibat dengan gerakan Ikhwan Muslimin. Beliau juga merupakan ulama kontemporari yang luas ilmunya dalam segenap bidang ilmu.
Antara yang menarik adalah berkenaan pemikiran politik beliau yang menggagaskan berpaksikan kesederhanaan. Tidak terlalu ekstrem dan terlalu terbuku. Segala hukum syariat mempunyai kemaslahatan kepada umat Islam. Membawa kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Akan tetapi. ini bukanlah sepenuhnya garis panduan bagi manhaj wasastiy. Sekadar menyatakan sedikit garis panduan yang telah beliau gariskan secara umum. Bagi masyarakat awam pula, manhaj ini amat sesuai kerana seimbang dan jauh dari segala penyelewengan.
Cadangan yang lain bagi menyaksikan gagasan politik beliau dalam bentuk yang praktikal, maka para pembaca perlu melakukan bacaan lanjut kepada kitabnya al-Fiqh al-Dawlah pula yang merupakan sebahagian contoh aplikasinya.



Adab Pernikahan dan Mendidik Anak.
Apabila dinyatakan berkaitan Adab Pernikahan. Ini bermaksud hal sebelum, semasa dan selepas (jika terjadi talak). Pengarang juga menjelaskan cara mendidik nafsu, panduan dalam memilih pasangan suami isteri, nilai-nilai yang perlu diterapkan oleh pasangan dalam melestarikan hubungan rumah tangga, juga terhadap anak-anak.
Adab Mendidik. Terkait persoalan kenapa perlu mendidik anak, kaedah dalam tarbiah mengikut peringkat umur, sejak dalam perut sehinggalah dewasa. Apa pakaian yang sesuai, aspek akhlak yang perlu ditonjolkan di hadapan khalayak. Pada saya, tajuk buku ini sudah menunjukkan secara kasar apa isi yang akan dihuraikan.
Antara soalan yang menarik yang mungkin admin boleh kongsikan adalah wujud ke keburukan dalam perkahwinan. Lalu Imam Ghazali RH menjawab penuh hikmah dan halus.
Imam Ghazali menjawab, soalan tidak ada keburukan dalam perkahwinan kecuali jika tidak menjaga 3 perkara ini iaitu (Salin dan Tampal):
1. Tidak mampu mencari harta yang halal. Ini merupakan perkara yang paling bahaya di dalam perkahwinan.
2. Tidak mengambil berat tanggungjawab terhadap isteri dan tidak sabar menahan perangai dan sikap isteri yang menyakitkan hati
3. Anak dan Isteri menyebabkan dia sibuk mencari harta dunia dan memperelokkan kehidupan mereka sehingga dia tidak mempunyai masa untuk memikirkan urusan akhiratnya dan mempersiapkan dirinya untuk bertemu Allah Taala.
Dan 3 perkara ini dihuraikan dengan sangat terperinci dalam buku ini. Tanpa menafikan nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada pasangan sehari.
Apabila bercerita berkaitan pernikahan, pasti akan terbayang momen-momen indah yang akan dialami. Namun, pada masa yang sama kita juga perlu beringat apakah implikasi yang akan dihadapi jika tidak melaksanakan perintah yang disuruh.
Selain itu, bentuk soal jawab yang dihidangkan kepada pembaca memudahkan idea yang ingin disampaikan oleh pengarang. Seolah-olah pembaca sedang berinteraksi dengan pengarang. Jenis buku yang berwarna telah menambah seri dan menambat hati pembaca untuk menghabiskan bacaan buku ini. Boleh dihabiskan dalam masa singkat kerana muka surat buku yang nipis.