Nadir Al-Nuri's Blog

February 26, 2023

Persediaan Politik: 4 Hadis Rasulullah SAW Yang Tidak Membenarkan Ziarah Ke Baitul Maqdis

Persediaan politik juga sebenarnya memainkan peranan penting dalam usaha membebaskan Baitul Maqdis.

Inilah langkah kedua Nabi Muhammad SAW sesudah memastikan para sahabat dan pengikutnya faham akan kepentingan Baitul Maqdis yang terkait dengan akidah sebagai indikasi peradaban muslim.

Nabi Muhammad SAW juga mahu seluruh umat tahu bahawa kefahaman politik juga sebenarnya mampu membuka jalan pembebasan Baitul Maqdis dalam keadaan aman damai.

Tetapi, apakah pendekatan politik yang diaplikasikan Nabi Muhammad SAW dalam memastikan Baitul Maqdis merdeka daripada sebarang jajahan asing selain kuasa Islam?

Pertama: Nabi Muhammad SAW Tidak Mengizinkan Ziarah Ke Baitul Maqdis

Pada sekitar Mei 2022, Sidang Kemuncak Ulama Islam 2022 telah mengesyorkan kajian semula ke atas fatwa pengharaman umat Islam melawat Masjid al-Aqsa. 

Alasan Pengerusi Jawatankuasa Sidang Kemuncak Ulama Islam 2022, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada ketika itu adalah mahu memastikan ekonomi setempat di Baitul Maqdis, Palestin kembali tumbuh selepas terjejas dimusnahkan oleh rejim Zionis. 

Percaya atau tidak, galakan Dr Mohd Khairuddin sama sekali tidak mencerminkan kenyataan Nabi Muhammad SAW yang beberapa kali ‘menyekat’ keinginan para sahabat dan isteri Baginda untuk singgah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. 

Mengapa?

Larangan Nabi Muhammad SAW terkait rapat dengan status Baitul Maqdis yang pada ketika itu sedang dijajah oleh kuasa asing. Sebagai rekod, sejak kelahiran Nabi Muhammad SAW pada 571 Masihi lagi Baitul Maqdis sudah dijajah kuasa luar iaitu Byzantine. Kemudian Baitul Maqdis dijajah oleh kuasa Parsi sebelum dirampas semula oleh Byzantine. Akhirnya tanah suci itu dibebaskan ketika era Khulafa ar-Rasyidin di bawah pemerintahan Saidina Umar al-Khattab pada 637 Masihi.

Jom telusuri beberapa peristiwa berkaitan keinginan para sahabat untuk menziarahi Masjid al-Aqsa sepanjang Baitul Maqdis di bawah penjajahan kuasa asing iaitu tentera Rom Byzantine tetapi ditegah Rasulullah SAW:

Al-Arqam, sahabat pertama yang mahu solat di Masjid al-AqsaProfesor Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi telah kongsikan sebuah riwayat daripada seorang sahabat Rasulullah SAW, al-Arqam RA di dalam bukunya yang bertajuk al-Takhtit al-Istratijiyyah li al-Tahrir al-Qadim li Masjid al-Aqsa al-Mubarak.Rasulullah SAW bertanya kepada al-Arqam RA: “Apa yang kamu mahu?” Al-Arqam RA sambil tangannya menghala ke kawasan Baitul Maqdis, menjawab: “Saya mahu ke sini.” Rasulullah SAW bertanya lagi: “Mengapa kamu mahu ke sana? Adakah untuk urusan perniagaan?” Al-Arqam RA menjawab: “Tidak, saya ingin solat di dalamnya.” Kemudian Rasulullah SAW mengisyaratkan tangannya ke Mekah dan berkata: “Solatlah di sini. Ia lebih baik daripada seribu solat.”Sahabat yang bernazar dan mendesak untuk dibenarkan ke Masjid al-AqsaRiwayat Imam Ahmad (12/22, Hadis 14856) daripada Jabir bin Abdullah RA mengisahkan tentang seorang sahabat lelaki yang bernazar.Sahabat lelaki itu berkata pada hari pembukaan kota Mekah: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku bernazar jika Allah membuka kota Mekah untukmu, maka aku akan solat di Baitul Maqdis.” Rasulullah SAW berkata: “Solatlah di sini.” Lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah SAW buat kali kedua dan Baginda menjawab: “Solatlah di sini.” Soalan yang sama diulang buat kali ketiga oleh lelaki tersebut, dan Rasulullah SAW menjawab: “Terpulang kepadamu.”Saranan untuk kirimkan minyak ke Baitul MaqdisKetika Rasulullah SAW ditanya oleh Maimunah binti Saad RA tentang Baitul Maqdis, jawab Baginda: “Tanah tersebut adalah tempat di mana manusia akan dibangkitkan (al-Hashr) dan dikumpulkan (al-Mahshar). Kunjunginya untuk solat kerana satu solat di sana bersamaan dengan seribu kali solat di tempat lain.” Maimunah bertanya lagi, “Jika salah seorang daripada kami tidak mampu menziarahinya, apakah yang patut dilakukan?” Baginda menjawab: “Jika kalian tidak mampu mengunjunginya untuk solat maka hantarkan minyak yang akan digunakan untuk menyalakan pelita-pelita di sana. (Perbuatan ini) akan menjadikan kalian seakan-akan solat di sana.”Kebetulan pada ketika itu Masjid al-Aqsa diterangi dengan cahaya yang bersumberkan pelita, maka cadangan Rasulullah SAW untuk mengirimkan minyak adalah satu usaha untuk memastikan kawasan Baitul Maqdis sentiasa ‘hidup’.Nazar tunaikan solat di Masjid al-AqsaRiwayat Imam Ahmad (44/408, Hadis 26826) telah menukilkan seorang sahabiah yang bernazar untuk mendirikan solat di Baitul Maqdis jika Allah SWT memberikan kesembuhan ke atas penyakit yang dihidapinya. Beliau berkata: “Jika Allah menyembuhkanku, aku akan keluar dan solat di Baitul Maqdis.” Maka ditakdirkan Allah SWT, beliau pun sembuh. Sahabiah itu bersiap-siap untuk berangkat keluar. Datanglah Ummu al-Mu’minin Maimunah binti al-Harith, memberitahu wanita tersebut: “Duduklah, makanlah apa yang telah saya siapkan. Solatlah di masjid Rasulullah SAW. Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Satu solat di dalamnya lebih baik daripada seribu solat di masjid lain, kecuali masjid Kaabah’.”

Mari kita lihat pula status Baitul Maqdis pada zaman ini. Bukankah ia sedang dijajah oleh rejim Zionis? Penjajahan Israel ke atas tanah Palestin menyaksikan penindasan demi penindasan terhadap rakyatnya hingga mengakibatkan kecacatan anggota dan pembunuhan rakyat negara itu. 

Jika kita fahami konteks tegahan dan saranan Rasulullah SAW terhadap para sahabat yang mahu singgah Masjid al-Aqsa, ia sebenarnya adalah sebuah idea bernas bahawa pembelaan Masjid al-Aqsa merangkumi pelbagai cara yang tidak mengancam nyawa. 

Seperti yang dicadangkan oleh Rasulullah SAW kepada Maimunah binti Saad RA untuk mengirimkan minyak bagi tujuan menghidupkan pelita di sekitar Masjid al-Aqsa, begitu jugalah kita perlu mencari alternatif lain untuk menghidupkan semangat perjuangan ke atas masjid itu. 

Pada masa yang sama, ini membuktikan bahawa fatwa yang tidak membenarkan ziarah ke Masjid al-Aqsa sebenarnya tepat dan selari dengan seruan Nabi Muhammad SAW, bersesuaianlah dengan situasi semasa.

Memetik perkongsian daripada Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi Bayan Linnas Siri ke-15, Ketua Qadi Palestin al-Syeikh Taisir al-Tamimi pernah mengajak beberapa tokoh ulama termasuk Syeikh Ahmad Tayyib untuk menziarahi Baitul Maqdis, khususnya Masjid al-Aqsa. 

Bagaimanapun undangan al-Syeikh Taisir al-Tamimi ditolak Syeikh Ahmad Tayyib kerana beliau enggan menggunakan visa Israel yang secara tidak langsung mengiktiraf kedaulatannya di tanah suci itu. 

Tidak cukup dengan itu, lawatan masyarakat muslim ke Baitul Maqdis sebenarnya mampu memacu ekonomi Israel, sekaligus mengukuhkan kedudukan bangsa Yahudi di tanah itu. 

Maka, tidak hairanlah beberapa ulama tersohor telah mengharamkan ziarah ke Baitul Maqdis ketika Zionis masih berkuasa. Mereka termasuklah:

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, bekas pengerusi Kesatuan Ulama Islam SeduniaSyeikh Dr. Ahmad Tayyib, Syeikhul al-AzharSyeikh Faisal Maulawi, Naib Pengerusi Majlis Fatwa dan Kajian Eropah 

Manakala, ramai ulama yang bersetuju mengharuskan ziarah Masjid al-Aqsa. Antaranya:

Syeikh Abdul Aziz bin Baz, mantan Mufti Besar Arab SaudiSyeikh Masyhur Hasan Alu Salman dari JordanSau al-Funaisan dari kalangan ulama Saudi

Golongan ulama yang mengharuskan kunjungan ke Baitul Maqdis ini dilihat lebih cenderung memihak kepada hadis riwayat Bukhari (1189) dan Muslim (1397):

“Bersungguh-sungguhlah untuk melakukan perjalanan ketiga destinasi, iaitu al-Masjid al-Haram, Masjidku (al-Masjid al-Nabawi), dan al-Masjid al-Aqsa.”

Tidak cukup dengan itu, sejarah juga telah merekodkan bahawa Rasulullah SAW pernah menziarahi Masjidil Haram, tawaf, solat dan melaksanakan umrah qadha’ pada tahun ke-7 Hijrah sedangkan pada masa itu kawasan tersebut sedang dicengkam orang musyrikin. 

Secara tidak langsung, situasi Masjidil Haram pada masa itu menyamai status Baitul Maqdis pada hari ini. 

Namun, setakat ini kita boleh menyimpulkan bahawa tegahan daripada Nabi Muhammad SAW sebenarnya bersandarkan kepada alasan yang kukuh kerana pertama, sudah tentulah untuk keselamatan nyawa. Jika mahukan keberkatan Masjid al-Aqsa semata-mata, niat itu wajar ditangguhkan kerana lebih afdal ketika ini untuk melaksanakan ibadah di masjid lain seperti Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. 

Tetapi jika ada di dalam kalangan kita berpendapat sebaliknya dan bertegas mahu menziarahi Masjid al-Aqsa, seperti Nabi Muhammad SAW pernah membalas kepada seorang sahabat: “Terpulanglah.” 

Pun begitu, perlu diingatkan untuk kita tidak sesekali mengiktiraf kedaulatan Israel atau redha dengan perilaku mereka terhadap Baitul Maqdis sebagaimana yang telah ditegaskan dalam hadis Rasulullah SAW. 

Semoga kita sentiasa ditetapkan hati untuk berjuang mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Ditulis oleh:
Nur Sabrina Binti Suhaimi
Eksekutif Penyelidikan & Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 26, 2023 21:02

October 25, 2022

KENAPA ISRAEL TERLALU MEMBENCI RAKYAT PALESTIN?

Dalam sejarah Islam bermula daripada penubuhan negara pertama Islam iaitu Madinah hinggalah kepada kejatuhan Turki Uthmaniyah pada tahun 1923, umat Islam tidak pernah meminggirkan nasib bangsa lain termasuklah Yahudi. Kita terus meraikan kepelbagaian bangsa dengan bersikap adil dan saksama dan mereka juga senang untuk berada di bawah pemerintahan Islam berbanding agama lain. 

Bangsa Yahudi juga diberi peluang dalam pelbagai sektor sehingga ke jawatan-jawatan terpenting di dalam kerajaan seperti dalam kerajaan Andalusia. Zaman ini juga dinamakan sebagai The Golden Age of Jewry atau Zaman Keemasan Budaya Yahudi yang berlaku sekitar 900 Masihi hingga 1200 Masihi. Ketika ini, orang Yahudi diberikan pelbagai akses seperti pendidikan, kesihatan, kepimpinan dan sebagainya. 

Salah seorang tokoh falsafah bernama Maimonides atau Ibn Maimun yang sangat terkenal dan prolifik di antara ilmuwan yang mengajar tentang kitab Taurat bukan sahaja di Andalusia tetapi di dunia Islam ketika itu. Jika sekali pandang, Maimonides persis orang Arab yang mengajar hal-hal agama, tetapi beliau adalah orang Yahudi yang sangat menghormati pemerintahan Islam bahkan orang Islam ketika itu juga menuntut ilmu dengan Maimonides. 

Orang Yahudi merasakan aman untuk duduk di bawah pemerintahan Islam kerana hak yang diberikan tidak ada yang lebih mahu pun kurang. Setiap agama dan bangsa juga tidak dipecahkan mengikut lokaliti tertentu tetapi diletakkan dalam kawasan yang sama supaya masing-masing dapat mempelajari budaya yang pelbagai.

Selepas kerajaan Granada yang merupakan kerajaan Islam yang terakhir di Andalusia jatuh pada tahun 1492, kaum Yahudi sekali lagi diselamatkan oleh kerajaan Islam iaitu Turki Uthmaniyah. Mereka dibawa ke setiap wilayah Turki Uthmaniyah dan dibenarkan untuk menetap sebagai seorang rakyat yang patuh dengan Khalifah walaupun ketika itu negara-negara Eropah tidak menerima kedatangan Yahudi dengan menganggap mereka sebagai ‘parasit’. 

Maka, ketika kejatuhan Turki Uthmaniyah, Yahudi yang berideologi Zionis iaitu Theodore Herzl mula merancang untuk mendirikan sebuah negara Yahudi di Palestin tanpa memikirkan rakyat Palestin yang pernah membantu mereka ketika mereka tidak diterima oleh masyarakat dunia. Malah, mereka terus membunuh dan mengabaikan hak-hak yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat Palestin bermula tahun 1948. 

Persoalannya, kenapa Israel begitu membenci rakyat Palestin?

Kalau diikutkan, rakyat Palestin lebih mempunyai hak untuk membenci Israel kerana Israel telah mengamalkan dasar Aparteid dan menjajah Palestin serta menghalau rakyatnya keluar daripada tanah air. Tidak cukup dengan itu, Israel terus mengepung dan menahan serta menafikan keperluan serta kebebasan mereka sebagai rakyat asal Palestin.

Ya, mungkin Israel membenci rakyat Palestin disebabkan keganasan yang telah menyebabkan hanya sebilangan kecil rakyat Israel terbunuh, tetapi ia bukanlah apa sangat jika mahu dibandingkan dengan keganasan terancang dan dasar yang mereka telah kenakan ke atas rakyat Palestin, seperti serangan yang telah berlaku baru-baru ini. 

Di sini saya melihat kebencian Israel terhadap rakyat Palestin telah dibentuk serta dipandu oleh tiga asas sentimen iaitu ketakutan, cemburu dan marah. 

Berdasarkan ketiga-tiga sentimen di atas, ketakutan adalah faktor terbesar di mana ia mungkin tidak begitu rasional tetapi ia mampu menjadi satu instrumental kepada perbincangan yang sedang kita lakukan ini. Ia tidaklah mengejutkan melihat Israel begitu takut dengan Palestin selepas Israel menjajah tanah Palestin dan menjadikan Israel antara kuasa geopolitik yang terkuat di Timur Tengah dan satu-satunya negara Timur Tengah yang memiliki kuasa nuklear. 

Ketakutan Israel lebih terserlah apabila mereka telah berundur dari Gaza pada tahun 2005 dan dengan serta-merta mengenakan tembok tahanan terhadap dua juta rakyat Gaza yang rata-ratanya adalah pelarian yang dihalau keluar dari tanah mereka pada tahun 1948. Bagaimana Israel yang kononnya mempunyai sokongan dari kuasa-kuasa besar tetapi takut dengan rakyat Palestin yang dikepung selama 15 tahun?

Israel sebenarnya takut kepada keteguhan hati yang dimiliki oleh rakyat Palestin. Mereka juga takut kepada kesatuan, demokrasi, syair dan semua simbol kebangsaan Palestin termasuklah bahasa dan bendera. Kadar kelahiran yang meningkat dalam kalangan rakyat Palestin juga menjadi igauan kepada Israel ia menganggap kelahiran sebagai ancaman demografi. 

Ketakutan juga adalah instrumental kepada garrison state, iaitu sebuah negara yang ekonominya yang digunakan untuk pembangunan ketenteraan dan menyebabkan terhakisnya kebebasan masyarakat awam seperti Israel, yang dikenali sebagai “an army with a country attached”. Ketakutan melahirkan rasa kebencian kerana menurut Tim Marshall di dalam bukunya, Divided: Why We’re Living In An Age of Walls,

“A start that is always afraid cannot be free; a state that is shaped by militant messianism and ugly racism, against the indigenous people of the land, cannot be truly independent either”

Israel juga marah, dan sentiasa marah kerana rakyat Palestin tidak pernah menunjukkan tanda-tanda putus asa dan keinginan untuk keluar dari Palestin. Walaupun Israel berjaya memenangi semua siri perang sejak tahun 1948 yang menyebabkan negara Arab terpaksa menunduk malu menanggung kekalahan mereka, rakyat Palestin tetap menafikan kemenangan Israel dan mereka memberi isyarat bahawa mereka tidak akan mengaku kalah dan akan terus menentang penjajahan Israel.

Sentimen ketiga adalah cemburu. Israel cemburu dengan kekuatan dalaman rakyat Palestin dan kebanggaan yang dimiliki oleh mereka. Rakyat Palestin dilihat memiliki kepercayaan yang tinggi dan bersedia untuk berkorban walaupun dalam kesempitan. Apa yang paling dicemburui oleh Israel adalah sejarah dan budaya Palestin; keterikatan dengan tanah Palestin, keterikatan yang Zionis gunakan untuk menjadi tanah Palestin sebagai penempatan penjajah. Israel cuba untuk memadam semua jejak yang terkait dengan kewujudan Palestin, malah mereka telah mengubah nama jalan, kejiranan dan bandar kepada bahasa Ibrani yang dipertuturkan oleh sebahagian besar Yahudi di Israel. Ilan Pappe, yang merupakan sejarawan Israel pernah menyebut,

“To find accurate parallels for the reconsecration of places of worship by a conqueror, one must go back to Spain or the Byzantine Empire in the middle of the late 15th century

Israel boleh mengubah sentimen ini kepada sikap toleransi, cemburu kepada penghargaan, dan marah kepada empati, itupun jika Israel bersedia untuk memohon maaf atas jenayah yang dilakukan serta memulangkan kembali hak-hak rakyat Palestin. Sentimen ini tidak menyebabkan rakyat Palestin keluar dan berputus asa, tetapi ia akan menyebabkan penjajah Israel yang akan keluar dari tanah yang mereka jajah.  

Ditulis oleh:
Muhd Haikal Luqman Bin Zulkefli
Eksekutif Penyelidikan & Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 25, 2022 00:38

October 5, 2022

Melawan Naratif Normalisasi Penjajah Oleh NasDaily

Normalisasi Arab-Israel ini bukanlah bermula pada tahun 2020, tetapi projek normalisasi ini telah pun dimulakan semenjak Israel berjaya menubuhkan negara haram mereka di atas tanah dan darah rakyat Palestin yang majoritinya berbangsa Arab. Pasca tahun 1948, negara-negara Arab melihat kepentingan mereka cuba diganggu-gugat oleh Israel dan para sekutunya. Malah perang pertama mereka dengan Israel bukanlah disebabkan kepentingan Baitul Maqdis kepada umat Islam, tetapi atas kepentingan diri mereka sendiri. 

Israel pula tidak pernah berhenti untuk menyatakan bahawa mereka membawa agenda keamanan yang perlu diperakui oleh segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia, terutama selepas mereka dizalimi dalam peristiwa Holocaust yang berlangsung ketika Perang Dunia Kedua. Selepas mereka menjajah tanah Palestin, mereka mula mengungkapkan soal kebersamaan atau coexistence bersama orang Arab Palestin. Inilah propaganda yang dimainkan oleh Israel dan sekutunya untuk mengabsahkan kehadiran Israel bukan sebagai penjajah, tetapi sebagai penyelamat dunia. 

Saya mahu mengajak pembaca untuk kita melihat semula beberapa kenyataan yang kurang tepat yang telah disebut oleh NasDaily di dalam sebuah video melalui hantaran di laman Facebook, bertarikh 4 Oktober 2022. Kenyataan yang disebutkan pula tidaklah berasaskan fakta yang konkrit, tetapi hanya bermain sentimen semata-mata. Kenapa kita perlu ambil berat sangat dengan video yang dikeluarkan oleh NasDaily ini? Kerana penonton kepada video ini sangat responsif dan menyokong apa yang telah diperkatakan dan ia menjadi tanggungjawab sosial kita untuk menerangkan perkara yang sebenar berdasarkan sumber yang kita miliki.

1. Pada permulaan video tersebut, NasDaily telah meletakkan tiga situasi yang dihadapi olehnya sebagai seorang Muslim berbangsa Arab Palestin yang dipandang serong oleh budak perempuan Yahudi berumur 15 tahun. Kemudian, dia juga pernah dimarahi oleh askar Israel dan pernah ditahan di lapangan terbang kerana status bangsanya. Tetapi apabila dia menulis dari sudut pandang warga Israel, dia menggambarkan bahawa dia hanya melihat roket yang dilancarkan dari Gaza ke Israel dan mengatakan Yahudi di Israel berada dalam ketakutan sepanjang masa. 

Jawapan: NasDaily sangat tidak adil di dalam membuat perbandingan terhadap situasi yang dia nyatakan. Persoalannya, kenapa NasDaily tidak menggambarkan bahawa penduduk Palestin sama ada di Gaza mahupun Tebing Barat tidak diberikan akses seperti mana dirinya di Israel? Selama 75 tahun, rakyat Palestin terus dinafikan hak mereka terhadap pendidikan, pekerjaan, ekonomi dan sebagainya. Malah, selepas Israel menjajah tanah Palestin, seramai 750,000 orang telah dipaksa keluar dari tanah air mereka sendiri menjadi pelarian di negara terdekat seperti Lubnan, Syria dan Jordan. Sejak 2008 hingga 2021, kematian rakyat Palestin dianggarkan berjumlah 6,077 orang manakala rakyat Israel pula berjumlah hanya 274 orang di dalam tiga perang utama yang pernah tercetus.

2. NasDaily telah mengatakan bahawa dia melihat orang Yahudi dihalau dari Timur Tengah disebabkan mereka itu orang Yahudi dan menyamakan keadaan ini seperti pelarian Palestin yang menjadi pelarian disebabkan mereka adalah orang Palestin. 

Jawapan: Perbandingan ini sebenarnya tidak berasas kerana orang Yahudi tidak pernah dihalau dari Timur Tengah terutama Palestin. Lupakah NasDaily ketika Saidina Umar RA menakluk Baitul Maqdis, Saidina Umar tidak pernah menzalimi orang Kristian dan Yahudi malah diberikan jaminan keamanan selagi mana mereka berada di Baitul Maqdis dan mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan oleh pemerintah.

Ketika Baitul Maqdis sekali lagi ditakluk oleh Salahuddin al-Ayyubi, orang Yahudi tidak pernah dihalau malah mereka bebas untuk mengamalkan agama dan budaya serta diberikan hak yang sama seperti orang Islam. Itulah yang diteruskan oleh pemerintahan Islam selepas itu sehinggalah keruntuhan kekuasaan Islam pada tahun 1924.

Mereka lupa bahawa yang menzalimi dan membunuh orang Yahudi adalah Nazi di Jerman dan negara-negara Eropah yang lain sehingga lahirnya istilah anti-semitik. Majoriti penduduk di Eropah ketika itu adalah penganut agama Kristian, jadi dari mana pula datangnya naratif yang mengatakan orang Arab dan Islam menzalimi orang Yahudi?

3. NasDaily juga ada mengatakan bahawa, “Israel perlu wujud dan Palestin juga perlu wujud, dan jika ada yang mengatakan Israel adalah sebuah negara haram, ia adalah hujah yang dangkal (stupid argument).” Melalui hujah ini juga kita dapat lihat bahawa NasDaily mencuba untuk menghidupkan kembali idea two-state solution yang sebenarnya tidak lagi relevan pada pandangan masyarakat dunia.

Kenapa two-state solution tidak lagi relevan?

Kerana Israel sendiri yang memungkiri perjanjian Oslo 1995 ini dengan membina lebih banyak penempatan haram di Tebing Barat, di mana kawasan ini adalah di bawah pemerintahan Palestinian Authority (PA). Two-state solution juga dianggap sebagai salah satu cara untuk Israel dan sekutunya melambatkan pemberian hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada rakyat Palestin dan ia digelar sebagai managing the peace but not resolving it.

Palestin tidak akan boleh untuk hidup bersama dengan Israel kerana Israel adalah penjajah yang telah menjalankan dasar Apartheid terhadap rakyat Palestin seperti yang telah dilaporkan oleh Amnesty International sejak awal mereka menjajah tanah Palestin lagi

Melihat kepada penutup video tersebut, dia mengatakan bahawa kita perlu keluar dan berkawan dengan musuh supaya kita dapat melihat sisi baik yang dilihat olehnya. Benarkah perjuangan rakyat Palestin di Gaza adalah satu tindakan ekstremis? Jika diperhatikan dengan teliti, Gaza telah dikepung selama 15 tahun dan keadaan ini menyebabkan akses seperti pendidikan, ekonomi dan kesihatan tidak diperolehi secara optimum oleh rakyat Palestin di Gaza. Dalam masa yang sama, Israel berterusan menikmati kecukupan keperluan hidup seharian dan tanpa segan silu terus menjarah hak milik rakyat Palestin. 

Secara konklusinya, video yang telah dikeluarkan oleh NasDaily ini telah memanipulasi beberapa perkara yang penting:

i. Apabila NasDaily menyebut soal ekstremisme, dia hanya menggambarkan rakyat Palestin yang memegang senjata seolah-olah mahu menyerang Israel.

ii. Apabila NasDaily cuba untuk meletakkan Palestin dan Israel sama rata, dia terlepas beberapa fakta penting iaitu:

– Nisbah banduan di penjara Israel adalah seorang Israel bersamaan dengan 5000 rakyat Palestin dan seramai 200 orang banduan Palestin adalah banduan di bawah umur 16 tahun.

– Israel mengawal seluruh kawasan sama ada darat, air mahu pun udara.  

Perjuangan membebaskan Palestin dan Baitul Maqdis ini bukanlah perjuangan yang sia-sia. Keamanan di dunia akan dapat dicapai sekiranya Baitul Maqdis ini dibebaskan daripada sebarang penjajahan yang mencemarkan kota suci ini. Rasulullah SAW telah merangka pembebasan Baitul Maqdis seawal zaman kenabian lagi dan rancangan ini tidak terputus selepas Rasulullah SAW wafat, malah ia diteruskan oleh Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar RA. 

Begitu juga ketika Imaduddin Zenki menyampaikan kesedaran tentang pentingnya pembebasan Baitul Maqdis kepada orang Islam dan cita–cita ini diteruskan oleh Nuruddin Zenki dan direalisasikan oleh Salahuddin al-Ayyubi. Musuh telah menggunakan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk membina strategi melawan kembali umat Islam. Antara kaedah yang digunakan ialah dengan melemahkan kita melalui perhambaan intelektual (intellectual slavery).

Kita perlu membebaskan akal kita dengan ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan manfaat ini digunakan untuk membebaskan Baitul Maqdis.  

Rujukan:

 Data on casualties. (2020). Data On Casualties. United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs – Occupied Palestinian Territory. https://www.ochaopt.org/data/casualti..., A. F. (2021), Buku Emas Baitul Maqdis, Institut Al-AqsaPhillips, G. (2018, September 19). Antisemitism: How The Origins of History’s Oldest Hatred Still Hold Sway Today. The Conversation.Andrews, J. (2020). The World In Conflict : Understanding The World’s Troublespots. Economist.Amnesty International. (2022, February 1). Israel’s Apartheid Against Palestinians: Cruel System of Domination and Crime Against Humanity. Amnesty International.

Ditulis oleh:
Muhd Haikal Luqman Bin Zulkefli
Eksekutif Penyelidikan & Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 05, 2022 20:49

September 9, 2022

Ratu Elizabeth II Mangkat; Satu Komentar Hubungan Keluarga Diraja British dan Israel

Selepas 70 tahun menduduki tampuk kuasa sebagai Ratu negara Britain, Queen Elizabeth II akhirnya mangkat. Tempoh pemerintahannya selama 70 tahun ini menyaksikan berbelas perdana menteri Britain berkhidmat dan menjadikan baginda sebagai tokoh yang benar-benar memahami senario politik negaranya sendiri.

Negara yang mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan ini menjadikan baginda sebagai Ratu yang tertakluk dengan konsep Raja Berperlembagaan. Malah sistem demokrasi di Malaysia mengambil sistem British sebagai contoh untuk diaplikasikan sehingga hari ini.

7 dekad memegang takhta, 129 negara dijejaki, tidak sekalipun baginda menjejaki tanah Israel.

Ya. Ini faktanya.

Hubungan yang tegang sudah lama tercetus di antara kedua-dua negara ini. Ada beberapa teori yang menyebabkan krisis ini terjadi. Antaranya:

Mandat British

Liga Bangsa-Bangsa pada tahun 1922 memberi mandat kepada British untuk menubuhkan sebuah “rumah kebangsaan untuk orang-orang Yahudi”. Namun British melanggar komitmen ini dengan membahagikan 70% tanah dari keseluruhan kawasan yang diberikan. Tindakan tersebut telah menyebabkan kewujudan negara Jordan pada hari ini.

Kemudian pada tahun 1939, British mengeluarkan Kertas Putih yang menyekat penghijrahan besar-besaran Yahudi ke Palestin. Perintah ini secara berkesan telah “mengunci pintu pagar kebebasan” untuk berjuta-juta orang Yahudi yang mungkin telah menemui tempat perlindungan dari seksaan Hitler. Golongan Yahudi yang terkenal dengan kedegilan tetap berusaha untuk memasuki Palestin. Bagaimanapun, mereka telah dihalang dari memasuki negara tersebut, malah ada yang ditangkap dan ditempatkan di kem tahanan British.

Dalam masa yang sama, hubungan antara kerajaan British dan sekutu Arab perlu dijaga. Namun, susulan daripada pelaksanaan Kertas Putih itu telah menyebabkan golongan Yahudi di Palestin melancarkan mogok dan mendesak untuk British keluar dari Palestin. Pelbagai siri serangan terutama ke atas pejabat kedutaan British telah dilakukan. Sehingga pada Mei 1948, kerajaan British memutuskan untuk keluar dari bumi Palestin.

Tidak dinafikan tindakan pihak Yahudi menendang keluar kerajaan British dari Palestin telah mendatangkan luka kepada mereka. Selepas empat tahun peristiwa itu, Ratu Elizabeth II menaiki takhta dan berusaha menjaga hubungan monarki British dan Arab secara berterusan. Kemungkinan kerana ketegangan ini yang menjadikan keengganan baginda untuk menjejakkan kaki ke Israel.

Israel Melalui Lensa Kolonialisme

Empayar British berkuasa selama berabad-abad, menjajah tanah lain dan berjaya menguasai satu perempat dunia – India, Caribbean, Gibraltar, Singapura, Australia, Kanada, New Zealand dan bahagian Afrika – sehingga ke titik di mana “matahari tidak pernah menyerang Empayar British.”

Ramai rakyat Britain menyokong “perjuangan pembebasan Palestin menentang imperialisme Israel”. Mungkinkah ini, secara tidak sedar – merupakan hasil daripada sejarah kolonial Britain?

Seorang penganalisis politik Robin Shepherd, menulis di Washington Post;

Eropah ‘diselubungi dengan rasa bersalah’ pasca zaman penjajahan, dan saya sering mendapati bahawa tuntutan Israel ke atas sebidang tanah di Timur Tengah menghidupkan semula kenangan yang menimbulkan rasa bersalah, dalam kalangan rakyat Inggeris, dan bangsa lain. Terutama sekali orang kulit putih Eropah mengukir Dunia Ketiga dengan menundukkan ‘mereka yang kekurangan’ ​​ pada abad ke-19.

Shepherd menambah lagi, “Boleh menjadi punca yang menaikkan sentimen anti-Israel”.

Walau apa pun alasan mengapa tindakan British kadangkala dilihat ada sentimen anti-Israel, sukar untuk menafikan bahawa beberapa bentuk retorik anti-Israel yang paling teruk pada hari ini – delegitimasi, demonisasi dan tindakan dua darjat – datangnya dari UK.

The London Guardian, akhbar pilihan untuk ahli akademik dan elit media Britain telah meletakkan di muka depannya bahawa lesen Israel untuk wujud telah tamat;

“Penubuhan [Negara Israel] telah dibeli dengan kos yang sangat tinggi dalam hak asasi manusia. dan nyawa manusia. Ia mesti jelas bahawa masyarakat antarabangsa tidak dapat menyokong kos ini selama-lamanya.”

Sebuah lagi artikel Guardian menyuarakan idea bahawa Israel “tidak mempunyai hak moral” dan bahawa kelakuannya “menafikan kemungkinan kewujudan Israel sebagai negara Yahudi”.

Sementara itu, hos BBC Tom Paulin mengisytiharkan, “Saya tidak pernah percaya bahawa Israel mempunyai hak untuk wujud sama sekali.” (BBC News menganggap itu semua sebagai jenaka, mengisytiharkan bahawa “gaya pukul rata Paulin telah menimbulkan kekacauan di AS, di mana soalan berkaitan Yahudi adalah terkenal sensitif”).

Untuk mengelakkan sebarang keraguan, Guardian menyatakannya dengan jelas pada tajuk akhbarnya: “Israel Semata-mata Tiada Hak untuk Wujud.”

Memandang ke Hadapan

Segala yang telah berlaku membawa kita ke hari ini. Sudah tentu terdapat banyak perkara yang dianggap positif oleh barat berkenaan hubungan British-Israel dan tiada siapa yang melabel keluarga Diraja British sebagai anti-Yahudi. Selama bertahun-tahun para rabai dan pemimpin komuniti Yahudi telah dinobatkan sebagai kesatria oleh Ratu Elizabeth. Malah, Royal House of Windsor mempunyai tradisi lama bahawa setiap bayi lelaki dikhatankan oleh mudin Yahudi yang disahkan.

Tetapi tidak dinafikan, masih wujudnya aliran negatif British terhadap Israel. Satu tinjauan BBC menunjukkan bahawa dua pertiga daripada responden melihat Israel sebagai pengaruh “negatif” ke atas dunia. Tinjauan yang dijalankan oleh Kesatuan Eropah menamakan Israel sebagai “ancaman kepada keamanan dunia” nombor satu – mengalahkan dua buah negara yang digambarkan sebagai paksi kejahatan iaitu Korea Utara dan Iran.

Persepsi ini mungkin telah diburukkan lagi dengan tujuh dekad keengganan Ratu melawat Israel selama baginda memerintah.

Ditulis oleh:
Nur Sabrina Binti Suhaimi
Eksekutif Penyelidikan & Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 09, 2022 00:01

August 29, 2022

Adakah Arab Saudi Akan Menormalisasikan Hubungan Dengan Israel?

Arab Saudi adalah sebuah negara Arab yang terbesar di Semenanjung Arab. Negara ini juga diberi julukan sebagai  “Tanah Dari Dua Masjid” yang merujuk kepada Makkah dan Madinah, sebagai dua tempat suci bagi umat Islam. Arab Saudi merupakan pengeksport petroleum yang terbesar di dunia. Anggaran keuntungan eksport minyak kepada Arab Saudi adalah sebanyak 90 peratus dan 75 peratus darinya adalah digunakan untuk kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan di Arab Saudi.

Arab Saudi juga antara negara Arab yang lantang mempertahankan hak-hak rakyat Palestin yang dijajah oleh Zionis. Hubungan mereka dengan Israel dan sekutu rapat Israel iaitu Amerika Syarikat tidak begitu baik dan menjadi lebih keruh selepas Amerika Syarikat melabelkan Arab Saudi sebagai sebuah negara ‘pariah’.

Tetapi, di sebalik semua ketegangan yang berlaku antara pasukan Joe Biden dan Arab Saudi, Rumah Putih (White House) terus memandang Riyadh sebagai rakan kongsi yang tersangat penting. Pentadbiran Amerika Syarikat percaya bahawa Washington perlu berkerjasama secara rapat dengan Riyadh walaupun kempen Biden pada tahun 2019 berikrar untuk menjadikan Arab Saudi sebuah negara ‘pariah’. 

Ikrar ini adalah disebabkan Arab Saudi yang konsisten menolak negara haram Israel. Pada awal bulan Jun 2022, Setiausaha Kerajaan Amerika Syarikat, Antony Blinken menggelar Arab Saudi sebagai “critical partner” dalam usahanya untuk melebarkan Perjanjian Abraham (Abraham Accords). Ttetapi Arab Saudi tidak bersetuju untuk menyertai United Arab Emirates (UAE) dan beberapa negara Arab yang lain untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel. 

Mungkin ada sebab mengapa Amerika Syarikat melihat Arab Saudi adalah watak terpenting dalam menjayakan Perjanjian Abraham, dan dalam masa yang sama Joe Biden ada sebab untuk percaya bahawa Riyadh merupakan kemuncak kepada hubungan diplomatik bersama Tel Aviv. Ia tidaklah begitu mengejutkan kerana Perjanjian Abraham adalah salah satu tiang kepada dasar luar negara ketika di bawah pemerintahan Trump, yang Biden dan Blinken cuba teruskan. 

Riyadh sebenarnya sudah mempunyai kerjasama secara sembunyi dengan Israel sejak beberapa dekad yang lalu, dan beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan ini makin terbuka. Namun, Riyadh mungkin tidak akan memulakan langkah normalisasi bersama Israel untuk tempoh terdekat ini kerana Arab Saudi akan melanggar Arab Peace Initiative (API) yang dicetuskan oleh Arab Saudi sendiri 20 tahun lepas. 

API adalah sebuah tawaran yang diberikan kepada Israel di mana semua ahli Liga Arab akan menormalisasikan hubungan mereka dengan Israel jika Israel memulangkan kembali wilayah Palestin pada tahun 1949-1967 dan membenarkan negara berdaulat Palestin didirikan dengan Baitul Maqdis Timur (East Jerusalem) sebagai ibu negaranya.

Mengambil kira bahawa isu Palestin ini menjadi perjuangan Raja Salman selama beberapa dekad, peluang untuk Arab Saudi menormalisasikan hubungannya dengan Israel akan semakin cerah jika Raja Muda Arab Saudi,  Mohammed bin Salman (MBS) menjadi pemerintah rasmi Arab Saudi. Berapa orang penganalisis mengatakan bahawa selagi Raja Salman masih di tampuk pemerintahan, maka peluang mereka adalah tipis. 

Arab Saudi adalah benteng kepada sebarang normalisasi di rantau Asia Barat dan ini kita dapat lihat ketika Bahrain tidak mampu untuk membuat keputusan terhadap polisi dasar luar negaranya tanpa kebenaran dari Arab Saudi, bermaksud Arab Saudi telah bersetuju membenarkan normalisasi antara Bahrain dan Israel. 

Jika Arab Saudi terus berada di dalam trend normalisasi ini, ia memudahkan Iran untuk mengangkat naratif tentang Dinasti Al-Saud yang menjadi boneka kepada Barat dan tidak sesuai menjadi pemacu kepada Dunia Islam. Saya pasti, Arab Saudi tidak akan membenarkan perkara ini berlaku. Tambahan pula, jika Arab Saudi bersetuju dengan Perjanjian Abraham, Iran akan memainkan isu Palestin menentang kepimpinan Riyadh.

Arab Saudi juga mungkin akan berhadapan dengan negara Iraq yang meluluskan rang undang-undang pengharaman sebarang bentuk normalisasi bersama Israel dan ia akan menjejaskan hubungan kedua-duanya dengan cara yang agak sukar untuk diramalkan. Tidak dapat dinafikan, normalisasi Saudi-Israel akan memberi kelebihan kepada Saudi di kalangan pemimpin Barat, khususnya di Washington.

Walau bagaimanapun, MBS dan Arab bersikap lebih defensif terhadap Washington berbanding tempoh sejurus pembunuhan Jamal Khashoggi. Joe Biden menegaskan dalam lawatan Timur Tengah bermula hari ini untuk tidak mengugut Arab Saudi untuk dilabelkan sebagai sebuah negara ‘pariah’.

Jadi, normalisasi Saudi-Israel mungkin akan memberi kelebihan kepada Saudi terhadap negara-negara Barat tetapi ia akan memberi kesan yang lebih besar dan tidak akan menguntungkan Arab Saudi dalam tempoh masa yang lama.  

Ditulis oleh:
Muhd Haikal Luqman Bin Zulkefli
Eksekutif Penyelidikan & Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 29, 2022 01:01

August 28, 2022

55 Tahun Naksah: Adakah Kita Masih Kalah?

Setiap tahun pada 5 Jun adalah tarikh penting yang diingati bukan sahaja oleh rakyat Palestin tetapi oleh semua umat Islam di seluruh dunia, di mana pada tarikh ini, ia adalah titik perubahan geopolitik di rantau Asia Barat. Negara- negara Arab kembali dihukum oleh Zionis Israel selepas kekalahan mereka pada tahun 1948 dan 1956. Kemudian, berlaku lagi perang di antara negara-negara Arab dan Israel pada tahun 1967 selama enam hari.

Bagi umat Islam, khususnya tarikh 5 hingga 10 Jun 1967 menandakan tahap paling rendah dalam sejarah kerana Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis kembali terjajah setelah ia dibebaskan oleah Salahuddin Al-Ayubi pada tahun 1187. Sembilan belas tahun selepas peristiwa Nakbah, rakyat Palestin melalui satu lagi peristiwa pahit yang dikenali sebagai an-Naksah atau ‘hari kekalahan’.

Apa yang sebenarnya berlaku pada 5 Jun hingga 10 Jun 1967?

Pada waktu itu, Zionis Israel telah memulakan perang dengan serangan ketenteraan secara mengejut atau disebut blitzkrieg terhadap barisan pertahanan Mesir di Sinai dan Terusan Suez. Dengan serangan Israel yang dianggap cemerlang dan pertahanan Mesir yang tidak kukuh, maka mereka telah berjaya mengambil alih sebahagian besar tanah Arab. Mereka berjaya menjajah Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, Sinai serta Tanah Tinggi Golan.

Selain itu, Israel juga berjaya mengambil alih sumber minyak di Sinai serta sumber air di Tebing Barat dan Tanah Tinggi Golan. Ini membuka peluang kepada Israel untuk terus membenarkan kemasukan imigran Yahudi dan membangunkan penempatan haram di tanah yang telah terjajah. Israel tanpa segan silu telah memulakan agenda pengyahudian (judaization) secara sistematik. 

Rancangan ini mampu berjaya kerana buat pertama kalinya Zionis memiliki akses penuh ke atas Baitul Maqdis yang menempatkan Masjidil Aqsa, di mana pada tahun 1948, Zionis hanya boleh menduduki di bahagian barat Baitul Maqdis saja. Ini menjadi motivasi buat Israel untuk mengalahkan tentera Arab. Tentera Israel memasuki Masjidil Aqsa yang mulia dan mencemarinya dengan pelbagai perbuatan biadap. Mereka bersorak menghina umat Islam dengan melaungkan Khaibar! Khaibar! Dan mereka menganggap pada hari tersebut penghinaan yang ditimpakan ke atas mereka oleh umat Islam di Madinah pada zaman Rasulullah SAW ditebus dengan jatuhnya Masjidil Aqsa di tangan Yahudi.

Apabila Mesir dan Jordan bersetuju mengadakan gencatan senjata yang telah diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 8 Jun, seluruh Baitul Maqdis Timur dan Tebing Barat sudah pun diduduki oleh Israel. Syria juga memilih untuk patuh dengan gencatan senjata pada 9 Jun, namun Israel terus menceroboh wilayah Syria dengan menduduki ⅔ dari Tanah Tinggi Golan sehingga kini. Menjelang 10 Jun, Israel menguasai wilayah yang keluasannya dua kali ganda dari negara haram Israel didirikan ke atas wilayah Palestin pada tahun 1948. 

PBB juga bertindak meluluskan Resolusi 242 pada 2 November 1967 yang memutuskan Israel perlu berundur semula ke sempadan sebelum 1967 dan mengembalikan ‘sebahagian dari wilayah yang ditawan’. Namun Israel lebih licik dari itu apabila mereka menggunakan wilayah yang ditawan sebagai bahan tawar-menawar (bargaining chip) untuk mencipta perdamaian palsu melalui apa yang disebut sebagai pertukaran wilayah (land swap). 

Kekalahan tentera Arab ketika itu bukan sahaja memalukan mereka tetapi telah menyebabkan pengaruh mereka di Asia Barat semakin lemah dan ini telah digunakan sebaik mungkin oleh Israel untuk terus mengiktiraf negara haram mereka dan menghalalkan segala kezaliman terhadap rakyat Palestin. Buktinya selepas 55 tahun, Israel adalah sebuah kuasa geopolitik yang penting di Asia Barat berbanding Amerika Syarikat. 

Peristiwa an-Naksah telah menyebabkan negara-negara Arab mula berpecah dan hanya memikirkan kelangsungan politik dan sekali gus menyebabkan peristiwa normalisasi Arab-Israel yang berlaku dapat tahun 2020. Faktor kekalahan tentera Arab pada tahun 1967 juga adalah disebabkan matlamat tentera Arab yang tidak jelas kerana tentera Arab ketika itu hanya bertindak selepas wilayah mereka dirampas oleh Israel sedangkan sebelum tiba tahun 1967, mereka hanya berfikir untuk menjaga negara mereka dan bukanlah untuk membebaskan Palestin dari cengkaman penjajah. 

Melalui peristiwa an-Naksah ini, kita dapat melihat bahawa kebatilan yang tersusun mampu untuk mengalahkan kebenaran yang tidak sistematik. Tentera Arab ketika itu adalah tiga kali ganda berbanding tentera Israel tetapi masih tidak mampu untuk mengalahkan Israel malah beberapa wilayah negara Arab dengan mudah dijajah oleh Israel. Ini menunjukkan tentera Israel tidaklah kuat tetapi tentera Arab yang begitu lemah dalam menghadapi mereka. 

Selain itu, kepentingan politik didahulukan berbanding kepentingan ummah. Negara Arab yang terlibat seperti Syria, Jordan dan Mesir hanya bertindak apabila wilayah mereka mula dirampas oleh Israel kerana kawasan dirampas adalah kawasan strategik kepada sumber semulajadi seperti minyak dan air. Mesir dan Jordan adalah antara negara Arab yang paling awal menormalisasikan hubungan mereka dengan Israel sejak penubuhan negara haram tersebut pada 1948. 

Jadi, persoalan yang timbul, adakah umat Islam masih kalah?

Umat Islam tidak akan pernah kalah jika mereka terus bersatu merentasi sempadan negara, bangsa, mazhab dan warna kulit. Ini kerana bilangan umat Islam di seluruh dunia adalah sebanyak 26 peratus daripada populasi dunia dan bilangan umat Islam di Malaysia adalah sebanyak 61.3 peratus. Jika dinilai dari segi bilangan, umat Islam mampu mengalahkan Israel dalam hanya satu hari sahaja. 

Ini ditambah lagi dengan penganut agama lain seperti Kristian, Hindu dan Buddha yang menjadi pendukung kuat 3.12 juta orang rakyat Palestin sama ada di Tebing Barat atau di Gaza yang telah dinafikan hak kebebasan bersuara dan hak mereka sebagai penduduk asal di tanah Palestin. Selagi mana kita terus memberi kesedaran dan pendidikan kepada masayarakat tentang isu Palestin, maka isu ini tidak akan pernah padam malah akan terus mendapat tempat di hati mereka yang ternanti-nanti untuk beribadah di Masjidil Aqsa.

Ditulis oleh:
Muhd Haikal Luqman Bin Zulkefli
Eksekutif Penyelidikan & Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 28, 2022 20:57

Krisis Makanan: Adakah Palestin Terkesan?

Krisis perang yang melibatkan dua negara iaitu Ukraine dan Rusia nampaknya masih tidak menemui jalan penyelesaian apabila Rusia mula menyekat laluan perdagangan Ukraine yang menyebabkan Ukraine tidak dapat untuk melakukan import dan eksport bahan-bahan utama seperti minyak bunga matahari, gandum, tepung jagung bijirin dan barli. Ini juga menyebabkan harga makanan dan bahan keperluan seperti yang disebutkan tadi meningkat mahal. 

Seperti yang diketahui, Ukraine adalah pengeksport dan pengimport terbesar untuk bahan seperti gandum dan jagung bijirin. Ini pasti akan memberi kesan yang besar kepada negara-negara yang menjadikan gandum sebagai makanan ruji termasuk Palestin, di mana sebanyak 90 peratus permintaan domestik untuk gandum datangnya melalui aktiviti import. Secara keseluruhan, kebergantungan Palestin adalah sebanyak 32 peratus untuk pengimportan gandum.

Di Palestin, kesan daripada krisis yang terjadi ini dapat dilihat pada harga tepung gandum yang semakin mahal. Harga tepung gandum telah meningkat sebanyak 14 peratus di Tebing Barat dan 16 peratus di Semenanjung Gaza sejak bermulanya krisis di Ukraine walaupun pihak kerajaan Palestin berusaha untuk mengawal harga sedia ada.

Berdasarkan definisi konsep yang diberikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (2014), sekuriti makanan terdiri daripada tiga teras konsep yang utama, iaitu kebolehdapatan atau ketersediaan makanan, capaian makanan dan penggunaan makanan. Secara asasnya, sekuriti makanan ini diterjemahkan sebagai jaminan makanan yang merujuk kepada jaminan ketersediaan makanan, jaminan capaian makanan dan jaminan penggunaan makanan.

Sementara itu, menurut pengertian konsep yang diberikan oleh United Nations Committee on World Food Security, sekuriti makanan ini adalah bertunjangkan kepada tiga tonggak utama, iaitu ketersediaan, kestabilan dan akses. Keseluruhannya, jaminan makanan atau food security ini boleh ditafsirkan sebagai satu situasi apabila setiap individu, pada sepanjang masa, memiliki akses ekonomi dan fizikal ke atas makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat yang memenuhi keperluan dan citarasa pemakanan untuk hidup yang aktif dan sihat sepanjang masa.

Apa pentingnya untuk kita tahu berkaitan jaminan makanan ini? Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), jumlah individu di seluruh dunia yang mengalami masalah kebuluran dan kekurangan zat pada tahun 2020 adalah sebanyak 811 juta, dan ia adalah jauh lebih tinggi berbanding 2019, iaitu sebanyak 768 juta orang.

FAO sendiri telah menyediakan empat indikator atau petunjuk yang boleh digunakan dalam mengenalpasti jaminan makanan bagi sesebuah negara, iaitu kesediaan bekalan makanan, kemampuan harga membeli, kemudahan akses pasaran dan bekalan makanan yang berkhasiat.

Menurut Oxfam, tepung gandum simpanan sama ada di Gaza atau Tebing Barat mungkin akan habis dalam masa tiga minggu dan kosnya akan naik kepada 25 peratus disebabkan oleh permintaan yang tinggi di seluruh dunia. Jaminan makanan atau food security adalah satu langkah yang giat dilakukan oleh rakyat Palestin untuk kemandirian hidup mereka. 

Rejim penjajah pula ketika ini semakin giat melebarkan jajahan mereka dengan merampas ladang tanaman dan rumah-rumah milik rakyat Palestin dengan menjadikan kediaman imigran Yahudi yang datang dari Eropah. Pada tahun 1967, Tebing Barat telah mengeksport hasil tanaman mereka sebanyak 80 peratus, termasuk 45 peratus dari hasil buah-buahan. Ketika ini, pertanian hanya menyumbang sebanyak 4.8 peratus  daripada GDP Gaza dan 2.6 peratus daripada GDP Tebing Barat menurut International Labour Organization (ILO). 

Selain itu, kekurangan akses kepada sumber air juga menjadi punca kepada masalah jaminan makanan di Palestin apabila Israel meletakkan tembok di Tebing Barat yang telah mengasingkan seramai 95 peratus rakyat Palestin dari sumber air yang telah mereka gunakan sejak dahulu lagi.

Makanan adalah salah satu hak asasi manusia yang perlu dipenuhi. Krisis makanan di Palestin bukanlah terjadi selepas krisis yang melibatkan Ukraine dan Rusia ini, tetapi mereka telah berhadapan dengan isu ini sejak 74 tahun yang lalu tanpa dipandang oleh kuasa-kuasa besar dunia serta gerakan hak asasi manusia. Dengan bermacam-macam krisis yang berlaku pada tahun ini, ia menambahkan lagi tekanan kepada penduduk Palestin terutama di Gaza.

Ditulis oleh:
Muhd Haikal Luqman Bin Zulkefli
Eksekutif Penyelidikan & Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 28, 2022 20:52

La Convivencia: Merealisasikan Andalusia di Palestin 

Pemerhati konflik Palestin dan Israel percaya sebuah negara baharu atau one state yang menggabungkan entiti Arab dan Yahudi wajar dibangunkan di tanah suci itu sebagai usaha menghentikan keganasan yang berlanjutan sejak 1948.

Namun, adakah idea ini sudah cukup kuat untuk dua budaya dan agama bersatu dalam negara yang sama? 

Tingkah Israel yang tiada empati dengan nasib rakyat Palestin – kehilangan tanah kelahiran, dihalau keluar, dan dibunuh tanpa alasan munasabah, sudah cukup menyimpulkan bangsa Arab dan Yahudi mustahil dapat hidup secara harmoni di dalam sebuah negara. 

Kehidupan di Palestin jauh berbeza dengan Andalusia yang pernah mengecapi era kegemilangan yang mana menyaksikan keamanan dan kesepakatan hati di antara Kristian, Yahudi dan Islam. 

Pada ketika itu, sikap menuding jari tidak wujud dan tiada pertumpahan darah berlaku seperti yang disaksikan dunia di Palestin. Mereka memiliki nilai peradaban yang tinggi dengan menyantuni agama dan budaya masing-masing.

Jika pun gabungan bangsa Arab dan Yahudi berlaku, era la convivencia merupakan zaman terbaik bagaimana sebuah negara memiliki pelbagai budaya serta agama dapat bergerak seiring di bawah pemerintahan Islam sehingga menaikkan nama Andalusia ke mata dunia.

La Convivencia di Andalusia

Convivencia merupakan terma popular diperkenalkan oleh ahli sejarawan, Amercio Castro yang merujuk kepada co-existence – kewujudan atau kehidupan bersama.

Siapa sangka Andalusia (kini: Portugal dan Sepanyol) yang dibuka oleh Tariq bin Ziyad bersama Musa bin Nusair pada 711 M pernah melalui era la convivencia di bawah pemerintahan Islam selama lebih 700 tahun. 

Sejarah Bani Umayyah bertapak di Andalusia bermula apabila kerajaan Bani Umayyah bertapak di Cordova dan diketuai Abd Rahman Ad-Dakhil (Abd Rahman I)

Hasil pemerintahannya menumbuhkan Andalusia menjadi sebuah negara yang ampuh daripada serangan puak Kristian dan paling stabil di semenanjung Iberia. Tidak cukup dengan itu, sebagai seorang pemerintah yang terpelajar, Abd Rahman I giat menyebarkan ilmu pengetahuan serta menjadikan Cordova sebagai sebagai pusat perkembangan ilmu, kesenian dan kesusasteraan di seluruh Eropah. 

Titik mula era la convivencia telah dikenal pasti melalui sikap toleransi Abd Rahman I terhadap penganut Kristian dan Yahudi di Andalusia. Difahamkan beliau menyediakan hakim khusus untuk orang Kristian dan Yahudi bagi menangani masalah sesuai dengan ajaran agama masing-masing.

Sebagai rekod, sebelum kedatangan orang Islam, kaum Kristian dan Yahudi terlebih dahulu menjadi penduduk di negara itu kerana penaklukan pelbagai kuasa dan bangsa – suku kaum Eropah, Barbar, orang Phoenecia, orang Romawi, dan seterusnya Visigoth.

Disebabkan sikapnya yang bertoleransi dan orang Islam sangat beradab tinggi, budaya Islam menjadi satu ikutan dalam kalangan orang Kristian dan Yahudi. Malah, agama Islam dipandang tinggi ketika itu.

“Al-Andalus was a melting pot for civilizations and cultures. Each unit developed its own persnality, whilst choosing to belong to a whole, which was Arab/Muslim.”

Tingkahnya ini juga terkait dengan pemerintah Andalusia ke-4, Abdul Rahman Al-Mutawassith (Abd Rahman II) menggiatkan pembinaan sekolah-sekolah dan Universiti Cordova ketika pentadbirannya (822M-852M).

Tidak cukup dengan itu, keharmonian hubungan masyarakat di Andalusia juga kerana para pemerintah Khalifah Umayyah menggalakkan ahli fekah, alim ulama, ahli falsafah dan ahli syair ke Cordova tanpa mengira latar belakang mereka untuk ‘memeriahkan’ perpustakaan-perpustakaan yang dibangunkan dengan tujuan sebagai pusat penyelidikan dan tempat pertemuan para cendekiawan dari seluruh pelusuk dunia.

Hal yang sama juga diaplikasikan ke dalam bidang masing-masing di mana mereka bebas untuk menterjemah dan mengajar sesuatu ilmu berdasarkan bahasa pegangan.

Misalnya, sejarah telah merekodkan bahawa seorang doktor berbangsa Yahudi, Hasdai Ibn Shaprut pernah merawat pemerintah Andalusia ke-5, Abdul Rahman An-Nashir (912M-961M) dan pada masa yang sama telah menterjemah kajian berkaitan perubatan ke dalam bahasa Latin, Arab, Frank, dan Ibrani.

Maka tidak hairanlah jika ketika itu banyak bahan bacaan dan kajian dihasilkan di dalam pelbagai bahasa kerana kesungguhan pemerintah dalam mengetengahkan konsep toleransi dalam kalangan ilmuwan dan masyarakat telah mengangkat nama Andalusia.

La Convivencia di Palestin – Sebuah Jawapan?

Umum mengetahui Palestin masih belum bebas dari jajahan Israel walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan demi membebaskan negara yang menyaksikan banyak sejarah Islam.

Ketika majoriti percaya Palestin mula dijajah pada 1948, rekod menunjukkan negara ini sebenarnya sudah menjadi sasaran Israel sejak 1897 ketika World Zionist Organization ditubuhkan dengan misi mendapatkan tanah Palestin untuk orang Yahudi.

Hal ini berpaksikan kepada janji Tuhan terhadap keturunan Bani Israel:

Musa berkata kepada orang Israel, “Tuhan akan membawa kamu ke tanah orang Kanaan, yang telah dijanjikan-Nya kepada kamu dan nenek moyang kamu”. – (Exodus, 13:11)

Janji ini juga ada disebut di dalam al-Quran;

“(Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”. – (Al-Maaidah, 5:21)

Bagaimanapun, kaum Yahudi dan kerajaan Israel masih ‘bermimpi’ kerana gelaran mereka sebagai bangsa terpilih sudah tidak lagi sah memandangkan golongan fasik ini sudah terputus daripada nasab sebenar mereka, Nabi Yaakub AS.

Mewujudkan la convivencia di Palestin adalah tidak mustahil. Namun, perlu ada kesepakatan antara kedua-dua pihak: Israel dan Palestin, terutama daripada pihak yang memilih penindasan untuk mendapatkan tanah suci itu. 

Mengapa? Jawapannya: Kekerasan bukanlah satu kemerdekaan. 

Bagaimana sesebuah negara dianggap merdeka jika penduduk asalnya masih menjadi pelarian, ditindas, disekat haknya, serta dibunuh tanpa sebab munasabah?

Pada ketika ini, sikap toleransi dilihat berpotensi tinggi untuk bermula dengan hal pertama – penghapusan perjanjian-perjanjian yang telah termeterai dan deklarasi yang diumumkan. 

Misalnya penghapusan Perjanjian Oslo yang menjadi tunjang kepada rancangan penubuhan dua negara di Palestin (two state); dan Deklarasi Balfour 1917 yang menjadi titik mula kepada pencerobohan Israel di negara itu:

“His Majesty’s Government view with favour the establishment in Palestine of a national home for the Jewish people.”

Tidak cukup dengan itu, Israel perlu berhenti paranoid dengan kehadiran penduduk Palestin yang majoritinya beragama Islam kerana mereka hanya mempertahankan tanah itu sebagai hak mereka. 

Ketakutan Israel jelas dibuktikan apabila pasukan pertahanan dan orang Palestin mengangkat senjata, mereka membalas serangan dengan kekasaran (memukul, mengugut, memaksa wanita menanggalkan niqab dan purdah) atau pembunuhan, kononnya mereka telah ditindas.

Lebih tidak masuk akal, Israel juga takutkan dengan bendera Palestin sehingga seluruh penduduk tanah suci itu diharamkan untuk mengangkat bendera negara mereka bermula awal Jun 2022.

Difahamkan tindakan mengibarkan bendera Palestin adalah simbolik kesungguhan rakyat Palestin yang tidak mengalah menuntut kemerdekaan dan ini memberi ancaman kepada tentera Zionis;

The flag battle is not about the flag per se, but about the legitimate existence of Palestinians in their homeland.

Sudah tiba masanya untuk Israel menerima kenyataan bahawa tanah Palestin bukan milik mereka dan tiada sebab untuk mereka menolak solidariti yang diketengahkan oleh penduduk tempatan negara dan umat lain seluruh dunia.

Seperkara lagi yang boleh diambil contoh dalam membentuk Andalusia di Palestin ialah perihal pentadbiran di negara suci itu. Jika pemerintahan Palestin menjadi milik Israel, sesuatu yang harus mereka lakukan adalah memastikan majoriti jawatan di dalam pentadbiran diserahkan kepada pemimpin berkelahiran negara itu. Melalui cara tersebut, pentadbiran Palestin berpotensi untuk mewujudkan sebuah negara yang harmonis sebagaimana Andalusia pernah capai.

Pun begitu, harus dilihat bagaimana Bani Umayyah memutuskan untuk menyerahkan sebahagian jawatan dalam pentadbiran kepada pemimpin Yahudi, bukan Kristian:

Christians, of course, did not hold any positions of power since there were far fewer of them in al-Aandalus, and the Muslims were at war with the Christians. This afforded the Jews a certain unique position in society. They were not considered the enemies by either the Muslims or the Christians. They were indeed, “neutrals,” having their services utilized by both Muslims and Christians.

Era kegemilangan Andalusia membuktikan agama Islam dan seluruh penganutnya bukanlah satu ancaman. Jika tidak, mengapa golongan Kristian dan Yahudi pada ketika itu cukup mengagumi keindahan budaya Islam sehingga menjadikan ia satu cara hidup yang sebenar?

Sikap terbuka dan toleransi yang diamalkan oleh pemerintah Bani Umayyah di Andalusia telah membuka mata ramai orang bahawa diskriminasi atau rasisme sebenarnya tiada ruang untuk bercambah dalam sesebuah komuniti selagi mana ada kesefahaman budaya dan agama. Sekaligus ini menyokong kuat dengan satu dakwaan daripada Sanaa Osseiran di dalam bukunya, Cultural Symbiosis in al-Andalus;

Culture can play a role in peace-building and conflict resolution when it has the ability to develop, adapt and modify certain exclusive features which may cause fear … This is how culture and cultures can become a bridge toward conflict prevention and resolution.

Idea menjadikan Palestin sebagai one-state atau menghadirkan la convivencia di negara itu bukanlah satu paksaan atau kemestian untuk dijadikan satu realiti. 

Namun tidak mustahil ia mampu menjadi rangka kerja ke arah kemerdekaan Palestin, lagi-lagi puak Yahudi dan Islam di negara itu pernah hidup aman damai sebelum menjadi sasaran Israel. 

Sudah terlalu lama Palestin berada dalam cengkaman Yahudi-Israel dan sudah masanya untuk umat Islam seluruh dunia bersatu hati mencari jalan dalam membebaskan Palestin. 

Penulisan ini diharapkan dapat merancakkan perkongsian ilmu tentang Palestin, sekaligus menjadi sandaran atau rujukan untuk kemerdekaan negara suci itu. 

Adakah la convivencia jawapan untuk Palestin? 

Tiada perkara yang mustahil untuk mereka yang teraniaya. Semoga Palestin kembali bangkit!

RUJUKAN

Buku

Cultural Symbiosis in Al-Andalus

Kertas Kajian

Heine and Convivencia: Coexistence in Muslim Spain

Abdul Rahman Ad-Dakhil “Penerus Legasi Umaiyyah”: Kepimpinannya Pada Tanah Andalus

Achievements and Contributions of al-Andalus: Exploration of Material Culture and Science

Convivencia: Christians, Jews, and Muslims in Medieval Spain

Laman Sesawang

Perjuangan Dua Dekad Berakhir, Adakah Masafer Yatta Layak Untuk Israel?

Why is Israel so afraid of the Palestinian flag?

Before Zionism: The shared life of Jews and Palestinians

Remembering Granada: The Last Muslim Kingdom of Spain. 

Ditulis oleh:
Nur Sabrina Binti Suhaimi
Eksekutif Penyelidikan & Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 28, 2022 20:35

Pendidikan Di Palestin Adalah Satu Cabang Konflik Yang Tiada Penghujung

Pendidikan adalah satu ruang yang penting dalam membangunkan identiti bangsa dan negara. Pendidikan tidak lagi dilihat sebagai ruang untuk mendapat kerja, tetapi ia adalah peluang pembebasan terutama kepada rakyat Palestin. Agenda pengyahudian (judaisation) yang sedang dilakukan bakal memberi impak yang besar kepada rakyat Palestin yang majoritinya berbangsa Arab.

Agenda pengyahudian adalah satu strategi yang telah digerakkan oleh Zionis sejak penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948. Zionis menggunakan strategi ini untuk memastikan demografi dan topografi Palestin dapat diubah kepada sebuah negara yang hanya diduduki oleh orang Yahudi atau bukan Yahudi yang mengamalkan cara hidup dan budaya orang Yahudi. Agenda ini telah ditentang oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana telah melanggar Artikel 49 pada Konvensyen Geneva Keempat yang menyatakan,

“The Occupying Power shall not deport or transfer parts of its own civilian population into the territory it occupies”  

Pihak berkuasa Israel sekarang sedang cuba untuk mengadaptasi satu polisi yang sangat bahaya iaitu berkaitan dengan silibus pendidikan di sekolah-sekolah Arab yang berada di Tebing Barat. Israel sedang menggerakkan agenda mereka untuk melemahkan jati diri serta identiti rakyat Palestin dengan mengenakan satu kurikulum Israel yang sememangnya berniat untuk mengyahudikan penduduk di Tebing Barat.

Tindakan Israel lebih agresif apabila cubaan mereka membawa masuk kurikulum yang mereka gubal tidak berjaya dan Kementerian Pendidikan Israel telah membatalkan lesen enam sekolah di Baitul Maqdis Timur yang mana ia telah menganggu bidang kuasa PLO di Tebing Barat. Institusi pendidikan Israel telah berjaya menguasai sektor pendidikan Arab sebanyak 66 peratus di sebahagian besar kawasan di Tebing Barat terutama di Baitul Maqdis sejak tahun 1968. Dikatakan usaha mereka bermula dengan menukarkan nama Palestin kepada Israel dan Jerusalem kepada Urshalim. 

Silibus Israel cuba untuk memberi gambaran yang salah tentang sejarah dan geografi Palestin di dalam kurikulum yang diajar di sekolah-sekolah Arab di Baitul Maqdis. Israel juga menganjurkan seminar pendidikan di Baitul Maqdis untuk menggambarkan bahawa Islam di Baitul Maqdis dibina di atas rampasan dari orang Yahudi, di mana ini juga adalah penyelewengan fakta sejarah yang dilakukan oleh Israel untuk mengubah fakta yang benar.

Rakyat Palestin di Baitul Maqdis menghadapi cabaran yang sangat besar sejak 1967, apabila Israel menutup sekolah-sekolah yang dikelola oleh UNRWA dan pihak berkuasa Israel menyatakan bahawa sekolah Arab yang ada di Baitul Maqdis tidak akan mendapat bantuan kewangan dari kerajaan Israel selagi mana mereka tidak menggunakan kurikulum yang disediakan oleh Israel.  

Ini jelas menunjukkan Israel cuba untuk memprovokasi orang Arab di Baitul Maqdis untuk memaksa mereka keluar dari kota tersebut dan mencari pilihan pendidikan yang lain. Dengan pengurangan populasi orang Arab di Baitul Maqdis, usaha Israel menjadi lebih mudah untuk menghancurkan Masjidil Aqsa dan mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai hak milik Israel secara rasmi.

Menurut sebuah kajian yang dilakukan oleh B’Tselem, kadar keciciran pelajar Arab di sekolah menengah di Baitul Maqdis telah mencapai hampir 50 peratus sejak sedekad yang lalu. Perancangan yang rasis ini bukanlah sesuatu yang baharu. Israel telah beberapa kali melakukan percubaan ini setiap tahun, tapi mereka tidak akan mampu untuk menukar cara fikir rakyat Palestin kepada naratif yang dibawa Israel.

Usaha Israel ini pasti akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan warisan yang dimiliki oleh rakyat Palestin akan hilang ditelan zaman dan kemudian ia menjadikan perancangan Israel lebih mudah untuk menjadikan Palestin sebagai sebuah negara tunggal Yahudi di dunia. Namun, kita juga tidak boleh memandang ringan kepada rakyat Palestin yang cekal dalam menghadapi tekanan yang diberikan oleh Israel walaupun ia melibatkan nyawa mereka. 

Ditulis oleh:
Muhd Haikal Luqman Bin Zulkefli
Eksekutif Penyelidikan & Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 28, 2022 20:02

Kewujudan Bangunan Ikonik Di Palestin Bukti Islam Akan Bangkit Semula

Palestin adalah tanah yang penuh dengan sejarah dan harus diakui ia merupakan salah satu tempat tertua di dunia.

Siapa sangka, asal usul ‘Palestin’ sebenarnya sudah bermula sejak ia digelar dengan nama terawal – ‘Filastin’ – ketika era Zaman Gangsa sekitar 450 Sebelum Masihi dan 1948 Masihi. Rekod mendedahkan Filastin merangkumi sebuah kawasan di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan.

Bagaimanapun, nama ‘Palestin’ terus menjadi sebutan bermula 1300 Sebelum Masihi sehingga sekarang dan secara tidak langsung, ia membuktikan negara itu melalui pelbagai era peradaban manusia termasuk zaman Roman, Byzantine, dan Islam; serta pemerintahan Uthmaniyah dan Zionis. 

Malang untuk Palestin kerana di bawah pengurungan Zionis sejak 1948, keluasannya semakin mengecil apabila majoriti tempat di negara itu sudah diiktiraf sebagai negara Israel. Tidak cukup dengan itu, beberapa kawasan bersejarah di Palestin telah dimusnahkan dan adapun yang dikekalkan telah dijadikan sebagai sebahagian hak milik Israel.

Moroccan Quarter

Terletak di Baitul Maqdis, berdekatan dengan al Haram al-Sharif.Berusia 829 tahun, turut dikenali sebagai Mughrabi Quarter.Merupakan bukti pemerintahan Sultan Salahuddin al-Ayyubi kerana ia dibangunkan oleh anak sulungnya, al-Malik al-Afdal sekitar tahun 1193 untuk diwakafkan kepada orang Islam.Menjadi penempatan untuk kaum Arab dari Afrika Utara, Andalusia, dan Palestin.Telah dimusnahkan oleh tentera Israel pada 11 Jun 1967 untuk penubuhan plaza Tembok Ratapan (Wailing Wall) bagi kegunaan orang Yahudi.

Al-Thafar Damri Mosque

Penduduk tempatan menggelarnya Qazmari dan ia terletak di pekan Shajai’ya, Gaza.Ditubuhkan oleh Putera Mamluk, Shihab al-Din Ahmad bin Azafir al-Thafer Damri yang berasal dari Thafer Damar di negara-negara Maghreb.Masjid ini memiliki perpustakaan kecil, ruang menghafal al-Quran, ruang solat untuk muslimah, dan makam putera Mamluk.Kewujudannya merupakan bukti kemunculan era kesultanan Mamluk yang berasal dari kerajaan Uthmaniyah. Dimusnahkan oleh rejim Zionis pada 2014 bersama-sama beberapa masjid terkenal yang lain termasuk Mahkamah Mosque.Pada 2015, usaha pemulihan dilaksanakan dengan bantuan daripada pihak sukarelawan.

Masjid Al-Aqsa

Penubuhan Masjid al-Aqsa atau al-Haram as-Sharif dikatakan idea Nabi Ibrahim AS sebelum dirobohkan dan dibangunkan semula di bawah pemerintahan Saidina Umar al-Khattab selepas menumpaskan tentera Byzantine.Di dalamnya telah terbina beberapa bangunan yang ikonik seperti Masjid al-Qibli dan Dome of Rock. Difahamkan al-Aqsa merupakan kiblat pertama bagi umat Islam sebelum ditukarkan ke Kaabah.Isu yang menjadi perdebatan antara orang Islam dan Yahudi sekarang ini ialah dikatakan pihak Zionis sedang membuat penggalian terowong di bawah al-Aqsa tanpa kebenaran sejak 1967. Pemusnahan al-Aqsa kononnya mahu mencari artifak dan membangunkan semula rumah ibadat kaum Yahudi, Solomon’s Temple yang pernah dirobohkan suatu ketika dahulu. 

Dome of Rock (Qubbah al-Sakhra)

Penubuhannya direkodkan pada 691 Masihi, menjadikan ia bangunan tertua di dunia dan dalam sejarah Islam.Terletak di Baitul Maqdis dalam Masjidil al-Aqsa, bangunan ini dibina oleh khalifah Bani Umayyah, Marwan bin Muhammad.Direkodkan kejadian Israk Mikraj berlaku di sini, di mana Nabi Muhammad SAW telah diangkat ke Sidratul Muntaha hingga melepasi langit ke-7.Tapak bangunan ini dikatakan tempat berdirinya Solomon Temple yang pernah dibangunkan sebagai kawasan suci kaum Yahudi sebelum dirobohkan oleh tentera Roman pada 70 Masihi.Ia memainkan peranan sebagai tempat perlindungan Muslim ketika musim sejuk dan panas; tempat persinggahan orang yang melaksanakan ibadah haji; dan bukannya untuk melakukan ibadah umum.

Ibrahimi Mosque

Juga dikenali sebagai Masjid al-Khalil, ia terletak di Hebron dan menjadi tumpuan utama pelancong di negeri itu.Difahamkan masjid ini dibina di atas gua yang mengandungi makam Nabi Ibrahim AS dan isterinya, Sarah, serta anak-anak mereka – Ishak dan Yaakub AS.Menariknya, masjid ini berada di atas sempadan Israel dan Palestin menyebabkan ia memiliki dua bahagian – untuk kegunaan orang Islam dan orang Yahudi.Masjid ini juga pernah dijadikan gereja di bawah penguasaan tentera Salib sebelum dikembalikan peranan asalnya ketika pemerintahan Salahuddin Ayyubi pada 1187Pada 1967, penguasaan Israel di beberapa tempat di Palestin menyebabkan kunjungan pelawat telah diterhadkan.Pada 2022, tentera Zionis telah meruntuhkan tangga-tangga dan menggantikannya dengan lif atas tujuan mahu merampas masjid tersebut, sekaligus tidak mempedulikan undang-undang antarabangsa.

Di sebalik kesuraman berita berkaitan Palestin yang semakin ‘menghilang’ dari peta dunia, bangunan-bangunan ikonik ini masih kekal baik di dalam lipatan sejarah walaupun ada di antaranya telah dimusnahkan. 

Secara tidak langsung, keteguhan bangunan-bangunan yang masih bertapak di bumi suci Palestin membuktikan kekuatan-kekuatan pemerintahan khalifah Islam suatu ketika dahulu. 

Pada masa yang sama, bukti ini berjaya meniupkan semangat bahawa kebangkitan Islam di Palestin tidak mustahil akan berlaku lagi.

Ditulis oleh:
Nur Sabrina Binti Suhaimi
Eksekutif Penyelidikan & Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 28, 2022 19:23

Nadir Al-Nuri's Blog

Nadir Al-Nuri
Nadir Al-Nuri isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Nadir Al-Nuri's blog with rss.