Muhammad Syaari Ab. Rahman's Blog

July 4, 2017

Kisah-kisah Melawan Dalam Al-Quran

Karya yang SANGAT BAIK!Saya sangka pada awalnya penulis orang Indonesia.Saya sangka pada awalnya penulis berumur 30 tahun lebih.Jangkaan saya meleset apabila membelek halaman terakhir buku setebal 136 halaman ini. 1. Semoga penulis ini lebih kerap menulis kerana saya saya sendiri belajar sesuatu dari corak penulisannya. Paling pentingnya, bagaimana untuk menulis sesuatu yang "quranik" sifatnya tetapi boleh "menjentik" cara fikir generasi muda itu sendiri di akhir zaman kini.2. Setakat pemerhatian saya, kita agak ketandusan sumber dalam bahasa Melayu - bukan terjemahan - yang membentangkan kisah-kisah al-Quran dalam laras bahasa yang lebih semasa dan mudah difahami tanpa perlu berbelit-belit lidah dengan istilah kearaban itu sendiri. Lalu saya memahami sasaran utama buku ini. 3. Kemampuan mengaitkan sesuatu nas dengan takwilan yang saya anggap "sihat" dan tidak bertentangan dengan tafsiran muktabar wajarlah diangkat kerana ia sebahagian dari proses "tadabbur" yang dikongsikan. Kita tidak mahu cerita sejarah hanya menjadi cerita atas tikar sejadah. 4. Kemampuan membawa kenyataan sarjana-sarjana moden, menghuraikannya bagi memperjelas maksud di sebalik nas sesuatu kisah, nyata ia bukanlah satu kelebihan yang mudah diperolehi melainkan seseorang yang banyak membaca sumber turath dan non-turath sekaligus. Almarhum Buya Hamka, Prof. Naqib al-Attas, Pendeta Za'ba, Ali Shariati dan ramai lagi yang dipetik kenyataannya oleh penulis di celahan proses pengibrahannya boleh menggambarkan buku apa yang selama ini mendominasi pemikiran penulis ini.5. Mengaitkan cahaya matahari dengan sikap "bebalisme" dalam surah Nuh, membuat perkaitan antara sifat "Qabil" dengan kaum Madyan, melihat babak Musa dan Khadr serta tragedi Uhud dari dimensi "perlawanan dalam diri sendiri" dan banyak lagi merupakan bentuk takwilan kisah-kisah al-Quran yang ummat sangat-sangat perlukan pada waktu ini sekurang-kurangnya untuk membuka fikiran mereka yang menganggap ia hanya kisah "sejarah".6. Penulis tidak mengheret Israiliyyat masuk sebagai sandaran hujah mahupun pun "perencah tambahan". Halaman 103, selepas penulis menyenaraikan nama-nama Ashabul Kahfi, namun kita dapat lihat penulis mengakhiri dengan komentar Ibnu Kathir sendiri yang meragui sumber periwayatan nama-nama itu.Halaman 109, saya tenang bila membaca kenyataan penulis mengenai hikmah kisah-kisah al-Quran tidak menyebut pelaku dan lebih memfokuskan pada intipati kisah itu sendiri serta hubungkaitannya dengan gejala ketaksuban personal. Ini saya anggap permulaan yang baik kepada manhaj pemikiran dan penulisan beliau. Wallahu a'lam.7. Dalam beberapa tempat, penulis sendiri menyebut nama atau memperincikan sesuatu yang tidaklah disepakati kesahihannya. 8. Meskipun saya punyai pandangan tersendiri dalam isu punca perbalahan Qabil dan Habil, punca anak Nabi Nuh diajak naik bahtera, dua orang anak perempuan Nabi Syuaib atau orang tua yang soleh, 10 tahun atau 40 tahun Nabi Musa di Madyan, Ashabul Kahfi hidup selepas zaman Nabi Isa, Nabi Samuel pada zaman Thalut, namun itu hanyalah isu picisan dari kebaikan yang boleh disampaikan dari buku ini.Apatah lagi perkara ini termasuk dalam perkara khilaf para mufassir zaman berzaman yang kita hanya perlu saling menghormati pandangan antara satu sama lain. Yang penting, penulis ada sandaran dan bukan "rajman bil ghaib".9. Selamat menikmati karya santai tetapi ilmiah ini. Mudah-mudahan ia membantu anda menjelajah lebih mendalam ke dalam keindahan kisah-kisah al-Quran dari pelbagai karya yang lain pula. Inilah sifat ayat Allah, ia tidak pernah terhenti takwilannya kerana ia mukjizat hingga hari Qiamat. 10. Semoga buku ini boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris untuk mendekatkan lebih ramai non-muslim kepada tingginya nilai kisah-kisah al-Quran itu sendiri. 11. Saya percaya, sekiranya penulis juga membelek karya-karya Dr Solah al-Khalidi, Dr Ahmad Nawfal dan almarhum Dr Fadhl Hassan Abbas iaitu antara "pasukan" tadabbur dan takwil kisah-kisah al-Quran dengan asas ilmu munasabah dan لطائف قرآنية, beliau akan mendapat ilham yang lebih dahsyat untuk mencorak "Kisah-Kisah Melawan Dalam al-Quran 2.0" dengan lebih kreatif dan menarik !12. Saya menulis komen ini bukan bertujuan untuk lebih melariskan buku ini atau syarikat buku ini. Saya tidak mengenal pun siapa penulisnya, siapa mentornya dan syarikat mana yang menerbitkannya. Hanya menilai isi sahaja. Kebetulan buku ini selari dengan "bidang" saya yang saya sedang mendalaminya. 13. Keprihatinan saya adalah keperluan ummat kepada karya-karya kreatif dan menarik untuk santapan kerohanian masyarakat awam yang jauh dari pengetahuan bahasa Arab dan selok belok Ulum al-Quran ketika kita pendakwah seperti saya sendiri sering menyatakan "Al-Quran sebagai solusi kehidupan". 14. Maka apa jua buku kita baca, ia seharusnya menimbulkan "passion" kita untuk belajar dan terus belajar tafsiran sesuatu ayat dari pelbagai kitab, buku dan para ulama. Jangan berhenti belajar dan berpada dengan mana-mana kitab, buku atau ulama supaya kita tidak menjemput ketaksuban dan kezaliman ke atas kesucian Kitabullah. Iqra !15. Dengan landasan yang sejahtera dari takwilan yang menyeleweng ahli-ahli kebatilan zaman berzaman, dengan senjata kreativiti dan kesantunan demi menyelamatkan tamadun keinsanan, kita bersama memartabat kisah-kisah al-Quran.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 04, 2017 08:29

MUFTI WILAYAH BERI HARAPAN BESAR PADA TADABBUR CENTRE

Pertemuan bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri telah merakamkan pengharapan beliau agar pusat pembelajaran tafsir secara interaktif dan bermultimedia ini nanti kelak dapat membumikan al-Quran dalam kehidupan setiap rakyat Malaysia. Tiba masanya al-Quran itu difahami mesejnya dan diamalkan dalam kehidupan dan tidak sekali-kali ia sekadar dibaca dalam bulan Ramadhan atau didekati hanya pada masa-masa tertentu sahaja.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 04, 2017 08:27

Kompas 114 Bersama Petronas Labuan

Tidak sampai sebulan buku Kompas 114 diterbitkan sendiri oleh pihak Ibrah Paradigm, ia sudah terjual lebih dari 3000 naskhah sehingga ke bumi Labuan. Terkini, program selama dua hari dikendalikan oleh Ustaz Syaari bersama kakitangan Petronas Labuan pada penghujung Ramadhan 1438 H yang lepas
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 04, 2017 08:25

AKAL UNTUK BERTAFAKKUR

Ilmu munasabah sememangnya ijtihadi kerana tidak kedengaran kelantangannya dari era generasi al-Quran 300 tahun pertama. Kerana Allah kurniakan aqal untuk bertafakkurlah, ia dinamakan ijtihad. Pilihan di tangan kita untuk memilih pandangan mana yang paling kuat, mengambil yang jernih, membuang yang keruh, meyakini yang rajih dan menghormati yang marjuh. Kemukjizatan al-Quran bukan hanya untuk generasi 300 tahun pertama. Allah "simpan" kemukjizatan al-Quran sampai hari Qiamat, maka akan ada generasi selepas itu dibuka dan dibuka lagi hijab seterusnya pada keindahan kalam Ilahi. Salah satu pintu kemukjizatan itu adalah ilmu Munasabah ayat yang mula dipelopori dan dilantangi sejak era al-Imam al-Naisaburi (wafat 405 H). Sungguh al-Quran bukan "kebetulan" susunan ayat dan susunan surahnya di dalam Mushaf atas petunjuk Rasul buat para Sahabah dan Luh Mahfuz atas petunjuk Jibril dari Allah buat Rasul.Kajilah. Tadabburlah.Semoga Allah merahmati ustaz Nouman, antara yang berusaha mengembalikan keagungan ilmu munasabah surah dan munasabah ayat.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 04, 2017 08:24

ALHAMDULILLAH, SELESAI PROJEK VIDEO KOMPAS 114

Semoga bermanfaat buat rakan-rakan yang mahu memahami intisari terpenting 114 surah. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan "live" dan rakaman sejak Juzuk 1 pada 1 Ramadhan lepas tanpa henti.Semoga ia menjadi sumber pahala berterusan meskipun empunya diri kelak akan berpindah ke alam sana nanti.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 04, 2017 08:23

SURI RUMAH SURI NEGARA

Suatu kesilapan besar jika ada cubaan membina persepsi bahawa wanita yang tidak bekerja secara rasmi atau suri rumah tangga itu adalah wanita yang tidak mandiri dan hidup hanya bergantung pada suami semata-mata.Matilah dia kalau suaminya mati nanti atau bercerai hidup. Jenuhlah dia, hilanglah segalanya.Suatu kesalahan sudut pandang jika melihat wanita yang memilih untuk duduk di rumah, mengurus rumahtangga dan mendidik anak-anak dengan tangan sendiri sebagai wanita kelas kedua, tiada pendapatan sendiri, tiada kawan-kawan, tiada kebebasan.Oh rugilah negara kerana wanita-wanita ini yang tidak mahu masuk ke pasaran kerja, memilih untuk duduk di rumah sahaja.Sedangkan wanita-wanita yang MEMILIH jalan ini dengan penuh kesedaran dan persediaan adalah juga wanita yang berprinsip, punya visi misi yang ingin dicapai. Bukan saja-saja.Ya, memang ada risiko, tetapi yang MEMILIH dengan kesedaran akan buat segala persediaan. Redho suami, merancang bersama suami sangat penting untuk kelangsungan kehidupan rumahtangga dan anak-anak di masa depan. Bina hubungan yang baik dengan keluarga besar sebagai sistem sokongan, punya simpanan dan juga aset sendiri sebagai bekalan tatkala diuji kecemasan.Tetapi rumahtangga bukan hanya tentang kestabilan ekonomi tetapi juga kestabilan emosi. Ya, mungkin ada yang kata rugilah kerana wanita-wanita yang berpendidikan ini tidak masuk pasaran kerja, rugilah negara kita.Memang ada benarnya, tetapi itu jika kita terus dengan pandangan lama yang menganggap suri rumah ini tidak menyumbang apa-apa kepada negara. Sedangkan dalam dunia di hujung jari ini, segalanya boleh dibuat tanpa sekatan sempadan geografi lagi.Cuma, janganlah jadi suri rumah tanpa prinsip, tanpa jati diri. Duduk di rumah sahaja tanpa visi dan misi. Janganlah jadi mangsa buli suami dan keluarga kerana rasa rendah diri hanya kerana tidak bekerja. Buktikanlah yang kita sedang membina generasi dan tamadun dari dalam rumah yang kini makin dipandang sepi. Hidupkan lah kembali peranan ibu sebagai sebuah 'madrasah' utama. Jadikanlah suri rumah sebagai kerjaya yang juga punya kehormatan sendiri dan lubuk mengumpul pahala.Hentikanlah memaksa wanita-wanita yang memang tidak mahu bekerja di luar rumah ini untuk keluar bekerja. Hormatilah pilihan mereka.Situasi dan awlawiat setiap keluarga tidak sama. Wanita ini hebat. Sama ada yang bekerjaya mahupun yang suri rumah tangga semuanya sedang memainkan peranan masing-masing dengan jayanya. Mereka adalah tonggak keluarga dimana pun mereka berada.Saya adalah suri rumah yang sentiasa mahu menyokong semua suri yang di rumah mahupun yang bekerjaya. Kerana kita ini suri agama dan negara. #surimembaca #empowerWAHM #kelabisteribahagia
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 04, 2017 08:21

Bertemu Datuk Dr Daud Bakar Untuk Membantu Tadabbur Centre Sebagai Salah Seorang Penasihat.

Pertemuan singkat tetapi bermakna dan sangat memotivasikan. Datuk juga dalam proses menyempurnakan Tafsir Insani beliau sebagai salah satu karya pembuka fikiran ummat apabila berinteraksi dengan nas-nas bersangkut paut manusia dan syariah. Dahulu di zaman saya di UIAM, Datuklah yang ditugaskan mengumumkan keputusan-keputusan pilihanraya kampus yang "panas".Kini, keberadaan Datuk dalam lapangan ummah dan global semakin dirasakan. Kami di Tadabbur Centre berhasrat untuk memanfaatkan mutiara kepakaran beliau yang punyai hubungan rapat dengan tafsir dan tadabbur al-Quran agar lebih ramai yang terbuka minda dan fikiran apabila berinteraksi dengan al-Quran dan nas-nas syariahnya. Terima kasih Dr Azrul Azlan atas kesudian mengatur pertemuan bermakna ini.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 04, 2017 08:17

Muhammad Syaari Ab. Rahman's Blog

Muhammad Syaari Ab. Rahman
Muhammad Syaari Ab. Rahman isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhammad Syaari Ab. Rahman's blog with rss.