Mesra


Pada 6 Jun 2011, saya dijemput menyampaikan ceramah kepada 661 pelajar baharu Pusat Pengajian Pra-Universiti, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Ceramah bertajuk Alam Kampus Satu Realiti. Ceramah sempena majlis ikrar pelajar Sesi 2011/2012.

Sebelum saya berceramah, Naib Canselor Unimas, Prof. Datuk Dr. Khairuddin Ab. Hamid berucap terlebih dahulu. Beliau seperti biasa berdiri di rostrum.

Kemudian tiba giliran saya. Sejurus sampai ke rostrum, segera saya ambil pembesar suara. Terus saya bawa ke tengah pentas. Saya tidak mahu berceramah dengan gaya berucap. Saya tidak mahu rostrum menjadi penghalang komunikasi. Ia menjadikan saya seolah-olah bersembunyi. Saya mahu (baca: berangan-angan) menjadi seperti Steve Jobs, CEO Apple. Beliau mesra-audiens.

Dengan berdiri di tengah pentas, saya lebih jelas pada pandangan audiens. Saya juga menjadikan ceramah saya bersifat dua hala (berbeza dengan ucapan yang bersifat satu hala). Malah beberapa kali saya turun ke bawah pentas. Saya mahu lebih hampir, lebih dekat, lebih mesra (terasa seperti YB pula).


Saya berpegang pada tip yang diberikan Nick Morgan penulis Give Your Speech, Change the World. Kata beliau dalam artikel How to Connect With Your Audience by Moving Closer:

Kamu tidak dapat membuat impak sebenar, melainkan kamu masuk ke ruang peribadi seseorang.
Jarak yang dimaksudkan ialah sekitar 1.5-4 kaki. Teknik bagi memperkasa komunikasi melalui bahasa badan ada saya huraikan dalam buku Seni Bahasa Badan. Saya akan terus menggunakan teknik ini pada sesi ceramah saya akan datang. Saya mahu lebih mesra.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 09, 2011 15:50
No comments have been added yet.