Keh Tunggu
"Keh tunggu". Demikianlah dua patah perkataan yang dilontarkannya buat kali terakhir dalam kotak mesej facebooksaya. Dua patah perkataan terakhir yang membawa maksud "saya tunggu" rupanya merupakan antara kalimat terakhir beliau. Tercatat pada kotak mesej waktunya sekitar jam 9.56 malam. Kira-kira empat jam sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Subari Ahmad atau nama penanya Arisel B.A anak kelahiran Kuala Lipis akhirnya pulang ke pangkuan Tuhan di daerah sebelah daerah kelahirannya,Raub, Pahang. Setia dengan imej topi bareeta sewaktu saya mula mengenalinya kalau tidak silap di Kuantan puluhan tahun yang lalu. Pernah juga setia dengan paip yang menambahkan seni pada penampilan dirinya. Hujan lebat pada pagi keberangkatannya, seakan air dari awan itu menyampaikan salam takziah dari langit buat keluarga dan sanak-saudara Allayaraham. Dalam hujan lebat jugalah, jenazahnya dimandikan buat kali terakhir, dikafan dengan kain putih dan disembahyangkan. Arisel B.A seorang penulis marhaen yang jarang berada di pentas-pentas hadiah sastera berarus perdana di Malaysia. Sewaktu hayatnya pernah menerbitkan sebuah kumpulan puisi. Memilih lain daripada yang lain beliau hadir dengan sajak-sajak jenaka. Katanya yang diringkaskan menjadi 'sajen'. Khabarnya pernah juga menerbitkan sebuah kumpulan cerpen. Juga aktif dalam dunia siber menerusi kelompok sastera siber yang dikepalai Irwan Abu Bakar. Beliau berjuang sehingga saat akhirnya. Benarlah kata orang. Ajal maut hanya Tuhan yang tahu. Bayangkan kira-kira empat jam terakhir sisa hayatnya beliau masih aktif menghubungi rakan-rakan penulis menerusi facebook. Jika tahu ajalnya datang kira-kira jam 2.30 pagi sudah tentu beliau tidak melakukan apa-apa pada saat dan detik itu. Kecuali satu. Pasrah kepada ketentuan takdir sementara menunggu tangan malaikat maut. Ah! betapa singkatnya hidup di rumah sementara ini. Dalam usia yang tidaklah terlalu tua, khabarnya 60 tahun, seorang sahabat telah kembali menemui Tuhannya dan Tuhanku dalam hujan lebat 1 Disember 2013. Moga engkau damai di sana sahabaku. Engkau pergi tanpa taburan bunga di atas pusara. 1 disember 2013
Published on December 01, 2013 06:05
No comments have been added yet.
Sahrunizam Abdul Talib's Blog
- Sahrunizam Abdul Talib's profile
- 2 followers
Sahrunizam Abdul Talib isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.

