Minggu Penulis Remaja (2)
Sebenarnya, tidak banyak cerita boleh saya khabarkan. Sengaja dibiar bersambung kerana agak kepenatan ketika menulis tempoh hari.
Sekadar memuaskan nafsu anda, fasilitator kami yang setia sepanjang minggu terdiri daripada dua orang yang hebat dalam bidang masing-masing.
Encik S.M. Zakir bagi penulisan cerpen dan Cikgu Rosli K. Matari bagi penulisan puisi.
Wibawa dan kredibiliti mereka tidak perlu saya canang kerana sepatutnya sudah didengar orang. Mereka ini bukan yang calang-calang telah melimpahkan kami dengan pelbagai pengetahuan yang tak ternilai. Malahan, beberapa hari sebelum hadir ke MPR, saya telah menguliti "Malaikat Putih yang Sayapnya Dilumati Darah" terbitan KataPilar Books yang di dalamnya ada terkandung tulisan Encik S.M. Zakir yang sungguh saya cintai.
Selain mereka, Dato' Rahman Shaari dan Pak Malim Ghozali PK turut memberikan satu sesi pengalaman masing-masing yang menjadi tadahan kami. Demi Tuhan, entah tercapai atau tidak kami ini untuk merasa berada di tempat mereka di masa kelak.
Bersama Pak Malim Ghozali PKBersyukurlah kami kerana dikurniakan dengan orang hebat-hebat dalam dunia sastera negara. Urus setia pula yang terdiri daripada Encik Jusoh, Kak Zuraini dan Kak Zaiha tak ubah seperti ayah dan ibu yang menatang kami dengan baik.
Encik Jusoh, Kak Zu dan Kak Zaiha yang terpaksa menahan kerenah kami.Tidak seperti kem-kem atau program-program yang pernah saya lalui, seminggu itu, dirasakan pantas sahaja berlalu. Program berakhir dengan memori saya membaca puisi berjudul "Sampaikan Salam Qais" hasil didikan Cikgu Rosli K. Matari yang berjaya mendapat tempat kedua Puisi Terbaik MPR 2017. Alhamdulillah. Namun, sejujurnya, saya tahu sebenarnya peserta lain turut punya kebolehan yang sama malah lebih hebat di masa mendatang.
Dan menjalani program ini adalah pengalaman terbaik hidup saya. Saya berpeluang menjalinkan persahabatan ampuh dengan seorang jejaka puitis yang moga kekal hingga ke hujung hayat. Lelaki inilah yang menjadi teman tidur lewat malam dan kami bercerita tentang puisi, cerita dan hati yang tak sepertinya berkesudahan. Dan di sinilah pertama kali saya mengenal maksud cinta dengan seorang gadis yang sempurna seadanya. Jatuhnya hati saya membuatkan kapal terbang seolah tak cukup tinggi di langit dan kami masih di awangan cinta sehingga kini.
Maka, adakah nikmat yang lebih baik daripada ini?
Apakah nilai RM2200 yang telah saya bayar itu setanding dengan harganya?
Tak sedikit pun.
Kesal?
Tidak sama sekali.
Sebelum saya menutup tirai, teringin saya mengulang soalan daripada sahabat-sahabat Arab yang bertalu-talu ditembak setelah kepulangan saya ke bumi Syam,
"How was your holidays in Malaysia, Iz?"
Jawapan saya cukup mudah.
"It's been so great. So great."
Menerima Kamus Dewan Edisi ke-4 sebagai hadiah tempah kedua Puisi Terbaik.Sudah lama mengharapkan kamus ini!
Gambar usai program
Keluarga baru, 22 orang ahli Minggu Penulis Remaja 2017
Published on April 14, 2017 01:05
No comments have been added yet.


