Selamat kembali
NotaMKI: Artikel ini telah disiarkan pada 30.10.2010
Selamat kembali.
Tumpuan jemaah haji hampir 100% ketika sebelum berangkat ke Tanah Suci. Persediaan selepas kembali dipinggirkan. Jarang ada manusia yang resah, risau dan gundah gulana setelah mendarat di KLIA.
Bayangkanlah kegembiraan kerana menunaikan fardhu haji. Bayangkanlah bagaimana leganya hati setelah berjaya menunaikan rukun Islam yang ke lima. Agaknya lengkaplah titik-titik perjalanan seorang muslim jika rukun Islam dijadikan asas.
Kegembiraan inilah yang terbawa-bawa sepanjang perjalanan pulang sama ada melalui Jeddah – KLIA atau Madinah – KLIA. Tubuh lesu setelah hampir [melebihi] 40 hari memberi tumpuan beramal ibadat di Mekah dan Madinah mula menguasai diri. Namun keseronokan mendarat di bumi Malaysia mula hadir.
Jangan kosongkan fikiran.
Tips kami, sebutlah nama-nama Allah. Berzikirlah. Bacalah ayat-ayat suci al-Quran. Bermunajatlah di dalam hati. Berfikirlah tentang kehidupan pasca-haji. Jangan biarkan semangat Mekah dan Madinah menginsut pergi. Bertahanlah, bertahanlah, bertahanlah.
Bila kapalterbang mendarat, saya dapat merasakan keseronokan jemaah yang berjalan beriring-iringan. Riuh-rendah menuju ke tempat bagasi. Tiada lagi yang tunduk ketakutan, tiada lagi wajah gelisah, gundah gulana dan hati hanya ingin melakukan satu perkara, mencari bagasi dan menolak keluar untuk berjumpa sanak saudara yang sedia menanti.
“Ya Allah kami mohon keampunanmu”
Bertahanlah…. bertahanlah… bertahanlah….
Cuba-cubalah melihat di kiri-kanan perjalanan di terminal KLIA. Pasti jemaah akan berjumpa dengan tanda “SURAU LELAKI” dan “SURAU WANITA”. Berhentilah seketika di sini. Bertenang. Jika mahu berwuduk [nota: mengikut Imam Syafie, lain-lain Imam tidak perlu) ambillah wuduk dan bersujudlah. Ia dinama sujud syukur. Bersujudlah dan ingatlah kasih-sayang Allah betapa dengan izinnya kita berjaya menunaikan fardhu haji, selamat pergi dan selamat kembali.
Hilangkanlah rasa “riang-ria yang melampau” sehingga bibir dan hati sudah mula melupai “Allah, ya Allah, ya Allah, Subhanallah, Subhanallah”.
Bertahanlah…. bertahanlah… bertahanlah… Ibadat haji kita sebenarnya baru bermula di KLIA!
MENGHADAPI UJIAN
Daripada blog Prof, saya dapat tahu yang salah satu topik ceramah kegemaran Prof adalah “Menghadapi Ujian”. Anak sulung saya akan menghadapi peperiksaan SPM pada minggu hadapan. Saya igin tahu samada Prof ada last minute tips untuk anak-anak sebegini. Mungkin Prof ada website/facebook berkenaan dengan tips ini.
Betul juga…. SPM itu ujian! Jika ada yang bertanya soalan yang sama, maka inilah jawapan saya. Mudah-mudahan ada manfaatnya.
Salam sejahtera,
Ada.
Doa ibu bapa sangat mustajab.
Bangunlah pada 1/3 malam tersisa dan berdoalah sebagaimana hadis berikut,
Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 malam masih tersisa dan Allah menyeru: “Adakah antara hambaKu yang berdoa kepadaKu, supaya aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hambaKu yang meminta ampun kepadaKu, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hambaKu yang meminta kepadaKu, supaya Aku memenuhinya? (Terjemahan dari hadis sahih Bukhari dan Muslim)
Juga doa mereka yang berpuasa juga dimakbul Allah. Berpuasa sunat dan berdoalah untuk kejayaan anak-anak kita.
InsyaAllah, berdoalah untuk mereka mendapat yang terbaik di sisi Allah dan bukannya semata-mata 10 atau 11 A.
Kepada anak-anak yang akan menghadapi UJIAN SPM, kami doakan kejayaan yang cemerlang di sisi Allah SWT. Jangan lupa solat, berdoa dan minta pada ibu bapa, “mama, ayah, doakan saya. Moga Allah permudahkan saya”.
Saya ingat ia dakwah berkesan untuk ibu bapa sendiri!
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
