Zalila Isa's Blog: TABULA KATA - Posts Tagged "buku"

BACA APA?

Persoalan pertama, adakah kita membaca, dan kemudian barulah bincangkan hal mengapa kita membaca.

Ketika berkunjung ke sebuah sekolah elit di ibu kota, saya berbual dengan guru besar sekolah itu. Katanya, "Nanti puan mahu kongsikan apa dengan pelajar?"

Saya jawab, "Tentang kepentingan membaca buku dan bagaimana proses pembacaan ini akan mengaktifkan minda serta memberi input yang sangat bermanfaat."

Terus dijawab oleh sang guru, "Itulah, budak-budak sekarang malas membaca, Buku teks sekolah pun tidak baca."

Saya tidak bersetuju tapi hanya membalas dengan senyum.

Bengkel bermula. Sebetulnya hanya perkongsian sebagai editor dan hal-hal berkaitan buku.

Namun pelajar-pelajar ini sangat aktif. Mungkin gurunya sudah berpesan atau ya, mereka pelajar elit yang aktif berbincang.

Soalan pertama, "Siapa di sini suka baca buku?"

Tentu sahaja semua angkat tangan. Lalu saya tanya lagi, "Buku apa?"

Nah, di sini segala hal yang guru besar katakan tentang pelajarnya salah sesalah-salahnya, seperti yang saya fikirkan.

Mereka membaca buku pelbagai sehingga buku-buku hebat yang saya belum baca pun. Seorang demi seorang mengangkat tangan mahu berkongsi bahan bacaan masing-masing.

Cuma seorang, diusik-usik kawannya mengatakan, "Dia ni suka baca novel cinta sahaja."

Saya senyum, dan membalas.

"Tak apa. Sekurang-kurangnya dia membaca. Setiap orang ada kesukaan masing-masing. Baca sebanyak mana kita suka, genre yang kita minati."

"Tapi, sesekali tukar genre dan pelbagaikan bahan bacaan. Untuk menambahkan ilmu dan pengalaman."

"Tak apa baca novel cinta."

Pelajar itu tersipu-sipu dan kemudian menunjukkan wajah yakin dan bersetuju.

Sebenarnya, saya juga terfikir, tidak muakkah membaca novel cinta popular yang hampir kesemuanya mempunyai tema dan jalan cerita hampir sama?

Tapi saya percaya, suatu hari pelajar berkenaan akan mula terbuka hati untuk mempelbagaikan bacaannya.

Bukan tak boleh baca novel cinta, tapi jangan keterlaluan. Manfaatkan minat membaca dengan buku-buku lain yang memberi manfaat kepada kita.

Fitrah manusia, memerlukan ilmu dan pengalaman baharu dalam pelbagai bidang.

Demikian, akhirnya saya menyimpulkan "MEMBACAKAH?", "BACA APA?" ialah persoalan yang boleh kita tanyakan kepada sesiapa sahaja, namun janganlah kita harap mendapat jawapan setepat kita mahu mengadakan statistik.

Sebab apa?

Sebab membaca ialah aktiviti peribadi. Orang membaca bukan untuk menunjuk-nunjuk tapi untuk memenuhi kehendak diri - mengisi masa, mencari sesuatu dalam buku, mahu belajar, mahu mengembara ke alam imaginasi tanpa sempadan.

Mulalah bina statistik membaca melalui jumlah jualan buku, jumlah pinjaman buku di perpustakaan dan jumlah buku diterbitkan.

Bukan dengan membuat tinjauan rambang di tempat awam sama ada orang memegang buku atau tidak.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 14, 2022 20:14 Tags: buku, membaca

TABULA KATA

Zalila Isa
Tentang buku
Follow Zalila Isa's blog with rss.