Zalila Isa's Blog: TABULA KATA

January 2, 2023

Harapan Buku 2023

Alhamdulillah, bertemu tahun seterusnya, 2023. Selamat bertugas nyawa!

Menamatkan 84 buah buku pada tahun 2022 bukanlah sesuatu yang membanggakan. Jumlahnya masih belum mencukupi dan memadai bagi saya yang bekerja sebagai editor dan juga berhasrat menjadi penulis jaya.

Buku yang banyak memakan masa dan tenaga yang banyak juga. Walaupun banyak input yang diperoleh, kerja penulisan tidak semakin laju, malah semakin tumpul.

Tahun ini, target bacaan masih sama - 78 buah buku. Sekadar mahu mengingat tahun dilahirkan.

Bacaan mungkin masih sama seperti tahun sebelumnya - tidak mengkhusus pada mana-mana genre. Mana yang menarik perhatian dan seronok dibaca, itu yang akan dihabiskan.

Cuma ralat, tahun lepas terlibat dengan sebuah projek penulisan sasterawan negara. Siap kerja taip semula dan suntingan, waris SN pula tidak membenarkan buku kontroversi itu diterbitkan.

Sayang sungguh. Padahal boleh sahaja diubah nama watak, kalaupun mahu menjaga nama baik bapanya (SN).

Nantilah ulas tentang buku kontroversi ini. Apapun, si waris ada hak terhadap karya bapanya.

Jadi, saya simpanlah ulasan buku itu dalam kepala. :)

Tahun 2023, cadangnya mahu habiskan bacaan sebaiknya dan buat ulasan dalam bentuk video di TikTok. Tapi itu sekadar perancangan. Saya bukannya mesra khalayak. Tapi pentingnya buku disebarkan dalam pelbagai medium. Kita cubalah nanti jika ada masa.

Selamat membaca kepada semua warga Goodreads...

Semoga kita membaca buku yang baik-baik dan bermanfaat.
1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 02, 2023 06:53 Tags: books-buku

September 25, 2022

Di Mana Buku di Malaysia?

Melihat beberapa fail slaid pembentangan untuk bengkel penulisan dan penyuntingan yang tersimpan di dalam komputer riba, saya terperasan satu hal; Kebanyakan slaid akan saya masukkan babak buku dalam filem atau drama, dan kesemuanya bukan dari drama Malaysia.

Apabila slaid memaparkan wajah Matilda dengan dialognya, "Yes, I love to read," maka pelajar yang mengikuti bengkel itu akan segera memberi reaksi balas yang positif. Begitu juga babak-babak dalam drama Korea yang umum tahu, sangat banyak mengaitkan hal buku dalam drama mereka.

Dan hari ini, untuk menyiapkan slaid bengkel penulisan kreatif, saya fikir saya perlu menonton lebih banyak filem dan drama tanpa prejudis untuk mencari babak-babak buku sebagai pendorong kepada masyarakat untuk terus membaca.

Tapi, untuk menonton drama tempatan, amat tidak 'lalu' atau tak mampu nak tengok. :(

Kecuali satu, babak dalam drama Kampung People, babak anak lelaki yang sangat suka membaca novel, tapi novel cinta la. :(

I need more books scene in our drama or film. Please....
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 25, 2022 05:24 Tags: books-buku-drama

August 14, 2022

BACA APA?

Persoalan pertama, adakah kita membaca, dan kemudian barulah bincangkan hal mengapa kita membaca.

Ketika berkunjung ke sebuah sekolah elit di ibu kota, saya berbual dengan guru besar sekolah itu. Katanya, "Nanti puan mahu kongsikan apa dengan pelajar?"

Saya jawab, "Tentang kepentingan membaca buku dan bagaimana proses pembacaan ini akan mengaktifkan minda serta memberi input yang sangat bermanfaat."

Terus dijawab oleh sang guru, "Itulah, budak-budak sekarang malas membaca, Buku teks sekolah pun tidak baca."

Saya tidak bersetuju tapi hanya membalas dengan senyum.

Bengkel bermula. Sebetulnya hanya perkongsian sebagai editor dan hal-hal berkaitan buku.

Namun pelajar-pelajar ini sangat aktif. Mungkin gurunya sudah berpesan atau ya, mereka pelajar elit yang aktif berbincang.

Soalan pertama, "Siapa di sini suka baca buku?"

Tentu sahaja semua angkat tangan. Lalu saya tanya lagi, "Buku apa?"

Nah, di sini segala hal yang guru besar katakan tentang pelajarnya salah sesalah-salahnya, seperti yang saya fikirkan.

Mereka membaca buku pelbagai sehingga buku-buku hebat yang saya belum baca pun. Seorang demi seorang mengangkat tangan mahu berkongsi bahan bacaan masing-masing.

Cuma seorang, diusik-usik kawannya mengatakan, "Dia ni suka baca novel cinta sahaja."

Saya senyum, dan membalas.

"Tak apa. Sekurang-kurangnya dia membaca. Setiap orang ada kesukaan masing-masing. Baca sebanyak mana kita suka, genre yang kita minati."

"Tapi, sesekali tukar genre dan pelbagaikan bahan bacaan. Untuk menambahkan ilmu dan pengalaman."

"Tak apa baca novel cinta."

Pelajar itu tersipu-sipu dan kemudian menunjukkan wajah yakin dan bersetuju.

Sebenarnya, saya juga terfikir, tidak muakkah membaca novel cinta popular yang hampir kesemuanya mempunyai tema dan jalan cerita hampir sama?

Tapi saya percaya, suatu hari pelajar berkenaan akan mula terbuka hati untuk mempelbagaikan bacaannya.

Bukan tak boleh baca novel cinta, tapi jangan keterlaluan. Manfaatkan minat membaca dengan buku-buku lain yang memberi manfaat kepada kita.

Fitrah manusia, memerlukan ilmu dan pengalaman baharu dalam pelbagai bidang.

Demikian, akhirnya saya menyimpulkan "MEMBACAKAH?", "BACA APA?" ialah persoalan yang boleh kita tanyakan kepada sesiapa sahaja, namun janganlah kita harap mendapat jawapan setepat kita mahu mengadakan statistik.

Sebab apa?

Sebab membaca ialah aktiviti peribadi. Orang membaca bukan untuk menunjuk-nunjuk tapi untuk memenuhi kehendak diri - mengisi masa, mencari sesuatu dalam buku, mahu belajar, mahu mengembara ke alam imaginasi tanpa sempadan.

Mulalah bina statistik membaca melalui jumlah jualan buku, jumlah pinjaman buku di perpustakaan dan jumlah buku diterbitkan.

Bukan dengan membuat tinjauan rambang di tempat awam sama ada orang memegang buku atau tidak.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 14, 2022 20:14 Tags: buku, membaca

TABULA KATA

Zalila Isa
Tentang buku
Follow Zalila Isa's blog with rss.