Syahrul Nizam Junaini's Blog

October 22, 2011

Motivator

[image error]
Tugas sebagai motivator seperti Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah bunyinya memang gah. Namun cabarannya juga menggunung. Sebagai motivator tuan punya badan itu sendiri perlu sentiasa termotivasi. Bagaimana dia boleh memotivasi orang lain jika dia sendiri tidak termotivasi?

Atas cabaran yang hebat inilah saya tidak berapa selesa apabila pihak yang menjemput saya menyampaikan ceramah motivasi memanggil saya sebagai motivator. Saya lebih selesa dipanggil fasilitator atau jurulatih motivasi.

Sebagai fasilitator tugas saya memudahkan peserta program motivasi mempelajari bagaimana mereka boleh sentiasa termotivasi. Tugas saya juga memastikan mereka sentiasa tahu kepentingan motivasi dalam hidup mereka. Hal ini penting terutama apabila saya dijemput memotivasikan pelajar sekolah, ibu bapa dan kakitangan organisasi. Apabila mereka faham kepentingan motivasi, baharulah mereka mula membuat tindakan bagi berusaha.

Apabila ada langkah pertama, maka akan wujud langkah kedua dan seterusnya.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 22, 2011 14:56

October 15, 2011

Teladan


Kepimpinan melalui teladan, kata orang tidak berapa putih. Kata orang putih pula lead by example. Kata orang putih yang agak genius pula:
Setting an example is not the main means of influencing another, it is the only means. (Albert Einstein)
Saya meminta pelajar datang awal. Maka sewajarnya saya sendiri yang mesti datang awal. Walaupun kuliah hanya bermula pada pukul 8.00 pagi. Pada 7.40 pagi saya biasanya sudah bersedia di bilik kuliah.

Saya tidak dapat beralasan bahawa oleh kerana rumah saya terletak 25.8 km dari kampus UNIMAS, maka saya tidak dapat datang awal. Jarak itu termasuk saya memusing bulatan gergasi di sekitar Kuching.

Dalam senario buatan, apabila saya datang ke kelas pada pukul 8.10 AM, pelajar anggap saya membenarkan mereka datang lewat. Malah saya menghukum mereka yang datang awal dengan tidak menegur mereka yang datang lewat.

Kepimpinan Melalui Teladan--konsep asas khalifah dalam ajaran Islam.

Sumber imej: http://joeelylean.blogspot.com/2008/0...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 15, 2011 12:34

October 8, 2011

Meja


Ngeri pun ada apabila saya melihat gambar ini.

Hari ini saya ingin kongsikan satu tip inovasi di tempat kerja. Sejurus sampai di pejabat, lapangkan meja kerja. Pindahkan segala dokumen, khazanah lama dan harta karun yang tiada kaitan dengan kerja hari ini ke tempat lain. Di atas meja hanya ada komputer, dokumen dan benda yang diperlukan sehingga pukul 5 petang ini sahaja.

Di pejabat saya ada banyak almari. Saya sumbatkan sahaja segala harta harun karun ke dalamnya.

Rakan Facebook saya, Puan Dayang Rahanah mengatakan bahawa perkara ini telah diamalkannya sejak 8 tahun yg lalu. Kata beliau:
"... Aku teringat dgn bekas pengetua aku di St.Teresa Isekarang telah bersara, Mr.Tan. Amalan beliau sebelum balik petang, meja mesti dikemaskan supaya esok bila kita sampai pejabat meja kita dalam keadaan kemas. Jadi mood kerja pun bagus. Bayangkan kita datang pagi meja kita berselerak. Maka Otak kita mungkin juga akan berselerak. Secepat mana pun kita nak balik petang. Kemaskan meja kita dahulu. Cuba amalkan. Rasai perbezaannya."
Selamat mencuba!

Kredit gambar: ErgonomicChair.com
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 08, 2011 12:48

October 1, 2011

Positif


Saya sentiasa mahu simpulkan diri saya sebagai orang yang positif. Aura positif itu, apabila saya sebarkan melalui status FB maka 4,963 rakan saya juga dapat merasainya. Semangat positif itu, apabila saya sebarkan melalui blog, maka 219 pengikut blog saya juga dapat merasainya. Malah aura itu dapat merentas lautan hingga ke Australia dalam masa 0.05 saat. Kata Donald Trump:

Buat kesimpulan yang positif tentang diri kita sendiri.
(Halaman 87, buku Pengaruh Gaya Trump). 

Mulai sekarang, jadilah diri kita versi 2.0 yang lebih positif. Selain di alam maya, ia juga boleh disebarkan melalui alam nyata. Caranya melalui seni bahasa badan. Tunjukkan keceriaan pada wajah. Aura positif kita dapat ditonjolkan pada kemanisan senyuman pada wajah. Ia dapat memberi harapan dan sumber semangat kepada manusia di sekeliling kita. Selamat transformer transform diri ke versi 2.0 yang lebih positif.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 01, 2011 12:33

September 26, 2011

Karisma

Nabi Muhamad pemimpin agung. Perkara ini terbukti apabila baginda mempunyai ciri karisma yang jelas. Personaliti yang hebat menyerlahkan lagi ciri karisma itu.

Profesor Shahul Hameed, presiden Pergerakan Islam Kerala, India menyenaraikan beberapa faktor yang menyebabkan baginda mempunyai ciri karisma yang sempurna. Kata beliau baginda insan yang peramah, mesra dan penyayang. Baginda juga bersopan santun dan bertolak ansur. Seni bahasa badan yang dipaparkan menyerlahkan lagi karisma baginda. Senyuman manis sentiasa terukir pada wajah baginda yang tampan lagi mulia.

Sadullah Khan dari Muslim Bridges.Org yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat menyenaraikan beberapa tip bagi membina karisma. Tip yang diberinya dipetik daripada contoh praktikal Rasulullah. Antaranya:
Bergaul dengan semua orang. Para sahabat berasa dihargai apabila ketua negara yang hebat, masih mahu merendah diri bagi bergaul dengan mereka.Layan semua orang sebaik mungkin. Anas bin Malik RA pernah merekodkan bahawa beliau langsung tidak pernah dimarahi oleh baginda. Utamakan orang lain. Dalam banyak riwayat, baginda didapati memuliakan orang lain, walaupun orang itu tidak seagama dengan baginda.
Semoga kita dapat membina karisma alam diri kita. Caranya tidak lain tidak bukan. Melainkan dengan meniru 100% bagaimana baginda membina karisma.
Kredit gambar: http://leadership-charisma.info/
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 26, 2011 06:11

September 24, 2011

Percaya


Kepimpinan biasanya dikaitkan dengan kepercayaan. Apabila orang mempercayai kita maka mereka dengan sukarela mengikuti kita. Pemimpin biasanya mahu dipercayai. Namun ada yang terlupa bahawa bagi menjadikan kita dipercayai, maka percayakan orang lain terlebih dahulu.

Seorang pemimpin yang hebat percaya kepada pengikutknya. Seorang pengurus yang hebat percaya kepada pekerjanya. Dengan memberi kepercayaan sepenuhnya, maka pekerja berasa dia dihargai. Malah salah satu kepuasan utama dalam hidup ialah rasa dihargai.

Banyak kajian menunjukkan bahawa sikap saling mempercayai dan rasa hormat merupakan pemangkin bagi menjadikan kita orang yang hebat. Apabila kita sebagai pemimpin mempercayai orang bawahan, maka mereka akan mempercayai kita. Kata Lao Tzu, "Orang yang tidak mempercayai, tidak akan dipercayai." Abraham Lincoln menambah bahawa seseorang dipercayai akan mengembalikan kepercayaan itu.

Perkara ini juga dibuktikan oleh Muhammad SAW dalam kepimpinannya. Walaupun dia imam yang hebat, namun diberinya kepercayaan kepada Abu Bakar RA sebagai imam. Abu Bakar pula sangat menghormati, mencintai dan menghargai Rasulullah. Lebih daripada dia menghargai nyawanya sendiri. Hebat!

Kredit gambar: http://marketwala.files.wordpress.com/2011/03/trust.jpeg
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 24, 2011 15:31

June 9, 2011

Mesra


Pada 6 Jun 2011, saya dijemput menyampaikan ceramah kepada 661 pelajar baharu Pusat Pengajian Pra-Universiti, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Ceramah bertajuk Alam Kampus Satu Realiti. Ceramah sempena majlis ikrar pelajar Sesi 2011/2012.

Sebelum saya berceramah, Naib Canselor Unimas, Prof. Datuk Dr. Khairuddin Ab. Hamid berucap terlebih dahulu. Beliau seperti biasa berdiri di rostrum.

Kemudian tiba giliran saya. Sejurus sampai ke rostrum, segera saya ambil pembesar suara. Terus saya bawa ke tengah pentas. Saya tidak mahu berceramah dengan gaya berucap. Saya tidak mahu rostrum menjadi penghalang komunikasi. Ia menjadikan saya seolah-olah bersembunyi. Saya mahu (baca: berangan-angan) menjadi seperti Steve Jobs, CEO Apple. Beliau mesra-audiens.

Dengan berdiri di tengah pentas, saya lebih jelas pada pandangan audiens. Saya juga menjadikan ceramah saya bersifat dua hala (berbeza dengan ucapan yang bersifat satu hala). Malah beberapa kali saya turun ke bawah pentas. Saya mahu lebih hampir, lebih dekat, lebih mesra (terasa seperti YB pula).


Saya berpegang pada tip yang diberikan Nick Morgan penulis Give Your Speech, Change the World. Kata beliau dalam artikel How to Connect With Your Audience by Moving Closer:

Kamu tidak dapat membuat impak sebenar, melainkan kamu masuk ke ruang peribadi seseorang.
Jarak yang dimaksudkan ialah sekitar 1.5-4 kaki. Teknik bagi memperkasa komunikasi melalui bahasa badan ada saya huraikan dalam buku Seni Bahasa Badan. Saya akan terus menggunakan teknik ini pada sesi ceramah saya akan datang. Saya mahu lebih mesra.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 09, 2011 15:50

June 6, 2011

Eye contact

Saya diminta rakan yang mendeklamasi sajak bagi memberi komen tentang seni bahasa badan yang ditunjukkannya di atas pentas. Namun dalam komen saya, saya fokus pada eye contact sahaja.

Pepatah Inggeris menyebut:
Eyes are the window to the soul.

Mata adalah tingkap bagi jiwa. Apabila kita mewujudkan komunikasi dengan mata (eye contact) terhadap audiens, mesej kita dapat sampai ke jiwa audiens. Saya kongsikan tiga tip bagi menambahkan pengaruh ucapan dengan eye contact:

Tingkatkan kekerapan melihat audiens. Sekurang-kurangnya 60% masa ucapan, kita harus melihat wajah audiens. Bukan 60% fokus melihat teks.Elakkan tunduk terlalu lama. Oleh kerana audiens tahu kita memang membaca skrip, maka tunjukkan sahaja skrip itu. Angkat skrip lebih tinggi supaya kita dapat pantas mengalih mata dari atas skrip ke penonton.Gunakan teknik 3 saat. Fokus pasa seseorang (atau sekumpulan audiens) bagi tempoh 3 saat. Kemudian alihkan fokus pada kumpulan lain bagi tempoh sama.
Tonton video ini bagi maklumat lanjut:



Semoga saya sendiri dapat mempraktikkan tip ini.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 06, 2011 21:15

June 4, 2011

Surat

Biasanya surat dari KL ke Kuching mengambil masa beberapa hari. Namun surat yang baru saya terima ambil masa 3 minggu! Sebenarnya surat itu sudah lama sampai. Namun dimasukkan posmen (Pos Malaysia) ke peti surat JIRAN saya. Jiran saya pula tidak tinggal di situ. Beliau menetap di Bintulu. Beliau pulang sebentar sempena cuti sekolah.

Nasib baik kami terserempak malam tadi. Beliau sedang membasuh kereta. Sejurus saya keluar rumah, segera saya ditegurnya:

Ada banyak surat kitak dalam peti surat kamek, salah hantar sidak nya (Baca: Ada banyak surat tuan dalam peti surat saya, mereka (posmen) silap hantar.

Salah satu sampul sudah tercedera (baca: terkoyak). Isi surat yang bernilai beribu-ribu lemon itu hampir koyak. Nasib baik bahagian yang koyak itu bukan pada bahagian terpenting.

Moral cerita ini juga ialah saya perlu lebih mesra sesama jiran. Walaupun beliau cuma berada di rumah sekali-sekala. Jiran sepakat, membawa berkat. Itulah kata-kata Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional.

TIP INOVASI: Saya perlu tampalkan nombor rumah dengan jelas pada peti surat. Jika perlu saya akan pasang papan tanda besar-besar yang tertera nama saya: SINI WILAYAH TAKLUK SULTAN SYAHRUL NIZAM BIN JUNAINI! (Watak filem Nujum Pak Belalang terbitan 1959).

p.s.: Rakan Facebook saya, Tuan Ahmad Kamal Effendy mengatakan bahawa di Jepun, semua nama penghuni rumah termasuk anak kecil pun ditulis bersama nombor rumah.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 04, 2011 16:02

June 3, 2011

Simplisiti

Dalam komunikasi dengan blog, ciri utama dan terpenting ialah simplisiti. Kamus Kamus Inggeris-Melayu Dewan mendefinisikan simplisiti (simplicity) sebagai:
n   1.  plainness, kesederhanaan, sederhana.
Saya kongsikan tiga tip bagaimana memastikan elemen sederhana dalam reka bentuk blog:

Kurangkan elemen tidak penting. Kurangkangkan iklan. Hentikan lagu yang terpasang dengan sendirinya. Ia menyerabutkan dan membingintkan telinga. Buang widget yang tidak perlu.Tekankan elemen ringkas. Pilih elemen reka bentuk seperti garisan, imej dan logo yang ringkas.Pilih templat yang kemas. Ia membuat pengunjung terpikat. Saya suka latar belakang putih.Sepanjang pelayaran saya di Internet, laman Google adalah yang paling simpel. 

Mungkin bagi tuan punya blog, katanya: "Ini blog saya, suka hati saya lah saya hendak letakkan apa sahaja saya suka." Namun dia lupa blog adalah untuk orang lain (pengunjung).
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 03, 2011 20:05