Hartini Hamzah's Blog

September 26, 2011

FUAD BUKAN MUALAF

Terdapat pelbagai pihak yang menyatakan bahawa Fuad ialah seorang mualaf.Maksud mualaf ialah orang yang baru memeluk agama Islam, saudara baru. Dalam novel MELUNAS RINDU, Fuad lahir semula jadi sebagai seorang Islam kerana bapanya Robert Lim sudah memeluk Islam ketika berkahwin dengan Mariana. Justeru, yang mualaf ialah Robert Lim dan bukannya Fuad. Fakta yang betul ialah Fuad kurang mengamalkan ajaran Islam kerana dari kecil dia tinggal bersama-sama bapa saudaranya Peter Lim yang bukan beragama Islam. Pelajar perlu berhati-hati apabila menggunakan perkataan mualaf ini agar huraian tidak dikategorikan sebagai kesalahan fakta.
Maksud Jati diri : Menurut Kamus Dewansifat atau ciri yg unik dan istimewa (dr segi adat, bahasa, budaya, agama dsb) yg menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dsb, identiti:
Tidak jelas bahawa Isu jati diri merupakan persoalan pokok dalam novel ini kerana kita tidak menemukan jati diri bagaimana yang cuba dicari oleh Fuad dari bab pertama hingga akhir. Jati diri sebagai seorang Cina atau jati diri sebagai muslim ?
2 likes ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 26, 2011 22:23

April 25, 2011

PROJEK TERBENGKALAI

Saya memohon kemaafan daripada pengunjung blog yang menanti-nantikan sambungan bahan yang pernah tersiar dalam blog ini. Oleh sebab kesibukan tugas di sekolah, bahan nota dan latihan yang sepatutnya disediakan telah tergendala. Insyaalah dalam sedikit masa lagi saya akan menyambung penulisan bahan dalam blog ini. Saya berharap semoga bahan dalam blog ini dapat membantu bukan sahaja pelajar tetapi juga rakan guru dari seluruh semenanjung Malaysia. Saya juga ingin menyampaikan salam kepada Pn Hartini, yang kini menjadi rakan baik saya ( sebenarnya tak pernah telefon pun cuma sekadar ber sms sahaja )..bertemu juga belum sekali. Teringat ajakan seorang rakan dari Kota Tinggi supaya mengadakan satu majlis umpama pertemuan pelajar dengan novelis...ya satu idea yang baik. Mungkin novelis kita sendiri akan menerima jemputan dengan tangan terbuka. Pasti seronok mendengar sendiri luahan hati novelis berupa pengalaman menulis novel ini...yang agak penting juga pasti permintaan untuk mengambil gambar bersama novelis dan menurunkan tandatangan pada novel. Kita hanya merancang..dan insyaalah satu hari projek ini akan menjadi kenyataan.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 25, 2011 02:43

February 2, 2011

NOVEL PIA

Beberapa maklumat tambahan dalam novel Pia disenaraikan di bawah ini:
1. Kehadiran Fuad ke Danau Seberang tidak dicurigai oleh Pak Mail walaupun isterinya Mak Salmah agak keberatan menerimanya kerana mereka mempunyai seorang anak angkat berusia 17 tahun bernama Sofia yang tinggal bersama-sama mereka.

2. Fuad banyak membantu "menghidupkan" suasana di Danau Seberang dengan cara mengusahakan agar dibina gelanggang sepak takraw dan padang bola supaya anak-anak muda di kampung itu dapat menjalankan aktiviti yang bermanfaat.

3. Fuad pernah berkawan baik dengan Borhan tetapi persahabatan tersebut menjadi dingin kerana Fuad dituduh cuba memiliki Masnah (anak penghulu). Borhan sebenarnya suka kepada Masnah tetapi dipendamkan kerana latar belakang keluarganya yang miskin. Persahabatan tersebut terus menjadi dingin apabila Borhan terserempak Fuad duduk berdua-duaan dengan Masnah. Di dalam novel Melunas Rindu, diceritakan Fuad sendiri bersama Pak Mail meminangkan Masnah untuk Borhan bahkan segala perbelanjaan perkahwinan ditanggung oleh Fuad. Sejak itu hubungan mereka menjadi akrab semula.

4. Fuad berusaha untuk memenangi hati Pak Mail dan Mak Salmah dengan cara mempelajari cara kehidupan mereka iaitu bertani. Di samping itu Fuad cuba mendekati Sofia dengan cara membantunya dalam pelajaran setelah dikesan tidak berminat dalam mata pelajaran Fizik dan Matematik Tambahan.

5. Akhirnya komplot untuk melarikan Sofia terserlah. Robert Lim menjadi perancang kepada usaha tersebut akan bakal dilaksanakan oleh Fuad. Pada ketika itu Robert Lim sendiri tidak mengetahui bahawa Fuad ialah anak kandungnya. Hanya Peter Lim tahukan hal tersebut tetapi merahsiakannya. Fuad bersetuju melarikan Sofia agar dapat berkahwin dengannya.

6. Atas alasan bertemu auntie, Sofia dibawa oleh Fuad ke rumah auntinya Susan (ibu sebenar Sofia). Sofia ketika itu mengikut satu rombongan sekolah ke Kuala Lumpur. Dia dilepaskan bertemu auntie Fuad dengan persetujuan bertulis ibu bapanya. Mak Salmah berasa tidak sedap hati setelah teringat akan peristiwa kedatangan Robert Lim dan Susan ke rumahnya untuk meminta semula anak mereka Sofia.

7. Akhirnya perkara yang dibimbangi berlaku terjadi juga. Hal tersebut menjadi bertambah rumit apabila Peter Lim bertemu sendiri dengan Robert Lim dan menceritakan hal sebenar supaya perkahwinan antara Fuad dan Sofia dapat dielakkan. Peter Lim sebenarnya yang menculik Fuad daripada Seman (datuknya) dan dilarikan ke Sungai Ruan. Fuad dipelihara seperti anak sendiri tanpa pengetahuan sesiapa. Ketika usia 7 tahun, Robert Lim meminta kebenaran daripada Peter Lim untuk memelihara Fuad. Peter Lim memberi keizinan tanpa menceritakan identiti sebenar Fuad kepada Robert Lim.

8. Hal ini memaksa Robert Lim menukar rancangan untuk membawa Sofia ke Amerika Syarikat (Los Angeles) agar dipelihara sementara oleh kedua-dua orang anaknya yang tinggal di sana. Hal ini tidak diberitahu kepada Fuad menyebabkan Fuad berang.

9. Berdasarkan maklumat daripada Chin, Fuad memandu bersendirian mengejar kereta yang dinaiki oleh Susan dan Sofia yang dalam perjalanan ke Bayan Lepas. Dalam satu situasi kejar-mengejar, kereta yang dipandu oleh pemandu Robert Lim iaitu Chua telah terbabas ke dalam sebuah gaung. Kereta tersebut meletup dan terbakar. Sofia dan Susan terkorban dalam kemalangan ngeri itu.

10. Jenazah Sofia disemadikan secara Islam oleh Fuad.

11. Setelah balik ke Sungai Ruan, Peter Lim menceritakan hal sebenar kepada Fuad bahawa Sofia ialah adik kandungnya.

12. Fuad membuat keputusan untuk kembali ke Danau Seberang untuk menebus semua dosa dan kesalahannya kepada Pak Mail, Mak Salmah dan penduduk kampung di sana.

13. Akibat insiden penculikan itu, Mak Salmah terlantar di hospital dan tidak mengetahui bahawa Sofia telah meninggal dunia. Cerita diakhir dengan kedatangan Fuad tetap diterima dengan rasa hati yang amat berat. Atas rasa tanggung jawab untuk membimbing semula Fuad ke jalan yang lurus, Pak Mail menerima segala risiko.

14. Dalam novel Melunas Rindu, bebanan itu amat berat untuk ditanggung oleh Fuad, Pak Mail dan Mak Salmah. Setelah lima bulan barulah Fuad dapat berkomunikasi dengan Mak Salmah. Hampir setahun baru segala-galanya pulih seperti sedia kala.

TERUSKAN MEMBACA NOVEL MELUNAS RINDU. SEMOGA PELAJAR-PELAJAR AKAN LEBIH FAHAM.
1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 02, 2011 21:21

January 29, 2011

IMBAS KEMBALI KOMEN ORANG LAIN

BloggerSaya cuba juga untuk imbas kembali beberapa komen daripada pembaca novel ini. Semoga pandangan pembaca ini boleh kita gunakan sebagai teladan. myself berkata...Assalamualaikum,Saya cuma seorang guru sandaran, namun niat di hati, Insya Allah saya akan gapai cita-cita menjadi seorang guru Bahasa Melayu yang bertauliah hendaknya.Tentang novel Melunas Rindu...Jika dulu, saya rasakan novel Seteguh Karang novel yang terbaik, tiada tandingan, kini saya rasakan novel inilah yang terbaik, sangat padat unsur moral dan pengajarannya, hingga mampu menarik minat pelajar-pelajar berbangsa Cina untuk menikmati jalan cerita dan menikmati keindahan di sebalik penderitaan watak utama.2010 Ogos 11 15:57 Padam Tanpa Nama Tanpa Nama berkata...assalamualaikum kak tini,saya pernah tinggal sebumbung semasa di uitm. bilik bertentangan dengan kak tini..bilik kita hujung sekali memang pemandangan menarik tepi laut.. meminati novel kak tini, pernah membeli "merentas kabus"..tapi entah siapa yang meminjam novel lesap dalam simpanan. seingat saya kak tini seorang yang baik hati semasa diutim dulu. doa saya semoga kak tini berjaya menghasilkan lebih banyak novel lagi dan sentiasa diberikan ilham untuk menulis. Memang teringat masa dulu2 kak tini menaip menggunakan mesin taip tengah2 malam.. tapi untuk pengetahuan saya bukanlah antara rakan2 sebelah bilik yang menghempas buku tu ya..selamat maju jaya kak tini2010 September 17 12:52
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 29, 2011 22:52

TEKNIK IMBAS KEMBALI

Kita biasa termenung apabila bersendirian. Ketika termenung ini ada dua kemungkinan :
1. Kita teringat peristiwa pada masa lalu
2. Kita meramalkan atau membayangkan suatu perkara akan berlaku pada masa hadapan.

Perbuatan (1) dinamai imbas kembali
Perbuatan (2) dinamai imbas hadapan

Apabila membaca tiap helaian novel Melunas Rindu, sila tandakan dengan pen berwarna setiap peristiwa yang dikenang semula oleh watak ( iaitu watak utama dan watak pembantu ). Kemudian cantumkan semua peristiwa itu dan failkan dalam satu folder. Catatan harus mengandungi :

a. Watak yang terlibat dalam teknik imbas kembali
b. Peristiwa yang diimbas kembali
c. Tempat di mana watak mengingat kembali peristiwa itu
d. Sebab mengapa watak utama teringat kembali peristiwa itu.

Contoh (1) :
Watak : Fuad
Peristiwa yang diimbas kembali : Fuad masih ingat bahawa dia mengambil masa hampir setahun untuk memulihkan keadaan selepas pulang tanpa membawa Sofia ke Danau Seberang. Fuad menerima kata nista daripada orang kampung dan terpaksa menghadapi mata benci Mak Salmah.
Tempat : Di persisiran pantai Batu Buruk
Masa : Hari Selasa dalam bulan Disember.
Sebab :  Fuad berasa bersyukur kerana dia berjaya melepasi dugaan yang amat getir iaitu menebus semula kesalahannya kepada keluarga Pak Ismail dan Mak Salmah.

Contoh (2)
Watak :  Fuad
Peristiwa yang diimbas kembali :  Dia teringat bahawa dia berjaya berpuasa penuh selama sebulan dan menyambut Aidilfitri yang pertama. Malah, dia menziarahi hampir setiap rumah di kampung tersebut tanpa memikirkan penerimaan orang kampung terhadapnya.

Tempat : Di persisiran pantai Batu Buruk
Masa : Hari Selasa dalam bulan Disember.
Sebab : Dia berasa bersyukur kerana akhirnya dia dapat menjernihkan semula hubungan dengan penduduk kampung.
1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 29, 2011 22:45

January 10, 2011

TERIMA KASIH ATAS PANDANGAN PEMBACA

1. Saya banyak menerima maklum balas daripada pembaca berkaitan novel Melunas Rindu ini. Banyak orang yang memuji novel ini kerana plotnya tidak sukar difahami, persoalannya jelas dan gaya bahasa yang digunakan dapat difahami dengan mudah.

2. Walaupun karya ini bukannya datang daripada buah tangan seorang sasterawan negara, namun demikian garapan novelis ini ternyata memukau khalayak pembaca untuk mengulang membacanya untuk kali yang kedua dan seterusnya. Persoalan yang disisipkan nyata releven dengan isu-isu semasa yang sedang dan akan dihadapi oleh masyarakat Malaysia pada masa kini dan pada masa hadapan.

3. Novel ini juga amat sesuai digunakan sebagai bahan pengajaran tatabahasa secara terancang untuk mengukuhkan penguasaan pelajar terhadap ilmu tatabahasa.

4. Walaupun novel ini merupakan sambungan daripada novel PIA, novel ini ternyata dapat berdiri sendiri sebagai karya yang boleh difahami tanpa merujuk kepada novel PIA. Namun demikian, terdapat beberapa peristiwa yang diungkapkan dalam novel ini menimbulkan tanda tanya kepada pembaca. Contohnya :

a. Mengapa Mak Salmah berdendam kepada Fuad selepas kematian PIA.
b. Apakah punca kematian PIA
c. Mengapakah Fuad tidak berbaik-baik dengan bapanya Robert Lim pada permulaan cerita
d. Tidak diceritakan asal usul PIA. Hanya dinyatakan PIA anak angkat Pak Ismail dan Mak Salmah.

Namun demikian, plot novel MR memang dapat berdiri sendiri dengan persoalan yang berlainan daripada novel PIA. Tema kedua-dua novel ini berlainan dan plotnya juga berlainan.

5. Harus diingatkan bahawa pelajar sebenarnya TIDAK PERLU membaca novel PIA kerana isi kandungan novel ini TIDAK BOLEH digunakan sebagai fakta jawapan soalan novel dalam peperiksaan. Namun demikian, jika pelajar membaca novel PIA, pelajar akan berasa lebih [uas kerana banyak persoalan yang tidak dijawab dalam novel MR dijawab dalam novel PIA.

6. Begitu juga pembaca yang bertanya tentang perbezaan tema yang dikemukakan untuk novel ini berlainan daripada yang dinyatakan oleh pihak Bahagian Pembangunan Kurikulum. Sekali lagi ditegaskan terdapat berbagai-bagai pendapat dikemukakan oleh pengarang yang berlainan berkaitan tema novel ini. Untuk menyatakan tema ini dengan tepat memerlukan kajian yang lebih mendalam berserta bukti yang bernas. Pelajar-pelajar dan rakan guru boleh menerima tema yang diberi oleh BPK jika kajian yang dibuat oleh rakan guru membuktikan bahawa tema itu betul.

7. Saya akan memasukkan lebih banyak bahan dari masa ke masa demi membantu pelajar menguasai teknik menjawab soalan novel. Terima kasih atas sokongan anda semua dan teruskan melayari blog saya.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 10, 2011 06:59

April 18, 2010

BAB 4.

[image error]

SINOPSIS.

1. Fuad tiba ke Sekolah Menengah Sri Setia pada awal pagi untuk melaporkan diri sebagai guru sandaran. Hati Fuad berdebar-debar apabila memikirkan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku seterusnya. Persekitaran sekolah masih agak lengang ketika kehadirannya ke sekolah tersebut.

2. Kehadiran Fuad ke sekolah tersebut sebenarnya telah dimaklumkan kepada kaki tangan pejabat dan guru-guru terlebih awal. Cikgu Abas menjelaskan adalah biasa bagi seorang guru baru akan berasa gugup apabila kali pertama diberi tugas mengajar.

3. Cikgu Abas menjelaskan bahawa pengetua tiada di sekolah pada hari tersebut. Cikgu Abas menjelaskan walaupun sekolah telah beroperasi selama dua minggu, guru-guru lain masih belum masuk ke kelas untuk mengajar secara formal.

4. Apabila diberitahu bahawa dia dikehendaki mengajar pelajar-pelajar tingkatan tiga dan tingkatan lima, dahi Fuad berkerut kerana dia berasa bahawa tanggungjawab mengajar pelajar yang akan menghadapi peperiksaan awam amat berat.

5. Di kantin, Fuad diperkenalkan kepada guru-guru yang sedang menikamti asarapan pagi. Dia diperkenalkan dengan Cikgu Farhana iaitu ketua panitia mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah itu. Cikgu Abas mengarahkan Farhana mengambil jadual waktu untuk Fuad dan seterusnya memberi buku rujukan (desk copy) kepada Fuad.

6. Walaupun biasa menerima kehadiran guru baru, kehadiran Fuad menggusarkannya kerana Fuad pernah mendapat pendidikan dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari sebuah universiti di Amerika Syarikat.

7. Farhana menjelaskan bahawa Fuad dikehendaki mengajar lima kelas iaitu tiga kelas untuk tingkatan lima dan dua kelas untuk tingkatan tiga. Farhana menjelaskan juga bahawa Fuad mendapat pelajar yang berbeza aras iaitu cemerlang, sederhana dan lemah dan perlu menggunakan pendekatan yang berbeza ketika melaksanakan P&P di dalam kelas.

8. Farhana menjelaskan bahawa sukatan pelajaran Bahasa Inggeris telah berubah kerana mereka telah mula menggunakan sukatan pelajaran 1119. Hal ini menimbulkan perasaan simpati dalam diri Farhana kepada anak-anak didiknya kerana mereka merupakan anak nelayan dan petani yang terpaksa mengambil peperiksaan yang piawaiannya bertaraf England.

9. Seperti Cikgu Abas, Farhana juga mempunyai keyakinan tinggi terhadap kemampuan Fuad dan mengharapkan agar Fuad dapat mencetuskan idea-idea baru yang boleh meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di sekolah tersebut.

10. Hari pertama di sekolah diakhiri dengan pelbagai kebimbangan yang masih bersarang dalam hati Fuad apabila mengenangkan kemungkinan yang akan berlaku seterusnya.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 18, 2010 04:11

April 8, 2010

TEMA MELUNAS RINDU

Persoalan pokok dalam novel MELUNAS RINDU adalah kasih sayang. Hal ini demikian kerana persoalan kasih sayang diungkapkan dalam setiap aspek penceritaan peristiwa yang berlaku kepada watak utama dan watak sampingan. Bermula daripada kasih sayang seorang anak kepada ibu bapa sama ada ibu bapa sebenar atau ibu bapa angkat, kasih sayang kepada sahabat, kasih sayang kepada teman seperjuangan dalam bidang pendidikan, kasih sayang kepada penciptaNya, kasih sayang kepada anak murid, kasih sayang kepada profesion perguruan, kasih sayang kepada tanah dengan cara berbudi kepada tanah dan sebagainya. Dapat dikatakan bahawa tidak satu inci ruangpun dalam novel ini yang tidak memaparkan persoalan kasih sayang. Dan kerana kasih sayang jugalah timbul kegigihan, kesungguhan dan keikhlasan watak utama dan sampingan untuk mencari jati diri sebagai seorang muslim sejati dan anak yang bertanggungjawab kepada keluarga sendiri. Kasih sayang yang dipaparkan oleh pelbagai watak dalam novel ini bak lautan yang tak bertepi, bahkan jika ada sedikit pergeseran akan segera diselesaikan bak kata pepatah, "biduk lalu kiambang bertaut". Kasih sayang yang wujud secara ikhlas dari dalam diri membolehkan watak utama dan sampingan menerima semua suratan yang ditakdirkan dengan rasa rendah diri dan bersyukur kepada penciptaNya.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 08, 2010 08:27

April 5, 2010

CORETAN (3) HARTINI HAMZAH - NOVELIS MELUNAS RINDU

[image error]

Assalamualaikum anak-anak.
1. Alahai, Cikgu Tini lagi. Cikgu Razak harap beritahu ya kalau ruang terhad, jangan segan-segan. Cg kalau terasa mahu menulis, beginilah. Tahu tulis saja. Kalau rasa jemu, Assalamualaikum anak-anak. Cg kalau terasa mahu menulis, beginilah. Tahu tulis saja. Kalau rasa jemu, lambat pulalah komputer ini cg hadap. Lagipun esok pagi-pagi cg bukannya hendak pergi menoreh getah pun, paling-paling pun keluar beli sarapan anak-anak. Bolehlah tidur lewat.

2. Sebenarnya sekadar suka- suka sajakah cg menulis pengalaman cg itu? Oh tidak anak-anak. Sarat makna semuanya itu. Cg mahu anak-anak sentiasalah percaya, bahawa Kota Rom tidak pernah terbina dalam masa satu hari. Sentiasalah insaf, bahawa setiap satu kejayaan, walau dalam apa sekalipun yang kita lakukan, tetap ada perjalanannya. Usah rasa tertekan kalau kita dilahirkan waima dibesarkan dalam kesusahan, justeru itulah insaf, bahawa setiap satu kejayaan, walau dalam apa sekalipun yang kita lakukan, tetap ada perjalanannya. Usah rasa tertekan kalau kita dilahirkan waima dibesarkan dalam kesusahan, justeru itulah titik tolak keberhasilan kita.

3. Lihatlah cg, oh alangkah susahnya hidup cg dahulu. Dilahirkan di Selama Perak, rumah cg di kampung dulu cuma ada beras dan ikan kering saja. Beras ada pun itu kerana ayah cg akan pulang berbendang di kampung halamannya di Bagan Serai setiap kali tiba musimnya. Kami sekeluarga berhijrah ke Pahang, orang tua menjadi peneroka Felda. Tidak terus senang juga. Yang ayah cg akan pulang berbendang di kampung halamannya di Bagan Serai setiap kali tiba musimnya. Kami sekeluarga berhijrah ke Pahang, orang tua menjadi peneroka Felda. Tidak terus senang juga. Yang selalunya terjadi ayah mendapat baki gaji lima ringgit atau sepuluh ringgit sahaja, waima dua puluh sen pun pernah, setelah ditolak hutang besar Felda dan perbelanjaan makan dari kedai Felda. Pernah selalunya terjadi ayah mendapat baki gaji lima ringgit atau sepuluh ringgit sahaja, waima dua puluh sen pun pernah, setelah ditolak hutang besar Felda dan perbelanjaan makan dari kedai Felda. Pernah waktu sekolah dulu, masa itu cuti, seorang kawan mengajak ke Pekan Sehari, cg pun minta wang dari ayah. Ayah beri lima ringgit, katanya, "kalau tak habis, pulangkan balik". Masih menitis airmata cg saat terkenang waktu itu. Cg tidak berbelanja walau sepuluh sen pun, bulat-bulat cg serahkan balik kepada ayah. Ke Pekan Sehari itu cuma untuk meraikan kawan sahaja.

4. Banyak sekali peristiwa yang mengharukan sepanjang zaman kanak-kanak cg, mengenangnya sampai masih lara hati cg, apatah lagi ayah sudah tiada. Ayah meninggal tahun 1998, belum sempat mengecap kesenangan, cuma dapat juga merasa duit cg kerana waktu itu cg sudah menjadi guru 2 tahun. Ibu cg pula meninggal dunia tahun lepas. Alhamdulillah, arwah ibu sempat mengecap kesenangan. Ibu meninggal 21 Jun tahun lepas, iaitu 2 minggu selepas cg membawanya bercuti ke Kelantan dan Terengganu, dan sempat minum air nira sepuasnya sepanjang perjalanan bercuti. Hingga kini masih lara hati cg, masih tidak tertampung hakikat kesedihan hilang ibu. Deritanya hilang ibu, anak-anak. Apatah lagi cg lah yang paling rapat dengannya, justeru rumah cg paling dekat dengan rumahnya. Menjadi tempat dia bertandang, dan anak-anak cg menjadi cucu cucu kesayangannya. Cg bukanlah orang kaya, sepuluh peratus pun belum, tetapi cg sangat menikmati hidup ini. Cg puas kerana sepanjang hayatnya, cg rata membawa ibu bercuti, merasai nikmat menginap di hotel-hotel. Ibu cg semasa hayatnya jenuh ke Melaka, Seremban, dan pernah ke Pangkor, Cameron Highland, Langkawi, Kelantan, Terengganu. Asalnya dia merungut mengapa habiskan wang tahap ratus hanya untuk menyewa hotel, akhirnya dia faham demikianlah salah satu cara kita menikmati hidup ini. Akhirnya sampailah ketentuan untuknya pada usia 69 tahun. Walaupun hati cg puas, namun hati terkenang-kenang. Hingga kini yang mampu cg lakukan hanyalah membaca surah Yassin hampir setiap malam, hinggakan anak cg yang umur 6 tahun itu pun sudah hafal hampir separuh isi Yassin. Bukan kerana tahu baris atau kenal huruf, tetapi kerana selalu dengar.

5. Itulah anak-anak. Cg yang membesar dengan cara itulah yang melahirkan cg sebagaimana apa adanya sehingga kini. Insaf dan sentiasa sedar diri, tahu asal usul. Jarang sekali cg meminta-minta lewat waktu-waktu susah orang tua, waima cermin mata saat cg mula rabun di tingkatan lima. Hasilnya cg mendapat P8 Matematik Tambahan kerana tulisan cikgunya sangat kecil, dan subjek Matematik Tambahan pula amat susah bagi cg. Namun cikgu itu tidak bersalah, moga masih ada umurnya. Moralnya anak-anak, dalam hidup ini kita harus kuat. Dalam setiap apa pun yang kita lakukan, kita harus fokus.

6. Cg ini, tidak mendapat pendidikan formal pun dalam bidang penulisan. Tembak-tembak sahaja. Cuma cg adalah seorang yang suka membaca. Sejak kecil, kertas bungkus belacan pun cg ambil baca (justeru belacan berbungkus saja yang mampu dibeli, bukannya nasi lemak bungkus), dan minda cg sentiasa berbahasa walau cuma duduk-duduk. Hingga sekarang cg masih suka membaca, dan cg beruntung mempunyai ramai kawan penulis. kami bertukar-tukar buku sekiranya ada terbitan baru. Rumah cg memang banyak baju, tetapi dalam masa yang sama, juga banyak buku. Sebanyak-banyak buku di rumah ini, belum semuanya habis cg baca, walaupun cg suka membaca. Demikianlah banyaknya buku. Rumah cg sekarang ruangnya sempit, nanti ada rezeki cg pindah ke rumah baru cg bercadang membuka galeri, buku-buku itu akan cg letakkan di sebuah bilik khas untuk menjadi bahan bacaan anak-anak setempat, insya Allah. Asas pada cerita cg ini anak-anak, tidak ada ruginya jika kita suka membaca. Identiti kita akan terbina dengan sendirinya. Lihatlah cg, akhirnya menjadi penulis, dapat juga sedikit sebanyak menyumbang kepada negara. Harapan cg, bacalah coretan cg ini dari sudut motivasinya.

7. Dengan bercerita santai begini, cg yakin, cg dapat mendekati anak-anak semua. Inilah cara cg. Mendekati remaja sebagai kawan adalah kecenderungan cg. Cg pernah nakal, malah masih nakal, tetapi ada ruang beza yang lebar antara 'nakal' dan 'jahat'. Cg sangat suka menghampiri anak-anak remaja yang 'nakal', tetapi yang 'jahat', itu entahlah.

8. Oklah, sini dulu. Ayuh kita ke Pesta Buku Antarabangsa, PWTC. Hampir setiap tahun cg ke sana, dan Ahad ini insya Allah cg akan pergi lagi. Kalau stok PIA masih ada, cg akan cuba beli seberapa banyak yang dapat, mungkin ia sangat berguna utnuk anak-anak. nanti bila lapang, cg akan sambung cerita penghasilan Melunas Rindu, sikit- sikit masih tertinggal. Maaf sekali lagi salah taip di sana-sini. Jadilah manusia yang kuat semangat, Assalamualaikum. Terima kasih kepada semua yang membaca. Nanti ada masa cg akan menulis lagi. Seperti biasa, sudah mula terperangkap dengan tugasan sebagai guru. Jumpa lagi, Assalamualaikum
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 05, 2010 12:52

March 27, 2010

LATAR DALAM NOVEL MELUNAS RINDU

[image error]

Latar bermaksud semua keterangan atau gambaran yang berkaitan dengan tempat, masa atau masyarakat. Latar memainkan peranan penting dalam sesebuah cereka kerana dapat menjelaskan cerita itu lagi. Latar dapat menjelaskan sesuatu cerita berdasarkan pelaku, tempat, dan masa peristiwa itu berlaku. Latar dapat menjelaskan sama ada masanya singkat atau lama. Selain itu, latar turut menjelaskan latar belakang masyarakat dari segi kaum, agama, kepercayaan, amalan, atau budayanya. Latar juga kadang-kadang dipanggil citra, dibahagikan kepada tiga jenis iaitu latar masa, tempat dan masyarakat.

Latar MasaLatar masa menggambarkan masa atau waktu, zaman, dan tempoh berlakunya peristiwa-peristiwa dalam cereka. Dari segi masa, mungkin peristiwa tersebut berlaku pada waktu subuh, pagi, petang, dan malam. Tempoh masanya pula mungkin berlaku selama beberapa minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun, atau abad. Zaman berlakunya peristiwa terssebut mungkin berlaku semasa zaman sebelum kemerdekaan, darurat, zaman Jepun, zaman selepas merdeka atau pada masa ini, iaitu era globalisasi.

Latar Masa Dalam Novel Melunas RinduSemua peristiwa yang digambarkan dalam novel ini berlaku pada zaman sekarang iaitu dalam era globalisasi. Hal ini terbukti dengan adanya penggunaan telefon bimbit, kereta Proton Iswara dan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Tempoh masa keseluruhan cerita dalam novel ini adalah lebih kurang beberapa bulan sahaja tetapi diolah oleh pengarang dengan menyelitkan teknik imbas kembali pada zaman darurat. Peristiwa-peristiwa dalam novel ini berlaku pada waktu-waktu tertentu seperti kehidupan manusia iaitu waktu pagi, petang, dan malam. Yang berikut disenaraikan contoh latar masa tersebut:

Waktu pagiFuad sampai di Sekolah Menengah Seri Setia untuk memulakan tugasnya sebagai guru pada pukul tujuh lima belas pagi. Rujuk halaman 35.

Waktu petang
Fuad mengajak Farhana keluar dan makan pada hari ulang tahun Farhana pada waktu petang. Rujuk halaman 137.

Waktu malamFuad pergi ke rumah Cikgu Zamani yang menjemputnya untuk makan malam. Rujuk halaman 7.

Latar TempatLatar tempat merujuk kepada tempat berlakunya perisstiwa dalam sesebuah cereka itu. Biasanya, pengarangan menggambarkan latar tempat ini secara umum sahaja, contohnya pengarang menggambarkan tempat-tempat seperti di kampung, di rumah, di bandar, di warung, di kaki lima, di klinik, di sekolah, di dalam kereta, di surau dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam novel ini pengarang menyatakan nama-nama tempat yang khusus seperti di Kuala Terengganu, Pantai Batu Buruk, Dungun, KLIA, di Dungun, di Hospital Tuanku Ampuan Afzan, di Sekolah Menengah Seri Setia, Losong, Kuala Lipis, Lembah Klau, dan Sungai Ruan. Rujuk halaman 217 dan 80.

Di restoran
Fuad dan Farhana mengelilingi pusat bandar dahulu sebelum singgah di Restoran Terapung di Taman Syahbandar. Rujuk halaman 137.

Di rumah Pak MailPak Ismail sudah bersiap-siap untuk ke surau pada pukul tujuh dua puluh ketika Fuad tiba di rumah Pak Ismail. Rujuk halaman 16.

Di sekolahSuasana di sekolah iaitu di bangunan Blok C, Sekolah Menengah Seri Setia masih bising dan hingar-bingar walaupun kelas lanjutan sudah dijalankan. Rujuk halaman 122.

Di rumah Farhana di KuantanFuad bersolat di rumah Farhana pada suatu petang dan selepas menunaikan solat dia pun bersiap-siap untuk pergi ke rumah bapa saudaranya. Rujuk halaman 85.

Di hospitalFuad terus bertanya kepada pengawal keselamatan apabila dia sampai di ruang legar hospital di tingkat bawah. Rujuk halaman 183.

Latar MasyarakatLatar masyarakat bermaksud gambaran yang berkaitan dengan masyarakat dalam sessebuah cereka. Gambaran masyarakat biasanya merangkumi aspek latar belakang masyarakat seperti kaum, bangsa, keturunan, adat resam, kepercayaan, aktiviti seharian, dan pekerjaan anggota masyarakatnya.

Latar Masyarakat Dalam Novel Melunas RinduMasyarakat yang digambarkan oleh pengarang dalam novel ini merujuk kepada masyarakat Melayu, masyarakat Cina, dan masyarakat yang memeluk agama Islam iaitu mualaf. Selain itu, pengarang juga menggambarkan masyarakat yang tinggal di kampung, masyarakat yang bekerja sebagai guru, dan masyarakat yang menjadi ahli perniagaan. Pengarang juga menggambarkan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai dan budaya murni dalam kehidupan. Pengarang menggambarkan latar ini seperti dalam petikan yang berikut:

Masyarakat yang suka menolong orang yang memerlukan pertolongan
Contohnya, Fuad menolong kawannya Borhan dengan membawa anak Borhan yang demam panas ke klinik pada suatu malam.

Masyarakat yang taat dan patuh akan agamaContohnya, Fuad dan Pak Ismail tidak pernah mengabaikan solat lima waktu dan mereka kerap pergi ke surau untuk menunaukan solat secara berjemaah. Rujuk halaman 5.

Masyarakat guru yang dedikasi terhadap tugas
Contohnya, Farhana dan Fuad begitu komited dan dedikasi terhadap tugas mereka ssebagai guru dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi anak-anak murid mereka. Rujuk halaman 50.

Masyarakat majmuk yang saling memahamiContohnya, Robert Lim memahami bahawa orang Islam perlu menunaikan solat lima waktu. Rujuk halaman 170.

Masyarakat yang mengamalkan perkahwinan campurContohnya, Robert Lim yang berbangsa Cina berkahwin dengan Mariana yang berbangsa Melayu. Rujuk halaman 99.

Masyarakat yang menghormati tetamuContohnya, Pak Ismail dan Mak Salmah sangat menghormati tetamu yang datang ke rumah mereka. Rujuk halaman 168.

Masyarakat yang rajin bekerjaContohnya, Peter Lim rajin bekerja untuk menyara keluarganya. Rujuk halaman 87 hingga 88.

Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim
http://khirkassim.blogspot.com
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 27, 2010 23:53

Hartini Hamzah's Blog

Hartini Hamzah
Hartini Hamzah isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Hartini Hamzah's blog with rss.