29.

Sayang,

Selamat hari lahir. Pada malam ini, aku sedang duduk menghadap komputer sambil cuba mencari idea untuk menulis dan cuba menulis secepat mungkin kerana inilah masa yang aku ada untuk membuat apa yang aku selalu inginkan - menulis.

Selain cuba menulis artikel yang aku ingin tulis, aku juga sedang menonton talkshow John Oliver, Trevor Noah dan semua yang aku sentiasa buat untuk hiburkan hati ini.

Lusa, aku genap 32 tahun. Tapi, aku ingin bercakap tentang kau, hari ini hari lahir kau.

Kau harus tahu sejak kau meninggalkan dunia yang penuh fana ini sembilan tahun lepas, ada banyak yang berlaku dalam hidup aku, dan ahli keluarga kau yang masih hidup. Tapi apa yang lebih penting ialah aku selalu fikirkan apa akan terjadi jika kau masih hidup lagi.

Kira-kira sembilan tahun lepas, kau berjanji yang kau akan pulang ke sini pada tahun 2009, bila segala-galanya sudah selesai, dan jika perancangan kita tepat, kita mungkin akan berkahwin pada 2011. 

Tetapi, aku berada di sekeliling di mana - perkahwinan menakutkan aku. Sekurang-kurangnya empat orang kawan baik aku bercerai, dan saudara terdekat juga. Kau tahu aku takut dengan ini.

Aku selalu bayangkan apa akan jadi kalau kita berkahwin, apakah kita akan bahagia, atau kita akan merana, dan kita mungkin bercerai dalam keadaan yang sangat menyerabutkan.

Atau mungkin aku akan mati dibunuh oleh kakak kau, kerana dia janji kalau aku main-mainkan kau, dia akan bunuh aku. Dan aku percaya itu.

Entahlah, kenapa aku lahir sebagai seorang Melayu-Islam yang dikelilingi dengan pendapat bahawa perkahwinan adalah “the ultimate goal” dalam kehidupan. Bukan untuk mencapai cita-cita yang diidamkan, atau mencapai kebahagiaan (tak semestinya berkahwin, membela kucing juga satu kebahagiaan), atau sekurang-kurangnya bila orang belanja makan sushi sebab itu sangat menggembirakan.

Kakak kau betul tentang hal ini setakat ini - perkahwinan adalah bendaalah yang dikonstruk oleh manusia untuk mengawal alat yang menghasilkan manusia. Untuk berkahwin kita kena daftar dengan Jabatan Agama, bayar itu dan ini, kemudian kena bermacam-macam prosedur lagi sebelum perlu bertumbuk dengan bakal abang ipar kerana wang hantaran tak cukup.

Aku pasti aku boleh menang bertumbuk dengan abang kau sebab dia memang tak terror bertumbuk.

Oh, bukan kakak kau. Kakak kau gangster gila babi.

Tapi cuba katakan kau masih lagi di sini. Masih lagi menjadi orang yang aku cinta, apakah kita mampu untuk harungi dugaan ekonomi dan sosial yang teruk di Malaysia ni?

Kita rancang berkahwin semasa ekonomi dunia masih belum jatuh, dan Perdana Menteri Malaysia lebih suka tidur dari suka pampered bini yang suka bershopping. Kau dan aku janji, bukan kalau lagi, tapi bila kita kahwin nanti, kalau kita ada masalah, kita akan cuba berbincang dan kita telah atasi banyak perkara sebelum ini.

Tapi kau pergi pada 8 Julai 2007 diikuti krisis ekonomi pada 9 Ogos 2007, dan sehingga kini ekonomi dunia tidak pernah pulih seperti dulu. 

Tetapi katakan kita boleh lalui semua ini dengan kesabaran dan aku sanggup berkongsi megi dengan kau dan anak kita nanti, kerana ada satu masa dalam hidup aku, megi adalah benda yang paling aku mampu aku beli dengan duit syilling yang aku simpan.

Aku selalu fikirkan ada hikmah disebalik kematian kau, sayang. 

Mungkin kematian kau adalah lebih baik dari kau menderita bila kau dan aku dah berkahwin. Pertama, terus-terang, aku tak kaya. 

Ya, kau memang kata duit bukan segala-galanya. Tapi kau selalu sakit dan aku tak sekaya keluarga kau. Aku tak mampu nak hantar kau ke SJMC setiap kali asthma kau menyerang atau kau kena sawan. Aku tak mampu, sayang. Dan aku hanya mampu hantar kau ke hospital kerajaan dan kita semua tahu berapa lama kena tunggu kerana mereka kekurangan kakitangan.

Kedua, cuba fikirkan saudara-mara kau yang tinggal di Tok Sira dan di Pekan, atau di Balok, semuanya kaya-kaya belaka berdasarkan cerita abang atau kakak kau. Aku cuma seorang lelaki yang berasal dari keluarga lower middle class dari Cheras. 

Tapi kau tak kisah semua tu, macam kakak kau juga.

Tapi macam mana pula dengan saudara-mara kau?

Kau tahu, masalah menjadi Melayu ini ialah bila kau berkahwin, kau bukan sahaja berkahwin dengan pasangan kau tapi keluarga pasangan kau. Bila kau berkahwin, pakcik makcik sepupu dua pupu yang kita hanya jumpa setahun sekali pada Hari Raya, mula nak masuk campur.

Aku pasti keluarga kau, abah kau, Uncle Man - ialah the coolest Malay man ever alive, atau abang kau, yang merupakan kawan baik aku juga. Kakak kau, susah sikit. Barangkali sebab aku ada sejarah dengan dia, tapi tak mengapa, dia terima keputusan kita. Keluarga kau, aku okay.

Tapi macam mana dengan keluarga kau yang jauh, sudah pasti akan berlaku perbandingan pada setiap pagi Hari Raya, akan berlaku pertandingan “kereta siapa paling besar” pada pagi itu, atau di kalangan saudara-saudara kecik, melihat “pakcik mana bagi duit raya paling besar”.

Ya, aku boleh saja buat tak pot dan mungkin jadi macam kakak kau, The Grinch of Hari Raya. 

Tapi inilah susahnya jadi Melayu. Kalau kau tak tegur saudara mara kau dianggap sombong. Dan kau perlu bersaing dengan duai ipar yang lain untuk dilihat ‘berguna’. Oh ya, kau perlu ada kereta dan kau perlu bersembang tentang drama Melayu minggu ini - Ustazahku Maduku.

Tambahan pula kawan-kawan aku yang seusia dengan aku semua asyik sebar ayat agama dalam Whatsapp dan semua nak bercakap macam ustaz, “that’s make me sick”.

Kerana aku tahu apa yang kau percaya dan aku juga seperti kau.

Sayang,

Aku bukan tak mahu cari pengganti. Aku cuba, dan setiap kali aku cuba, setiap kali itulah aku berkata “alangkah baiknya kalau kau masih ada di sini”. Aku cuba mencari pengganti, dan berkali-kali aku menemui kegagalan dan aku rasa mungkin nasib aku macam ini lah - aku akan jadi bujang. Mungkin inilah yang terbaik.

Aku mahu kau tahu bahawa setiap saat bersama kau adalah saat paling terindah yang aku pernah ada. Selain Liverpool menang.

Aku tahu, kau dah pergi lama. Sembilan tahun tu sudah lama, kalau ada bayi dilahirkan, dia dah darjah tiga. 

Aku rasa macam baru beberapa hari lepas kita berbual dalam Yahoo Messenger, kita webcam dan kita bergelak ketawa. Aku rasa macam baru beberapa bulan lepas, kau dan aku berjalan di Taipan USJ. Macam baru beberapa bulan lepas kau lipat-lipat kertas menjadi origami dan kau berikan pada aku.

Baru beberapa bulan lepas aku rasa aku menulis puisi dan menunggu jawapan dari kau.

Tapi itu semua dah lama dah. Kau meninggal sembilan tahun lepas, kali terakhir kita jumpa ialah sebelas tahun lepas. Lama dah, lama sangat.

Sayang,

Aku cuba percaya satu hari nanti aku akan temui pengganti kau. Aku cuba, bukan aku tak cuba. Tapi semakin hari melewat tua, kepercayaan itu makin terhakis, dan aku tak mampu menahan kehibaan ini. 

Perasaan ini seperti rumah yang makin reput dimakan anai-anai - makin lama makin luntur dan gugur.

Orang kata aku memilih. Aku nak rupa yang cantik, akal yang bijaksana, hati yang baik - orang kata, mana mungkin. Tak mungkin akan ada kualiti yang sebegitu.

Tapi aku pernah berjumpa kau - dan bercinta dengan kau adalah paling indah sekali dalam hidup aku, selain dengan kakak kau. You’re both equal, you know that?

Akhir kata sebelum aku akhiri surat cinta ini, walaupun kau tiada lagi, tapi aku tetap menyambut hari lahir kau.

Selamat hari lahir, sayang. Semoga kau bahagia di sana.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 18, 2016 09:41
No comments have been added yet.


Nami Cob Nobbler's Blog

Nami Cob Nobbler
Nami Cob Nobbler isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Nami Cob Nobbler's blog with rss.