Menjelang Pesta Buku 2017,

[image error]


                                  Kredit gambar: poieridzuan

Tiga belas tahun yang lalu, itu kali pertama aku pergi ke Pesta Buku Antarabangsa dan semuanya kerana aku mengikuti Kem Penulis Muda yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan. Seharusnya bukan aku yang pergi tetapi seperti biasa, hidup penuh dengan kejutan; apa yang kita mahu jarang sekali dimiliki tetapi apa yang kita tidak sangka akan dimiliki, itulah yang selalu mengetuk pintu kehidupan.


Waktu itu, kami digembar-gemburkan bahawa rakyat Malaysia hanya membaca dua helai muka surat setahun. Dua helai! Ternyata fakta itu membuatkan kami rasa punya tanggungjawab untuk mengubah tabiat membaca rakyat Malaysia. Malang sekali, waktu itu juga tidak banyak penulis dan penerbit baru yang lahir seiring dengan pesta tersebut.


Tiga belas tahun selepas itu, senario di atas berubah dengan begitu dahsyat. Aku fikir rakyat Malaysia sudah tidak lagi membaca dua helai muka surat setahun bahkan lebih daripada itu. Kelahiran penulis-penulis baru dan muda melonjak dengan kehadiran penerbit-penerbit buku yang juga wujud dengan begitu pesat.


Aku juga adalah produk kelahiran pesta buku tersebut dan harus diakui perubahan ini adalah sesuatu yang positif bagi masyarakat yang diberi peluang untuk membaca buku-buku pelbagai genre dan semakin banyak buku yang diterbitkan, semakin rendah juga harga buku-buku di pasaran hingga dapat dimiliki oleh sesiapa pun termasuk pelajar sekolah.


Perkembangan ini mengundang soalan: Adakah semua yang ditulis itu layak digelar buku kerana ada sahaja penulisan yang tidak dibaca oleh masyarakat?


Tidak semua buku ditakdirkan punya pembaca. Mungkin tidak sekarang, tidak di zaman ini tetapi akan dibaca oleh generasi akan datang. Mungkin generasi akan datang lebih menghargai penulisan yang ditinta pada hari ini.


Jika Tuhan Bukan Manusia diterbitkan sebelum waktunya, mungkin ia juga tidak dibaca oleh masyarakat dan aku sendiri telah memutuskan kalau tulisan itu tidak akan diterbitkan dan dibaca oleh sesiapa kecuali aku. Dua tahun selepas penerbitan,Tuhan Bukan Manusia telah diulang cetak kali kedua (dan ketiga kelak, jika diizinkan Tuhan) dan untuk buku yang membawa genre seberat itu, aku sendiri tidak terfikir ia akan pergi sejauh itu. Setiap buku, aku yakin seyakinnya, mempunyai takdirnya sendiri.


Nah bagaimana pula dengan perkembangan semasa; rumah penerbitan lahir di sana sini, buku-buku diterbitkan dengan begitu banyak, penulis semakin ramai sehingga sesiapa sahaja pada hari ini boleh menulis apapun dan diterbitkan (soal isi nombor dua).


Seseorang penulis tidak perlu khuatir kalau berlaku lambakan buku-buku di pasaran kerana kita tidak boleh menghalang sesiapa untuk menjadi penulis dan penerbit. Adapun yang menggunakan kesempatan dikenali dalam bidang lain, menjadikan penulisan sebagai pendapatan sampingan mereka. Itu juga bukan menjadi hak untuk kita mengkritik malah membakulsampahkan karya mereka. Memburukkan buku orang lain tidak menjadikan buku kita lebih baik. Itu prinsip yang aku pegang sehingga hari ini.


Sebagai penulis, aku juga berdiri di atas keyakinan bahawa seseorang yang mahu menulis, perlu menulis sesuatu yang boleh dibaca oleh masyarakat masa kini dan akan datang. Ideanya harus mampan sealiran dengan peredaran masa yang pasti berlaku. Mesej yang hendak disampaikan boleh dijadikan azimat untuk mereka yang akan hidup sepuluh atau seratus tahun akan datang. Juga sebagai penulis, kita punya tanggungjawab untuk memelihara martabat bahasa kerana ia akan menjadi indikator bahasa semacam apakah yang akan diguna pakai oleh masyarakat akan datang. Sebab itu, adalah penting untuk kita berhati-hati dalam menulis dan jangan khuatir kalau bahasanya itu kedengaran kaku atau baku kerana kalau bukan kita yang menjaga hukum hakam bahasa penulisan, siapa lagi yang akan menjaganya?


Kalau generasi dahulu telah mencampuradukkan bahasa dengan rakus dalam penulisannya, apakah kita generasi kini dapat menikmati keaslian bahasa ibunda sendiri?


Menulis, bagi aku secara peribadi, adalah cara untuk mengenali diri sendiri dan mengenali orang lain yang membaca tulisan kita. Adalah menjadi tanggungjawab sejagat untuk tidak melupakan soalan yang paling penting apabila menulis,


“Apakah yang ditulis ini layak dibaca oleh masyarakat akan datang?”


Kepada bibliofilia Malaysia, selamat berpesta hujung minggu ini!


2 likes ·   •  2 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 24, 2017 00:13
Comments Showing 1-2 of 2 (2 new)    post a comment »
dateUp arrow    newest »

message 1: by nazhsahaja (new)

nazhsahaja surat surat untuk annelies boleh dapat booth penerbitan mana nanti ye zharif?


message 2: by Zharif (new)

Zharif Zainuddin Naz boleh dapatkan di booth ILHAMBOOKS nombor 3256-3258 :)


back to top