Zharif Zainuddin's Blog
February 20, 2018
2018
[image error]
Officially, aku dah beritahu kepada Jalal pasal projek tahun ini.
Well, no really project la. Lebih kepada sasaran dalam menulis buku baru. Bila tengok balik, dah dekat 2 tahun tak ada karya baru jadi tahun 2018 adalah tahun yang tepat untuk aku announce my comeback.
Aku tak tahulah orang lain pernah rasa macam ni atau aku je yang rasa tapi perasaan risau tu tetaplah ada bila dah announce dekat Instagram & Facebook ( aku dah tutup Twitter btw since awal tahun) sebabnya risau kalau “signal” yang aku dapat daripada all the vibes untuk announce tu, eventually will betray me and I will get damn dissapointed. Lepas tu tak jadi. Lepas tu senyap dan tergantung sepi. Bak kata pepatah Melayu hangat-hangat taik ayam.
Lepastu, aku teringat balik daripada apa yang aku baca pasal Minimalis ( actually ada movie dekat netflix pasal Minimalism ni, go watch and enjoy it people) and realise that I should embrace that feelings, the vibes and get comfortable with it. So, aku tanya soalan-soalan ni dekat diri sendiri:
Aku buat semua ni sebab duit ke?
Aku buat semua ni untuk dapat perhatian orang ramai ke?
Aku buat semua ni untuk dapat like dekat Facebook & Instagram ke?
Well, it turns out that, kalau aku buat semua ni (pasal menulis) out of passion and because I love it, benda-benda lain semua tak penting. Kalau tak dapat duit? No problem. Publisher tak jadi publish? No problem. Orang tak ramai like? It’s ok. At the end of the day, semua benda tu aku tak boleh kawal dan paksa untuk datang dekat aku. I must learn how to appreciate even if one person follow penulisan aku & akan beli lagi novel-novel yang akan datang.
I think it is about time to connect with my readers, with deeper connection. Bukan takat depa puji aku pun cakap terima kasih dan post puji-pujian tu. Atau ikut ” aku follow kau, kau follow aku balik” punya trend sekarang ni.
Anyway, aku tak dapat nak describe perasaan excited and rasa muka ni glowing gila bila dah ada plan untuk come back dalam menulis ni. Maybe, I need to be more enthusiastic & burn the flame of passion so that future readers ikut rasa kehangatan buku-buku terbaru tu nanti.
Wish me luck bebeh! * silang jari*
May 18, 2017
Malam di Kampuchea dan Gadis Perancis
Malam pertama di Phnom Penh, aku mengambil keputusan untuk berehat di lobi Backpacker. Sendirian di negara asing buat kali pertama membuatkan aku sedikit kekok tetapi tentu sahaja aku tidak mahu terperap di dalam bilik yang tidak punya tingkap dan ditemani dengan lukisan Buddha itu sahaja. Lantas aku duduk di atas kerusi panjang, bertentangan dengan sebuah lagi kerusi yang telah dibaringi oleh seorang gadis Perancis.
Menurut beliau, dia sedang menunggu bas ke Angkor Wat tengah malam nanti dan seperti aku, dia juga berseorangan di tanah Kampuchea ini. Perbualan kami bermula basa basi sehingga aku menanyakan ke mana beliau pergi pagi tadi.
“Killing field,” ujarnya lembut.
“ Dan kau tidak ke Genocide Museum?”
Dia menggeleng. “Aku tidak mampu ke sana.”
Awalnya kufikir, ah barangkali dia penat jadi dia tidak larat untuk pergi ke muzium yang dahulunya merupakan sebuah sekolah yang menjadi tempat penyeksaan tahanan-tahanan sewaktu pemerintahan Pol Pot. Ia juga dikenali dengan Penjara S-21.
Ternyata dia tidak mampu ke sana kerana emosi. Dia tidak mampu menanggung emosi yang berat untuk ke sana. Aku bingung. Apa yang berat sangat? Apa yang teruk sangat sampai tak mampu nak pergi dua tempat tu sekali?
Lantas aku berazam untuk menyahut cabaran tersebut. Aku akan ke sana, dua tempat itu, pada hari esok.
Dan malam kedua di Phnom Penh, barulah aku mengetahui apa yang dimaksudkan oleh gadis Perancis itu. Bukan sahaja mengetahui, malah merasai apa yang dikatakannya semalam. Emosi.
Ternyata kita tidak perlu menunggu satu lagi meteor jatuh menghempas bumi atau kaum alien datang dari planet lain untuk membunuh tamadun manusia kerana kita sendiri, sebagai manusia, adalah pihak yang bertanggunjawab membunuh erti kemanusiaan itu sendiri.
Emosi. Bagaimana untuk mengawal emosi ketika tanah yang diinjak itu adalah saksi kepada kemusnahan nilai kemanusiaan yang dibunuh oleh tangan manusia sendiri.
Dan aku masih mencari jawapan kepada soalan tersebut.
[image error] [image error] [image error] [image error]
April 24, 2017
Menjelang Pesta Buku 2017,
[image error]
Kredit gambar: poieridzuan
Tiga belas tahun yang lalu, itu kali pertama aku pergi ke Pesta Buku Antarabangsa dan semuanya kerana aku mengikuti Kem Penulis Muda yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan. Seharusnya bukan aku yang pergi tetapi seperti biasa, hidup penuh dengan kejutan; apa yang kita mahu jarang sekali dimiliki tetapi apa yang kita tidak sangka akan dimiliki, itulah yang selalu mengetuk pintu kehidupan.
Waktu itu, kami digembar-gemburkan bahawa rakyat Malaysia hanya membaca dua helai muka surat setahun. Dua helai! Ternyata fakta itu membuatkan kami rasa punya tanggungjawab untuk mengubah tabiat membaca rakyat Malaysia. Malang sekali, waktu itu juga tidak banyak penulis dan penerbit baru yang lahir seiring dengan pesta tersebut.
Tiga belas tahun selepas itu, senario di atas berubah dengan begitu dahsyat. Aku fikir rakyat Malaysia sudah tidak lagi membaca dua helai muka surat setahun bahkan lebih daripada itu. Kelahiran penulis-penulis baru dan muda melonjak dengan kehadiran penerbit-penerbit buku yang juga wujud dengan begitu pesat.
Aku juga adalah produk kelahiran pesta buku tersebut dan harus diakui perubahan ini adalah sesuatu yang positif bagi masyarakat yang diberi peluang untuk membaca buku-buku pelbagai genre dan semakin banyak buku yang diterbitkan, semakin rendah juga harga buku-buku di pasaran hingga dapat dimiliki oleh sesiapa pun termasuk pelajar sekolah.
Perkembangan ini mengundang soalan: Adakah semua yang ditulis itu layak digelar buku kerana ada sahaja penulisan yang tidak dibaca oleh masyarakat?
Tidak semua buku ditakdirkan punya pembaca. Mungkin tidak sekarang, tidak di zaman ini tetapi akan dibaca oleh generasi akan datang. Mungkin generasi akan datang lebih menghargai penulisan yang ditinta pada hari ini.
Jika Tuhan Bukan Manusia diterbitkan sebelum waktunya, mungkin ia juga tidak dibaca oleh masyarakat dan aku sendiri telah memutuskan kalau tulisan itu tidak akan diterbitkan dan dibaca oleh sesiapa kecuali aku. Dua tahun selepas penerbitan,Tuhan Bukan Manusia telah diulang cetak kali kedua (dan ketiga kelak, jika diizinkan Tuhan) dan untuk buku yang membawa genre seberat itu, aku sendiri tidak terfikir ia akan pergi sejauh itu. Setiap buku, aku yakin seyakinnya, mempunyai takdirnya sendiri.
Nah bagaimana pula dengan perkembangan semasa; rumah penerbitan lahir di sana sini, buku-buku diterbitkan dengan begitu banyak, penulis semakin ramai sehingga sesiapa sahaja pada hari ini boleh menulis apapun dan diterbitkan (soal isi nombor dua).
Seseorang penulis tidak perlu khuatir kalau berlaku lambakan buku-buku di pasaran kerana kita tidak boleh menghalang sesiapa untuk menjadi penulis dan penerbit. Adapun yang menggunakan kesempatan dikenali dalam bidang lain, menjadikan penulisan sebagai pendapatan sampingan mereka. Itu juga bukan menjadi hak untuk kita mengkritik malah membakulsampahkan karya mereka. Memburukkan buku orang lain tidak menjadikan buku kita lebih baik. Itu prinsip yang aku pegang sehingga hari ini.
Sebagai penulis, aku juga berdiri di atas keyakinan bahawa seseorang yang mahu menulis, perlu menulis sesuatu yang boleh dibaca oleh masyarakat masa kini dan akan datang. Ideanya harus mampan sealiran dengan peredaran masa yang pasti berlaku. Mesej yang hendak disampaikan boleh dijadikan azimat untuk mereka yang akan hidup sepuluh atau seratus tahun akan datang. Juga sebagai penulis, kita punya tanggungjawab untuk memelihara martabat bahasa kerana ia akan menjadi indikator bahasa semacam apakah yang akan diguna pakai oleh masyarakat akan datang. Sebab itu, adalah penting untuk kita berhati-hati dalam menulis dan jangan khuatir kalau bahasanya itu kedengaran kaku atau baku kerana kalau bukan kita yang menjaga hukum hakam bahasa penulisan, siapa lagi yang akan menjaganya?
Kalau generasi dahulu telah mencampuradukkan bahasa dengan rakus dalam penulisannya, apakah kita generasi kini dapat menikmati keaslian bahasa ibunda sendiri?
Menulis, bagi aku secara peribadi, adalah cara untuk mengenali diri sendiri dan mengenali orang lain yang membaca tulisan kita. Adalah menjadi tanggungjawab sejagat untuk tidak melupakan soalan yang paling penting apabila menulis,
“Apakah yang ditulis ini layak dibaca oleh masyarakat akan datang?”
Kepada bibliofilia Malaysia, selamat berpesta hujung minggu ini!
June 11, 2016
Soalan daripada pembaca #1
Beberapa minggu lepas, aku ada beri novel percuma kepada para pembaca dengan syarat mereka kena bertanyakan soalan mengenai Tuhan Bukan Manusia dan Surat-Surat untuk Annelies.
Jadi, ini adalah jawapan kepada dua soalan yang ditanya memandangkan soalan mereka boleh dijawab dalam satu jawapan yang sama.
Soalan daripada Janggut Merah Al-Kelantani:
Adakah buku surat-surat untuk Annelies ini adalah kesinambungan dari buku Tuhan Bukan Manusia?
Soalan daripada Ezna Jannah:
Apakah aspek yang telah saudara tambah baik di dalam novel kedua dan apa kaedah yang saudara guna untuk proses tambah baik itu
Surat-Surat Untuk Annelies bukanlah kesinambungan dari buku Tuhan Bukan Manusia. Tetapi, ia adalah satu kontradiksi daripada penulisan Tuhan Bukan Manusia; Surat-Surat Untuk Annelies adalah manifestasi hemisfera otak kiri sementara Tuhan Bukan Manusia adalah manifestasi hemisfera otak kanan dan kedua-duanya tidak sama dan tidak akan pernah sama.
Sudah tentu, kedua-duanya akan dibandingkan oleh para pembaca dan perbandingan itu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan memandangkan kedua-duanya mempunyai genre yang berbeza; satu berasal daripada fakta realiti dan kritikan terhadap keadaan di Malaysia pada tahun 2015 sementara satu lagi lahir daripada imaginasi liar yang berpaksikan fiksyen bercampur falsafah.
Membandingkan kedua-dua buah buku ini seperti membandingkan dua adik-beradik yang punya potensi dan bakat yang berbeza.
Dari segi penambahbaikan, komen-komen dan ulasan para pembaca sebelum ini telah banyak membantu dalam memperbaiki gaya penulisan. Surat-Surat Untuk Annelies lebih mudah difahami dan dihadami, bahasa yang digunakan juga adalah bahasa Melayu ‘harian’ yang tidak berbunga-bunga atau terlampau ‘deep’ dan lebih ringkas.
Pada masa yang sama, masih banyak perkara yang boleh diperbaiki daripada Surat-Surat Untuk Annelies dan dijadikan panduan untuk menulis novel baru kelak, Insya-Allah.
Minggu depan, aku akan menjawab soalan dan membuka rahsia bagaimana tercetusnya ilham menulis novel Tuhan Bukan Manusia.
May 5, 2016
Di Sebalik Nama Annelies
Semasa di New Delhi, saya mengalami krisis mempercayai kewujudan diri dan Tuhan. Waktu itu saya fikir bahawa Tuhan telah membiarkan saya sendirian, di celah-celah jutaan umat manusia yang hidup di sana.
Rupanya Tuhan masih ingat kepada saya dan menemukan saya dengan diri sendiri setelah sebulan berkelana di bumi asing.
Ilham dan pengalaman itu saya kutip dan susun dalam sebuah catatan bernama Ekstasi Rumi (sebelum ditukar kepada Tuhan Bukan Manusia).
Sebelas bulan yang lalu, kejadian sama berlaku. Bahkan kali ini tidak wajar saya namakan ia sebagai krisis kerana waktu itu, keadaannya lebih akrab dengan aksara bernama depresi.
Kitaran tidur terganggu. Makan juga entah ke mana.Sisa-sisa waktu yang bergulir saya habisi dengan tidur dan mendengar suara ‘ghaib’ yang seakan-akan mengejek, mencela malah mengutuk diri ini kerana telah gagal dalam kehidupan.
Waktu itu hanya dua jalan yang terbentang di hadapan mata:membuat kerja yang saya telah berjanji untuk tidak melakukannya atau….ah kalian tahu apa jalan yang satu lagi itu.
Benarlah kata-kata ahli psikologi terkenal Viktor Frankl dalam bukunya Man’s Search for Meaning:-
”being jobless was equated with being useless, and being useless was equated with having a meaningless life.”
Sebelas bulan yang lalu, saya baru sahaja kehilangan kerja dan terdampar di rumah sewa tidak bertujuan. Melihat rakan-rakan serumah pergi dan pulang bekerja menambahkan lagi keraguan akan makna tujuan hidup ini.
Kalau dahulu, saya bisa mengembara untuk mengakhiri keadaan semacam ini tetapi sekarang saya tidak mampu pergi ke mana-mana ( duit pula hanya cukup untuk makan dan minum selama sebulan sahaja).
Akhirnya saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah keluarga sambil meminjam buku ”The diary of a young girl”. Di sana, saya habiskan masa dengan membaca diari tersebut sehinggalah sampai ke muka surat terakhir.
Detik itu, suara ‘ghaib’ itu muncul kembali dan berbisik. Anehnya kali ini ia tidak mengejek, jauh sekali menghukum lelaki yang tidak bekerja ini. Sebaliknya ia berbisik:-
”Tulislah sesuatu.”
”Tulis apa?”
”Kalau Anne Frank tidak menulis diari itu, pasti engkau tak tahu apa yang dirasai oleh mereka yang hidup di zaman Perang Dunia Kedua.”
” Tahun ini tak ada perang. Nak tulis apa kalau begitu?”
” Tentang negara ini. Apa yang berlaku di sini, pada tahun ini, adalah sesuatu yang layak untuk diabadikan dengan tulisan.”
”Untuk siapa? Siapa yang nak baca?”
”Aku.”
Bermula dari situ, tidak henti-henti saya menulis dan mencurahkan apa sahaja yang terpendam dalam jiwa. Setiap kali suara ‘ghaib’ itu minta bicara, setiap kali itu saya menulis tak kenal siang atau malam. Jari-jemari saya menari penuh saksama menuruti rentak ilham yang terbentang dalam bicara kami berdua.
Tidak ada basa-basi dan ayat ‘cheesy’ yang meleleh, tidak juga kata-kata pedoman mahupun punchline yang menarik perhatian. Saya hanya menulis dengan keberanian; keberanian untuk menceritakan tentang kehidupan negara ini sepanjang tahun 2015.
Lama-kelamaan, depresi yang membumbui hidup saya perlahan-lahan mengundurkan diri. Akhirnya, kami mengucapkan salam perpisahan tatkala penulisan itu sampai ke noktah terakhirnya. Depresi sudah hilang; kitaran tidur, makan dan minum kembali normal. Saya kembali bekerja.
Surat-Surat Untuk Annelies adalah antidot dalam memerangi depresi dan self-destruction. Sampai sekarang, saya tidak tahu dari mana datangnya suara ‘ghaib’ itu- yang meminta saya untuk berbicara dengannya melalui penulisan seterusnya memimpin saya keluar daripada bencana depresi yang maha bahaya itu.
Lantas, saya gayakan tulisan ini dalam bentuk surat-surat kerana ia ditulis dan ditujukan kepada suara ‘ghaib’ itu. Saya namakan ia dengan nama Annelies. Annelies Sofea. Kerana jika saya punya anak perempuan satu hari nanti, maka nama itulah yang akan saya hadiahkan kepadanya.
Kerana Annelies Sofea adalah satu simbol keberanian dan kekuatan harapan untuk saya menulis apa yang tidak mungkin mahu ditulis oleh orang lain tentang negara ini.
Dan Annelies Sofea telah menyelamatkan Zharif Zainuddin daripada menghancurkan dirinya sendiri dalam timbunan kegelapan angkara bernama depresi.
Semua yang ingin diceritakan telah diceritakan di sini. Tetapi semua yang terjadi dan berlaku tidak diceritakan di sini.
Salam takzim,
Zharif
4.5.2016-5.5.2016
March 11, 2016
Mesej Kepada Pembaca Tuhan Bukan Manusia;
29 Februari lepas, aku dah umumkan tajuk novel baru yang bakal diterbitkan sekitar pertengahan tahun ini.
Surat-Surat Untuk Annelies. Untuk pengetahuan dan rekod, Annelies bukanlah nama awekz aku sekarang mahupun akan datang. Oh, bukan jugak nama ex-girlfren ok.
So siapa Annelies? Bak kata pepatah omputih, curiosity killed the cat. Tetapi memandangkan curiosity tidak akan membunuh korang, maka aku akan memberi korang satu peluang ekslusif, sekali seumur hidup untuk….
Tengok cover novel dan membaca sinopsis serta prolog Surat-Surat Untuk Annelies sebelum diterbitkan di pasaran!
Cover + Sinopsis + Prolog.
Yes gais. Itu yang korang akan dapat setelah follow langkah-langkah berikut:-
Langkah 1:
Ambil gambar korang dengan novel Tuhan Bukan Manusia ( tak kisah kalau tak kreatif atau tak hispter, yang penting bukan gambar dari google images :P).
Langkah 2:
Post gambar tu dekat wall Facebook Page Tuhan Bukan Manusia atau kalau korang malu-malu kucing, boleh PM gambar dekat Facebook page yang sama.
Langkah 3:
Gambar cover + Sinopsis + Prolog akan di PM ke Facebook korang.
Dah itu je. Senang kan?
Tapi kejap. Pasai apa aku buat macamni?
Ini tidak lain sekadar cara aku untuk menghargai pembaca-pembaca buku Tuhan Bukan Manusia dan menjadikan diri mereka ‘special’ daripada orang lain. Jadinya, mereka inilah yang akan dapat melihat cover dan membaca dahulu sinopsis serta prolog novel ini sebelum orang lain.
Dan untuk menjadikan ia benar-benar special, jemputan ini terhad kepada 20 orang sahaja dan tamat pada jam 12 tengah hari esok (13.3.2016).
So…kalau nak menjadi salah seorang daripada 20 orang yang special tu, bolehlah start berselfie dan hantar ke facebook page Tuhan Bukan Manusia!
February 28, 2016
2016
February 27, 2016
Soalan 2: Bila buku baru nak keluar?
Seperti yang dijanjikan dari minggu lepas, soalan di atas akan dijawab seringkas dan sesimple yang mungkin.
InsyaAllah jika tidak ada aral melintang mahupun menegak, novel baru akan dirilis di pasaran dalam pertengahan tahun ini.
Exact tarikh tu tak dapatlah nak dipastikan sebab takut jugak kalau overconfident; buatnya sehari sebelum tarikh tu mesin cetak rosak ke apa ke dah aku dikira mencapatikan janji yang diberikan hewhew.
Tapi kalau nak tahu jugak exact tarikh tu, mungkin aku boleh cakap waktu Pesta Buku Antarabangsa tahun 2016 tu..dah adala novel baru tu. Kalau tak, selepas Pesta Buku tu le nampak gayanya.
So, yeah. Insyallah pertengahan tahun ini novel baru akan diterbitkan dan bolehlah dimasukkan dalam list buku-buku yang hendak dibaca. Tajuknya pulak akan diumumkan pada hari esok, 29 Februari 2016 memandangkan 29 Februari tu cuma muncul 4 tahun sekali so tahun ni punya aku pilih untuk jadikan hari mengumumkan tajuk baru novel tersebut.
Motif gambar di atas ialah tajuk novel baru tu ada kaitan dengan nama salah satu watak dalam novel yang ditulis Pramoedya Ananta Toer atau juga dikenali dengan nama Abang Pram. Kalau rasa rajin bolehlah cari-cari nama tu tapi kalau rasa malas, korang tunggu jela hari esok hehe.
Jadi sementara nak menunggu hari esok, ringan-ringankanlah tangan membaca novel Tuhan Bukan Manusia sebab ada surprise abam nak kasi lepastu *jeng jeng jeng*.
Apa? Korang tak beli lagi novel Tuhan Bukan Manusia?
Kalau nak dapat surprise tu kenalah beli dulu ye. Dan kalau nak beli dengan harga diskaun, bolehla memborong di sini khabarnya harga diskaun tu pun bakal habis esok. Jadi, cepat-cepatla membeli ok.
Anyway, itu sahaja yang aku nak update. Silalah datang lagi ke sini pada esok hari kalau nak tahu tajuk buku baru tu.
Salam!
February 17, 2016
Soalan 1: Kenapa Zainuddin?
Soalan yang paling banyak diterima sejak Tuhan Bukan Manusia diterbitkan ialah:
Kenapa Zharif Zainuddin? Kenapa tak letak Zharif Badrul je?
Dan soalan itu juga ditanya oleh big boss aka ayah aku sendiri. Sorry daddy, no offense.
Nama Zharif Badrul telah sinonim dengan penulisan-penulisan yang disiarkan di The Malaysian Insider dan di media-media portal yang lain.Penulisan sebegitu pulak semuanya yang non-fiksi gitu.
Jadi saudara Jalal merangkap penerbit mencadangkan supaya aku menggunakan nama lain kerana Tuhan Bukan Manusia adalah sejenis novel fiksyen yangberbeza sekali dengan penulisan-penulisan aku di media portal.
Fikir punya fikir, aku mencapai konklusi bahawa afdal lagi elok kalau nama Zharif itu berirama dengan nama yang bermula dengan Z juga.
Zharif Zain? dah macam Ziana Zain pulak. Zharif Zarqawi? dah macam sheikh Arab la pulak, Masya-Allah!
Selepas berhempas pulas mencari nama yang sesuai, akhirnya aku berkenan dengan nama…
Zainuddin.
Yang diambil daripada watak protagonis Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.
Sebabnya cuma satu: aku mahu memberi penghormatan kepada penulisnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih femes dikenali sebagai Hamka.
Penghormatan itu diberikan atas tanda terima kasih kepada beliau kerana telah menulis sebuah karya agung yang sangat memberi kesan dalam hidup aku.
Dan banyak pula ayat-ayat dalam deraf terakhir Tuhan Bukan Manusia ditukar selepas membaca karya tersebut sehingga menjadi lebih puitis dan jiwang nohorom.
Apabila diangkat menjadi movie, kesannya pula sampai terbang ke bumi Indonesia dan menangis 7 kali di dalam wayang *tsk*
Part ni saje air mata dah keluar empat kali huhu (tak nangis, air mata je keluar)
Watak Zainuddin itu telah memberi kehidupan baru dalam hidup aku kerana waktu itu aku juga mengalami detik kejatuhan yang sangat dahsyat.
Tetapi, Zainuddin bangkit semula. Tidak menyerah kepada nasib yang menimpa diri lantas diangkat semula dirinya menjadi penulis dan memahsyurkan bangsanya sendiri melalui penulisan.
Jadi tidak keterlaluan kalau aku katakan bahawa Zainuddin adalah inkarnasi Zharif Badrul.
Lantas, penghormatan itu diabadikan dalam novel Tuhan Bukan Manusia. Agar mereka tahu penulis novel itu mendapat kehidupannya kembali melalui watak novel yang telah dihidupkan oleh penulis yang lain sebelumnya.
Dan nama itu, aku tidak berhasrat untuk mengubahnya dalam novel-novel akan datang.
Kepada Abuya Hamka, terima kasih atas karya agung yang telah dipersembahkan. Watak Zainuddinmu telah memberi inspirasi dan semangat kepada penulis yang lahir dan hidup di tempat dan djaman yang berbeda daripada Abuya.
Kepada yang bertanya, inilah jawapannya.
” Bahawa banyak orang besar-besar yang kalah dalam percintaan ambil jalan lain; maju dalam politik,mengarang buku dalam perjuangan hidup.
Dengan itu biar hatinya sendiri hancur dalam kekecewaan yang pertama maka orang banyaklah yang mengambil hasilnya”- Hamka, tenggelamnya kapal van der wijck
February 8, 2016
Overwhelming,
Itu adalah perkataan yang tepat untuk menggambarkan keadaan seminggu yang lepas.
1. Buat pertama kalinya buku Tuhan Bukan Manusia dibedah dan didiskusikan di khalayak umum. Lebih mengejutkan, pembedahan itu dilakukan oleh mereka yang menggelarkan diri sebagai Free-Read Sandakan. Alhamdulilah! Setidak-tidaknya aku tahu buku aku layak untuk dibedah oleh mereka yang membaca buku memandangkan suasana industri novel sekarang ini yang dilambakkan dengan genre yang…ah korang tau sendirilah.
Jadi terima kasih bah kepada komrad Rahmat dan Rien untuk pembedahan yang julung kalinya dibuat di khalayak umum, di tempat terbuka dan dipromosikan secara terbuka di Facebook! I am humbled.
2. Blogger, youtuber dan sekarang booktuber terkenal telah buat review ke atas novel aku di youtube. Review beliau sangat ringkas tapi padat, tepat dan menyeluruh. Terima kasih aku ucapkan kepada Anwar Hadi walaupun beliau tidak mampu membaca part yang terlalu cheesy tu hahaha! Sebenarnya aku sendiri mengalami kesukaran untuk membaca part tu sebab ia terlalulah jiwang tangkap leleh romantika gitu. Mahu tidaknya, part yang cheesy tu aku edit dan tambahkan lagi ketebalan kejunya selepas menonton part Hayati dan Zainuddin berjumpa sebelum Zainuddin berhijrah dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (babak tu jugaklah yang buat abam punya man tears jatuh berkali-kali).
Apapun, terima kasih kepada bro Anwar Hadi untuk review yang diberikan. Selepas seminggu dimuatnaik, video tu dah dapat 1910 views(aku je tengok dah dekat seribu sembilan ratus kali) serta 107 likes. Trimas sekali lagi my friend!
3.Dalam mencari pembaca-pembaca yang turut membuat review di internet, aku menggunakan google search, goodreads dan hashtag #tuhanbukanmanusia di Facebook dan Instagram. Tapi baru-baru ini aku jumpa lebih ramai pembaca yang sebenarnya dah baca buku aku tu (bahkan ada yang dah baca, post banyak kali pasal novel aku tu sejak tahun lepas) apabila aku search nama zharif zainuddin (tak malu sungguh search nama sendiri). Jadi aku nak mintak maaf banyak2 kat korang yang dah baca, share dan review novel aku tu di laman media sosial kalian tapi masih belum ditemui oleh orang yang google namanya sendiri nih. InsyaAllah aku akan cuba cari lagi dan get in touch dengan korang di samping berkongsi review-review korang tu dekat sini dalam tulisan-tulisan akan datang.
Terima kasih dan jumpa lagi! *sambung tengok Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck*


