Untukmu Cinta Bab 4
Bab 44 Februari. Jumaat.Kediaman Datuk Arman, Penthouse, Mont Kiara 11
“ Tuan, Mat Dan despatch dari HQ datang untuk hantar dokumen yang Tuan nak tadi. Dia ada kat bawah. ”
Datuk Ir. Arman berhenti dari menaip. Pandangannya dialihkan kepada Razak yang berdiri di hadapan pintu masuk bilik pejabatnya. Dokumen ada di tangannya. Datuk Arman tunduk dan memberikan signal dengan tangannya supaya dokumen tersebut diberikan kepadanya. Razak menurut. Dokumen dalam sampul dicapai oleh Datuk Arman. Dibaca dengan teliti. “ Panggil Mat Dan naik. ”
Berkerut wajah Razak. Biasanya Datuk Arman tidak pernah nak berjumpa dengan staff lain. “Okay Datuk. Saya panggil sekarang. ” Laju dia melangkah keluar. Apabila pintu ditutup terus dia berlari laju turun ke aras bawah. Mengah dia dibuatnya. Ya lah, takut Mat Dan dah tinggalkan perkarangan rumah !
Panggil Mat Dan ! Panggil ! ” Laung Razak kepada pembantu rumah dan penjaga kebun yang berdiri di perkarangan rumah. Di kawasan kolam renang yang berhadapan dengan tangga ke aras atas. Terpinga-pinga mereka tengok Razak.
“ Panggil Mat Dan lah ! ” Pekik Razak kali kedua. Bengang wajahnya apabila Mak Cik Dian dan Pak Abu buat dek je bila dia suruh panggil Mat Dan. Nak kata tak faham bahasa, rasanya dua - dua orang melayu.
Terkebil-kebil Mak Cik Dian dan Pak Abu memandang Razak yang berdiri depan tangga utama ke aras atas. Di belakangnya berdiri Mat Dan. Mak Cik Dian angkat tangan. Ditunjukkan kepada Mat Dan yang turut terpinga-pinga memandang gelagat Razak.
“ Apa ? Orang cakap panggil Mat Dan. ” muka Razak bengis bercampur geram.
“ Er… Encik Razak.” Mat Dan cuit Razak dari belakang.
“ Oh Ya Allah ! Terkejut mak kau ! ” terlompat Razak bila tiba-tiba ada orang cuit dari belakang. Ingatkan apa lah tadi rupa-rupanya si Mat Dan dok tercegat di belakang dia. Mamat ni pun satu, kalau tahu orang panggil dia macam nak gila tu kenapa tak jawab awal-awal? Tak pasal-pasal malu pula dia bila melatah macam tu.
“ Kau ni Mat Dan, kenapa tak sahut aku panggil. Yang kau dok tegak macam pokok belakang aku ni kenapa ??? ”
Mat Dan senyum serba salah. Kepalanya digaru perlahan walaupun tak gatal. “ Er… Saya dalam tandas tadi… Ingatkan kenapa Encik Razak cemas-cemas macam ni.”
‘ Nak melepas pun terbantut…’ sambung Mat Dan dalam hati.
“ Isk kau ni…. Dah, ikut aku naik atas. Bos nak jumpa. ”
Mat Dan sengih serba salah. Dia mengekori Razak dari belakang. Mata melilau memandang sekeliling rumah. Rumah penthouse di kondominium mewah. Siap ada dua tingkat lagi. Di luarnya ada kolam renang dan taman bunga. Hiasan dalamannya gaya moden mewah. Dari tangga aras satu dia dapat m elihat ruang tamu dengan cermin penuh mengadap kolam renang. Sekelilingnya dihiasi dengan taman yang mendamaikan. Hmmm…Kalaulah ini rumah dia kan bagus ? Sambil berjalan sempat dia berangan. Kalau dia jadi Datuk Arman, pasti dia berbini 4. Orang kata, lelaki kalau mampu apa salahnya? Tapi sedari tadi dia dok intai-intai dari bawah sampai ke atas tak ada pula gambar perempuan mana-mana. Hatta gambar keluarga pun tak ada….
“ Mat Dan, bos panggil masuk. ” Suara Razak mematikan lamunan Mat Dan. Tercegat Razak pandang dia dengan wajah serius. Razak dengan bos sama je, dua-dua serius je memanjang.Razak bukakan pintu. Mat Dan membolos masuk. Lagaknya santai. Dia bukan pandai nak serius macam Datuk Arman dan Razak. Sempat lagi dia memerhatikan ruang pejabat Datuk Arman. Luas. Apabila masuk sahaja meja ofis Datuk Arman berada di sebelah kanan, mengadap pintu masuk adalah dinding kaca begitu juga dengan dinding sebelah kiri. Rak- rak buku memenuhi dinding batu. Sofa di tengah ruang dengan konsep minimalist. Ada beberapa pokok kaktus dan orkid di ruang bilik. Satu bilik ni dah macam dua bilik rumah dia. Dinding yang diperbuat dari cermin kaca membolehkan mereka melihat pemandangan bangunan-bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur termasuklah bangunan ikonik KLCC dan KL Tower. Dari jauh Kuala Lumpur nampak kecil sahaja… Dari dinding kiri pemandangan hutan hijau sangat menenangkan. Patutlah bos suka buat kerja di rumah… Fikir Mat Dan dalam hati.
“ Ya, bos ? ” Puas matanya melilau ke kesuluruhan bilik akhirnya jatuh pada wajah bosnya. Lelaki yang selalu sibuk. Di mejanya bukan setakat ada dua monitor, malah 4! Tak cukup dengan itu, ada satu TV LCD di dinding yang mengadap meja Datuk Arman. Terpapar skrin yang memaparkan pasaran stok semasa. Siap dengan graf bagai. Dah macam broker saham. Tapi memang Datuk Arman banyak juga buat trading dalam stock market dan investment dalam syarikat dan hartanah. Itu yang dia dengar-dengar lah. Dia sangkakan biasa-biasa sahaja, rupanya memang serius gayanya. Malu pula dia pada lelaki di hadapannya itu. Dalam usia 41 tahun Datuk Arman dah punyai semua ini. Dia pula sudahpun mencecah 30 tahun tapi masih macam ni. Rugi dia tak belajar bersungguh-sungguh dulu.
“ Zaleha cakap awak ada jumpa dengan orang yang buat demonstrasi, betul ? ”
“ Ada bos. Saya dah beritahu Kak Leha semua maklumat. ”
Wajah Arman masih serius. Dia tekun memandang skrin monitor sebelum mengalihkan skrin menghala pada Mat Dan. “ Yang ni pengerusi ? Betul ? ”
Dr Eve Alvina
Terpempan wajah Dr Eve Alvina di situ. Orangnya tinggi lampai. Rambut ikal mayang… Macam model. Itulah gadis cantik yang lantang bersuara mengetuai demonstrasi. Mat Dan mengangguk gusar. Serba salah pula dia kalau-kalau bosnya nak saman mereka ke ? Dia bersuara perlahan, “ Saya ada cakap-cakap dengan dorang… Katanya dia nak educate masyarakat mengenai kesan buruk terhadap ekosistem bos, bukan nak condemn ke apa… Cuma nak pemaju tahu dan buat perancangan untuk mengurangkan kesan negatif terhadap habitat hutan dara.”
Arman angguk lagi. Tak bersuara. Sikap pendiam Arman kadang-kadang buat pekerjanya gusar. Mat Dan menambah lagi apabila bosnya masih berdiam diri.
“ Erm… dorang ada bagi flyers ni bos… ” Mat Dan menghulurkan flyers kepada Arman. “Sabtu ni ada talk free untuk siapa-siapa yang berminat nak tahu lebih lanjut mengenai impak empangan terhadap alam sekitar dan cara mengurangkan kesan negatif tu.. ”
Arman pandang Mat Dan penuh minat. Menarik juga. Daripada bacaan dia pun nampak macam orang-orang yang berpengetahuan.
“ Kat mana talk tu ? ” Tanya Arman pendek.
“ Dorang cakap nanti dia email. ”
“ Awak bagi email awak ke tadi ? ”
Mat Dan angguk. Alamak, dia siap masuk jadi ahli lagi ! Kalau bos tahu habislah…
“ Semua orang boleh datang ? ”
“ Er… rasanya lah… ”
“ Bila mereka emailkan tempat, beritahu saya atau Razak. ” Pendek dan mendatar sahaja suara Arman.
Mat Dan angguk serba salah… “ Ya bos… ”
“ Razak ! ” Panggil Arman kuat. Mat Dan berdebar. Kenapa pula bos dia ni panggil Razak kuat macam tu ? Marah pada dia ke? Razak terus menyahut dari luar dan membuka pintu sebelum memasuki ruang pejabat. “ Tolong kosongkan jadual hari Sabtu dan ingatkan saya serta Mat Dan ni untuk update kita tentang talk dari pihak demonstrasi. Katanya hari Sabtu, tapi tak tahu pukul berapa dan di mana lagi. Nanti dorang akan email pada Mat Dan.”
“ Bos nak pergi ke ? ” Tanya Razak serius. Wajahnya nampak keliru.
“ Mmm ya. Disguise as a public person je. ”
“ Nanti dorang tahu bos dari GCI Energy macam mana ? ” tanya Mat Dan gusar.
“ Kalau ya mereka tahu pun, apa salahnya ? Itu tujuan mereka buat demonstrasi kan? Nak pemaju tahu kesan empangan terhadap eko sistem dan cara untuk kurangkan impak negatif ? Tapi kita low profile je nanti. Bukan nak buat hal, nak dengar. ”
Mat Dan angguk bersetuju. Harapannya tak adalah Arman nak bawa gangster ke, atau nak buat kecoh ke… Dia dahla berkenan dengan Orkid. Kalau hari tu nanti dia terpaksa pilih antara Orkid dan bos dia ? Di antara mata pencarian dan mata air… Hmmm… Macam mana?
“ Awak pun datang sekali Razak. ” Pesan Arman mendatar. Pandangannya terus ke mata si Razak yang sedang berbelah bahagi. Dia ada date la hari tu ! Sampai bila dia nak sibuk macam ni ?? Dah sepuluh orang awek tinggalkan dia sebab dia tak ada masa untuk mereka. Baru je nak ada peluang dengan awek baru episode sibuk memanjang kembali lagi. Biasanya kalau Arman ke luar negara kurang sedikit sibuk dia di Malaysia. Kalau Arman minta dia ikut sekali memang kerja, kerja, dan kerja ajelah… Umur dia pun dah 35 tahun! Tak mahulah dia jadi anak teruna tua macam Arman.
“ Saya… ada hal bos. ” Suara Razak kedengaran serba salah.
Pandangan Arman yang kasual berubah jadi tajam. Macam pandangan serigala jadian yang sedang memburu mangsa. Pandangan yang buat Mat Dan tiba-tiba rasa seram. Memang betul kata Kak Zaleha , Datuk Ir Arman memang garang orangnya!
Razak tahan nafas bila jelingan maut diterima. Liurnya ditelan payah. “ Er…. Tak apa, saya alihkan ke hari lain. ” cepat-cepat Razak manambah sebelum bos garangnya itu mengeluarkan kata-kata pedas atau yang paling ngeri kalau perkataan “ You are fired ” yang keluar. Haru dia. Dahlah kereta pun guna kereta syarikat, rumah pun rumah syarikat. Merempat dia nanti. “ Okay, terima kasih. Jumpa awak dan Daniel hari Sabtu ni. ”Arman angguk perlahan sebelum matanya kembali ke skrin komputer. Suaranya masih mendatar seperti kebiasaan. Dia memberikan isyarat tangan supaya mereka beredar.
******************
Usai pintu bilik pejabat Datuk Arman ditutup terus Mat Dan melepaskan nafas lega. Baru je mesyuarat 20 minit dengan Datuk Arman dah pun buat dia sesak nafas. Patutlah Kak Zaleha takut sangat dengan bos. Dia pandang Razak yang nampak tenang di tepi.
“ Bos selalu macam tu ke ? ” Soal Razak perlahan. Hampir berbisik.
Razak turuni tangga. Mat Dan menurut. Apabila jauh sedikit baru dia bersuara.
“ Macam tu la, macam mana lagi ? ” Jawab Razak garang.
Mat Dan sengih serba salah. Dua – dua sama sahaja. Mood tak menentu. Patutlah sampai sekarang tak berbini. Perempuan mana yang nak kalau garang macam tu ? Mat Dan diamkan diri sampailah di muka pintu Razak hulur sebatang rokok pada dia. Mat Dan pandang tak terkata.
“ Saya hisap vape Encik Razak. ” Mat Dan sengih. Muka serba salah.
Razak angguk perlahan. Wajahnya nampak stress. Apabila keluar dari muka pintu rumah , terus Razak menyalakan puntung rokok. Anak matanya memandang langit di luar jendela. Mengelamun.
“ Fikir apa tu Encik Razak ? ” Mat Dan dengan muka tak malu bertanya. Dah perangai dia selamba macam tu. Razak alihkan pandangan ke wajah Mat Dan.
“ Fikir hal dunia. ” Sepatah dia jawab. Lama kemudian dia menambah. “ Kau dah kahwin?”
“ Belum Encik Razak. Tak cukup duit lagi nak pinang anak dara orang. ” Mat Dan sengih. Dia bangun setelah siap memakai kasut.
Razak berfikir pasal dirinya. ‘Duit ada tapi masa pula yang tak ada. Mungkin tak cukup kaya. Kalau dah kaya sangat nanti tak perlu lah dia bekerja macam sekarang. Perempuan pun bertenggek je datang nanti asalkan ada kereta mewah, ada rumah besar, ada wang berlonggok dalam bank.’ Monolog Razak dalam hati. Cuba sedapkan hatinya sendiri. Di kampung tu sampaikan mak ayah dia ingat dia ni tak minat pada perempuan. Dia bukan golongan kaum lut yang Allah tak suka. Dia normal. Cuma masanya sahaja yang tak ada! Asal balik kampung aje adalah yang bertanya pelik-pelik. Berang juga dia.
Melihatkan Razak yang masih termenung jauh, Mat Dan menambah. “ Encik Razak dah kahwin ke? ” Soal dia pada Razak, berpura-pura tak tahu. Walhal dia tahu sangat, Datuk Arman dengan Razak ni dua-dua anak teruna tua.
Razak sedut asap rokok sebelum menghembuskannya ke udara.
Mat Dan tahan nafas. Sudah lama dia tidak merokok. Sejak dia gunakan vape untuk menggantikan rokok, asap rokok pun dia sudah tak tahan. Berbanding rokok, vape tiada bau tar. Tar itulah yang rosakkan paru-paru.
“ Nak kahwin macam mana, aku nak dating esok pun dah kena block dengan bos. ” beritahu Razak dalam nada tak puas hati. Garu kepada dia, macam mana nak terangkan pada Nina nanti ? Dia baru sahaja kenal gadis itu. Orangnya stylish, cantik dan diminati ramai. Dia kenal pun di Kelab Havana. Dia biasa ke sana waktu hujung minggu.
“ Tunda dating waktu malam tak bolehke Encik ? Ceramah tu rasanya tak adalah sampai ke malam. Kalau sampai ke malam tu gayanya dah macam camping. ”
Razak jeling Mat Dan. Mat Dan telan liur.
“ Kau cuba konfem awal-awal dengan penganjur tak boleh ke?
Boleh aku beritahu makwe aku tu awal-awal. ”
Pandangan Razak yang semacam tegangnya itu buatkan Mat Dan serba salah. Dia garu kepala lagi sekali. Penat betullah kerja dengan dua orang yang muka asyik tegang je ni. Serius je memanjang. “ Saya cubalah Encik Razak. ”
“ Tak ada ke contact? ”
Mat Dan fikir lama. Hah! Nasib baik ada kad perniagaan lelaki yang dia bercakap tadi.
“ Ada…ada…”
“ Call sekarang. ” Arah Razak mendatar. Mat Dan senyum serba salah. Kad perniaagaan lelaki tadi dia cari dari kocek seluar. Minta-mintalah ada. Kalau tak, mampos. Kad perniagaan tertera nama Adam dan nombor telefon pejabatnya. Tak ada pula nombor telefon bimbit…. Mat Dan dail juga nombor tersebut. Tak lama telefon berbunyi, ia terus diangkat. Suara seorang perempuan.
“ Hello. Firma Arkitek Hassan Seni. ”
“ Er… Hello… Encik Adam ada ? ”
“ Oh… Encik Adam tak ada di pejabat hari ni. ”
“ Oh… Er… Dia ada organise ceramah Sabtu ni kan ? Boleh saya tahu pukul berapa ? ”
“ Ceramah berkenaan empangan ke ? ”
“ Ha, ya ! ” Mat Dan sengih lebar apabila suara ditalian tahu berkenaan ceramah tersebut.
“ Dari pukul 10.00 pagi sampai 1.30 tengah hari. ”
“ Okay, terima kasih ya. Boleh saya tahu kat mana ? ”
“ Di Wisma Seni tapi bilik mana tu nanti kita konfemkan melalui email ya. ”
Mat Dan sengih lagi. “ Ya.. ya.. okay. Terima kasih. ” Talian dia matikan.
“ Pukul 10.00 pagi sampai pukul 1.30 tengah hari Encik Razak.” Beriya Mat Dan beritahu Razak.
Razak senyum. Putung rokok masih di tangan. Dia tepuk bahu Mat Dan, “ Good job ! Aku update Datuk la lepas ni. ”
“ Selamat sesi dating Encik Razak. ” Mat Dan sempat berseloroh.
Razak sengih, “ ”Mestilah…Selamat aku. ”
***********************
Jam di dinding diperhatikan oleh Arman. Sibuk bekerja dia lupa akan waktu. Sudah pukul 5.00 petang. Dia bangun menggeliat. Membetulkan tulang dan urat yang sudah seharian mengadap skrin dan dokumen. Dia hanya berhenti untuk makan tengah hari dan solat.
Arman berjalan mendekati dinding cermin mengadap kota raya. Dari atas dia dapat melihat manusia yang bersesak di jalan raya. Waktu macam ni, jalan sesak. Manusia hidup bagaikan ‘rat race’ yang mengulangi kerja harian sedari awal pagi dan pulang lewat petang. Dia imbas kembali dirinya 20 tahun lepas. Sewaktu dirinya baru sahaja bergelar graduan fakulti kejuruteraan dari Universiti Malaya. Sewaktu sedang belajar dia sudah bekerja sambilan di restoran untuk menampung perbelanjaan harian. Apabila akhir tahun, dia mula berjinak-jinak dengan perniagaan. Jual apa sahaja yang halal untuk mendapatkan wang. Tambah pula tahun akhir mereka perlu melakukan praktikal di syarikat kejuruteraan atau bidang yang berkaitan. Pelajar praktikal biasanya tidak diberikan wang gaji yang banyak oleh syarikat yang mengambil mereka. Padan dengan RM 500 ringgit sebulan. Kos untuk berulang alik ke pejabat, makan tengah hari dan pakaian pejabat pun sudah lebih dari itu. Sebagai anak yatim dan ibunya pula sudah lama menghilangkan diri, terpaksalah dia berusaha sendiri untuk segalanya, tapi dia bersyukur. Kalau tidak kerana situasi dia yang susah dulu, dia mungkin tidak akan berusaha kuat untuk berada pada kedudukan sekarang.
‘ Kring…kring…’
Bunyi telefon mematikan lamunannya. Skrin telefon diperhatikan terlebih dahulu sebelum menjawab panggilan. Tertera nama ‘Karla’ di skrin telefon. Lama dia memandang skrin telefonnya. Serba salah samada untuk menjawab panggilan ataupun tidak. Karla adalah teman yang dia kenali melalui perniagaan. Seorang yang tegas dalam berniaga, anak orang berada dan baru sahaja kematian suami beberapa tahun lepas. “ Hi, assalamualaikum… ”
“ Waalaikummussalam wbt… ” salam dari Arman Karla jawab dalam nada lemah lembut. Itu yang dia suka dengan Arman. Orangnya simple, penuh ilmu dan boleh dipercayai. Dia selalu mengajak Arman keluar minum tapi Arman selalu sahaja ada alasan untuk menolak. Dia hanya datang kalau ianya berkaitan dengan kerja.
“ You sihat Arman ? ”
“ Ya.. Alhamdulillah… Ada apa you call ? ”
“ Saja… tanya khabar… ”
Arman diam lagi. Dia bukan jenis yang ramah mesra dan pandai berbual. Karla tahu Arman ni jenis macam mana. Sepatah dia tanya sepatahlah dia jawab.
“ I heard about the demonstration against your new project in Sarawak. Everything okay on your side ? ”
Arman mengeluh perlahan. Dia bukan satu-satunya syarikat yang mengepalai projek tersebut. Ia adalah usahasama dengan dua lagi syarikat dan projek tersebut adalah apa yang dimahukan oleh kerajaan. Mereka hanya membida untuk pembinaan dan penyelenggaraan. Mereka bukan independent power provider (IPP) untuk projek tersebut.
“ Its still going. Didn’t hear anything back from the government. So I assume it’s positive.”
“ That’s good. Hopefully it turns out well. ”
Arman urut dahi sendiri. Bimbang kalau projek kali ini dibatalkan seperti projek nuclear power plant dan incineration power plant. Urusan projek besar sebegini kadang lebih banyak menggunakan modal awal yang besar. Ada pelaburan yang menjadi, ada yang membuatkan akaun mereka lebih susut. Yang lebih teruk, apabila projek dibatalkan sedangkan wang sudah banyak dihabiskan.
“ Yeah, if it is cancelled they will have to pay us compensation. We are prepared, don’t worry but thank you for your concern anyway. ”
Karla ketawa perlahan. Arman…Arman… tak pernah tidak bersedia. Sangat teliti orangnya. Muka kacak, badan segak, duit banyak tapi sayangnya bukanlah seorang yang mesra dan mudah didekati. Mungkin itu sebabnya Arman masih lagi bujang hingga sekarang.
“ You never changed Arman. Always prepared. Anyway, I’m meeting Tan Sri Daud Marican, isterinya Puan Sri Khaleeda and Didi tonight. If you want to join ? ”
“ Meeting for ? ”
“ Hmmmm Arman, jumpa-jumpa je…borak-borak… Come on. Once in awhile bersosial la sikit. You tak bosan ke kerja je setiap masa. Malam Jumaat macam ni orang lain keluar bersosial…”
Karla memang tak faham dengan Arman. Harta sudah bertimbun tapi kerja macam esok dia akan hilang segalanya. Walhal dengan apa yang ada Arman mampu untuk terus bersara. Setahu dia harta Arman boleh tanggung 7 keturunan.
Arman senyum. Buat apa bersosial macam tu kalau tak ada tujuan yang penting. Dunia perniagaan…dia sudah masak sangat. Tak semua ahli perniagaan benar-benar tulus bekerja. Ada yang jenis memberi rasuah, ada juga yang pakar dalam scamming people, ada yang bermewah tapi hutang bank bertimbun. Tak semua yang kelihatan mewah itu punyai wang yang banyak. Pada dia, dia lebih senang dengan caranya sendiri. Dia hanya keluar apabila ada urusan rasmi. Dia juga masih lagi senang dengan seluar jeans Levi’s dan kemeja tanpa jenama tertentu asalkan ianya selesa dipakai. Kereta pun hanya tiga, satu Range Rover Vogue, satu Vellfire dan satu Myvi. Dia orang yang simple dan semua yang dia ada kini bukan kerana dia gilakan kemewahan. Berniaga dan mencari wang adalah keperluan padanya dulu, satu keperluan untuk terus hidup. Kemudian dia berjaya mencari wang atas misi dan minat peribadi. Kerja bagaikan satu hobi padanya sekarang. Bonusnya, dia perolehi wang. “ Its okay Karla. Maybe one day I would, but now I nak pergi gim, mandi, solat and sekarang ni stok market di USA tengah menggila. I have my playground tonight.”
Karla tahu Arman sangat serius dalam jual beli saham. Dia sendiri tidak berapa faham. Yang dia tahu, pasaran saham akan dibuka pada waktu pejabat negara tersebut. Kalau USA, maknanya dari pukul 10.00 malam sehingga pukul 5.00 pagi. Sewaktu awal-awal dia kenal Arman dulu, memang dia sendiri tak sangka Arman punyai harta kekayaan sebegitu. Kalau tidak kenal Arman, tak akan tahu yang orangnya sangat berharta. Dia kenali Arman pun melalui arwah suaminya. Dalam diam Arman punyai ratusan juta ringgit di Malaysia dan banyak lagi harta di luar negara. Orangnya sangat simple. Pakai pun tak ada yang berjenama mewah. Kereta pun dia biasa gunakan kereta Myvi kalau setakat nak ke kedai mamak malam-malam. Kalau ada urusan penting atau terpaksa ke negeri lain barulah dia akan gunakan Range Rover atau Vellfire.
“ Okay Arman. Talk to you soon. ”
“ Will do Karla. Send my regards to you sons Omar and Ali. ”
Karla ketawa senang apabila Arman ambil berat pada anak-anaknya. Omar dan Ali sangat sukakan Arman. Arman yang banyak tolong sewaktu suaminya mengalami krisis dengan syarikatnya dulu. Arman juga yang banyak membantu selepas suaminya meninggal sehinggalah dia mampu menguruskan perniagaan suaminya sendiri. Anak-anaknya masih muda. Keduanya masih lagi berada di sekolah menengah dan universiti. Bila Omar habis universiti bolehlah tolong dia uruskan perniagaan nanti. Kurang sikit beban dia di pejabat.
“ Will do Arman. Thank you. Have a good night. ”
“ You too. Assalamualaikum.. ”
Talian dia matikan belum sempat Karla menjawab salam. Dia sudah lambat untuk ke gim. Pasal pasaran saham tu dia temberang sahaja. Niatnya nak mengelat dari keluar ‘bersosial’ dengan Karla. Lagipun dia terasa agak canggung apabila Karla mula menaruh hati pada dia sedangkan Karla dia sudah anggap seperti adik beradiknya sendiri. Karla adalah isteri arwah kawannya yang dia sudah anggap seperti abangnya sendiri. Arman turun ke aras bawah. Ada bilik Razak di aras itu. Razak yang uruskan perihal rumah itu, Razak jugalah yang jadi pemandunya. Razak ada rumah sendiri, kadang – kadang Razak bermalam di rumahnya kalau ada kerja sehingga lewat malam tapi kebiasaannya dia akan bermalam di rumahnya syarikat. Dia ada belikan rumah untuk kegunaan syarikat. Senang apabila pekerjanya yang bertugas di negeri lain datang ke Kuala Lumpur untuk mesyuarat, mereka boleh tinggal di situ sahaja.
Mak Cik Dian dan Pak Cik Abu pun hanya datang waktu pejabat. Dia sendiri tidak selesa ada perempuan di rumahnya. Dia lebih senang bersendirian. Mak Cik Dian biasanya sediakan sarapan, makan tengah hari dan makan malamnya, dan akan mengemas apa yang patut. Pak Cik Abu pula ditugaskan menjaga kebunnya di beranda dan di dalam rumah. Pak Cik Abu hanya datang tiga kali seminggu.
“ Arman ada apa – apa lagi tugasan untuk saya hari ni ? ” tanya Mak Cik Dian apabila nampak kelibat Datuk Arman yang sedang menuruni anak tangga. “ Jus sayur tu mak cik letak dalam peti sejuk, macam biasa. Makan malam pun dah mak cik dah hidang atas meja.”
“ Okay, terima kasih. Mak cik boleh balik la kalau nak balik . Tak ada apa-apa tugasan lagi untuk hari ni. Esok awak datang petang sikit untuk sediakan makan malam je. ”
“ Okay Arman. Terima kasih. Mak Cik balik balik dulu la ye. ”
Arman angguk “ Okay. Razak ada dalam bilik dia ? ”
“ Rasanya ada di beranda tu. ” Mak Cik Dian mencapai beg dan topi keledar sebelum bergegas turun. Hari Jumaat macam ni dia tak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Ini pun mujurlah jarak dari kondominium bosnya dengan rumahnya di Segambut tidaklah jauh mana. Lagipun anaknya yang datang mengambilnya sudah ada menunggu di luar kondominium.
Arman ke beranda. Razak tekun bekerja di meja bar mengadap kolam renang. Dia sedang menaip sesuatu di komputer ribanya.
“ Razak, esok saya drive sendiri nanti. Jumpa awak dengan Daniel esok di Wisma. ”
“ Eh, Datuk… Sorry saya tak perasan tadi. ”
Arman datang mendekati Razak. Dia mengambil duduk di kerusi tinggi di meja bar. Matanya melilau mencari sesuatu sebelum dia teringat yang Mak Cik Dian sudah balik. Kalau tak boleh dia minta Mak Cik Dian buatkan jus buah untuk dia dan Razak.
“ Tak apa. Tanah di Raub tu ada update? ” soal Arman santai. Anak matanya melilau ke pemandangan kotaraya Kuala Lumpur. Bangunan KLCC sayup mata memandang. Dia pernah tinggal di tengah Kuala Lumpur, berhadapan dengan KLCC. Bising dengan bunyi trafik dan tidak sehijau Mont Kiara. Dia lebih selesa di Mont Kiara. Kawasannya mesra pejalan kaki.
“ Ni Datuk. ” Razak suakan komputer ribanya pada Arman. Tertera peta kawasan tanah di situ.
“ 100 ekar ? ”
“ Ya. Semua urusan saya dah selesaikan. ”
“ Good. Bila boleh masuk hutan untuk tengok kawasan ? ”
Razak telan liur. Sejak ada teman wanita ni, kalau boleh dia tak mahu ke sana waktu hujung minggu.
“ Saya contact ranger hutan kat sana dulu, kemudian saya konfemkan dengan Datuk secepat mungkin. ”
“ Next week Monday bagi update. Sebelum tu tanya Yeoh dulu bila dia free. Jadualkan supaya all three of us boleh pergi sekali. ”
“ Okay Datuk. ” Razak tulis dalam PDA. “ Anything else before saya balik ? ”
“ Kamu dah cancel golf session saya esok ? ”
“ Dah. ”
“ Ok, nothing else. I will see you tomorrow. ”
Razak sorokkan senyuman dalam hatinya. Jarang-jarang dia dapat balik awal macam ni. Laju – laju Razak kemaskan barang sebelum bos dia tukar fikiran baik dia cabut cepat-cepat !
-----------------------------------------------Note: I am still a bit confuse dengan Datuk Arman figure. Sometimes I see him as Remy Ishak, sometimes Bryan Randall, sometimes Brad Pitt/ Ian / Ashton and maybe a mix of all of them. Its interesting how well Ashton and Ian aged. They are both 41 years old. I have to make sure my husband age well too. So do I !
I will update some more later.
your LIKE is my motivation, thank you ;) and press LIKE of you want MORE too :)
“ Tuan, Mat Dan despatch dari HQ datang untuk hantar dokumen yang Tuan nak tadi. Dia ada kat bawah. ”
Datuk Ir. Arman berhenti dari menaip. Pandangannya dialihkan kepada Razak yang berdiri di hadapan pintu masuk bilik pejabatnya. Dokumen ada di tangannya. Datuk Arman tunduk dan memberikan signal dengan tangannya supaya dokumen tersebut diberikan kepadanya. Razak menurut. Dokumen dalam sampul dicapai oleh Datuk Arman. Dibaca dengan teliti. “ Panggil Mat Dan naik. ”
Berkerut wajah Razak. Biasanya Datuk Arman tidak pernah nak berjumpa dengan staff lain. “Okay Datuk. Saya panggil sekarang. ” Laju dia melangkah keluar. Apabila pintu ditutup terus dia berlari laju turun ke aras bawah. Mengah dia dibuatnya. Ya lah, takut Mat Dan dah tinggalkan perkarangan rumah !
Panggil Mat Dan ! Panggil ! ” Laung Razak kepada pembantu rumah dan penjaga kebun yang berdiri di perkarangan rumah. Di kawasan kolam renang yang berhadapan dengan tangga ke aras atas. Terpinga-pinga mereka tengok Razak.
“ Panggil Mat Dan lah ! ” Pekik Razak kali kedua. Bengang wajahnya apabila Mak Cik Dian dan Pak Abu buat dek je bila dia suruh panggil Mat Dan. Nak kata tak faham bahasa, rasanya dua - dua orang melayu.
Terkebil-kebil Mak Cik Dian dan Pak Abu memandang Razak yang berdiri depan tangga utama ke aras atas. Di belakangnya berdiri Mat Dan. Mak Cik Dian angkat tangan. Ditunjukkan kepada Mat Dan yang turut terpinga-pinga memandang gelagat Razak.
“ Apa ? Orang cakap panggil Mat Dan. ” muka Razak bengis bercampur geram.
“ Er… Encik Razak.” Mat Dan cuit Razak dari belakang.
“ Oh Ya Allah ! Terkejut mak kau ! ” terlompat Razak bila tiba-tiba ada orang cuit dari belakang. Ingatkan apa lah tadi rupa-rupanya si Mat Dan dok tercegat di belakang dia. Mamat ni pun satu, kalau tahu orang panggil dia macam nak gila tu kenapa tak jawab awal-awal? Tak pasal-pasal malu pula dia bila melatah macam tu.
“ Kau ni Mat Dan, kenapa tak sahut aku panggil. Yang kau dok tegak macam pokok belakang aku ni kenapa ??? ”
Mat Dan senyum serba salah. Kepalanya digaru perlahan walaupun tak gatal. “ Er… Saya dalam tandas tadi… Ingatkan kenapa Encik Razak cemas-cemas macam ni.”
‘ Nak melepas pun terbantut…’ sambung Mat Dan dalam hati.
“ Isk kau ni…. Dah, ikut aku naik atas. Bos nak jumpa. ”
Mat Dan sengih serba salah. Dia mengekori Razak dari belakang. Mata melilau memandang sekeliling rumah. Rumah penthouse di kondominium mewah. Siap ada dua tingkat lagi. Di luarnya ada kolam renang dan taman bunga. Hiasan dalamannya gaya moden mewah. Dari tangga aras satu dia dapat m elihat ruang tamu dengan cermin penuh mengadap kolam renang. Sekelilingnya dihiasi dengan taman yang mendamaikan. Hmmm…Kalaulah ini rumah dia kan bagus ? Sambil berjalan sempat dia berangan. Kalau dia jadi Datuk Arman, pasti dia berbini 4. Orang kata, lelaki kalau mampu apa salahnya? Tapi sedari tadi dia dok intai-intai dari bawah sampai ke atas tak ada pula gambar perempuan mana-mana. Hatta gambar keluarga pun tak ada….
“ Mat Dan, bos panggil masuk. ” Suara Razak mematikan lamunan Mat Dan. Tercegat Razak pandang dia dengan wajah serius. Razak dengan bos sama je, dua-dua serius je memanjang.Razak bukakan pintu. Mat Dan membolos masuk. Lagaknya santai. Dia bukan pandai nak serius macam Datuk Arman dan Razak. Sempat lagi dia memerhatikan ruang pejabat Datuk Arman. Luas. Apabila masuk sahaja meja ofis Datuk Arman berada di sebelah kanan, mengadap pintu masuk adalah dinding kaca begitu juga dengan dinding sebelah kiri. Rak- rak buku memenuhi dinding batu. Sofa di tengah ruang dengan konsep minimalist. Ada beberapa pokok kaktus dan orkid di ruang bilik. Satu bilik ni dah macam dua bilik rumah dia. Dinding yang diperbuat dari cermin kaca membolehkan mereka melihat pemandangan bangunan-bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur termasuklah bangunan ikonik KLCC dan KL Tower. Dari jauh Kuala Lumpur nampak kecil sahaja… Dari dinding kiri pemandangan hutan hijau sangat menenangkan. Patutlah bos suka buat kerja di rumah… Fikir Mat Dan dalam hati.
“ Ya, bos ? ” Puas matanya melilau ke kesuluruhan bilik akhirnya jatuh pada wajah bosnya. Lelaki yang selalu sibuk. Di mejanya bukan setakat ada dua monitor, malah 4! Tak cukup dengan itu, ada satu TV LCD di dinding yang mengadap meja Datuk Arman. Terpapar skrin yang memaparkan pasaran stok semasa. Siap dengan graf bagai. Dah macam broker saham. Tapi memang Datuk Arman banyak juga buat trading dalam stock market dan investment dalam syarikat dan hartanah. Itu yang dia dengar-dengar lah. Dia sangkakan biasa-biasa sahaja, rupanya memang serius gayanya. Malu pula dia pada lelaki di hadapannya itu. Dalam usia 41 tahun Datuk Arman dah punyai semua ini. Dia pula sudahpun mencecah 30 tahun tapi masih macam ni. Rugi dia tak belajar bersungguh-sungguh dulu.
“ Zaleha cakap awak ada jumpa dengan orang yang buat demonstrasi, betul ? ”
“ Ada bos. Saya dah beritahu Kak Leha semua maklumat. ”
Wajah Arman masih serius. Dia tekun memandang skrin monitor sebelum mengalihkan skrin menghala pada Mat Dan. “ Yang ni pengerusi ? Betul ? ”
Dr Eve Alvina Terpempan wajah Dr Eve Alvina di situ. Orangnya tinggi lampai. Rambut ikal mayang… Macam model. Itulah gadis cantik yang lantang bersuara mengetuai demonstrasi. Mat Dan mengangguk gusar. Serba salah pula dia kalau-kalau bosnya nak saman mereka ke ? Dia bersuara perlahan, “ Saya ada cakap-cakap dengan dorang… Katanya dia nak educate masyarakat mengenai kesan buruk terhadap ekosistem bos, bukan nak condemn ke apa… Cuma nak pemaju tahu dan buat perancangan untuk mengurangkan kesan negatif terhadap habitat hutan dara.”
Arman angguk lagi. Tak bersuara. Sikap pendiam Arman kadang-kadang buat pekerjanya gusar. Mat Dan menambah lagi apabila bosnya masih berdiam diri.
“ Erm… dorang ada bagi flyers ni bos… ” Mat Dan menghulurkan flyers kepada Arman. “Sabtu ni ada talk free untuk siapa-siapa yang berminat nak tahu lebih lanjut mengenai impak empangan terhadap alam sekitar dan cara mengurangkan kesan negatif tu.. ”
Arman pandang Mat Dan penuh minat. Menarik juga. Daripada bacaan dia pun nampak macam orang-orang yang berpengetahuan.
“ Kat mana talk tu ? ” Tanya Arman pendek.
“ Dorang cakap nanti dia email. ”
“ Awak bagi email awak ke tadi ? ”
Mat Dan angguk. Alamak, dia siap masuk jadi ahli lagi ! Kalau bos tahu habislah…
“ Semua orang boleh datang ? ”
“ Er… rasanya lah… ”
“ Bila mereka emailkan tempat, beritahu saya atau Razak. ” Pendek dan mendatar sahaja suara Arman.
Mat Dan angguk serba salah… “ Ya bos… ”
“ Razak ! ” Panggil Arman kuat. Mat Dan berdebar. Kenapa pula bos dia ni panggil Razak kuat macam tu ? Marah pada dia ke? Razak terus menyahut dari luar dan membuka pintu sebelum memasuki ruang pejabat. “ Tolong kosongkan jadual hari Sabtu dan ingatkan saya serta Mat Dan ni untuk update kita tentang talk dari pihak demonstrasi. Katanya hari Sabtu, tapi tak tahu pukul berapa dan di mana lagi. Nanti dorang akan email pada Mat Dan.”
“ Bos nak pergi ke ? ” Tanya Razak serius. Wajahnya nampak keliru.
“ Mmm ya. Disguise as a public person je. ”
“ Nanti dorang tahu bos dari GCI Energy macam mana ? ” tanya Mat Dan gusar.
“ Kalau ya mereka tahu pun, apa salahnya ? Itu tujuan mereka buat demonstrasi kan? Nak pemaju tahu kesan empangan terhadap eko sistem dan cara untuk kurangkan impak negatif ? Tapi kita low profile je nanti. Bukan nak buat hal, nak dengar. ”
Mat Dan angguk bersetuju. Harapannya tak adalah Arman nak bawa gangster ke, atau nak buat kecoh ke… Dia dahla berkenan dengan Orkid. Kalau hari tu nanti dia terpaksa pilih antara Orkid dan bos dia ? Di antara mata pencarian dan mata air… Hmmm… Macam mana?
“ Awak pun datang sekali Razak. ” Pesan Arman mendatar. Pandangannya terus ke mata si Razak yang sedang berbelah bahagi. Dia ada date la hari tu ! Sampai bila dia nak sibuk macam ni ?? Dah sepuluh orang awek tinggalkan dia sebab dia tak ada masa untuk mereka. Baru je nak ada peluang dengan awek baru episode sibuk memanjang kembali lagi. Biasanya kalau Arman ke luar negara kurang sedikit sibuk dia di Malaysia. Kalau Arman minta dia ikut sekali memang kerja, kerja, dan kerja ajelah… Umur dia pun dah 35 tahun! Tak mahulah dia jadi anak teruna tua macam Arman.
“ Saya… ada hal bos. ” Suara Razak kedengaran serba salah.
Pandangan Arman yang kasual berubah jadi tajam. Macam pandangan serigala jadian yang sedang memburu mangsa. Pandangan yang buat Mat Dan tiba-tiba rasa seram. Memang betul kata Kak Zaleha , Datuk Ir Arman memang garang orangnya!
Razak tahan nafas bila jelingan maut diterima. Liurnya ditelan payah. “ Er…. Tak apa, saya alihkan ke hari lain. ” cepat-cepat Razak manambah sebelum bos garangnya itu mengeluarkan kata-kata pedas atau yang paling ngeri kalau perkataan “ You are fired ” yang keluar. Haru dia. Dahlah kereta pun guna kereta syarikat, rumah pun rumah syarikat. Merempat dia nanti. “ Okay, terima kasih. Jumpa awak dan Daniel hari Sabtu ni. ”Arman angguk perlahan sebelum matanya kembali ke skrin komputer. Suaranya masih mendatar seperti kebiasaan. Dia memberikan isyarat tangan supaya mereka beredar.
******************
Usai pintu bilik pejabat Datuk Arman ditutup terus Mat Dan melepaskan nafas lega. Baru je mesyuarat 20 minit dengan Datuk Arman dah pun buat dia sesak nafas. Patutlah Kak Zaleha takut sangat dengan bos. Dia pandang Razak yang nampak tenang di tepi.
“ Bos selalu macam tu ke ? ” Soal Razak perlahan. Hampir berbisik.
Razak turuni tangga. Mat Dan menurut. Apabila jauh sedikit baru dia bersuara.
“ Macam tu la, macam mana lagi ? ” Jawab Razak garang.
Mat Dan sengih serba salah. Dua – dua sama sahaja. Mood tak menentu. Patutlah sampai sekarang tak berbini. Perempuan mana yang nak kalau garang macam tu ? Mat Dan diamkan diri sampailah di muka pintu Razak hulur sebatang rokok pada dia. Mat Dan pandang tak terkata.
“ Saya hisap vape Encik Razak. ” Mat Dan sengih. Muka serba salah.
Razak angguk perlahan. Wajahnya nampak stress. Apabila keluar dari muka pintu rumah , terus Razak menyalakan puntung rokok. Anak matanya memandang langit di luar jendela. Mengelamun.
“ Fikir apa tu Encik Razak ? ” Mat Dan dengan muka tak malu bertanya. Dah perangai dia selamba macam tu. Razak alihkan pandangan ke wajah Mat Dan.
“ Fikir hal dunia. ” Sepatah dia jawab. Lama kemudian dia menambah. “ Kau dah kahwin?”
“ Belum Encik Razak. Tak cukup duit lagi nak pinang anak dara orang. ” Mat Dan sengih. Dia bangun setelah siap memakai kasut.
Razak berfikir pasal dirinya. ‘Duit ada tapi masa pula yang tak ada. Mungkin tak cukup kaya. Kalau dah kaya sangat nanti tak perlu lah dia bekerja macam sekarang. Perempuan pun bertenggek je datang nanti asalkan ada kereta mewah, ada rumah besar, ada wang berlonggok dalam bank.’ Monolog Razak dalam hati. Cuba sedapkan hatinya sendiri. Di kampung tu sampaikan mak ayah dia ingat dia ni tak minat pada perempuan. Dia bukan golongan kaum lut yang Allah tak suka. Dia normal. Cuma masanya sahaja yang tak ada! Asal balik kampung aje adalah yang bertanya pelik-pelik. Berang juga dia.
Melihatkan Razak yang masih termenung jauh, Mat Dan menambah. “ Encik Razak dah kahwin ke? ” Soal dia pada Razak, berpura-pura tak tahu. Walhal dia tahu sangat, Datuk Arman dengan Razak ni dua-dua anak teruna tua.
Razak sedut asap rokok sebelum menghembuskannya ke udara.
Mat Dan tahan nafas. Sudah lama dia tidak merokok. Sejak dia gunakan vape untuk menggantikan rokok, asap rokok pun dia sudah tak tahan. Berbanding rokok, vape tiada bau tar. Tar itulah yang rosakkan paru-paru.
“ Nak kahwin macam mana, aku nak dating esok pun dah kena block dengan bos. ” beritahu Razak dalam nada tak puas hati. Garu kepada dia, macam mana nak terangkan pada Nina nanti ? Dia baru sahaja kenal gadis itu. Orangnya stylish, cantik dan diminati ramai. Dia kenal pun di Kelab Havana. Dia biasa ke sana waktu hujung minggu.
“ Tunda dating waktu malam tak bolehke Encik ? Ceramah tu rasanya tak adalah sampai ke malam. Kalau sampai ke malam tu gayanya dah macam camping. ”
Razak jeling Mat Dan. Mat Dan telan liur.
“ Kau cuba konfem awal-awal dengan penganjur tak boleh ke?
Boleh aku beritahu makwe aku tu awal-awal. ”
Pandangan Razak yang semacam tegangnya itu buatkan Mat Dan serba salah. Dia garu kepala lagi sekali. Penat betullah kerja dengan dua orang yang muka asyik tegang je ni. Serius je memanjang. “ Saya cubalah Encik Razak. ”
“ Tak ada ke contact? ”
Mat Dan fikir lama. Hah! Nasib baik ada kad perniagaan lelaki yang dia bercakap tadi.
“ Ada…ada…”
“ Call sekarang. ” Arah Razak mendatar. Mat Dan senyum serba salah. Kad perniaagaan lelaki tadi dia cari dari kocek seluar. Minta-mintalah ada. Kalau tak, mampos. Kad perniagaan tertera nama Adam dan nombor telefon pejabatnya. Tak ada pula nombor telefon bimbit…. Mat Dan dail juga nombor tersebut. Tak lama telefon berbunyi, ia terus diangkat. Suara seorang perempuan.
“ Hello. Firma Arkitek Hassan Seni. ”
“ Er… Hello… Encik Adam ada ? ”
“ Oh… Encik Adam tak ada di pejabat hari ni. ”
“ Oh… Er… Dia ada organise ceramah Sabtu ni kan ? Boleh saya tahu pukul berapa ? ”
“ Ceramah berkenaan empangan ke ? ”
“ Ha, ya ! ” Mat Dan sengih lebar apabila suara ditalian tahu berkenaan ceramah tersebut.
“ Dari pukul 10.00 pagi sampai 1.30 tengah hari. ”
“ Okay, terima kasih ya. Boleh saya tahu kat mana ? ”
“ Di Wisma Seni tapi bilik mana tu nanti kita konfemkan melalui email ya. ”
Mat Dan sengih lagi. “ Ya.. ya.. okay. Terima kasih. ” Talian dia matikan.
“ Pukul 10.00 pagi sampai pukul 1.30 tengah hari Encik Razak.” Beriya Mat Dan beritahu Razak.
Razak senyum. Putung rokok masih di tangan. Dia tepuk bahu Mat Dan, “ Good job ! Aku update Datuk la lepas ni. ”
“ Selamat sesi dating Encik Razak. ” Mat Dan sempat berseloroh.
Razak sengih, “ ”Mestilah…Selamat aku. ”
***********************
Jam di dinding diperhatikan oleh Arman. Sibuk bekerja dia lupa akan waktu. Sudah pukul 5.00 petang. Dia bangun menggeliat. Membetulkan tulang dan urat yang sudah seharian mengadap skrin dan dokumen. Dia hanya berhenti untuk makan tengah hari dan solat.
Arman berjalan mendekati dinding cermin mengadap kota raya. Dari atas dia dapat melihat manusia yang bersesak di jalan raya. Waktu macam ni, jalan sesak. Manusia hidup bagaikan ‘rat race’ yang mengulangi kerja harian sedari awal pagi dan pulang lewat petang. Dia imbas kembali dirinya 20 tahun lepas. Sewaktu dirinya baru sahaja bergelar graduan fakulti kejuruteraan dari Universiti Malaya. Sewaktu sedang belajar dia sudah bekerja sambilan di restoran untuk menampung perbelanjaan harian. Apabila akhir tahun, dia mula berjinak-jinak dengan perniagaan. Jual apa sahaja yang halal untuk mendapatkan wang. Tambah pula tahun akhir mereka perlu melakukan praktikal di syarikat kejuruteraan atau bidang yang berkaitan. Pelajar praktikal biasanya tidak diberikan wang gaji yang banyak oleh syarikat yang mengambil mereka. Padan dengan RM 500 ringgit sebulan. Kos untuk berulang alik ke pejabat, makan tengah hari dan pakaian pejabat pun sudah lebih dari itu. Sebagai anak yatim dan ibunya pula sudah lama menghilangkan diri, terpaksalah dia berusaha sendiri untuk segalanya, tapi dia bersyukur. Kalau tidak kerana situasi dia yang susah dulu, dia mungkin tidak akan berusaha kuat untuk berada pada kedudukan sekarang.
‘ Kring…kring…’
Bunyi telefon mematikan lamunannya. Skrin telefon diperhatikan terlebih dahulu sebelum menjawab panggilan. Tertera nama ‘Karla’ di skrin telefon. Lama dia memandang skrin telefonnya. Serba salah samada untuk menjawab panggilan ataupun tidak. Karla adalah teman yang dia kenali melalui perniagaan. Seorang yang tegas dalam berniaga, anak orang berada dan baru sahaja kematian suami beberapa tahun lepas. “ Hi, assalamualaikum… ”
“ Waalaikummussalam wbt… ” salam dari Arman Karla jawab dalam nada lemah lembut. Itu yang dia suka dengan Arman. Orangnya simple, penuh ilmu dan boleh dipercayai. Dia selalu mengajak Arman keluar minum tapi Arman selalu sahaja ada alasan untuk menolak. Dia hanya datang kalau ianya berkaitan dengan kerja.
“ You sihat Arman ? ”
“ Ya.. Alhamdulillah… Ada apa you call ? ”
“ Saja… tanya khabar… ”
Arman diam lagi. Dia bukan jenis yang ramah mesra dan pandai berbual. Karla tahu Arman ni jenis macam mana. Sepatah dia tanya sepatahlah dia jawab.
“ I heard about the demonstration against your new project in Sarawak. Everything okay on your side ? ”
Arman mengeluh perlahan. Dia bukan satu-satunya syarikat yang mengepalai projek tersebut. Ia adalah usahasama dengan dua lagi syarikat dan projek tersebut adalah apa yang dimahukan oleh kerajaan. Mereka hanya membida untuk pembinaan dan penyelenggaraan. Mereka bukan independent power provider (IPP) untuk projek tersebut.
“ Its still going. Didn’t hear anything back from the government. So I assume it’s positive.”
“ That’s good. Hopefully it turns out well. ”
Arman urut dahi sendiri. Bimbang kalau projek kali ini dibatalkan seperti projek nuclear power plant dan incineration power plant. Urusan projek besar sebegini kadang lebih banyak menggunakan modal awal yang besar. Ada pelaburan yang menjadi, ada yang membuatkan akaun mereka lebih susut. Yang lebih teruk, apabila projek dibatalkan sedangkan wang sudah banyak dihabiskan.
“ Yeah, if it is cancelled they will have to pay us compensation. We are prepared, don’t worry but thank you for your concern anyway. ”
Karla ketawa perlahan. Arman…Arman… tak pernah tidak bersedia. Sangat teliti orangnya. Muka kacak, badan segak, duit banyak tapi sayangnya bukanlah seorang yang mesra dan mudah didekati. Mungkin itu sebabnya Arman masih lagi bujang hingga sekarang.
“ You never changed Arman. Always prepared. Anyway, I’m meeting Tan Sri Daud Marican, isterinya Puan Sri Khaleeda and Didi tonight. If you want to join ? ”
“ Meeting for ? ”
“ Hmmmm Arman, jumpa-jumpa je…borak-borak… Come on. Once in awhile bersosial la sikit. You tak bosan ke kerja je setiap masa. Malam Jumaat macam ni orang lain keluar bersosial…”
Karla memang tak faham dengan Arman. Harta sudah bertimbun tapi kerja macam esok dia akan hilang segalanya. Walhal dengan apa yang ada Arman mampu untuk terus bersara. Setahu dia harta Arman boleh tanggung 7 keturunan.
Arman senyum. Buat apa bersosial macam tu kalau tak ada tujuan yang penting. Dunia perniagaan…dia sudah masak sangat. Tak semua ahli perniagaan benar-benar tulus bekerja. Ada yang jenis memberi rasuah, ada juga yang pakar dalam scamming people, ada yang bermewah tapi hutang bank bertimbun. Tak semua yang kelihatan mewah itu punyai wang yang banyak. Pada dia, dia lebih senang dengan caranya sendiri. Dia hanya keluar apabila ada urusan rasmi. Dia juga masih lagi senang dengan seluar jeans Levi’s dan kemeja tanpa jenama tertentu asalkan ianya selesa dipakai. Kereta pun hanya tiga, satu Range Rover Vogue, satu Vellfire dan satu Myvi. Dia orang yang simple dan semua yang dia ada kini bukan kerana dia gilakan kemewahan. Berniaga dan mencari wang adalah keperluan padanya dulu, satu keperluan untuk terus hidup. Kemudian dia berjaya mencari wang atas misi dan minat peribadi. Kerja bagaikan satu hobi padanya sekarang. Bonusnya, dia perolehi wang. “ Its okay Karla. Maybe one day I would, but now I nak pergi gim, mandi, solat and sekarang ni stok market di USA tengah menggila. I have my playground tonight.”
Karla tahu Arman sangat serius dalam jual beli saham. Dia sendiri tidak berapa faham. Yang dia tahu, pasaran saham akan dibuka pada waktu pejabat negara tersebut. Kalau USA, maknanya dari pukul 10.00 malam sehingga pukul 5.00 pagi. Sewaktu awal-awal dia kenal Arman dulu, memang dia sendiri tak sangka Arman punyai harta kekayaan sebegitu. Kalau tidak kenal Arman, tak akan tahu yang orangnya sangat berharta. Dia kenali Arman pun melalui arwah suaminya. Dalam diam Arman punyai ratusan juta ringgit di Malaysia dan banyak lagi harta di luar negara. Orangnya sangat simple. Pakai pun tak ada yang berjenama mewah. Kereta pun dia biasa gunakan kereta Myvi kalau setakat nak ke kedai mamak malam-malam. Kalau ada urusan penting atau terpaksa ke negeri lain barulah dia akan gunakan Range Rover atau Vellfire.
“ Okay Arman. Talk to you soon. ”
“ Will do Karla. Send my regards to you sons Omar and Ali. ”
Karla ketawa senang apabila Arman ambil berat pada anak-anaknya. Omar dan Ali sangat sukakan Arman. Arman yang banyak tolong sewaktu suaminya mengalami krisis dengan syarikatnya dulu. Arman juga yang banyak membantu selepas suaminya meninggal sehinggalah dia mampu menguruskan perniagaan suaminya sendiri. Anak-anaknya masih muda. Keduanya masih lagi berada di sekolah menengah dan universiti. Bila Omar habis universiti bolehlah tolong dia uruskan perniagaan nanti. Kurang sikit beban dia di pejabat.
“ Will do Arman. Thank you. Have a good night. ”
“ You too. Assalamualaikum.. ”
Talian dia matikan belum sempat Karla menjawab salam. Dia sudah lambat untuk ke gim. Pasal pasaran saham tu dia temberang sahaja. Niatnya nak mengelat dari keluar ‘bersosial’ dengan Karla. Lagipun dia terasa agak canggung apabila Karla mula menaruh hati pada dia sedangkan Karla dia sudah anggap seperti adik beradiknya sendiri. Karla adalah isteri arwah kawannya yang dia sudah anggap seperti abangnya sendiri. Arman turun ke aras bawah. Ada bilik Razak di aras itu. Razak yang uruskan perihal rumah itu, Razak jugalah yang jadi pemandunya. Razak ada rumah sendiri, kadang – kadang Razak bermalam di rumahnya kalau ada kerja sehingga lewat malam tapi kebiasaannya dia akan bermalam di rumahnya syarikat. Dia ada belikan rumah untuk kegunaan syarikat. Senang apabila pekerjanya yang bertugas di negeri lain datang ke Kuala Lumpur untuk mesyuarat, mereka boleh tinggal di situ sahaja.
Mak Cik Dian dan Pak Cik Abu pun hanya datang waktu pejabat. Dia sendiri tidak selesa ada perempuan di rumahnya. Dia lebih senang bersendirian. Mak Cik Dian biasanya sediakan sarapan, makan tengah hari dan makan malamnya, dan akan mengemas apa yang patut. Pak Cik Abu pula ditugaskan menjaga kebunnya di beranda dan di dalam rumah. Pak Cik Abu hanya datang tiga kali seminggu.
“ Arman ada apa – apa lagi tugasan untuk saya hari ni ? ” tanya Mak Cik Dian apabila nampak kelibat Datuk Arman yang sedang menuruni anak tangga. “ Jus sayur tu mak cik letak dalam peti sejuk, macam biasa. Makan malam pun dah mak cik dah hidang atas meja.”
“ Okay, terima kasih. Mak cik boleh balik la kalau nak balik . Tak ada apa-apa tugasan lagi untuk hari ni. Esok awak datang petang sikit untuk sediakan makan malam je. ”
“ Okay Arman. Terima kasih. Mak Cik balik balik dulu la ye. ”
Arman angguk “ Okay. Razak ada dalam bilik dia ? ”
“ Rasanya ada di beranda tu. ” Mak Cik Dian mencapai beg dan topi keledar sebelum bergegas turun. Hari Jumaat macam ni dia tak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Ini pun mujurlah jarak dari kondominium bosnya dengan rumahnya di Segambut tidaklah jauh mana. Lagipun anaknya yang datang mengambilnya sudah ada menunggu di luar kondominium.
Arman ke beranda. Razak tekun bekerja di meja bar mengadap kolam renang. Dia sedang menaip sesuatu di komputer ribanya.
“ Razak, esok saya drive sendiri nanti. Jumpa awak dengan Daniel esok di Wisma. ”
“ Eh, Datuk… Sorry saya tak perasan tadi. ”
Arman datang mendekati Razak. Dia mengambil duduk di kerusi tinggi di meja bar. Matanya melilau mencari sesuatu sebelum dia teringat yang Mak Cik Dian sudah balik. Kalau tak boleh dia minta Mak Cik Dian buatkan jus buah untuk dia dan Razak.
“ Tak apa. Tanah di Raub tu ada update? ” soal Arman santai. Anak matanya melilau ke pemandangan kotaraya Kuala Lumpur. Bangunan KLCC sayup mata memandang. Dia pernah tinggal di tengah Kuala Lumpur, berhadapan dengan KLCC. Bising dengan bunyi trafik dan tidak sehijau Mont Kiara. Dia lebih selesa di Mont Kiara. Kawasannya mesra pejalan kaki.
“ Ni Datuk. ” Razak suakan komputer ribanya pada Arman. Tertera peta kawasan tanah di situ.
“ 100 ekar ? ”
“ Ya. Semua urusan saya dah selesaikan. ”
“ Good. Bila boleh masuk hutan untuk tengok kawasan ? ”
Razak telan liur. Sejak ada teman wanita ni, kalau boleh dia tak mahu ke sana waktu hujung minggu.
“ Saya contact ranger hutan kat sana dulu, kemudian saya konfemkan dengan Datuk secepat mungkin. ”
“ Next week Monday bagi update. Sebelum tu tanya Yeoh dulu bila dia free. Jadualkan supaya all three of us boleh pergi sekali. ”
“ Okay Datuk. ” Razak tulis dalam PDA. “ Anything else before saya balik ? ”
“ Kamu dah cancel golf session saya esok ? ”
“ Dah. ”
“ Ok, nothing else. I will see you tomorrow. ”
Razak sorokkan senyuman dalam hatinya. Jarang-jarang dia dapat balik awal macam ni. Laju – laju Razak kemaskan barang sebelum bos dia tukar fikiran baik dia cabut cepat-cepat !
-----------------------------------------------Note: I am still a bit confuse dengan Datuk Arman figure. Sometimes I see him as Remy Ishak, sometimes Bryan Randall, sometimes Brad Pitt/ Ian / Ashton and maybe a mix of all of them. Its interesting how well Ashton and Ian aged. They are both 41 years old. I have to make sure my husband age well too. So do I !
I will update some more later.
your LIKE is my motivation, thank you ;) and press LIKE of you want MORE too :)
Published on January 17, 2020 21:03
No comments have been added yet.
Evelyn Rose's Blog
- Evelyn Rose's profile
- 311 followers
Evelyn Rose isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.

