'SAAT AKU JATUH'
Kisah ISengaja aku duduk bersama mereka ini. Sengaja aku mahu mendengar perbualan mereka. Sesekali cuba memahami orang-orang sebegini, apa salahnya. Mungkin aku dapat mempelajari sesuatu darinya.
Mak Long sudah tua. Rasaku umurnya mungkin lebih dari 65 tahun. Gigi hadapannya tinggal sebatang. Namun, dia masih kuat. Setiap pagi aku memerhatinya menyapu jalan tar di hadapan rumahku yang dihiasi pokok-pokok kayu yang ditanam pihak majlis perbandaran.
Tepat jam sebelas pagi, dia akan duduk di bahu jalan sunyi itu, lalu membuka bekalannya. Biasanya dia akan menjamah nasi lemak berharga satu ringgit yang dibelinya dari kedai makan berhadapan dengan taman perumahan ini.
"Makan!" laungnya dari kejauhan tatkala nampak aku yang terbongkok-bongkok menyapu laman rumahku. Aku mengangguk dan tersenyum seperti kebiasaannya. Kebiasaannya juga, beberapa orang pak cik tukang sapu dan tukang cuci longkang yang sebaya dengan beliau akan berdiri di sekitar lalu mereka berbual-bual dengan suara yang agak kuat juga sehingga tertangkap di telingaku.
Diuliti keinginan untuk memahami kehidupan mereka ini, aku sesekali akan duduk sama di situ, mendengar perbualan orang-orang tua ini.
"Barang naik harga lagi. Tadi aku beli gula, beras, bawang dan dua tiga barang lagi... habis tiga puluh...," rungut salah seorang pak cik. Itu adalah percakapan yang sering keluar dari mulutnya. Sepanjang masa aku mengenalinya, dia seorang yang rajin membeli barang rumah sebaik sahaja kerja mereka selesai.
"Hm... cerita tentang harga barang naik ini memang tidak akan habis...," gumam salah seorang pak cik yang ada di situ.
Bicara mereka bersambung dengan topik lain lagi. Kebanyakannya tentang susah lelah pekerjaan mereka, anak-anak, tentang sampah yang banyak setiap hari dan keinginan mereka untuk bertukar kepada kerja yang lebih mudah.
"Kilang Jeruk Pak Ali nak pakai orang... kopek kulit mangga, satu guni lima ringgit!" Long yang rajin mengintai peluang memberitahu.
"Huh! Gila ke apa! Jenuh mengopek hanya dibayar lima ringgit?" aku mendengar komen yang lain.
Hatiku berdetak tanpa kufahami. Entah mengapa, malang sungguh nasib mereka. Dalam usia enam puluhan, mereka masih perlu bekerja. Ada antara mereka mempunyai anak-anak yang bermasalah. Pada waktu sewajarnya anak-anak mereka menjaga mereka yang sudah tua, aku mendengar pelbagai kisah yang meninggalkan rasa hampa. Anak-anak mereka ada yang menagih, ikut lelaki ke sana ke mari, ada yang mati kerana AIDS dan entah pelbagai lagi masalah yang tak sanggup aku fikirkan.
Pun begitu, memang keagungan Allah jua, di mana mereka ini nampak benar-benar sihat. Masih mampu bekerja di bawah hujan panas. Berjalan masih tegak seperti orang muda, malah nampak lebih kuat dari orang berumur awal empat puluhan. Itulah kuasa Allah yang mahu menunjukkan bahawa Dia yang Maha Menyusun Rezeki makhluk-NYa.
Dalam banyak-banyak bicara mereka, ada satu yang meninggalkan kesan di dalam hatiku. Tak sanggup hendak kucoretkan di sini. Namun, demi dakwah... aku harus menceritakannya.
"Semalam nombor naik. Si polan si polan kena dua ratus!" kata Mak Long dengan selamba.
Nah! Itulah bahananya! Nombor ekor... mereka ini rajin membeli nombor, apatah lagi kedai yang menjualnya betul-betul berada di deretan kedai berhadapan dengan rumahku.
Aku pernah mendengar jiran-jiranku memberitahu tentang puak ini yang rajin masuk ke dalam kedai nombor. Malah jiranku pernah bersungut, "Hish... Tak akan senang orang-orang yang tikam nombor ni... Sampai mati hidup melarat... ."
Suatu petang, tatkala aku menemani anak-anakku bermain di taman permainan berhampiran dengan rumahku, aku melihat salah seorang dari pak cik tukang cuci longkang itu sedang berjalan perlahan masuk ke dalam kedai nombor. Tatkala melihatnya, hatiku rasa hanyut... kasihan melihat dia yang hilang haluan di hujung usia.
Bukanlah kisah menikam nombor ini yang menjadi tajuk utamaku. Dalam merangka buku terbaruku, sebuah buku motivasi bertajuk 'SAAT AKU JATUH', aku telah masuk ke dalam masyarakat, tua dan muda, kaya mahupun miskin, lalu memerhatikan kehidupan mereka. Apa yang sedang kucari ialah orang-orang yang hidupnya dalam satu kepompong kesedihan dan merasa tidak mampu keluar dari kepompong itu. Kala itulah aku terjumpa mereka ini, yang bekerja di usia tua, masih memerah tenaga dan masih pening memikirkan anak cucu dan belanja seharian. Usia yang sepatutnya seseorang itu berada di frasa penuh ketenangan, tiada dapat mereka nikmati. Malahan mereka masih memikirkan menikam nombor ini adalah sebagai satu jalan keluar dari kemelut kewangan dan kehidupan mereka. Kasihan... .
Mereka ini seolah-olah jatuh ke dalam perigi yang dalam, lalu hanya nampak persekitaran perigi itu, dan apabila mereka mendongak, tidak tercapai rasanya untuk naik semula ke atas.
Kejatuhan bukanlah semata-mata kerana kewangan. Manusia jatuh dalam pelbagai perkara. Keyakinan juga boleh jatuh dan sukar untuk naik, Iman juga boleh jatuh (Nauzubillahi min zaalik!), kecerdikan juga boleh jatuh (hilang atau ditanggalkan dari pemikiran). Dan jatuh ini juga atas banyak sebab. Antaranya, Allah mahu menguji keimanan kita, atau kifarah atas dosa yang lalu. Walau apapun sebabnya, setiap orang yang melaluinya tentu mahu naik semula. Tidak apa tidak kaya, apa yang lebih penting keyakinan pada Allah naik setahap atau beberapa tahap.
Saya mengalu-alukan sebarang komen dan cadangan untuk tajuk kali ini. Bagi saya, semua ini penting agar buku ini nanti dapat membantu kita semua memperbaiki diri termasuklah diri saya yang kerdil ini.
Salam hormat dari saya buat pembaca dan terima kasih atas doa dan cadangan.
-Nurulsham Saidin.
Published on June 03, 2012 04:45
date
newest »
newest »
Nurulsham Saidin's Blog
- Nurulsham Saidin's profile
- 5 followers
Nurulsham Saidin isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.


Terbaik Pn. Mohon share articles ini..
Zisham