Dingin Salju Indiana


Antara sedar dengan tidak, kami telah hampir pada cuti pertengahan semester musim luruh. Waktu ini, matahari tidak lagi seterik awal semester lalu. Awan pula lebih kerap mendung. Matahari mula sendeng, tidak lagi berada tegak di atas kepala seperti sebelum ini.
Suhu mula terasa tidak sepanas selalu. Waktu inilah paling sesuai membeli buah-buahan dan sayur-sayuran di sini. Para petani kecil yang tinggal di kampung-kampung di sekitar Indiana akan turun ke bandar kecil ini setiap Sabtu untuk menjual hasil tanaman mereka dengan harga yang paling murah. Tujuh biji timun yang besar-besar dengan harga satu dolar! Boleh gila jadinya! Waktu ini juga paling seronok pilih buah-buahan. Epalnya sahaja bermacam-macam jenis – epal Macintosh yang bulat, besar dan masam, epal Gala yang kecil dan manis, epal Golden yang berwarna kuning dan mempunyai rasa yang pelik seperti rasa kulit kayu manis dan bermacam-macam jenis epal yang tidak pernah kudengar namanya! Di samping buah epal, petani-petani juga ada menjual buah pic yang besar-besar dan manis, buah anggur masam untuk membuat arak, buah beri untuk membuat jem, dan bermacam-macam jenis labu pelbagai warna. Meriah sungguh musim ini!
Semenjak minggu pertama diadakan pasar Sabtu itu yang dikenali sebagai Farmers’ Market atau pasar tani, memang aku tidak pernah ketinggalan untuk pergi ke sana. Waktu inilah kami berjumpa dengan para petani yang peramah dan baik hati. Kami berasa seperti berada di tengah-tengah kumpulan koboi kerana para peladang di sini masih kekal dengan topi koboi mereka, berkasut but, berkemeja kotak-kotak lusuh dan berpakaian ala jumper atau seluar yang digantung ke bahu. Perbualan mereka juga lebih susah difahami, dibandingkan golongan elit dan cerdik pandai di universiti.
Pengunjung-pengunjung Farmers’ Market ini akan dijamu dengan muzik Country yang dimainkan oleh seorang gadis petani yang manis bertocang. Dia memakai skirt labuh dan but. Orangnya cantik. Senyumannya sentiasa di bibir. Muzik Country diminati golongan peladang di sini, hadiah untuk pengunjung-pengunjung di situ.
Bagiku, musim luruhlah waktu kurasakan paling meriah. Aku mula nampak daun-daun Maple yang bertukar warna. Kalau dulu kulihat daunnya yang hijau terang, kini helaian daun itu telah bertukar menjadi merah hati. Cantik sekali! Pemandangan yang paling cantik bagiku adalah apabila melihat daun-daun itu gugur dan jatuh di atas permukaan air yang bergenang di lopak-lopak. Cantiknya Tuhan sahaja yang tahu!
Ada juga pepohonan yang bertukar menjadi kuning terang, biru, oren dan pelbagai warna lagi. Waktu inilah orang putih mula menanam Kekwa di sana-sini. Bunga-bunga ini juga tidak kurang cantiknya, dengan pelbagai warna yang menarik hatiku.
Hutan Dunn, yang menutupi bangunan Fizik kini meriah dengan pelbagai warna. Kadang-kadang, aku tidak puas menikmati keindahan itu sewaktu hendak pergi ke kelasku. Burung-burung, tupai dan chipmunk semakin berani mendekati manusia yang lalu-lalang di hutan pada waktu ini. Waktu inilah banyaknya makanan untuk mereka, memandangkan pohon-pohon beri dan kekacang terdapat banyak di sana-sini.
Tuhan, meriahnya bumimu! Kau taburkan rahmat ke atas setiap makhluk. Semakin kusedar kudrat-Mu yang tiada bandingan, semakin kuinsaf tentang kebesaran-Mu. Aku hambamu menitip syukur seikhlas hati kerana Kau menganugerahkan aku kehidupan yang penuh dengan keindahan.

Rasai keindahan bumi ciptaan Allah dalam Novel Dingin Salju Indiana.

Nurulsham Saidin, Novelis
Dingin Salju Indiana mengupas banyak isu sensitif agama. Kupasan dibuat secara diplomasi berlandaskan fakta, sejarah dan logika. Maklumat tentang agama wahyu ditangani dengan penuh hikmah tanpa menghina atau mencaci agama lain. Dengan penguasaan bahasa yang lancar, penulis menggerakkan naratifnya melalui pintu emosi dan situasi yang mempesona. Bahasanya tidak perlu berbunga kerana segalanya datang dari hati, dan apa yang datang dari hati akan menyentuh hati yang lain.

Dr Amida Abdul Hamid, juri Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2003
Saya bukan peminat novel Melayu. Saya amat jarang membacanya kerana kebanyakan isu, plot dan temanya tidak menarik perhatian saya. Lagi-lagi temanya cinta, amat membosankan! Yang thrillernya pula, tidaklah se‘thriller’ mana, hambar kerana dapat dikesan elemen thrillernya tiada identiti sendiri. Banyak gaya ditiru daripada novel Inggeris. Apabila ditiru, maka nilai keasliannya menyusut beberapa puluh peratus.

Namun, sejak saya dipindahkan ke Jabatan Buku, Editor Kanan, Encik Zakaria Sungib banyak menyerahkan manuskrip, proposal dan sinopsis karya kreatif (novel) untuk saya menilainya.

Dalam banyak-banyak bahan yang diserahkan itu, ada yang langsung tidak menarik minat saya. Jika ada yang saya ‘mampu tekun’ membacanyaBukan mudah untuk menarik minat saya!

Inilah berlaku kepada novel ‘DINGIN SALJU INDIANA’ (DSI). Wah! Saya benar-benar terpesona membacanya. Tema, isu dan konflik tidak klisé. Ia menyimpang daripada norma kebanyakan karya kreatif yang diserahkan kepada saya!

Sekalung tahniah kepada penulisnya Puan Nurulsham Saidin yang berjaya menghasilkan sebuah karya kreatif dengan begitu baik. Lebih mengejutkan saya, ini merupakan novel pertama beliau. Saya bagaikan tidak percaya apabila Encik Zakaria memberitahu bahawa DSI adalah hasil seorang ibu beranak tujuh dan merupakan seorang surirumah. Penulisnya belum ada pengalaman menulis novel sebelum ini. Berani saya katakan, DSI sebuah karya yang baik, malah lebih baik berbanding karya-karya novelis yang sudah punya pengalaman.
Apa yang ditulis benar-benar lahir daripada hati. Bukan dipaksa-paksa! Bahasanya mudah. Plotnya cepat. Isu-isu keagamaan yang sensitif pun mampu digarap dengan baik. Bak kata En. Zakaria, kisah DSI umpama kepingan jigsaw puzzle yang bercantum dengan baik akhirnya.

Salah satu perkara yang menyebabkan saya sukakan DSI ini kerana latar tempatnya. Mengingatkan pada pengalaman sendiri sewaktu mengikut ayah melanjutkan pengajian di bumi empat musim. Sebagaimana terujanya watak-watak DSI pertama kali melihat dan bermain salji, begitulah juga terujanya saya sewaktu pengalaman pertama melihat bumi Sturry diselimuti salji. Masih segar dalam ingatan saya bagaimana ayah masuk ke bilik mengejutkan saya dan kakak (yang berkongsi bilik) daripada tidur supaya menjenguk tingkap melihat salji memutih di laman belakang rumah. Lalu kami menyarung pakaian tebal untuk ‘merasai’ salji di luar. Apatah lagi waktu itu usia masih kanak-kanak, seronok tiada tara!

Maka, apabila watak-watak DSI teruja dengan salji. Saya juga turut teruja, seolah-olah saya turut berada di bumi Indiana bermain salji!

Ya memang indah bumi empat musim sebagaimana yang dipaparkan dalam DSI


Suraiya Pauzi, Editor Galeri Ilmu.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 27, 2010 17:32
No comments have been added yet.


Nurulsham Saidin's Blog

Nurulsham Saidin
Nurulsham Saidin isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Nurulsham Saidin's blog with rss.