Syurga Di Wajahnya.
(Gambar di sebelah adalah sekadar hiasan)Dia hanya orang biasa-biasa sahaja. Sewaktu aku bertemu dengannya pertama kali, aku tidak perasan akan keadaan itu. Kali kedua kami berjumpa, aku bagai terpegun melihat wajahnya, sehingga terpampang di ruang mataku di saat ini walaupun perkara ini telah berlaku tujuh tahun yang lalu.
Lalu pertanyaan demi pertanyaan bermain di fikiran yang sempit ini- siapakah sebenar-benarnya wanita ini? Bagaimana wajahnya boleh menjadi sebegitu tenang dan jernih? Apa yang telah dibuatnya, atau apakah amalannya?
Tidak dapat kugambarkan bagaimana jernihnya wajah wanita ini. Juga tidak dapat kuceritakan bagaimana perasaanku melihat wajahnya. Mungkin boleh kukatakan di sini, sebagaimana aku melihat wajah bayi yang sedang mekar, atau wajah arwah bapaku yang datang di dalam mimpi, atau wajah ibuku setiap kali kami bertemu ketika aku pulang ke kampung... Wajahnya, lebih lagi! Bagai ada syurga di situ!
Walaupun kulitnya sudah berkedut dimamah usia, ia tampak berseri. Matanya jernih telus dan senyumnya tidak lekang di bibir.
Aku mengenali wanita ini dari anaknya. Anaknya, Puan Katijah bekerja sebagai kerani di pusat tuisyen kepunyaanku. Katijah seorang yang sangat amanah. Sehinggakan aku tidak dapat lupa satu peristiwa dimana dia membuat satu tabung untuk diisi duit-duit silingnya setiap kali dia terpaksa menggunakan telefon pejabat untuk memanggil van yang membawanya pulang ke rumah. Tentu hebat didikan ibu bapanya sehingga lahirnya anak yang sebegitu amanah.
Kali pertama aku mengikut Katijah ke rumahnya, adalah apabila mengetahui yang ibunya telah diserang stroke seluruh tubuh badannya. Waktu pertama kali kami pergi (aku dan beberapa orang kawan), ibu ini tidak sedar dan segala perkara berkaitan dengannya terpaksa dibuat oleh Katijah dan saudara mara terdekat. Waktu itu Katijah meminta untuk berhenti kerja kerana perlu menjaga ibunya.
Aku berjumpa semula dengan ibu tua itu dua tahun kemudian, ketika itu Katijah telah berkahwin dengan sepupunya yang baru datang dari luar negara. Mereka dikahwinkan atas tujuan mulanya supaya nasib Katijah dan ibunya yang lumpuh itu terbela.
Untuk pengetahuan pembaca, Katijah ini orang susah. Mereka tinggal di rumah yang dibina dari papan lapis nipis yang hampir dengan gigi air di Pantai Bukit Malut, Langkawi. Pembaca mungkin mahu membuat carian di internet untuk mengetahui apakah yang telah berlaku di sana. Ada satu cerita besar di sana namun tidak dapat saya ceritakan dalam artikel ini.
Kali kedua inilah saya melihat wajah yang sangat jernih ini...
Waktu itu ibu tua ini sudahpun boleh duduk dan mengengsot, setelah hampir dua tahun berbaring di lantai yang dilapik tilam nipis. Katijah berkali-kali mengatakan yang beliau malu denganku kerana keadaan rumahnya yang dhaif itu. Waktu itu suaminya sedang membetulkan lantai papan yang sudah rosak di dapur yang dibawahnya merupakan air laut setiap kali waktu air pasang.
Aku memberitahu Katijah, bahawa aku tidak pernah melihat wajah orang tua yang sejernih wajah ibunya. Mulanya Katijah hanya tersenyum suram, kerana keletihan menjaga ibu ini. Yang menariknya, ibunya ketika berjumpa denganku telah menjadi sangat ramah, bercerita itu ini walaupun aku kurang memahami dialek percakapannya. Kata Katijah padaku, ibunya memang sangat gembira jika ada orang melawat. Tidak habis-habis dia bercerita.
Setelah kutanya lagi kemudiannya, ketika dia datang semula bekerja denganku, barulah aku tahu cerita sebenarnya ibu tua ini.
Menurut Katijah, ibunya datang ke Malaysia pada usia anak daranya, dengan menaiki bot kecil, yang mana tangan kita boleh mencecah air laut. Dia datang dengan beberapa orang adik perempuannya dan orang Melayu lain dari Burma, dan mendarat di Pulau Langkawi. Ibu ini kemudiannya menikah dengan seorang guru agama (bapa Katijah) pada usia 40 tahun, iaitu setelah memastikan adik-adiknya selamat berkahwin.
Ibu ini telah keguguran dan kematian anaknya sebanyak enam kali sebelum dia melahirkan Katijah. Pada usia Katijah 12 tahun, suaminya pula meninggal dunia. Lalu hiduplah mereka kais pagi makan pagi di kawasan perkampungan Bukit Malut yang didiami orang-orang Melayu Burma yang lain dirumah-rumah yang berlaga dindingnya . Kehidupan yang perit adalah asam garam orang-orang di situ, apatah lagi bagi ibu dan ank kecil yang telah hilang tempat bergantung ini.
Di kala membesarkan anaknya, ibu ini telah turun ke laut menjadi nelayan, ke pinggir pantai mengaut pasir dan mengutip batu-batu, membuat belacan untuk dijual, mengopek bilis, menjual laksa dan pelbagai kerja lagi yang begitu menduga kudrat wanita.
Syukurlah, anak yang dididik penuh kasih membesar menjadi manusia yang berguna. Dengan wang gajinya bekerja membantu saya, dia menghantar ibunya ke Mekah. Setelah setahun pulang dari Mekah, ibunya diserang stroke dan lumpuh sehingga kini.
Mendengar cerita Katijah, barulah saya sedar apa yang membuatkan wajahnya sebegitu jernih. Wanita ini adalah seorang yang telah redha dan menerima semua takdir yang tertulis pada dirinya. Waktu saya berbicara dengannya pun saya dapat merasakannya. Tiada yang sedih keluar dari mulutnya. Semuanya seronok sahaja. Seperti tajuk sebuah buku- INDAHNYA HIDUP TANPA DERITA, wanita ini sebenarnya tidak memandang apa yang terjadi padanya sebagai derita.
Paling saya kagum, dia tidak rasa risau langsung dengan keadaannya itu. Saya pernah bertemu dengan orang sakit yang bercerita dengan saya yang mereka rasa sedih kerana menyusahkan anak-anak. Tapi, wanita ini, seperti tiada masa untuk bersedih dan memikirkan yang dia mungkin telah menyusahkan anak menantunya. Hairan saya.
Tentu banyak yang telah dilaluinya dalam hidup ini. Bayangkan kita sebagai ibu yang kematian anak sebanyak enam kali? Bukan tiada kes yang kita dengar si ibu mengahadapi tekanan dan menjadi meroyan.
Banyak yang saya pelajari dari pertemuan ini. Memang Allah Maha pengasih kerana menemukan saya dengannya, dan memberi saya ilham untuk berkongsi cerita ini dengan anda. Semoga kisah ini menjadi iktibar pada kita semua untuk melalui getaran hidup ini.
Published on November 28, 2010 10:09
No comments have been added yet.
Nurulsham Saidin's Blog
- Nurulsham Saidin's profile
- 5 followers
Nurulsham Saidin isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.

