Ketenangan Yang Diragut


Selepas Barisan Nasional sekali lagi dinobatkan sebagai juara pada satu malam awal bulan lalu, aku mula menjauhkan diri dari mengambil tahu hal-ehwal politik tempatan. Aku mendengar lagu-lagu rock nyanyian James Dean Bradfield. Kadang-kala aku melayan perasaan melihat pemandangan indah dari jendela bilik. Ia sedikit sebanyak menenangkan.
Kemudian aku berfikir bahawa aku perlu lebih jauh. 
Aku mengumpul kain bajuku. Kain baju itu aku gulung dan padatkan di dalam sebuah beg buatan Jerman. Aku capai sebuah buku merah dan merenungnya baik-baik pada bahagian tarikh mati.

Dari Kuala Lipis, aku mengorak langkah ke Siam.
***
Semalam, aku pulang ke kampung halamanku dengan penuh ketenangan. Aku turun dari bas dengan perasaan yang ringan. Haruman teman wanitaku Dian yang masih segar di ingatan tatkala itu turut menambah menjadikan ia sebuah ketenangan yang berseri-seri hingga terlupa bahawa diriku diselubungi terik mentari. Lantas aku singgah makan nasi ayam di kedai Ramli.
Dalam kenyang, tenang dan berseri-seri, aku tiba di rumah dengan semangat yang tinggi menjulang. Aku bebas dari segala cengkaman murung. Yang terlihat di hadapanku hanyalah potensi, potensi dan potensi. Aku membuka kasut dan melangkah masuk ke rumah.
Lebih kurang sepuluh hasta sebelum sampai ke bilikku, aku terjeling sebuah dinding. Tidak ada kesilapan pada dinding itu. Cuma dinding itu tidak seperti dinding yang kutinggalkan minggu lalu.
'Berpengalaman, teknokrat dan golongan muda - KABINET 2013.'
Abah aku tampal.
Aku terus masuk bilik pasang lagu rock kuat-kuat, macam itu hari.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 20, 2013 11:43
No comments have been added yet.


Pipiyapong's Blog

Pipiyapong
Pipiyapong isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Pipiyapong's blog with rss.