Bab 12 : Hati Yang Memanggil Namamu...
“Nah, minum.”Helena yang sedang duduk bersandar di bonet hadapan kereta Jazz kuning itu menoleh ke kanan. Pandangannya tertancap pula kepada kotak minuman berperisa laici yang diunjukkan oleh Izzat kepadanya. Lambat-lambat dia menyambut huluran lelaki itu.
Suasana di atas bukit itu kembali sepi. Sama seperti beberapa minit yang lalu, sunyi tanpa sebarang perbualan yang meniti di bibir masing-masing. Helena lebih banyak merenung kosong ke arah lampu-lampu di bawah sana, dan Izzat pula kelihatan mengelamun jauh. Tidak ada sesiapa yang sudi membuka kata, hanya bunyi unggas dan cengkerik dari semak berhampiran memecah kesunyian pada malam itu.
Sebenarnya Helena berasa hairan dengan sikap Izzat yang tiba-tiba saja terlebih ‘pemurah hati’ membawanya bersiar-siar sampai ke sini. Kalau dikira pada rutin harian, selepas menutup kedai, lelak itu tanpa banyak cakap akan terus membawanya pulang ke rumah. Tapi malam ini berbeza, dia diberi bonus yang tidak disangka-sangka. Hari ini hari bertuah agaknya.
Pandangannya dilemparkan ke kawasan sekitar yang agak lengang dan hanya diterangi lampu jalan kekuningan. Dahulu bukit inilah yang menjadi sejarah pertemuan pertama mereka, dan bukit ini juga pernah menjadi saksi kehancuran hatinya gara-gara sikap Fareeq yang tidak bertanggungjawab. Dia hampir-hampir saja menamatkan riwayat hidupnya di sini kerana terlalu sedih dan kecewa.
Terkenangkan lelaki seorang itu, jiwanya sedikit terusik dengan rasa kalut . Kesungguhan Fareeq yang tidak henti-henti mahu meraih kepercayaannya mula memutikkan perasaan aneh di hati. Siapa tidak tersentuh melihat kesungguhan dan semangat yang tidak pernah padam begitu. Cuma dia masih mengeraskan hati, mahu mengajar Fareeq betapa peritnya rasa sebuah kehilangan. Fareeq patut rasa apa yang pernah dia rasakan dahulu!
Dia dilayan bagaikan sampah sedangkan Suhaila ditatang bagaikan Tuan Puteri. Mahunya dia tak sakit hati! Kata cintakan dia, mahu hidup bersama sampai ke akhir usia, tapi sudahnya hati dia ini dicampak ke tepi. Cinta apa macam tu?Dalam rasa marah dan geram, hatinya masih terarah ke sana. Masih menunjuk dan merintih mahukan Fareeq di sisinya sampai bila-bila. Gila? Dia tahu memang gila semua perasaan yang melekat kuat di hatinya ini. Tapi nak buat macam mana, cinta itu memang buta. Dan sekarang pandangannya sudah gelap, dia cuma mampu melihat Fareeq seorang saja.
“Daripada kau merengus-rengus macam naga, baik kau sedut air tu.”Spontan kepala Helena terpusing ke kanan. Tajam matanya memanah wajah selamba Izzat. Amboi, macam pandai sangat nak scan hati orang!Malas mahu melawan cakap, dia menyedut dengan rakus air kotak berperisa laici di tangannya. Sengaja menunjuk protes, disedut laju-laju sehingga habis sekotak.
Izzat mengerling kepada Helena yang sengaja membuat bunyi bising dengan menyedut-nyedut air yang hampir kontang itu. Bibir melirik senyuman kecil secara sembunyi. Perempuan senget!“Hmm.. thanks.”Kali ini kepala Izzat pula laju terpaling ke sisi. Helena kelihatan merenung tenang ke hadapan tanpa membalas pandangannya. “For what?”
Segaris senyuman tergaris di bibir Helena yang sedikit basah. “Sebab you tolong cover I depan Fareeq tadi. I ingat you tak sudi tolong I, but you did. So thank you for that.”Melantun lembut suara Helena di telinga Izzat. Dia tergamam seketika, kemudian berdeham pula beberapa kali. Sungguh hatinya kurang selesa dengan nada seperti itu. Berdebar-debar jantungnya memberi tindakbalas.
“Well, aku bukan buat sebab kau. Aku cuma tak nak tunang kau tu asyik bertandang ke kedai aku. Asyik buat drama Hindustan hari-hari, bosan tahu tak?”Terasa disindir, Helena mengetap rapat bibirnya. Drama Hindustan? Kurang asam betul! Nasib baik kau banyak berjasa hari ni, kalau tidak memang aku dah bagi serangan balas.
“Kau nak mati sebab lelaki tu ke?”“Hah?” “Kau ni buat-buat pekak ke apa?” Kali ini Izzat menentang pandangan Helena yang duduk bersandar di sisinya. Perempuan itu mencebikkan bibir, menunjuk muka kurang senang dengan soalan yang dia lontarkan.“Mana ada I nak bunuh diri.”“Kau ingat aku ni bodoh? Habis tu, malam tu kau buat apa?”
“Ambik angin.” Balas Helena bersahaja. Dia santai sahaja memeluk tubuh, cuba mencari sedikit kehangatan untuk menghilangkan rasa dingin yang membalut kulitnya.“What? Ambik angin?” “Iyalah, you yang tersalah sangka kut.”
Izzat mengetap bibirnya, geram dengan sikap Helena yang sengaja memutarbelitkan cerita. Macamlah dia tidak tahu apa yang berlaku pada malam itu. Dan kalau dia terlambat, rasanya sudah lama perempuan ini dapat gelaran arwah di pangkal nama.“Berbaloi ke kau mati sebab lelaki macam tu? Mana iman kau ni?”
Sekali lagi Helena merengus perlahan. Apa ke halnya mamat ni? Duduk aje diam-diam tengok lampu tak boleh? Sibuk nak jadi penceramah bebas pulak!“Kenapa tak nak jawab? Mulut kau dah bisu?” Provok Izzat lagi.“Takde sebab I nak jawab soalan you tu.”
Mata Izzat mula membulat. Sakit hati. “Kau cakap apa?”“Iyalah, I nak cerita dengan you buat apa? You tu bukan siapa-siapa pun, kita takde kena mengena.” Balas Helena seraya menjuihkan bibirnya. Nak marah? Lantak kaulah.“Eh Helena, nasib baik aku bukan siapa-siapa dalam hidup kau tau. Kalau tidak, memang dah lama pipi kau tu merasa penampar aku ni.”
Berderau darah Helena mendengar kata-kata tegas dari bibir Izzat itu. Matanya terkelip-kelip memandang raut serius yang masih menghala ke arahnya. Eh-eh, nak emo sangat ni kenapa? Itulah sibuk sangat nak busy body, hujung-hujung kau sendiri sentap!“Apahal you nak lempang I? I’m not your sister okay.”
“Sebab perempuan macam kau ni cetek sangat akalnya! Kau ingat dengan bunuh diri, masalah kau boleh selesai?” Tingkah Izzat masih dengan nada tegas seperti tadi. “Oh ya, mungkin masalah dunia kau dah selesai, tapi masalah yang tunggu kau kat akhirat tu macam mana?”
Helena membuang pandangannya ke hadapan. Dia mahu membalas, namun lidahnya kelu kematian kata. Iya, dia memang sedar perbuatan membunuh diri itu adalah berdosa. Dan dia tidak seharusnya mengambil jalan singkat seperti itu untuk melepaskan diri dari perasaan sedih yang membelenggunya selama ini. Tapi ketika itu dia memang tidak mampu berfikir panjang, dia terlalu mengikut rasa hati dan bisikan-bisikan syaitan. Dia sudah sedar sekarang.
“Sebanyak mana pun kau cintakan manusia, cinta kau tu tak boleh melebihi rasa cinta kau pada Allah. Takkan itu pun kau tak tahu?” Izzat masih berterusan melepaskan rasa berbuku di dadanya ini. Sudah terlalu lama menyimpan geram, dia mahu meluah habis-habisan. Biar Helena sedar, biar Helena berpijak pada bumi yang nyata.
“Kalau kau mati, mak bapak kau happyke? Fikirlah sikit, orang yang sakit ke sana sini berusaha nak menyambung hidup. Kau pulak senang-senang nak buang nyawa? Tak reti nak bersyukur langsung.” Bebel Izzat tanpa mempedulikan keluhan bosan Helena yang singgah di telinga.
“You tak kenal I, tak tahu kisah hidup I, so tak payahlah you nak ceramah I pulak.”“Aku bukan nak ceramahkan kau, aku nak kau bukak mata kau tu sikit. Manusia ni diberi akal dan fikiran, sebab tulah kita berbeza dari binatang. Kau fikirlah sendiri mana jalan yang baik dan buruk untuk kau ikut.”
Helena bangkit dari sandarannya tatkala telinga semakin bingit mendengar bebelan panjang Izzat. Dia tidak menafikan setiap kata-kata itu ada kebenarannya. Cuma apabila didengar dari mulut orang yang tidak begitu mengenali dirinya, dia jadi sakit hati pula.“You kena faham, tak ada manusia yang sempurna dalam dunia ni Izzat.” Luah Helena setelah mengambil beberapa langkah menjauhi Izzat yang masih bersandar di kereta. “Jalan cerita hidup kita tak sama. Mungkin you bernasib baik sebab dibesarkan dalam keluarga yang sempurna, tak macam hidup I.”
Perlahan Izzat melepaskan keluhan. Dia cuba untuk bertenang dan memahami situasi kehidupan Helena. Mungkin cuma ini satu-satunya peluang untuk dia menguraikan semua misteri tentang gadis itu.“Stop blaming other people. Once kau dah matang, dah boleh berfikir, kau bebas mencorak hidup kau sendiri. Tak kisahlah seburuk mana cara kau dibesarkan, kau boleh ubah kalau kau nak. Itu semua alasan mudah untuk kau letakkan salah kau pada orang lain.”
Pantas Helena berpaling menghadap Izzat yang masih bersahaja memandangnya. “You pernah rasa apa I rasa? Senang untuk you bercakap bila you tak lalui semua tu.”
Izzat menganggukkan kepalanya beberapa kali. “Yes, aku mungkin tak pernah rasa apa kau rasa. Tapi aku tahu macam mana rasanya hidup dalam keluarga yang tak sempurna macam keluarga kau tu. But ada kau nampak aku patah semangat nak hidup? Ada aku pasang niat nak terjun bukit?”
Mendengarkan pertanyaan itu, Helena kembali memusingkan tubuhnya menghadap ke bawah bukit. Ligat kepalanya cuba mencari jawapan untuk menegakkan ego sendiri namun gagal. Tidak ada walau sebutir perkataan mampu menidakkan tuduhan Izzat itu. Mungkin dia perlu mengakui kesilapan sendiri, dia perlu insaf dan sedar yang hidupnya tidaklah seburuk mana.“Itu dulu, but now I want to live.” Ucapnya sedikit bergetar.
“Hmm.. betul?” Soal Izzat menduga. “Kau nak hidup sebab kau sayangkan nyawa kau, atau sebab Fareeq?”Sekali lagi Helena melepaskan keluhan. Demi Tuhan, dia rasa seperti disoal siasat oleh Guru Disiplin pula. Sungguh, malam ini mulut Izzat banyak benar mencecehnya. Dia memang mahu membina hidup baru, jauh dari cengkaman papa dan mama yang sentiasa mahu mengatur langkah kakinya. Atau sebab Fareeq? Ah, itu satu bonus jika cinta mereka yang terhalang ini boleh bersatu suatu hari nanti.
“I nak hidup untuk diri I, untuk orang-orang yang I sayang.” Jawab Helena berlapik. Dia kemudian kembali menapak menghampiri Izzat. Melihat lelaki itu sedikit terusik dengan kedatangannya, timbul pula idea nakal di kepala. Dari tadi Izzat asyik ‘membasuh’ otaknya, apa kata kali ini dia pula mengusik lelaki itu dengan cara dia sendiri.“You tak nak tanya siapa orang-orang yang I sayang?” Soalnya dengan lenggok manja menggoda. Susun langkahnya diatur semakin hampir kepada Izzat yang kelihatan tidak senang duduk itu. Alahai.. baru buat suara manja dah menggelabah? Ingatkan kebal sangat!
“Siapa kau sayang tak ada kena mengena dengan aku.” Tukas Izzat seraya memalingkan wajahnya ke sisi. Melihat senyuman menawan Helena, boleh ketar lutut dibuatnya. Kenapalah dia lemah sangat dengan perempuan seorang ini?“Really? Hal lain you sibuk je nak tahu..” Sindir Helena dengan gelak manjanya. Kini dia sudah berdiri betul-betul di hadapan Izzat yang masih duduk bertenggek di bonet kereta.“Yang kau ni berdiri dekat-dekat dengan aku apahal?”
Helena menahan tawa. Kelakarnya pak singa menggelabah dengan perempuan!“Eh kenapa? Takkanlah you nervous kot…”“Me? Nervous? No way!” Tolak Izzat mentah-mentah. No waylah sangat, semangat dia ni dah nak melayang bila Helena semakin mendekat. Dia tahu Helena sengaja mahu kenakan dia, namun perasaan ini tidak mampu dielak. Seram sejuk satu badan!
“Izzat, sebenarnya kan… sebenarnya I kan..” Helena bersusah payah menahan tawa tatkala melihat reaksi di wajah Izzat. Sekejap mata besar, sekejap mata kecil, lepas tahu dahi berkerut-kerut pula. Aduhai.. memang kelakar!“Helena, stop. I’m warning you.”“You pernah cakap you takkan rasa apa-apa dengan I kan?”“Helena..” Izzat menyeru nama itu dengan gigi terketap rapat.
Melihat wajah Izzat yang berubah, semakin giat Helena mahu mengusik. Dia mendekatkan sedikit wajahnya ke telinga Izzat. “Don’t underestimate the things that I would do.”“Helena!”Suara yang tinggi itu membuatkan Helena terperanjat besar. Belum sempat dia berfikir apa-apa, tubuhnya terasa melayang ke belakang. Terhenyak keras punggungnya di atas tanah berumput itu. Jantungnya melantun deras kerana semuanya berlaku terlalu pantas.
Dia mendongakkan kepala, memandang Izzat yang berdiri seraya melurut resah rambutnya.“You.. you tolak I Izzat?” Izzat mendengus keras. Demi Tuhan, dia tidak sengaja. Ini Helena punya pasal! Gatal sangat mahu berlakon-berlakon gedik, kan dah dapat faedahnya. Hakikat sebenarnya dia berasa malu dengan sikapnya sendiri, dia yang menggelabah tak tentu fasal. Padahal Helena cuit dia pun tidak. Ah, malu sungguh!“I did warn you right?” Balasnya selamba.
Helena menarik muka masam. “Yalah, tapi tergamak you tolak I? Sakit tahu tak!”Izzat membuang pandang ke sisi, menyembunyikan senyuman yang terbias tatkala melihat Helena terkial-kial bangun. Tidak habis-habis mulut untuk merungut menyalahkan dirinya.“Itu untuk hutang kau dengan aku.”“Hutang?” Tangan Helena terhenti mengibas-ngibas belakang seluarnya.“Kau jangan lupa masa aku selamatkan kau dulu, badan aku tersembam atas tanah macam tu jugak. Sekarang kau dah rasa kan? Sakit kan?”
Helena mencebikkan bibirnya. “So, are we equal now?”“Bolehlah.”Malas mahu melayan perangai gila Izzat, Helena kembali membersihkan belakang seluarnya. Nasib baik tak ada orang nampak dia jatuh terlentang tadi, kalau tidak memang jatuhlah saham!
Seketika Izzat memerhati Helena yang berkerut-kerut muka menahan sakit setiap kali melangkah. Dadanya disapa rasa bimbang, manalah gadis itu tercedera gara-gara kecuaian dia tadi.“Hmm.. kau okay ke tak ni?”
“Okay lagi ke kalau dah jatuh terlentang macam tu?” Balas Helena dengan jelingan tajam. Hilang nak menyakat Izzat, sudahnya badan dia yang menanggung sakit. Menyesal sungguh!“Lain kali jangan ambik mudah bila orang bercakap. Aku tak suka main-main, nasib kaulah.”“Boring.” Komen Helena perlahan.“Apa dia?”
Eh-eh, dengar pulak dia! Helena menjeling kepada Izzat yang masih memandangnya. “Takde apalah. I cakap I nak balik baring dekat rumah!”“Okay, jom balik.”Melihat Izzat berpaling untuk masuk ke dalam kereta, cepat-cepat Helena memanggil lelaki itu. “What? Tak jadi nak baring dekat rumah?” Soal Izzat dengan sebelah kening terjongket atas.Helena tersengih sendiri. “You dah tolak I, so you pulak hutang I.”
“What?”“I tak mintak banyak, janji!” Helena mengangkat sebelah tangannya, bersedia mahu mengangkat sumpah. “I cuma nak kita jadi kawan, boleh?”Tersentak Izzat dengan permintaan Helena. Jadi kawan? Setelah pelbagai deraan mental dia berikan kepada Helena, gadis itu masih mahu menjadi sahabatnya?
“I nak kita jadi best friend, macam you dengan Aida. Boleh?”Izzat mengetap bibirnya, berfikir jawapan terbaik. Entah apa motif perempuan ini mahu berkawan dengannya, siapa tahu kalau-kalau ada agenda tersembunyi.“Aida dah cukup memeningkan kepala aku, ni nak tambah sorang lagi? No, thanks.” Izzat kembali berpaling untuk masuk ke dalam kereta.
“Ya Allah sombongnya mamat ni!” Gerutu Helena geram. Terdingkut-dingkut dia menyaingi langkah Izzat. “I nak kawan aje dengan you, bukan nak kahwin pun. Apa yang susahnya?”Sekali lagi Helena berdiri tegak di hadapan Izzat, menghalang laluan lelaki itu.
“Iya, kalau kau kata nak kahwin dengan aku, aku yang terjun bukit sekarang!”Helena mengetap bibirnya. “Tak kelakar ya, tak kelakar langsung!”“Tahu pun, then cepat masuk kereta.”“Kita kawan!” Helena menghulur lurus salamnya kepada Izzat.
“Apa motif kau sebenarnya ni?” Izzat menyoal dengan pandangan tepat ke mata redup Helena. Jelas kelihatan, mata itu bercahaya tatkala pandangan mereka beradu. Sekali lagi perasaannya bergetar indah, membuai seluruh relung hatinya yang selama ini kosong tidak berisi.“I perlukan kawan macam you Izzat..” “Sorry?” Izzat mengerutkan keningnya tanda tidak faham.
Perlahan Helena melepaskan keluhan dari bibirnya. Serba salah. “I perlukan kawan macam you, kawan yang boleh sokong I untuk I cuba berubah menjadi lebih baik.”Sekilas Izzat melirik senyuman kecil. Dalam ego-ego Helena, kali ini gadis itu mahu mengalah? Tidak dinafikan hatinya tersentuh dengan permintaan itu. Mungkin benar hidup Helena tidak berada di landasan yang betul sebelum ini, jadi apa salahnya dia cuba membantu apa yang terdaya. Lagipun ibu selalu berpesan kepadanya, mengumpul sahabat lebih baik dari mengumpul musuh. Jadi sekarang wajarkah Helena diletakkan label ‘sahabat’ untuknya?
“Friend?” Sekali lagi Helena menghulur tangan. Melihat kepala Izzat terangguk perlahan, berseri-seri wajahnya menanggung perasaan gembira. Semakin lebar senyuman di bibir apabila melihat tangan Izzat bergerak menuju ke jari jemarinya yang masih menadah salam.Erk! Terkebil-kebil Helena apabila lelaki itu sebaliknya melencongkan tangan ke kepala sendiri. Kurang asam betul, sempat dia kenakan aku!
“Sorry dear, aku tak sentuh perempuan sesuka hati.”Berderau darah panas ke muka Helena. Malu bukan kepalang, mamat ni memang suka memalukan dia! Lambat-lambat salamnya dijatuhkan ke sisi. Terasa dunianya kian mengecil, dah tak ada tempat nak menyorokkan muka.
“Tak payah nak sentap sangat, masuk kereta cepat!”Terdengarkan arahan itu, Helena terpaksa akur dalam keterpaksaan. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia balik dengan berjalan kaki. Malu, serius dia malu!Masuk saja ke dalam kereta, Helena mengeraskan tubuhnya. Dia mahu mengunci mulut, dia mahu pura-pura tidur supaya Izzat tidak berbual-bual dengannya. Bimbang kalau dia tercakap sesuatu yang memalukan dirinya sendiri.
“Kalau kau nak berkawan dengan aku, kau kena dengar cakap aku.”Hilang mahu membatu, laju pula kepala Helena mencari wajah Izzat yang sedang memandu. Amboi, siap bagi syarat bagai. Ingat dia Paris Hilton ke apa? Rungutnya di dalam hati.
“Apasal diam? Boleh ke tak ni?”“Oh well, depends pada apa syarat you.” Balas Helena bersahaja.Izzat tersenyum nipis. “Firstly, aku tak nak kau jumpa Fareeq lagi.”Mata Helena membulat tanda terkejut. Apa pulak kaitan Fareeq dalam ini cerita?“Excuse me? Kenapa pulak I…”
“Kau yang suruh aku jauhkan dia dari kau kan? So?” Pintas Izzat sedikit geram. “Kau kata kau dah tak nak dia, buat apa kau nak jumpa dia lagi? Aku tak nak dia asyik cari kau kat kedai aku tu, semak!”Helena mendiamkan diri. Memanglah dia cakap macam tu dengan Izzat, tapi hakikatnya dia masih sayangkan Fareeq. Cinta yang kukuh tak mungkin boleh hilang sekelip mata.
“Boleh ke tak ni?”Helena tersenyum paksa. “Boleh Encik Izzat, boleh sangat-sangat.”“Bagus.” Lebar senyuman terukir di bibir Izzat.
Dia berharap selepas ini keresahannya akan hilang, hatinya tidak akan perit lagi…dia mahu begitu.
Published on May 29, 2013 02:01
No comments have been added yet.
Acik Lana's Blog
- Acik Lana's profile
- 379 followers
Acik Lana isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.

