Bab 3 : Hati Yang Memanggil Namamu...
Ketika selesai membasuh beberapa biji cawan di singki, perhatiannya teralih kepada sesusuk tubuh yang memasuki ruang dapur sederhana luas itu. Sekilas dia mengangkat muka, menjeling ke sebelah kanan. Dia tahu itu bukan bayang ibunya, bukan juga kelibat Izzati.“Good morning!” Suara itu menyapa ceria.
Perlahan Izzat melepaskan keluhan kurang senang. Tubuhnya dipusingkan dan dia bersandar di kabinet dengan tangan mengelap cawan menggunakan sehelai tuala kecil. Matanya tajam memerhati gerak geri perempuan itu yang selamba saja mengambil tempat di meja makan.
Pagi ini dia melihat riak berbeza pada wajah mulus itu. Jika semalam penuh dengan drama airmata, hari ini raut itu lebih tenang dan ceria. Juga bersih tanpa sedikit pun calitan mekap. Terpandangkan baju t-shirt Izzati tersarung di tubuh Helena, hatinya dipagut rasa kurang senang. Bimbang juga kalau sudah diberi betis, perempuan itu meminta paha pula.
“Wah, sedapnya! I’m starving, can I eat this? …” Pandangan Helena yang menjelajah liar dari satu pinggan ke satu pinggan kini terhenti di wajah lelaki yang masih berdiri berdekatan singki. Wajah itu masam mencuka, sedikit pun tidak menunjuk kemesraan. Dasar lelaki berlagak!
“Mana adab kau ni?”Helena tercengang dan kemudian bibirnya mencebik pula. Sudah dia jangkakan lelaki yang disebut-sebut sebagai Izzat itu akan terus menyakiti perasaannya. Tapi silap besarlah sebab dia ini bukan jenis perempuan lembik!
Tidak mengendahkan jelingan di hujung sana, tangannya mengangkat pinggan yang tertiarap di meja. French toast dan telur separuh masak memang sarapan kegemarannya selama ini. Mana mungkin dia mampu menangguhkan rasa lapar yang sejak malam tadi berpesta dalam perutnya.
Melihat Helena mencapai sekeping roti, rapat Izzat mengetap bibirnya. Orang dah sound-sound, dia boleh buat selamba lagi? Memang muka tak malu betul!Entah kenapa dia ikutkan sangat rasa panas di hati sehingga langkahnya laju terhala ke meja makan. Melihat riak selamba di wajah itu, semakin membuak-buak rasa geram di hati. Pinggan berisi roti di hadapan Helena dicapai kasar, terdongak gadis itu memandangnya.
“What are you doing?” Marah Helena dengan tangan cuba menggapai pinggan itu namun pantas pula Izzat mengelak. Bibirnya diketap menahan rasa geram.“Soalan tu aku yang patut tanya kau, apa yang kau buat?”“Buat apa? I’m trying to eat my breakfast before you grab that damn plate!”“Oh my… mana adab kau ni, hah?”Mendengar sekali lagi sindiran itu, Helena mendengus bosan. “I dah mintak izin you tadi kan?”“Ada ke aku cakap aku izinkan?”
Sekali lagi Helena mendengus, kali ini perasaannya terusik tiba-tiba. Mungkin kerana dia kelaparan, kemudian tercampak pula ke rumah orang yang tidak dia kenali, dan apabila dilayan seteruk ini, hatinya sedih bukan kepalang. Pandangan yang berkaca-kaca dibuang ke sisi, tidak rela Izzat melihat dia tewas dan kalah.
Terpandangkan emosi Helena yang berubah, Izzat mengeluh perlahan. Dalam rasa geram dan marah melihat sikap gadis itu, hatinya dibalut juga rasa bersalah. Malam tadi ketika dibawa pulang ke rumahnya, Helena terus masuk tidur di bilik Izzati tanpa menjamah apa-apa makanan. Mungkin gadis itu benar-benar kelaparan.Pinggan berisi sekeping roti itu diletakkan semula di hadapan Helena. Sekilas gadis itu tunduk memandang dan sesaat kemudian berpaling semula ke sisi. Izzat mencebik kecil. Pandai nak merajuk pulak? Geli betul!
“Ijat, apa bendanya kecoh-kecoh sangat ni? Ibu jemur kain dekat luar pun boleh dengar tahu tak.” Puan Faizah tergesa-gesa memasuki ruang dapur dengan menjinjing bakul yang sudah kosong. Melihat anak sulungnya berdiri di sisi gadis bernama Helena itu dengan wajah mencuka, dia sudah boleh mengagak apa yang berlaku.
“Tak ada apalah ibu…” Balas Izzat acuh tidak acuh. Dia melangkah ke kabinet di sebelah kirinya untuk membancuh minuman. Malas mahu melayan pertanyaan-pertanyaan ibu yang pasti akan menyalahkan dirinya.
Perlahan Puan Faizah menggelengkan kepala melihat ragam Izzat. Pandangannya berpindah pula kepada Helena yang tunduk memandang pinggan berisi sekeping roti. Dia yakin Izzat marahkan budak perempuan ini kerana mahu bersarapan terlebih dahulu tanpa menunggu dia dan Izzati. Memanglah itu rutin keluarga mereka, tapi Helena mana tahu pantang larang dalam rumah ini.“Kamu lapar ya, Helena? Takpelah, makan dulu. Lagipun kamu tetamu dalam rumah makcik ni, jangan segan-segan tau..”
Izzat yang sedang menuang air panas ke dalam teko mencebik kecil. Dari malam tadi ibu sibuk menemuramah dia tentang Helena, mujur juga ibu tak pengsan malam tadi. Iyalah, tiba-tiba saja dia bawa balik seorang perempuan dari bukit itu.Mendengar ibunya berbual-bual dengan Helena, dia sekadar memasang telinga. Biarkan, lagipun bukannya perempuan itu akan tinggal di sini selama-lamanya. Sekejap lagi tahulah dia nak hantar ke pondok bas mana!
“Helena, makcik mintak maaf sebab malam tadi kita tak dapat sembang panjang. Lagipun makcik tengok kamu penat sangat, malaslah makcik nak ganggu kamu..”Helena tersenyum kecil kepada wanita yang duduk di hadapannya itu. Sedikit sebanyak hati berasa lega dengan kebaikan dan kelembutan kata-kata yang menerpa ke telinganya.“Tak apa makcik, saya yang patut mintak maaf sebab dah menyusahkan makcik sekeluarga…” Luahnya perlahan. Bimbang jika mamat poyo di hujung sana terdengar pula.
Puan Faizah tergelak kecil. Leka matanya menjamu seraut wajah yang begitu cantik dan comel ini. Malam tadi dia benar-benar menyangka Izzat bawakan dia bakal menantu, memang hatinya riang bukan kepalang. Namun bukan itu hakikat yang sebenar, dan sekali lagi dia berasa hampa.
Maklumlah, selama ini dia benar-benar risau melihat anaknya itu seperti tidak berminat dengan perempuan. Dan lihat saja cara Izzat melayan Helena sebentar tadi, keras dan dingin. Kalau lelaki normal, takkanlah tak terusik melihat perempuan secantik ini.Ya Allah… janganlah perasaan dan naluri anakku itu terpesong ke jalan yang salah. Sempat pula dia berdoa di dalam hati.
“Maaflah kalau makcik bertanya, Helena ni dah takde mak ayah ya?”Helena yang sedang mengunyah roti hampir tersedak dengan pertanyaan itu. Jiwanya kalut, tidak tahu mahu memberikan jawapan yang mana satu. “Err… sebenarnya saya…”
“Ibu, dia lari dari rumahlah. Silap-silap mak ayah dia pun dia dah tak ingat.”Rapat Helena mengetap bibir apabila Izzat muncul meletakkan seteko kopi panas di meja itu. Dadanya melantun laju, geram dengan mulut puaka yang begitu bijak meneka itu. Mana pulak mamat ni tahu pasal dirinya? Hesy, menyampah betul!
“Apa kamu merepek ni Ijat? Tak baik tuduh-tuduh orang macam tu…” Tegur Puan Faizah kurang senang. Dia menjeling anak lelakinya, menyampaikan isyarat supaya Izzat menjaga kelakuannya. Pandangan dialihkan semula kepada Helena yang sudah kemerahan pipi, geram agaknya dengan mulut cabul si Izzat itu.“Kamu jangan ambik hati ya Helena? Izzat ni memang suka cakap lepas, terlebih jujur kononnya. Tapi sebenarnya hati dia baik, dia penyayang, dia…”
“Ibu, cukup.” Pintas Izzat kurang senang. Sudah terbiasa dengan sikap ibunya yang pasti akan membariskan semua sikap baiknya di hadapan mana-mana perempuan muda. Nak upkan saham anak sendirilah tu. Tapi dengan perempuan seperti ini, rasanya tidak perlulah ibu membazirkan air liur. Buang karan!
Puan Faizah mencebik kecil dengan tegahan Izzat. Kemudian perhatiannya kembali tertumpu kepada Helena. “Kamu ni belajar lagi ke?”“Err.. dah kerja makcik.” “Kerja dekat mana?”“Saya secretary dekat kompeni lama saya dulu, dekat JB makcik.” Ucap Helena berterus terang.
“Secretary? Wah, mesti ramai bos mengurat kamu kan? Orang lawa macam ni memang saham tinggi melangit.” usik Puan Faizah seraya tertawa.Kelat senyuman di bibir Helena dengan gurauan itu. Sedikit pun dia tidak terasa lucu kerana tiba-tiba saja hatinya terasa perit dan pedih.
“Jadi lepas ni Helena nak balik ke JB la ya?”Perlahan Helena menggelengkan kepalanya. Sekilas dia mendongak mencuri pandang kepada Izzat, dan lelaki itu masih tegak berdiri seraya memeluk tubuh. Mengada-ngada, sibuk je nak pasang telinga!“Saya dah berhenti kerja makcik…” tuturnya antara dengar dan tidak.
Puan Faizah mula tidak sedap hati, naluri keibuannya tanpa dapat dielak memutikkan rasa resah dan risau. “Dah berhenti kerja? Habis tu kamu nak ke mana lepas ni?”“Err.. saya tak tahu lagi makcik sebab saya pun tak kenal siapa-siapa dekat sini.” Luah Helena serba salah. “Buat sementara waktu ni mungkin saya akan duduk di hotel murah sementara nak cari rumah sewa yang elok sikit. Tunggulah sampai saya dah dapat kerja nanti…”
“Nak duduk hotel? Selamat ke duduk hotel dekat KL ni?” Soal Puan Faizah ragu-ragu. Mempunyai seorang anak perempuan seperti Izzati, dia jadi bimbang mahu memandang remeh kesusahan gadis di hadapannya ini. Manalah tahu suatu hari nanti takdir berputar dan Izzati pula berada di kedudukan seperti ini. Siapa yang mahu membantu anaknya?
Walaupun mungkin hubungan Helena dan ibubapanya tidak baik, dia yakin tidak ada ibubapa yang terlupa menitipkan doa supaya anaknya sentiasa berada di dalam keadaan selamat. Dan apabila Helena berdiri di muka pintu rumahnya dalam keadaan tidak tentu arah, tanpa haluan yang betul, takkanlah dia mahu menutup rapat pintu rumahnya pula. Sekurang-kurangnya dia perlu mengambil langkah untuk membantu gadis ini.
Izzat menjeling ibunya yang seperti sedang berfikir panjang. Dadanya mula berdebar-debar, dia bukan tidak kenal sikap ibunya itu. Sudah berapa kali rumah ini menjadi rumah tumpangan amah-amah yang lari dari rumah majikan kejam, dan kali ini dia yakin ibunya mahu melakukan perkara yang serupa.
“Macam nilah…” Puan Faizah menyentuh lengan Helena, bibirnya mengukir senyuman mesra. “Apa kata Helena tinggal aje dekat rumah makcik ni sementara dapat kerja yang sesuai. Lagipun bilik Izzati tu besar, selesa jugaklah kamu nak tidur baring dekat situ…”
Bulat mata Izzat, dan bulat lagi mata Helena mendengar tawaran dari bibir Puan Faizah.“Ibu, ibu cakap apa ni?” Sanggah Izzat dengan wajah kurang senang. Dia merengus seraya melurut rambutnya berkali-kali. Sangkanya dia sudah boleh mengheret Helena ke pondok bas sebentar lagi.
“Ibu nak tolong dia, apa salahnya? Lagipun cuba Ijat bayangkan kalau Zati yang kena macam ni, takkanlah kita sampai hati biar dia takde tempat berteduh.” Luah Puan Faizah sedikit tegas. “Helena, kamu tinggal sajalah dekat sini selama mana yang kamu mahu. Makcik tak kisah dan kalau kamu rasa bosan, kamu boleh tolong makcik dekat gerai nanti.”
Helena serba salah namun dia tidak ada pilihan lain selain menerima dengan tangan terbuka. Lagipun dia tidak punya wang walau sesen pun. Mahu ditunggu Biha mengirimkan duit untuknya, entah bila boleh sampai ke tangan.“Err.. boleh ke? Tak menyusahkan makcik?” Soalnya serba salah.“Susah apanya, makcik terima Helena selapang dada ni. Makcik ikhlas…”
Mata Izzat semakin membulat. Mudah benar ibunya menerima orang yang tak dikenali masuk ke dalam rumah ini. “Ijat tak setuju ibu. Lagipun Ijat ni kan lelaki, mana boleh Ijat duduk serumah dengan dia!” “Aik? Kamu heran ke? Selama ni ibu tengok kamu pandang perempuan sebelah mata pun tidak, apa masalahnya sekarang?” Sindir Puan Faizah tepat. “Sementara Helena duduk dekat sini, kamu tinggallah dekat rumah sewa kita kat belakang tu. Time makan aje baru kamu balik rumah ibu ni..”
Izzat terlopong. Amboi.. siapa anak siapa ni? Dia kemudian merengus geram, semakin sakit jiwa memandang Helena yang menjeling kepadanya. Sukalah tu sebab ibu sokong dia!
“Sudahlah tu, jangan nak bergaduh-gaduh pasal ni lagi. Kita ikhlaskan niat kita nak menolong Helena kerana Allah, kan dapat pahala tu…” Nasihat Puan Faizah seraya bangkit dari duduknya. Dia tidak mempedulikan rengusan-rengusan marah Izzat. Lagipun dia mahu lihat sejauh mana hati Izzat tersasar seperti tanggapannya sebelum ini. Kalau dengan Helena yang cantik jelita ini pun anaknya tidak terpikat, memang ada benda tak kenalah tu. Nauzubillah! “Ijat, tuangkan kopi untuk Helena ni. Ibu nak naik atas panggilkan adik kamu tu. Zati tu kalau tak disimbah dengan air, mana reti nak bangkit tidur…”
Sekali lagi Izzat merengus dengan arahan ibunya yang sudah melangkah keluar dari ruang itu. Dia pulak nak kena tuangkan kopi? Melampau betul! Tajam matanya memanah wajah Helena yang tersenyum-senyum mencapai sekeping lagi roti.“Seronok menyusahkan orang?” Helena mengerling, mencebikkan bibirnya dengan mulut penuh berisi roti. “Ikhlaskan hati you, InsyaAllah dapat pahala tau..”
“Kau ni memang…” Rapat Izzat mengetap bibirnya. tidak terjumpa kata-kata yang sesuai untuk dilepaskan dari mulutnya.“We’re housemate now. Nice to meet you Ijat!” Balas Helena seraya menayang giginya yang tersusun kemas. Sengaja dia menyebut nama gelaran manja lelaki itu dengan niat untuk menyakitkan hati.
Semakin panas rasa di hati Izzat dengan gurauan bersahaja Helena. Enggan merendahkan egonya, laju saja kaki membawa diri keluar dari ruang dapur itu. Dia sakit hati sangat-sangat. Dia tidak salahkan ibunya kerana mahu membantu orang yang dalam kesusahan, tapi membantu perempuan yang sengaja mencari susah memang tidak adil bunyinya.Dan kini dia rasa menyesal yang teramat… sepatutnya dia pergi main futsal malam semalam!
Published on January 15, 2013 00:38
No comments have been added yet.
Acik Lana's Blog
- Acik Lana's profile
- 379 followers
Acik Lana isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.

