Malam di Kampuchea dan Gadis Perancis

Malam pertama di Phnom Penh, aku mengambil keputusan untuk berehat di lobi Backpacker. Sendirian di negara asing buat kali pertama membuatkan aku sedikit kekok tetapi tentu sahaja aku tidak  mahu terperap di dalam bilik yang tidak punya tingkap dan ditemani dengan lukisan Buddha itu sahaja. Lantas aku duduk di atas kerusi panjang, bertentangan dengan sebuah lagi kerusi yang telah dibaringi oleh seorang gadis Perancis.


Menurut beliau, dia sedang menunggu bas ke Angkor Wat tengah malam nanti dan seperti aku, dia juga berseorangan di tanah Kampuchea ini. Perbualan kami bermula basa basi sehingga aku menanyakan ke mana beliau pergi pagi tadi.


“Killing field,” ujarnya lembut.


“ Dan kau tidak ke Genocide Museum?”


Dia menggeleng. “Aku tidak mampu ke sana.”


Awalnya kufikir, ah barangkali dia penat jadi dia tidak larat untuk pergi ke muzium yang dahulunya merupakan sebuah sekolah yang menjadi tempat penyeksaan tahanan-tahanan sewaktu pemerintahan Pol Pot. Ia juga dikenali dengan Penjara S-21.


Ternyata dia tidak mampu ke sana kerana emosi. Dia tidak mampu menanggung emosi yang berat untuk ke sana. Aku bingung. Apa yang berat sangat? Apa yang teruk sangat sampai tak mampu nak pergi dua tempat tu sekali?


Lantas aku berazam untuk menyahut cabaran tersebut. Aku akan ke sana, dua tempat itu, pada hari esok.


Dan malam kedua di Phnom Penh, barulah aku mengetahui apa yang dimaksudkan oleh gadis Perancis itu. Bukan sahaja mengetahui, malah merasai apa yang dikatakannya semalam. Emosi.


Ternyata kita tidak perlu menunggu satu lagi meteor jatuh menghempas bumi atau kaum alien datang dari planet lain untuk membunuh tamadun manusia kerana kita sendiri, sebagai manusia, adalah pihak yang bertanggunjawab membunuh erti kemanusiaan itu sendiri.


Emosi. Bagaimana untuk mengawal emosi ketika tanah yang diinjak itu adalah saksi kepada kemusnahan nilai kemanusiaan yang dibunuh oleh tangan manusia sendiri.


Dan aku masih mencari jawapan kepada soalan tersebut.


[image error] [image error] [image error] [image error]


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 18, 2017 02:51
No comments have been added yet.