Menyusun perancangan I (Menulis dalam kepala?)
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Sudah lama saya hendak berkongsi tentang topik ini, tetapi belum betul-betul berkesempatan membuat kajian tentangnya. Topik ini mungkin terbahagi kepada beberapa bahagian lagi, memandangkan 'MENYUSUN PERANCANGAN' inilah yang paling penting sekali, sebelum penulis betul-betul mendapat momentum untuk memulakan bab 1 karyanya!
Anda yang mengikuti blog ini kebanyakannya penulis, bukan? Tentu anda tahu bagaimana rasanya jika mahu memulakan sesuatu penulisan anda (tidak kira novel, cerpen, menulis blog dan sebagainya). Bagaimana keadaan anda ketika itu. Beberapa orang penulis yang pernah berkongsi dengan saya memberitahu bahawa fikiran mereka akan penuh dengan segala yang dirancang itu, sehingga ada antara mereka mendifinisikannya sebagai 'menulis dalam kepala'.
Sebenarnya, sedar atau tidak, menulis dalam kepala ini sangat merugikan. Malangnya, ia berlaku, terutama ketika penulis (seperti saya) hendak tidur dan ada kalanya sehingga bermimpi. Saya ingin memberi cadangan pada anda, sekiranya anda berada di dalam situasi ini, kuatkan tenaga dan hati anda untuk membuka komputer atau buku catatan anda dan.... tuliskan segala yang keluar dalam kepala anda itu. Sebenarnya, waktu itulah idea anda sedang mengalir dengan laju sekali. Jika anda biarkan, anda sedang kehilangan lebih dari separuh idea yang bagus-bagus kerana sifat kita sebagai insan yang pelupa ini!
Jadi, ketika anda mula mendapat momentum untuk memulakan bab 1, anda telah diiringi oleh idea-idea yang mungkin akan digunakan dalam bab-bab lain juga. Idea-idea ini mungkin tidak digunakan kesemuanya, tetapi itu anda boleh fikirkan kemudian. Yang penting anda tidak kehilangan idea-idea yang bagus ini. Dan idea-idea itu juga mungkin belum sempurna... tetapi, jangan risau... anda sempurnakannya kemudian!
Inilah cara yang saya gunakan ketika saya menulis dua buah novel serentak baru-baru ini.
Dengan latihan membuat catatan dan rangka yang baik, kecenderungan anda untuk menulis berdasarkan mood dan emosi akan berkurangan. Tidak saya nafikan, penulis mahu atau tidak terpaksa melayan juga moodnya ketika menulis, kerana penulis (terutamanya novel) perlu kuat bermain dengan emosi. Tetapi, mengharapkan mood semata-mata boleh menurunkan produktiviti anda.
Sewaktu saya merangka dua buah novel serentak baru-baru ini, sebuah novel fiksyen sains remaja dan sebuah novel cinta Islam, saya telah menyusun dua buah fail untuk rangka kedua-dua buah novel ini. Caranya, apabila saya rasa bosan untk berfikir tentang novel remaja itu, atau ketandusan idea, saya beralih ke fail yang mengandungi novel cinta pula. Waktu ini. juga saya panggilnya sebagai waktu brainstorming (ribut idea) saya ambil lebih kurang tiga minggu. Apabila saya rasa cukup kuat, barulah saya mula menulis.
Ketika itu saya tersedar bahawa saya telah menjadi seorang penulis yang objektif, dan tidak lagi menulis mengikut emosi. Cuma, saya tetapkan dalam fikiran saya, novel remaja ini, corak ceritanya kelakar dan emosi wataknya mesti saya jadikan keanak-anakan dan adventerous manakala novel cinta ini pula, corak ceritanya tegang dan emosi wataknya penuh kesedihan dan pengharapan. Kalau saya mengharapkan mood dan emosi saya sendiri waktu itu untuk menggerakkan penulisan saya, harus saya pening di tengah-tengahnya.
Kata pepatah Rusia 'Sekiranya anda cuba duduk di atas dua buah kerusi serentak, anda bakal jatuh'! Ya! Anda akan jatuh jika cuba duduk tanpa teknik dan perancangan yang teliti. Saya tidak berkata hanya untuk kes saya semata-mata. Sebenarnya, ramai orang suka menulis, dan bercita-cita untuk menulis... tetapi mereka ada perkara lain yang perlu dilakukan pada waktu yang sama (masalah kerja, menjaga anak dll), dan tidak dapat menyediakan emosi untuk menggarap sesebuah karya. Dalam hal ini, teknik amat penting dengan syarat anda telah menyusun bahawa emosi watak A akan jadi begini, emosi watak B akan jadi begitu... dan bukannya anda tumpukan pada emosi anda!
Artikel berikutnya, saya akan menyenaraikan soalan-soalan dan nota yang perlu ditulis sewaktu anda berada dalam 'ribut idea' ini. Saya biarkan anda fikirkan dahulu tentang artikel hari ini, dan ambil masa untuk menyerap logiknya dalam kepala anda.
Semoga artikel ini dapat membantu memberi momentum pada anda yang ingin menulis dan belum berkesempatan, insya Allah.
Published on October 05, 2010 17:14
No comments have been added yet.
Nurulsham Saidin's Blog
- Nurulsham Saidin's profile
- 5 followers
Nurulsham Saidin isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.

