Bab 11 : Hati Yang Memanggil Namamu...



Di pantry, Izzat masih tekun menyiapkan adunan kek red velvet yang menjadi bintang utama di bakerinya. Sejak bakeri ini dibuka, memang kek red velvet inilah yang menjadi kegemaran para pelanggannya. Mungkin kerana kegebuan kek, perisa yang seimbang dan dekorasi menawan berjaya menyentuh selera penggemar-penggemar kek yang berada di sekitar kawasannya.
Kalau dikirakan persaingan, memang tidak terkira banyaknya. Lagipun di kota besar begini, kedai kek dan bakeri memang bersepah-sepah. Itu belum lagi termasuk persaingan dengan peniaga-peniaga yang menjual kek secara online.
Boleh dikatakan kebelakangan ini perniagaan bakeri semakin popular di Malaysia. Mungkin kerana permintaan semakin meningkat dan corak hidup di zaman moden ini juga sudah jauh berubah. Kek bukan lagi diperlukan setakat di majlis harijadi, malah majlis-majlis keraian lain juga telah meningkatkan permintaan manisan itu di pasaran. Majlis aqiqah, bertunang, baby shower, bachelor party, dan bermacam-macam majlis lagi yang wujud kerana perkembangan budaya dan cara hidup.
Walaupun persaingan agak sengit, Izzat tahu dia perlu bekerja keras dan berusaha mencari kelainan supaya bakerinya mempunyai ‘signature’ yang tersendiri. Dan syukurlah, kelainan rasa dan tekstur red velvet yang dicipta olehnya telah menaikkan nama Dulceamorbiarpun secara perlahan-lahan.
Sebenarnya dia tidak ada resepi rahsia dalam menghasilkan red velvet yang berkualiti dan enak. Tidak mustahil  resepinya juga sama seperti resepi-resepi orang lain. Dia masih menggunakan telur, butter, tepung naik sendiri, koko powder, buttermilk, baking powder dan sedikit cuka. Untuk cream cheese frosting pula dia menggunakan mascarpone cheese, cream cheese, esen vanilla dan sedikit whipping cream untuk kegebuan. Mudah dan ringkas.
Apa yang paling penting, sukatan perlu sentiasa konsisten untuk mendapatkan rasa dan tekstur yang seimbang. Tidak perlu terlalu manis, namun wajib menjadi makanan yang enak apabila digabungkan dengan topping  yang penuh dengan pelbagai rasa.
“Izzat, ni pukul berapa nak tutup kedai ni?”Pertanyaan dari Aida mengalihkan tumpuan Izzat yang sedang meletakkan adunan kek ke dalam loyang. Dia mengerling ke arah jam di dinding yang sudah menginjak ke pukul lapan malam. Dan sepatutnya pada waktu begini mereka sudah berkemas-kemas untuk menutup operasi bakerinya.
“Hmm… kau kemaslah dulu. Aku nak siapkan last batch kek ni, ada customer nak malam ni jugak.” Balas Izzat seraya menyambung semula kerjanya.Mahu atau tidak, dia sudah berjanji dengan pelanggan tetapnya itu untuk menyiapkan tempahan 50 biji kek cawan red velvet. Tempahan di penghujung hari, tak sampai hati pula dia mahu menolak apabila berterusan dipujuk rayu.
“Siapa suruh kau accept order last minute, kan dah satu kerja nak menyiapkan kek tu.”Terdengarkan rungutan Aida di sebelah sana, Izzat sekadar tersenyum kecil. Apa boleh buat, kadangkala dia perlu berkorban untuk menjaga hati para pelanggannya. Dia perlu belajar memberi dengan lebih banyak biarpun menerima tidak sebanyak mana.
“Helena mana? Time closing aje hilang, time closing aje hilang. Mengelat betullah!” Bebel Aida yang sedang sibuk mengemas meja kerjanya. Mahunya dia tak geram, Helena memang selalu mengelak apabila disuruh membuat kerja-kerja berat. Lagilah kalau disuruh membasuh segala perkakasan yang mereka gunakan sepanjang hari. Takut tangan kasar konon, mengada-ngada!“Dia tolong Zue dekat depan, biarlah dia.” “Eh, kau cakap apa Izzat?”
“Cakap apanya?” Izzat menjeling sedikit. Dia nampak Aida bercekak pinggang dengan muka tidak puas hati di hujung sana. “Kau cakap biarkan aje? Eh, hello… kau ingat dia sorang aje takut tangan kasar?” Sindir Aida geram. “Ni, aku ni. Aku ni nak kahwin bulan depan tau, aku yang patut jaga tangan aku ni biar licin dan lembut. Minah tu memang banyak alasanlah, pemalas!”
Perlahan Izzat menolak acuan cupcakes yang sudah penuh diisi itu ke tengah meja. Kalau melayan bebelan Aida, sampai esok pun tak habis! Dia tahu Aida kurang senang dengan sikap Helena, tapi apa yang boleh dia buat? Sejak kejadian disimbah air dua hari lepas, tiba-tiba saja mulutnya ini sudah rapat terkunci. Nak bercakap dengan Helena pun dia rasa berat lidah, lagi nak mengarah-arah suruh buat kerja. Hatinya masih digayuti rasa bersalah kerana menyakiti perasaan Helena, dia memang benar-benar rasa bersalah.Lagipun dia lihat kebelakangan ini Helena seolah-olah sengaja menjauhkan diri darinya. Pergi ke kedai pun Helena lebih selesa menumpang Zuhira. Cuma pada sebelah malam saja gadis itu terpaksa pulang bersamanya. Itu pun masing-masing tidak mahu bersuara. Dia diam, Helena diam. Memang kekok!
“Kau ni dengar ke tak aku cakap ni Izzat?”Sekali lagi perhatian Izzat kembali kepada Aida dengan senyuman kecil. Perempuan ni memang macam ni. Selagi tak dapat apa yang dia nak, selagi itulah mulut menceceh macam mak nenek!“Iyalah Aida, kau lebih berhak dapat tangan lembut tu.”“So?”“So kau lambak ajelah semua tu dalam singki. Nanti aku dah settle kerja ni, aku cucikan.” “Hah? Kau ni biar betul, kau nak cuci semua ni?”“Kenapa? Macamlah aku tak pernah cuci pinggan mangkuk dekat rumah aku.”“Iyalah, masalahnya mana pernah kau buat kerja-kerja mencuci dekat sini, kau kan bos!”
Terlepas tawa Izzat dengan kata-kata dari bibir temannya itu. “Habis tu kau tak nak buat, aku nak suruh siapa lagi? Nanti karang kau kompelin pulak aku ni majikan kuku besi.” Ujarnya sambil memasukkan dulang ke dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu.“Hek eleh, habis tu tak boleh suruh pekerja kesayangan kau tu buat? Mana aci dia asyik buat kerja deco aje, kerja-kerja lain tak nak buat!” Sanggah Aida lagi. “Aik? Bukan kau ke pekerja kesayangan aku?” “Puii! Jangan nak menipu Izzat, muka kau buruk gila bila menipu!”
Terdengarkan balasan itu, terbahak-bahak Izzat melepaskan tawanya. Reaksi wajah Aida benar-benar menggelikan hatinya, memang muka sehabis jujur bila bercakap!“Gelaklah, gelak. Orang cakap benda betul, dia gelak pulak! Kau tu memang bagi muka sangat dekat Helena tu, naik lemak tahu tak?”
Sedikit berubah airmuka Izzat apabila nama Helena dikaitkan dengan dirinya. Senyuman di bibir serta merta layu, dan dia tidak dapat mengelak apabila ada segumpal rasa bersalah menerjah ke dada. Dia bukan memberi muka, jauh sekali sengaja mahu memanjakan Helena, dia cuma tidak mampu mahu mengarah gadis itu. Mahu menegur ‘hai’ pun mulutnya liat, lagi mahu mengarah yang bukan-bukan.
“Kau ni dah jatuh syok kat dia ke apa?”Tersentak Izzat apabila pertanyaan itu memanah tajam ke telinganya. Dia mengangkat muka, memandang wajah Aida yang masih bersahaja. Getaran halus di dadanya muncul entah dari mana, membuatkan dia sedikit kalut mahu menyorok riak muka. “Kau ni asyik merapu tak habis-habis. Kan elok sambil kau membebel tu, tangan kau bergerak sekali buat kerja.” Balasnya menutup rasa.
“Eh-eh, tukar topik?” Giat Aida mengusik. “First time ni aku tengok muka kau macam ni.”“Muka apa pulak ni?”“Elelelele… buat-buat tak tahu pulak. Kau tahu tak muka kau tengah merah sekarang?”Izzat mencebikkan bibirnya, menayang muka selamba. Muka saja selamba, dalam hatinya ini sudah berdebar bagai nak gila. Lebih-lebih lagi dia dapat merasakan kulit pipinya berbahang hangat. Ah sudah, apahal nak blushing-blushing pulak ni? Tak sesuai betul!
“Aku rasa mesti ibu kau seronok kalau tahu pasal ni. Iyalah, anak dia dah terbukti jantan.” Aida tergelak besar, seronok benar dapat mengenakan Izzat. “Tapi kau jangan main-main dengan api Izzat, nanti esok-esok hati kau pulak rentung terbakar.”Peringatan Aida melumpuhkan pergerakan Izzat yang sejak tadi sibuk bergerak ke sana sini. Kepalanya kosong tiba-tiba, hanya lantunan jantung masih bergerak laju tanpa sebab.“Kau cakap apa ni?” soalnya dengan riak kurang senang.Aneh sungguh, Aida seolah-olah mampu membaca hati dan perasaannya. Mampu mendengar rentak berbeza yang mula wujud jauh di dalam sana. Ada magic ke apa perempuan ni?
“Tak betul apa aku cakap? Kau suka Helena kan?”“No, I am not. Kau pun tahu aku macam mana kan? Please la, perempuan macam tu bukan taste akulah!” Dan tatkala keyakinan itu diluahkan kepada Aida, pandangan Izzat serta merta tertancap ke seraut wajah yang tiba-tiba muncul di situ.
Bibirnya serta merta terkatup rapat, darah pula berderau laju ke kepala. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya ke arah meja kerja. Nafas mula kalut, dan perasaan kian resah apabila langkah gadis itu semakin menghampirinya. Tangan yang teratur bekerja mula tidak tentu arah menyentuh barang. Serba tidak kena.
“Izzat.” Suara itu memanggil dengan nada mendatar.Dalam rasa gelisah, Izzat cuba sedaya upaya mengawal riak wajahnya. Dia tidak boleh nampak lemah depan perempuan! Kepalanya didongakkan sedikit, memberi perhatian kepada sepasang mata yang tidak bersinar itu. Aduhai.. Helena terdengar ke apa yang dia cakap tadi?
“I nak mintak tolong sikit..” Ucap Helena perlahan. Pandangannya singgah seketika di wajah Aida yang pura-pura sibuk mengemas di hujung sana.  Macamlah dia tak dengar apa yang disembangkan budak berdua ini tadi. Telinganya ini bukan pekak, dan dia sendiri rasa mahu tergelak besar dengan anggapan Aida. Aida kata Izzat sukakan dia? Hoi.. memang terbaliklah dunia! Apa punya teorilah minah tu pakai.
“Kau nak cakap, cakap cepat. Nampak tak aku tengah sibuk ni?”Teguran itu mengalihkan semula perhatiannya kepada Izzat yang masih berdiri tegak memandangnya. Terhenti kerja lelaki itu gara-gara mahu mendengar apa yang ingin dia sampaikan.“Err.. actually, I nak you tolong I untuk satu perkara.” “Apa dia?”Helena menggigit bibirnya, masih ragu-ragu. “Hmm.. sebenarnya I dah break up dengan Fareeq. I dah tak nak jumpa dia lagi.”
Beberapa saat Izzat tercengang dengan apa yang didengarinya. Memang dia tahu Helena sudah bertunang dengan Fareeq, tapi dia tidak tahu pula hubungan mereka sudah berakhir. Patutlah Helena menangis dan berterusan menolak Fareeq pada malam itu.“Izzat, boleh tak you tolong I? kalau Fareeq datang sini cari I, you cakap I dah berhenti kerja ya? You cakap you pun tak tahu I pergi mana sebab I dah tinggalkan rumah you.”
Izzat mengeluh perlahan. Tanpa memberikan jawapan kepada Helena, dia kembali menyambung kerjanya yang tertangguh. Nampak seperti dia tidak mempedulikan permintaan itu, tapi sebenarnya otak dia sudah ligat bekerja.  Dia perlu mencari ayat-ayat yang sesuai supaya Fareeq yakin dengan apa yang dia katakan nanti.
“Boleh tak you tolong I Izzat? I tahu Fareeq mesti datang sini malam ni cari I.” Pinta Helena mengharap. Dari perbualannya dengan Biha petang tadi, dia mendapat tahu yang Fareeq baru saja pulang dari Sabah selepas berkursus selama dua hari. Dan dia yakin lelaki itu akan terus mengejar dan menghambatnya di sini. “Aku tak nak masuk campur hal kau. Pandai-pandailah kau settlekan sendiri.”
Bulat mata Helena mendengar balasan Izzat. Ya Allah.. lelaki ni memang tak berhati perut langsung! Dia tahulah Izzat bengang sebab Fareeq pernah tersalah anggap hubungan mereka berdua, tapi janganlah kejam sangat. Dia betul-betul terdesak ni!“Izzat, I cuma nak you..”
“Aida, kau tolong tengokkan kek aku ni sekejap. Aku nak pergi depan kira duit.” Izzat memotong percakapan Helena tanpa sempat gadis itu menghabiskan ayatnya. Dia tahu Helena tercengang dan marah, namun dia pura-pura tidak mengerti.
“Izzat, bukan banyak sangat kudrat you I mintak. I cuma nak you tolong cover I, itu aje!” Helena mengekori langkah lelaki itu ke pintu. Hati dia ini sakit sangat-sangat, rasa macam nak pecah  dibuat Izzat! Macam manalah lelaki hati batu macam ni boleh hidup tenang dekat dunia?
“Helena, listen.” Izzat memberhentikan langkah apabila Helena berterusan mengekorinya. Pandangan mereka berlaga tepat, dan jelas riak wajah gadis itu kelihatan merah padam. Mungkin kerana terlalu marah dan geram.“Aku kata aku tak nak masuk campur hal kau. Dan sekarang ni dengar pulak apa yang aku nak mintak kau buat.”
Helena menyilangkan tangan ke tubuh, menunjuk muka berlagak.“Pergi belakang sana, cuci semua alat-alat dalam singki tu. Pukul sembilan nanti aku nak semua dah settle. Faham?”“Wh.. what?” Hanya itu yang mampu terluah dari bibir Helena apabila Izzat berlalu meninggalkannya.
Dia mahu mengejar, mahu menyambung pertelingkahan yang belum selesai, namun kakinya terasa berat mahu melangkah ke ruang depan. Dia bimbang kalau-kalau Fareeq muncul penuh bergaya untuk memujuk dan merayunya. Dia takut dia tidak kuat mahu melawan desakan lelaki itu.Terkenangkan arahan Izzat sebentar tadi, bibirnya diketap geram. Ada ubi ada batas, Izzat!


*************** 


Baru beberapa minit Izzat duduk di kaunter mengira wang jualan, suara garau yang memberi salam serta merta menarik perhatiannya. Bebola mata pantas mencari empunya diri, dan jelas di pandangannya Fareeq melangkah masuk dengan riak mesra. Dengan sopan, salam itu disambutnya dengan senyuman kecil.Walaupun hatinya panas dengan tuduhan Fareeq pada pertemuan pertama mereka dahulu, namun dia cuba bersikap matang. Lelaki itu datang secara baik, jadi dia juga perlu bersikap serupa. Namun timbul juga rasa bangga dalam dirinya kerana lelaki sehebat Fareeq berasa tergugat dengan kehadirannya di sisi Helena. Hebat!
 “Dah tutup kedai ke?” Tanya Fareeq sebelum tangan mereka bertaut erat beberapa saat.Izzat sekadar tersenyum nipis dengan pertanyaan  yang seinggah ke telinganya. Dia tidak buta untuk melihat riak teruja di wajah segak itu, malahan mata Fareeq melilau ke sana sini bagaikan mencari sesuatu. Mencari Helena mungkin? “Yup, kita tutup pukul sembilan. Kau datang nak beli kek ke?”
Fareeq tersenyum lebar. “Oh tak, tak. Aku nak cari Elle, dia ada?”“Elle?” Izzat pura-pura tidak mengerti dengan nama panggilan itu.“Oh sorry, I mean Helena. Dia ada kan?” Seketika Izzat mendiamkan diri. Kepala dan fikiran mula ligat mengorek ayat-ayat yang telah tersimpan kemas di otaknya sejak tadi. Entah ayat yang mana satu perlu dia gunakan terlebih dahulu.
“Helena tak ada, dia dah berhenti kerja.” Ucap Izzat senafas. Tidak mahu melawan pandangan Fareeq yang mungkin curiga, dia tunduk mengemaskan duit-duit di dalam cash register. “Berhenti? Helena berhenti kerja? But when?” Soal Fareeq sedikit cemas. Perasaannya mula kalut, resah dan gelisah. Dia tidak mahu kehilangan Helena sekali lagi dan dia benar-benar tidak menyangka langkah Helena begitu cepat meninggalkannya. Helena tidak lagi mahu menelan janji-janji manis yang dia ucapkan beberapa hari yang lalu.
“Kelmarin.”“Oh god, Elle..” Fareeq mengeluh seraya melurut rambutnya beberapa kali. Dari pandangan mata Izzat, jelas kelihatan lelaki itu benar-benar kecewa dengan berita yang dia sampaikan. Mungkin kerana Fareeq terlalu mengharap kepada Helena, dan kenapa pula Helena langsung tidak sudi memaafkan kesalahan lelaki itu? Apa yang Fareeq buat?
“Izzat, dia ada bagitahu kau tak dia pergi mana? Ada dia cakap apa-apa dengan kau?”“Hmm… tak ada. Dia tak cakap apa-apa dengan aku, dia pergi macam tu aje.” Balas Izzat masih berbohong. Keluh kesah Fareeq sedikit sebanyak menggusarkan hatinya, manalah tahu kalau-kalau si Helena yang buat perangai dan bukannya Fareeq.
“Tapi Elle tinggal dengan familykau kan? Dia ada cakap apa-apa dengan emak kau?”Tersentak Izzat dengan pertanyaan itu. Sejak bila pula Fareeq tahu tentang itu? Seingatnya Helena menyuruh dia merahsiakan tentang tempat tinggalnya dari pengetahuan Fareeq. Sedikit rasa kurang enak mula menghembus ke hati, ada rasa curiga terbias sama.“Macam mana kau tahu?” soal Izzat dengan wajah serius.“Err.. what?”“Macam mana kau tahu Helena tinggal dengan family aku?”
“Oh, about that..” Fareeq mengeluh perlahan. Bibirnya diketap seketika, menunjuk reaksi kurang berminat mahu menjawab lurus. “It’s too personal bro, sorry I can’t tell you.”Berbahang panas hati Izzat dengan jawapan Fareeq yang kedengaran seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Dia bimbang, runsing dan resah memikirkan kemungkinan pergerakan keluarganya diintip oleh Fareeq sejak Helena tinggal bersama mereka.“Kau stalked family aku?”
What? Of course not!” Fareeq tergelak kecil. “Aku cuma perhatikan Helena, aku nak make sure dia selamat walau ke mana pun dia pergi.  And yes, dia beruntung dapat tinggal dengan keluarga kau. Emak dan adik kau layan dia baik sangat, she’s lucky.”
Izzat membuang pandang ke sisi. Entah kenapa dia berasa tidak sedap hati dengan jawapan Fareeq. Membayangkan keluarganya mungkin terlibat dengan masalah diantara Helena dan Fareeq, dia jadi bimbang. Pandangannya kembali teralih kepada Fareeq yang masih  mempamer wajah bersahaja. Dia tahu Fareeq bukan calang-calang lelaki. Melihat lelaki itu mengenakan pakaian berjenama dari hujung rambut ke hujung kaki, dia yakin Fareeq punya kuasa dan harta. Dan tidak mustahil Fareeq mampu melakukan apa sahaja untuk mendapatkan Helena semula. Silap-silap ibu dan Izzati pula mendapat susah nanti.
“Kau ada phone numberdia? Give it to me.”Permintaan Fareeq itu mengejutkan lamunan Izzat. Nombor telefon Helena? Jujurnya dia sendiri pun tidak pernah bertanya apa nombornya. Lagipun dah tinggal serumah,  nak telefon buat apa.“Sorry, aku tak ada nombor phone dia.”“Nak menipu pun agak-agaklah brader. Takkanlah kau tak simpan nombor dia?”
“Siapa yang menipu?” Terasa panas hati dengan tuduhan melulu itu, timbul pula perasaan mahu membalas dengan rasa serupa kepada Fareeq. “Kau ingat malam-malam aku nak bergayut dengan dia ke apa? Kitaorang duduk serumah kut, nak telefon apanya lagi.”
Airmuka Fareeq berubah, terkesan dengan apa yang diluahkan oleh Izzat. Pandangan bertembung tepat dan kali ini tidak ada lagi riak tenang dan mesra seperti awal tadi. Masing-masing merenung tajam, membiaskan rasa di hati yang bercampur baur.“What did you say? Duduk serumah?”“Yes, aku dah pindah masuk rumah mak aku semula.”
“What?” Mata Fareeq kian membulat. Mengikut informasi dari spy yang dia upah, Izzat tidak tinggal sebumbung dengan Helena. Lelaki itu tinggal di rumah kecil di belakang rumah ibunya. Jadi sekarang siapa yang silap? Ah, spytu memang bodoh! Kerja senang pun tak boleh nak buat.Perasaan di dadanya mula resah. Mungkinkah Helena sudah mencampaknya jauh-jauh kerana Izzat sudah kukuh berdiri di sisinya?
Sekilas anak mata berlari merenung lelaki di hadapannya ini. Kalau dikira pada harta dan gaya, dia tahu dia boleh menang dengan mudah. Namun kelebihan paras Izzat membuatkan dia resah sendiri, rasa tertewas tipis. Tidak mustahil Helena terpesona jika saban waktu mereka bertentang muka, apatah lagi kehadiran Izzat ketika hati Helena hancur berderai. Mungkin Izzat mengambil kesempatan merawat setiap kelukaan itu. Ah, sakit sungguh hatinya!“Betul kau tinggal serumah dengan Helena?”
“Yup, takkanlah aku nak tolak kalau ada orang nak sewa rumah belakang tu. Duit ansuran bank pun tak habis bayar lagi.” Bohong Izzat selamba. “Tapi kau tak payah nak cemburu sangatlah, dia dah keluar dari rumah aku pun.”“Aku tak percayakan kau Izzat.” Balas Fareeq serius. “Aku tak percaya bila kau kata Helena langsung tak contactkau lepas dia tinggalkan rumah tu. Mustahil kau…”
“Mustahil apa? Kau ingat aku ada hubungan dengan dia?” Pintas Izzat dengan nada serupa.“Perempuan secantik Helena, mustahil lelaki macam kau tak terasa apa.” Sindir Fareeq yakin. Dia sudah cukup berpengalaman, sudah kerap kali berasa sakit hati gara-gara ramai lelaki mahu berdampingan dengan tunangnya itu. Dan mustahil Izzat mampu menahan hati dengan setiap kelebihan Helena. Kalau pun bukan tarikan hati, tarikan fizikal pasti ada.
Then kalau aku ada ‘terasa’ pun, apa hak kau nak banyak soal?”Rapat Fareeq mengetap bibirnya melawan rasa cemburu yang menyengat ke hati. Jadi telahan dia tidak silap? Langkahnya mara setapak, semakin hampir dengan tubuh Izzat yang tegap berdiri menghadapnya. Bahang di muka terasa semakin hangat, hatinya kian panas.
She’s mine, Izzat. Jangan kau berani-berani nak ganggu tunang aku!”Izzat tersenyum sinis, mengejek. “Tapi Helena cakap dia dah putuskan hubungan dengan kau. So, she’s no longer yours. Dia bebas nak bersama dengan siapa pun yang dia suka.”
Wh… what?” Fareeq terlopong beberapa saat. Kemudian dia merengus keras. Tangannya meraup resah wajahnya sendiri. Berani betul Helena membuat keputusan begitu sedangkan dia masih bertungkus lumus cuba memujuk dan merayu. Sungguh, hatinya perit tidak terkata!
“Baliklah, aku nak tutup kedai.”Melihat Izzat berpaling dan melangkah ke ruang belakang, Fareeq semakin sakit hati. Benarkah kali ini Helena benar-benar sudah meninggalkan dia untuk selama-lamanya? Tidak. Dia tidak mahu begitu.“Helena milik aku, Izzat. Sampai bila-bila pun dia hak aku.”
Izzat tersenyum sendiri ketika melangkah meninggalkan Fareeq di ruang itu. Terasa lucu mengenangkan lakonannya yang cemerlang sebentar tadi. Idea spontan, dia sendiri tidak menduga dia akan bertindak sejauh itu. Sekadar menguji ‘market’ sendiri, boleh tahan juga hasilnya.
Teringatkan pesanan terakhir Fareeq sebentar tadi, sekali lagi bibirnya mengukir senyuman lebar. ‘Sampai bila-bila pun dia hak aku’.We’ll see, Fareeq. We’ll see…

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 17, 2013 00:58
No comments have been added yet.


Acik Lana's Blog

Acik Lana
Acik Lana isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Acik Lana's blog with rss.