Bab 9 : Hati Yang Memanggil Namamu...



Hari ini masuk hari kelima Helena bekerja di bawah satu bumbung yang sama dengan Izzat. Tidak banyak perkembangan baik pada hubungan mereka berdua, masih di takuk yang lama. Memang tidak sah kalau dalam sehari tidak ada aksi sindir menyindir, hempas menghempas dulang, atau juga suara Izzat yang melaung tinggi mengarah bermacam-macam benda. Naik rimas Helena dibuatnya.
Namun Helena mula sedar di sebalik semua sikap kasar Izzat, ada nikmat yang dia perolehi secara sembunyi. Di dalam diam dia mula merasakan hatinya begitu penuh terisi, tidak sunyi lagi sejak menerima layanan baik daripada Kuza dan pekerja-pekerja yang lain. Cuma Aida masih liat mulut mahu bermesra dengannya. Bercakap pun nak tak nak saja.
Kalau tidak dikenangkan cintanya yang mula jatuh terhadap seni menghias kek, memang sudah lama dia angkat kaki. Buat apa mahu menghadap muka kelat Aida, atau juga sikap buruk Izzat yang jelas nyata menjadi regu sempurna untuk ‘mendajal’kan dirinya. Pantang tersilap sikit, laju saja mulut dua manusia itu menceceh dan membebel kepadanya.
Mujurlah telinga dia ini tebal, memang tidak lut langsung kata-kata sindiran itu menuju ke hatinya. Dia bagaikan manusia tidak ada hati dan perasaan, manusia berkulit muka tebal sepuluh inci. Lantaklah, asalkan dia seronok menghabiskan masa menghadap kek-kek comel yang menjadi bahan eksperimennya untuk mengembangkan bakat seni yang dia ada.
Walaupun meluat dengan sikap Izzat, tidak dinafikan hatinya sering memuji lelaki itu penuh kagum. Melihat Izzat menimbang tepung, memecahkan telur, menghias kek, pandangannya seringkali terleka tidak berganjak. Ralit dia memerhati ketangkasan lelaki itu melakukan kerja-kerja di dapur.Muka dah cukup tampan, bakat memang dah jelas nyata ada, tapi kenapa sampai sekarang hati Izzat masih seperti batu? Layaknya umpama tidak ada seorang perempuan pun pernah menembusi hati kental lelaki itu. Takkanlah Izzat tidak pernah bercintaseumur hidupnya?
Tapi menurut cerita Kuza, bosnya itu memang tidak pernah mempunyai girlfriend. Memang ramai pelanggan-pelanggan perempuan jatuh hati kepada Izzat, namun lelaki itu menolak mentah-mentah. Sedikit pun tidak memberi atau membuka peluang. Boleh macam tu? Memang tak normal!
“Perempuan apa buat kerja macam ni? Comot!”Lamunan Helena tersentak apabila suara garau itu menampar fikirannya yang menerawang jauh. Dia mengangkat muka, menatap wajah kelat Izzat yang berdiri di hadapan meja kerjanya. Tajam renungan lelaki itu memanah ke dalam matanya, dan dia pula sekadar membalas dengan pandangan kosong. Malas nak layan!
“Kau pernah tengok aku sukat tepung kan? Ada bersepah-sepah macam ni?”
Sejurus itu juga pandangan Helena meliar ke atas meja kerjanya sendiri. Alah, setakat tepung bersepah sikit-sikit, itu pun nak kecoh. Dia kan amatur, baru nak belajar, memanglah kerjanya tidak sesempurna mana. Lainlah kalau sekilo tepung tertumpah atas simen, itu layaklah kau nak marah! Omel hatinya geram.Walaupun sakit hati, Helena mencapai juga tuala kecil dan mengelap meja kerjanya. Sambil mengelap, sambil itu juga bibirnya terjuih-juih menunjuk rasa meluat. Memang sungguh dia rasa dirinya umpama Cinderella yang dibuli oleh abang tiri yang kejam!
“Kuza, cupcake coklat tadi dah rest kan?” Pandangan Izzat beralih kepada Kuza yang tekun menggelek fondant di meja sebelah sana. Pekerjanya itu menganggukkan kepala dengan sengihan di bibir. “Dah bos, sekejap lagi saya bagi Helena. Bos nak letak topping apa?”
“Chocolate ganache. Tapi janganlah taruk sebaldi pulak heavy cream dalam topping tu!” Balas Izzat lebih kepada menyindir Helena. Mana tidaknya, sukatan Helena sering saja salah biarpun dia sudah mengajarnya berkali-kali. Perempuan lembap, suruh yang mudah pun masih juga salah!
Terasa disindir, Helena menjuihkan bibirnya. Apa-apalah labu, kau memang suka cari salah aku! Walaupun Izzat ada mendesaknya supaya bertugas di ruang depan, dia tetap juga berkeras mahu bekerja di pantry. Tidak banyak yang boleh dia lakukan di depan sana, asyik-asyik kena menghadap pelanggan yang pelbagai ragam itu. Naik rimas juga bila ada lelaki-lelaki yang mengambil kesempatan untuk berkenalan dengannya.Izzat kata itu petanda bagus. Dia boleh jadi ‘pelaris’ kedai. Banyak cantik! Itu namanya mempergunakan kelebihan yang dia ada untuk mengaut keuntungan. Lepas tu kalau layan dia baik-baik tak apalah juga, ini tak ada beza pun! Singa tetap singa.
“Helena!”Helena yang sedang memasukkan butter cream ke dalam beg paip mengangkat muka ke arah pintu pantry. Kelihatan Zuhira berdiri tegak dengan wajah ceria.“Encik Rafael datang lagi, dia nak jumpa kau!”
Terpusing kepala Izzat apabila mendengar kata-kata Zuhira yang jelas ceria menyampaikan pesanan itu. Rafael? Rafael mana pulak ni? Ah, dia sudah ingat! Rafael adalah lelaki yang bekerja di pejabat di bangunan yang berhadapan dengan bakerinya. Kebelakangan ini semakin kerap pula lelaki itu bertandang ke sini, dan dia yakin semuanya kerana Helena.Lelaki hidung belang, memang sesuai benarlah dengan perempuan gedik seperti Helena itu!Sungguh, kebelakangan ini namanya sudah jarang disebut Zuhira setiap kali pekerjanya itu masuk ke sini. Sekejap-sekejap orang cari Helena, dah tak reti nak cari tuan kedai lagi agaknya. Meluat!
“Err.. dia nak apa?”“Kan sekarang dah time kau break, dia nak ajak kau lunch la tu!” Balas Zuhira seraya menaikkan ibu jarinya. Seronok sungguh melihat ragam Encik Rafael yang tampan itu cuba memikat Helena yang rupawan. Macam cerita Korea!
Dalam rasa serba salah, Helena membuang pandang ke arah jam di dinding bercat biru laut itu. Memang sudah sampai gilirannya untuk makan tengahari. Tapi kalau tengok muka bos ‘tercinta’ dia tu, muka macam tak ikhlas nak lepaskan dia keluar aje!Ah, pedulilah! Kan waktu rehat memang dikhususkan untuk pekerja. Ingat dia ni kuli ke?
“Okay Zue, suruh dia tunggu sekejap.”Mendengar keputusannya, Zuhira mengangkat kedua ibu jarinya. Seronok benar gadis itu mendengar jawapan yang telah dia putuskan. Helena menanggalkan apron yang sudah bercapuk-capuk dengan kesan tepung. Apron itu disangkut ke dinding dan kemudian dengan langkah bersahaja dia menapak ke arah pintu pantry.
“Lunch break kau sepuluh minit aje!”Terhenti langkah Helena apabila mendengar arahan yang lantang memanah ke telinga. Dia berpaling, memandang Izzat yang masih sibuk menyapu krim di permukaan kek. Muka selamba aje mamat ni, macam tak sedar mulut tu bersikap kejam!“Excuse me?”
“Ibu dah hantarkan bekal, kau makan dekat kedai aje. Jangan nak mengular tak tentu hala.” Balas Izzat tanpa sedikit pun mengangkat mukanya kepada Helena. Perlahan Helena melepaskan rengusan geram. Sempat dia mengerling kepada Kuza yang menjungkitkan bahu. Aida pula seperti biasa buat-buat tidak peduli dengan ‘urusan’ mereka berdua. Sukalah tu tengok dia kena buli!
“Kenapa pulak sepuluh minit? You dengar kan tadi, ada orang nak jumpa I!”“Itu bukan masalah aku. Kau kerja dekat sini kan? So kau kena ikut rules aku.”“Rules apa? Semua orang dapat lunch break tiga puluh minit, kenapa pulak I dapat sepuluh minit aje?” Helena masih menyoal tanda tidak puas hati.
Izzat mengangkat kepala, menghadiahkan pandangan tajam kepada Helena.  “Aku bos kau kan? Kau kena ikut arahan aku.”Helena tersenyum sinis. Izzat ini memang sengaja mencari fasal. Dalam banyak-banyak kerja dekat pantry ni, kenapa kerja membuli juga yang lelaki itu pilih?“I balik setengah jam lagi. Bye!”
“Helena!” Izzat mengetap bibirnya penuh geram tatkala gadis itu berlalu sambil  melambai kepadanya. Helena memang sengaja… sengaja mahu tunjuk perangai besar kepala!Dan ketika kelibat tinggi lampai itu hilang dari pandangan mata, bibirnya melepaskan keluhan kasar. Berus pastri di tangannya dicampak kasar ke dalam dulang. Tiba-tiba saja perasaannya menjadi tidak tentu arah. Entah sebab geramkan Helena atau juga kerana ada rasa sakit mula menyengat di sudut hatinya.
“Kau dah kenapa?” Soal Aida di sebelah sana.Sekilas Izzat mengerling kepada temannya yang jelas mempamer riak curiga di muka. Ah, dia tahu dia sudah bereaksi keterlaluan. Jangan-jangan Aida sangka dia cemburukan Helena! Dia bukan cemburu… dia cuma… dia cuma. Ah, entahlah!



************************ 

Dengan kasar Izzat menarik shutter terakhir yang menutupi keseluruhan pintu hadapan kedainya. Dia kemudian mengenakan Solex di cangkuk yang disambung terus ke lantai  premis itu. Sekilas mata mengerling ke jam yang tersarung kemas di pergelangan tangan kirinya. Malam ini kedainya tutup sedikit lewat gara-gara kehadiran pelangan yang tidak putus-putus. Walaupun keletihan, dia sempat juga memanjatkan kesyukuran dengan rezeki yang melimpah ruah sepanjang hari ini. Itu pesanan ibunya, dia harus sentiasa mensyukuri nikmat yang dikurniakan olehNya, dia tidak boleh lalai dan leka.
Setelah memastikan semuanya telah dikunci dengan sempurna, perlahan dia melangkah menuju ke kereta yang diparkir di hadapan kedai itu. Helena pula masih berdiri di sisi keretanya, menunggu seperti biasa kerana mereka akan pulang bersama-sama seperti malam-malam yang lalu.Dia tahu selepas bertemu Rafael tengahari tadi, wajah Helena berseri-seri. Dari tadi sibuk membelek telefon bimbit yang kononnya dihadiahkan oleh lelaki itu. Bukan main lagi, baru jumpa dua tiga kali dah berani menerima pemberian entah siapa-siapa. Helena tak tahu ke yang kebanyakan lelaki buat baik sebab ada makna? Takkanlah lurus sangat sampai tak reti nak berfikir!
Hari tu asyik benar berkepit dengan Danial, tapi sekarang nasib hati temannya itu entah ke mana. Dia lihat Helena tidak lagi memberi perhatian kepada Danial biarpun berkali-kali lelaki itu singgah ke sini untuk bertemunya. Sudah muak barangkali, campak macam kain buruk!
“Tercegat apa lagi? Masuklah.” Tegur Izzat apabila Helena masih berdiri di luar keretanya. Dia sudah masuk ke dalam, tapi Helena masih ralit membelek telefon. Macam dah tak ingat dunia!“Oh sorry, I tak perasan you dah masuk.” “Apa yang kau perasan? Leka tak habis-habis.”
Mendengar rungutan itu, Helena mencebikkan bibirnya. Dari pagi bawak ke malam, tak letih ke asyik nak membebel aje? Dia yang mendengar ni pun dah naik muak tahu tak!Baru saja dia berkira-kira mahu meloloskan tubuh ke dalam kereta, satu suara garau yang menyeru namanya dari belakang membuatkan dia kaku seketika. Tiba-tiba saja ada debaran kencang mengetuk ke dada. Darah terasa panas di segenap nadinya, menyerbu laju ke muka.
“Elle, is that you?”Liur yang ditelan terasa kesat. Sah! Dia tidak mungkin tersilap kali ini. Lambat-lambat Helena berpaling ke belakang, menatap wajah yang disimbah cahaya lampu kekuningan di ruang itu. Perasaan yang kalut semakin kalut apabila senyuman manis itu singgah ke matanya. Demi Tuhan, kakinya bagaikan tidak jejak lagi ke tanah. Terawang-awang tinggi entah ke mana. Sungguh, beban rindu yang diusungnya selama ini terlalu jerih!
“Oh my… it’s really you! Sayang, mana you hilang selama ni?”Helena masih termangu-mangu ketika tubuhnya hilang di dalam dakapan lelaki tegap dan sasa itu. Dia tercari-cari damai yang dia rasai selama ini, namun perasaan itu langsung tidak ada. Dia tidak terkesan dengan pelukan hangat yang dinikmatinya kini, hatinya kosong dan dingin.
“Elle, I am so sorry sayang. I tahu salah I, dan I macam orang gila cari you. Kenapa you buat I macam ni? Why didn’t you call me? I risaukan you sayang!”Rintihan dan keluhan yang singgah di telinga belum mampu mencuit hati Helena. Dia mendongak, merenung tanpa perasaan kepada seraut wajah itu. Ya Tuhan, kenapa perasaannya berlainan benar kali ini? Bukankah ini wajah yang dia puja-puja, wajah yang dia idamkan siang dan malamnya. Mana semua rasa itu sudah pergi?
“Excuse me? Encik ni siapa?” Izzat yang sejak tadi menjadi pemerhati drama sebabak itu mula tampil ke hadapan. Dia tidak senang hati melihat aksi peluk-memeluk yang berlaku di hadapan mata. Bersayang-sayang bagai, dia tahu lelaki segak itu memang ada hubungan istimewa dengan Helena.
“Oh, sorry. Saya Fareeq, tunang Helena.”Terpempan Izzat apabila mendengar apa yang disuarakan oleh lelaki itu. Rahangnya bergerak-gerak mahu meluahkan kata, namun lidahnya kaku dan kelu. Tunang Helena? Helena sudah bertunang? Dadanya disengat rasa perit, dia tidak pasti mengapa. Dan kini satu misteri tentang Helena sudah terurai di hadapan matanya…
“Sayang..  please, we need to talk.”Itu adalah ayat terakhir yang mampu ditangkap oleh telinga Izzat sebelum lelaki itu menarik Helena agak jauh darinya. Dia tidak tahu hujung pangkal cerita, dan dia tidak faham kenapa Helena menangis teresak-esak di sana.
Separuh hati memaksa kakinya berlalu dari situ, namun setengah lagi hatinya meminta dia menunggu. Walau siapa pun Fareeq di hati Helena, Helena masih di bawah jagaannya buat masa ini. Dan dia memilih untuk kekal di sini, menanti.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 07, 2013 23:04
No comments have been added yet.


Acik Lana's Blog

Acik Lana
Acik Lana isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Acik Lana's blog with rss.