Bab 8 : Hati Yang Memanggil Namamu..



“Kau jangan nak main-main boleh tak?” Helena yang baru berkira-kira mahu menyuap nasi goreng ke mulut hampir tersedak dengan suara Izzat yang sedikit tinggi itu. Bibirnya dicebikkan, menunjuk rasa meluat dengan sikap dingin lelaki pemarah itu. Sikit-sikit nak menempelak orang!“Kau lupa ke kita ada order penting nak kena siapkan hari ni? Lagipun kau ingat Kuza boleh handle sorang-sorang cupcakes tu?”
Menyedari pandangan kurang senang dari mata ibunya, Izzat bangkit meninggalkan meja makan. Dia kemudian bergerak perlahan menuju ke pintu dapur yang terlapang luas. Ada rasa getaran hangat di dadanya, geram dengan ragam si Aida yang jelas bakal menyusahkan dirinya hari ini.
“Alah Izzat, aku memang tak boleh elak hal ni. Sijil kursus kahwin aku dah hilang, aku baru perasan pagi tadi. Nak tak nak, aku memang kena attend kursus tu sekali lagi.” Jelas kedengaran suara Aida kian resah di sebelah sana.“Kenapa mesti hari ni? Kau pun tahu kita banyak order nak kena siapkan.”“Habis tu, hari ni aje Norman free nak pergi sana. Kau pun tahu majlis kahwin aku bulan depan kan, aku dah tak cukup nafas ni. Please Izzat, aku janji lepas habis je kursus aku terus berlari lintang pukang ke kedai kita.”
Perlahan Izzat melepaskan keluhan berat. Dia serba salah, dia tidak berniat mahu mementingkan diri sendiri dan mengenepikan masalah temannya itu. Namun mengenangkan tempahan kek yang masih banyak tertangguh, hatinya resah. Sebolehnya dia mahu mengekalkan reputasi baik bakerinya yang sentiasa memberi jaminan tepat kepada pelanggan. Dia jenis manusia yang berpegang pada janji, dan janji itulah yang menentukan masa depan bakerinya nanti.
“Boleh tak kau mintak tolong Zati gantikan aku sekejap?”Terdengarkan cadangan Aida, spontan pandangannya melirik kepada Izzati yang duduk bersarapan di meja makan. “Habis tu adik aku tak payah pergi kelas?” “Err.. pontenglah sehari, bukan luak pun.”“Aida, kau lupa ya kau tengah bercakap dengan siapa?”“Ohooo.. aku terlupa pulak yang aku tengah bercakap dengan lecturer kedua adik kau.” Aida tergelak sendiri. “Aku mintak maaf sangat Izzat, aku memang terdesak ni. Kalau kau nak, aku boleh suruh kawan aku gantikan sekejap.”
Seketika Izzat mendiamkan diri mencari jalan keluar yang terbaik untuk mereka berdua. Dia tidak mahu bersikap kejam terhadap Aida semata-mata kerana mahu menjaga periuk nasinya. Lagipun hal-hal tidak terjangka seperti ini memang di luar kawalan manusia, dia terpaksa akur dan beralah.“Hmm… it’s okay, kau pergilah kursus tu. Hal kedai, pandai-pandailah aku handle nanti.” Putusnya tenang.“Erk? Serius ni?”“Seriuslah, kau pergi ajelah.” “Oh Izzat, kaulah bos paling aku sayang! Aku janji lepas kursus nanti aku terus pergi kedai ya?”Izzat tersenyum sendiri mendengar suara ceria Aida. Bila dah diturut segala kemahuan, barulah dia diangkat menjadi bos yang paling disayangi. Kalau tidak, bukan main banyak kompelin temannya yang seorang ini.
Setelah menamatkan perbualannya bersama Aida, Izzat kembali ke meja makan untuk menyambung sarapannya yang tergendala sebentar tadi. Dengan riak tenang, dia melabuhkan duduk di sisi Izzati, menghadap tepat kepada Helena yang santai meneguk kopi. Seketika pandangan mereka bertentang dan sepantas itu riak wajahnya bertukar serius. Sengaja menunjuk sikap dingin terhadap gadis itu.
“Kenapa Ijat? Serius semacam aje ibu tengok. Siapa yang telefon tadi?” Terdengarkan pertanyaan ibunya, suapan nasi goreng cina ke mulut terbantut seketika. Pandangannya singgah seketika ke wajah ibunya yang masih menunjuk riak ingin tahu. “Aida, ibu. Dia mintak cuti dua hari, hari ni dengan hari esok.”“Cuti? Dia nak ke mana?”“Kursus kahwin.” Balas Izzat ringkas. Sudu berisi nasi goreng cina dibawa terus ke mulut, enak sekali dia mengunyah hasil masakan ibunya yang tiada tandingan itu.
“Eh, bukan Kak Aida dah pergi kursus kahwin ke dulu? Kenapa nak pergi lagi?” Sampuk Izzati kehairanan. Wajah kelat abangnya dijeling. Memang beginilah riak muka abangnya sejak Kak Helena hidup di dalam rumah mereka. Bukan senang mahu melihat senyuman  manis abangnya, memang dua puluh empat jam asyik menunjuk muka serius. Masalah apa entah!
“Sijil dia hilanglah tu, sebab tu kena pergi sekali lagi.” Jawab Puan Faizah yang cukup yakin dengan telahan akalnya. “Habis tu siapa tolong kamu dekat kedai nanti?”“Hmm… mana ada orang lain ibu, Ijatlah kena kerja keras hari ni.”“Order banyak ke?”“Banyak jugak, cupcakes ramai yang nak collect petang nanti.”“Kalau macam tu, kamu pinjam Helena hari ni. Ibu boleh uruskan kedai ibu sendiri.”
Terbuka luas mata Izzat apabila mendengar cadangan dari bibir ibunya. Dari ekor mata dia juga nampak kepala Helena bukan main laju berpaling ke sebelah kanan.“Saya, makcik?” Perlahan Helena mengangkat jari telunjuk ke mukanya. Biar betul mak cik ni suruh aku kerja dengan anak singa dia tu!
“Iyalah, lagipun makcik rasa nak tutup awal kedai hari ni. Nak tolong merewang dekat rumah Mak Biah petang nanti. Boleh ke Helena tolong Ijat dekat kedai dia tu?”
Helena menelan liur. Walaupun di dalam hati memang membuak-buak rasa geramnya dengan sikap Izzat, tapi untuk menghadap lelaki itu sebagai bos besar memang dia rasa tak kuasa pulak! Nanti makin naik tocanglah mamat berlagak poyo tu.“Apa ibu ni, bukan sebarang orang boleh buat kerja tu.” Balas Izzat dengan bibir dicebikkan tanda menolak. “Ijat boleh handle semua tu sendiri, tak payah nak suruh-suruh orang lain tolong pulak.”
“Alah, apa masalahnya? Setakat gelek fondant dan tekap-tekap tu, takkanlah Helena tak boleh buat. Ibu tengok Helena ni budak pandai, mesti dia cepat belajar punya.” Tingkah Puan Faizah dengan nada suara sedikit tegas. Muak pula dia melihat Izzat berterusan menolak Helena ke tepi. Semua itu merunsingkan hatinya, membuatkan dia pening memikirkan citarasa anak lelakinya yang seorang itu. Siapa tak bimbang kalau hati anak bujangnya bagaikan tidak terarah kepada orang perempuan!
“Tak payahlah, Ijat tak nak pantry Ijat berkecah pulak nanti.” Sindir Izzat dengan niat sengaja mahu menyakitkan hati Helena. Perempuan kekok macam tu, manalah reti nak buat kerja-kerja berseni di dapur!“Okay, saya boleh tolong dia makcik!” Tiba-tiba saja Helena menyampuk dengan wajah ceria. Terpandangkan  renungan tajam Izzat yang pasti mengandungi pelbagai amaran, dia membalas dengan senyuman manis.
“I boleh tolong you, Ijat.” Ucapnya dengan sengaja menekankan nama timangan lelaki itu. “Lagipun I memang suka baking, you mesti terkejut tengok bakat I nanti.”“Tak payah, aku tak nak kau..”
“Ijat, tak baik buat perangai macam ni.” Pintas Puan Faizah dengan mimik muka yang sengaja diriakkan serius. Sudah elok Helena bersetuju, Izzat pula berterusan menolak. “Dah-dah, habiskan nasi tu cepat. Nanti lambat pulak nak ke kedai.”
Izzat tidak jadi mahu membuka mulut menghamburkan rasa geramnya. Cuma anak mata masih menikam garang ke wajah Helena, namun tikamannya itu dipatahkan dengan wajah ceria Helena.Ceria ada makna, ceria yang mengejek!


************* 


“Wah, tak sangkanya awak pandai hias kek. Cantik sangat Helena!”Lebar senyuman di bibir Helena tatkala Kuza tidak putus-putus melahirkan rasa kagumnya. Mestilah tangan dia ini bijak mendekorasi, dari kecil lagi dia sudah belajar melukis dengan baik. Kalaulah Izzat tahu yang dia ini salah seorang pelajar seni yang cemerlang, pasti lelaki itu menghantuk kepala ke dinding. Itulah, suka sangat pandang rendah pada orang!
“Betul ke cantik ni? Sesuai ke nak display dekat depan?” Soal Helena seraya membelek kek cawan perisa vanilla yang baru selesai dihiasnya. Hanya menggunakan fondant berwarna warni dan sedikit vanilla frosting, kek kecil itu kelihatan comel dan ceria.
“Memang cantiklah, lagipun customer mesti bosan kalau asyik hias benda yang sama aje. Ini nampaklah kelainan, nampak ada nafas baru sikit.” Puji Kuza bersungguh. “Oh, well… thank you Kuza!” Helena tersengih lebar.Melihat dulang-dulang berisi kek cawan yang sudah dihias, perasaan di hati kembang kuncup penuh bahagia. Sekian lama tidak mempraktiskan bakat seninya, hari ini jiwa melonjak penuh gembira. Terasa bebas kerana mampu melakukan sesuatu yang dia gemari tanpa ada apa-apa halangan.
“Kuza, mana cupcakes yang dah siap?”Pandangan Helena dan Kuza serentak tertancap kepada Izzat yang melangkah masuk seraya mengenakan apron ke pinggang. Helena tahu Izzat sengaja mengabaikan kehadirannya di sini. Dari tadi lelaki itu sekadar berinteraksi dengan Kuza tanpa mempedulikan dirinya. Dia ini umpama sebuah meja, atau juga sebuah kerusi, atau penggelek fondant yang tiada kepentingan untuk dibawa bersembang.Eh, tapi dia kisah ke? Tak kisah langsung okay!
“Cantik tak bos?” Kuza tersengih-sengih seraya memuncung ke arah dulang di atas meja.Izzat menapak perlahan menghampiri meja kerja Kuza dan Helena. Walaupun dia tahu renungan Helena mengekori gerak langkahnya, namun dia sengaja buat tidak peduli. Hati masih mendongkol penuh geram kerana terpaksa membawa gadis itu ke sini.
Dan ketika anak mata meneliti kek-kek kecil yang dihias oleh Helena, serta merta rasa di dada berubah rentak. Kedudukan Helena yang diletak separas bawah, perlahan-lahan naik sedikit tinggi. Tidak terduga oleh akalnya yang gadis itu berbakat dalam menghias kek. Kalau dilihat pada gaya, penampilan dan sikap, dia tidak terfikir yang Helena mempunyai tangan yang berseni seperti ini.Fondant di atas kek itu tampak sekata, malahan hiasan di setiap kek langsung tidak berbeza. Semuanya bagaikan serupa dan senada. Di dalam diam, hatinya melepas juga sedikit kata-kata pujian terhadap Helena. Walaupun pada awalnya dia tidak sabar-sabar mahu melihat hasil kerja Helena untuk menjadi bahan sindiran, tapi kali ini lidahnya kelu mahu memberi komen.
“Okay tak bos?” Ajuk Helena setelah beberapa saat Izzat sekadar memandang tanpa bersuara. Alah, kagumlah tu tapi berlagak tak nak memuji!Izzat masih membatu, cuma pandangannya bergerak perlahan ke wajah Helena. Gadis itu tersenyum-senyum seraya mengangkat kening kepadanya. Dan seperti biasa, sikap bersahaja Helena itu membuatkan perasaannya sedikit terusik. Cepat-cepat dia melarikan pandangan ke dulang yang masih terhidang di hadapan mata.“Not bad, cuma kalau boleh warna tu kau ceriakan lagi. Ini nampak pastel sangat, macam kek untuk orang mati!” komennya senafas.
Mati senyuman di bibir Helena mendengar apa yang diluahkan oleh Izzat. Kek untuk orang mati? Melampau betul! Ah, apa yang perlu dia harapkan? Dia tahu Izzat sama sekali takkan merendahkan ego untuk memujinya. Lelaki itu memang anti dengan dia, dia sendiri tidak tahu kenapa.
“Tapi ini pun dah cantiklah bos, lembut dan gegirl sangat.” Tokok Kuza tanda membantah apa yang dikatakan oleh Izzat sebentar tadi. “Lagipun warna-warna macam ni memang sesuai untuk remaja, nampak cute sangat.”
“Apa-apa ajelah, pergi hantar ke depan kek tu. Kita dah tak ada masa, guna aje apa yang ada.” Ucap Izzat dengan wajah serius. Sakit pula telinganya mendengar pujian yang melambung-lambung dari bibir Kuza. Hajatnya cuma satu, dia mahu Helena serik dan tidak lagi berniat mahu membantunya di kedai ini. Tapi melihat pada keadaan sekarang, dia yakin Helena semakin seronok bekerja di sini.
Setelah Kuza beredar ke ruang depan, Izzat kembali menyambung tugasannya. Masih banyak adunan kek perlu dibuat bagi menampung permintaan pelanggannya untuk hari ini. Dia tidak mahu membuang masa dengan melayan perkara-perkara remeh yang tidak mendatangkan apa-apa faedah.
“Hmm.. ada apa-apa I boleh tolong?”Tersentak Izzat apabila teguran itu kedengaran begitu dekat di telinga kanannya. Hilang melayang bacaan sukatan tepung dek debaran yang tiba-tiba berpalu kencang di dada. Dia menoleh ke kanan, kemudian menelan liur apabila wajah ceria Helena terpapar dekat di pandangan mata. Ya Allah, perempuan ni!
“You ajar I buat kek boleh?” Izzat melarikan pandangan matanya. Tangan yang menceduk tepung sudah tidak tentu arah bekerja, dan dia sendiri sudah terlupa berapa cawan tepung sudah dia campakkan ke dalam bekas itu tadi. “Boleh ke tak?” Tanya Helena lagi.
Perlahan Izzat merengus tanda kurang senang. “Kau jangan nak menyibuklah, mana ada orang bagitahu resepi rahsia pada orang lain!”“Eleh, resepi rahsia konon!” Ejek Helena diiringi ketawa kecil. “I bukan nak bukak bakery pun, paling hebat pun I masak untuk I makan sendiri aje. Ajar I ya? Pleaseee…”“No, jangan harap.”
Helena tersenyum sumbing. Lelaki ego, lelaki tak lurus! Kalau lelaki lurus, mana mungkin Izzat tidak tergoda dengan paras wajahnya, dengan nada manjanya ini. Dia sudah ada banyak pengalaman dengan lelaki, dan lelaki yang seorang ini memang berbeza. Ego Izzat bukan paras yang boleh diinjak, ego lelaki ini terlalu tinggi melangit. Dan percayalah, perasaan di dadanya kali ini berbeza. Ada rasa membuak-buak mahu menundukkan keegoan lelaki itu.“I selalu dapat apa yang I nak Izzat. And trust me, I boleh dapatkan apa saja dari you.”
Pergerakan tangan Izzat terkaku, kepalanya diangkat mencari wajah Helena. Dia sudah menjangka perempuan seperti Helena ini tidak berbeza dari perempuan-perempuan yang dia temui setiap hari di kedainya. Helena sama seperti Sophie, Kartina, Marlia dan entah apa-apa nama lagi yang pernah dikenalinya sebelum ini. Perempuan bandar yang pandai mempergunakan lelaki.Spontan bibirnya melirik senyuman mengejek, senyuman yang membuktikan anggapannya terhadap Helena tepat mengena. “Kau takkan dapat semua yang kau nak dalam dunia ni. Dengan orang lain, maybe yes. Tapi dengan aku, hajat cuma sekadar hajat. Aku takkan mudah terpedaya dengan kata-kata manja kau tu.”
Berdesing telinga Helena mendengar ucapan tajam dari bibir Izzat. Sedikit tercarik hatinya dipanah kata-kata ego yang tajam itu. Wah, memang yakin betul lelaki ini!“So funny la you Izzat. Bila I bercakap, trust me I tak bercakap kosong. Banyak yang I boleh buktikan pada you, dan I memang boleh dapatkan apa saja yang I nak dari you.” Balas Helena menegakkan keegoannya sendiri.
“Really? Apa saja?”“Yes, apa saja.”
Terlepas gelak kecil di bibir Izzat. Perempuan seperti ini pasti mudah mendapatkan apa sahaja yang dihajati daripada seorang lelaki. Tetapi dia bukan lelaki bodoh seperti itu, dia sudah lama melatih diri untuk menepis godaan-godaan yang datang. Dan mungkin seketika dia terleka dan lalai menikmati keindahan perasaan yang muncul tiba-tiba, tapi akal dan pendiriannya masih kuat. Kakinya masih teguh berdiri di atas prinsip hidupnya, sedikit tidak bergoyah.“Mungkin kau mampu, tapi bukan dengan aku.”
Melihat keyakinan di wajah Izzat, rapat Helena mengetap bibirnya. Dia tahu dia sudah terlepas kata, tapi untuk menjilat kembali ludahnya, mana mungkin!“Jaga hati you baik-baik Izzat, sebab I mungkin akan dapat hati you tanpa you sedar.”
Terpaku Izzat apabila pesanan itu menerobos ke telinganya. Kocakan di dada kembali melantun deras, membuatkan dia sedikit lemas mencari nafas.Dia mengerling ke sisi dan Helena sudah beredar menjauhinya dengan wajah sedikit kelat. Ego gadis itu sudah terguris dan memang itu niatnya. Perempuan berkeyakinan tinggi seperti Helena perlu disedarkan supaya mampu hidup di dunia nyata. Mana ada yang mudah di dunia ini!
Namun sekilas itu ada rasa resah menyengat ke tangkai hati. Mungkinkah Helena mampu mencuri hatinya tanpa dia sedari? Ah, dia perlu berjaga-jaga. Dia tidak boleh lalai dan leka!Dan sepanjang hari itu jiwa Izzat tidak tenang. Dan anehnya, hanya kelibat Helena yang dicari oleh pandangan matanya. Benarkah semua itu kerana dia terlalu berjaga-jaga dengan setiap tingkahlaku Helena? Atau sebenarnya dia mula tertarik dengan gadis penuh yakin itu? 
Ah, hatinya memang pelik. Dan apa yang dia tekadkan cuma satu…. dia tidak mahu terpedaya sebagaimana ayahnya dengan mudah tunduk mengalah pada kehendak seorang perempuan!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 06, 2013 23:06
No comments have been added yet.


Acik Lana's Blog

Acik Lana
Acik Lana isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Acik Lana's blog with rss.